Ahad, 9 Ogos 2020

Iskandar Zulkarnain


ISKANDAR ZULKARNAIN: Zu al-qarnain ( ‎ذو القرنين‎) - dhū al-Qarnayn, secara ‎harfiahnya bermaksud "Dia yang Bertanduk Dua", merupakan satu tokoh yang ‎disebutkan di dalam Qur'an, iaitu kitab suci Islam yang menyatakan beliau sebagai ‎pemerintah yang hebat dan adil yang membina tembok pengantara Yakjuj dan Makjuj ‎dari menyerang orang yang di Barat. Bertanduk dua?‎ Sesetengah pihak berpendapat gelaran "Zulkarnain" bermaksud "bertanduk dua", yang ‎secara tersiratnya merujuk kepada syiling yang ditempa untuk Iskandar Agung mahupun ‎ukiran dinding Cyrus Agung.‎ Pentafsir al-Quran abad ke-14 memberikan sebab yang berbeza. Dalam Tafsir Ibn Kathir ‎menyatakan, "sesetengah mereka memanggilnya Zulkarnain kerana dia mencapai dua ‎‎"tanduk" (batas) matahari, timur dan barat, tempat ia terbit dan terbenam."‎ Tambahan pula, nama Zulkarnain juga diterjemahkan menjadi "dia yang berketurunan ‎dua", "dia yang hidup hingga dua kurun", "dia yang memiliki dua kerajaan" ataupun ‎‎"pemerintah dua kerajaan". Banyak yang mentafsirkan perkataan tersebut dengan maksud ‎yang berbeza.‎ Terdapat juga pendapat yang mengatakan "bertanduk dua" bermaksud menggabungkan 2 ‎negeri.‎ 


Mengikut sejarah, Zulkarnain dikatakan sebagai Iskandar Agung (Alexander The Great) ‎tetapi ia hanyalah pendapat paling sekular dan disangkal sendiri oleh Ulama-Ulama dan ‎sarjana Islam yang mengatakan Zulkarnain adalah Cyrus Agung. Gelaran tersebut turut ‎terkenal di kalangan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam yang boleh dikatakan ‎telah digunakan sekurang-kurangnya tiga orang raja yang berbeza. Terdapat juga pendapat yang mengatakan "bertanduk dua" bermaksud menggabungkan 2 ‎negeri. Penaklukan pertama Zulkarnain adalah ke kerajaan Persia yang dipimpin Darius ‎III Codomannus melalui perang Battle of Issus (sekarang Iskenderum, Turki) meskipun ‎dengan kekuatan tentera yang hanya seperempatnya yang dipimpin jeneral Ptolemy ‎dibanding kekuatan Persia. Selanjutnya selama 12 tahun Zulkarnain menguasai pantai ‎Laut Tengah Mesir, kemudian Babylonia hingga ke wilayah Pakistan dan India Utara ‎sekarang. ‎ 


Cerita tentang Zul ‎Qarnain disebut oleh Allah di dalam al-Qur’an.‎ Dalil dari al-Qur’an:‎ Berikut merupakan petikan tafsir dari surah al-Kahfi yang menceritakan tentang ‎Zulkarnain.‎ Maksudnya: ‎83. Dan mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. katakanlah: "Aku akan ‎bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah Yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya":‎ ‎84. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri ‎kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.‎ ‎85. Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).‎ ‎86. Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair ‎Yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisiNya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan ‎mengilhamkan kepadanya): "Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau ‎engkau bertindak secara baik terhadap mereka".‎ ‎87. Ia berkata: "Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan ‎menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa ‎yang seburuk-buruknya.‎ ‎88. Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan ‎Kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah Kami yang tidak memberati".‎ ‎89. Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.‎ ‎90. Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang ‎Kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.‎ ‎91. Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada ‎padanya.‎ ‎92. Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.‎ ‎93. Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisiNya satu kaum Yang hampir-hampir ‎mereka tidak dapat memahami perkataan.‎ ‎94. Mereka berkata: "wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan ‎kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil ‎pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"‎ ‎95. Dia menjawab: "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari ‎bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai). Aku akan bina antara kamu ‎dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.‎ ‎96. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup ‎lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah ‎dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: ‎‎"Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya".‎ ‎97. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.‎ ‎98. (setelah itu) berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; Dalam pada itu, apabila ‎sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar".‎ 


Sejarah Hidup Zulkarnain : Dia dilahirkan di Macedonia. Kepadanya dikurniakan Allah otak yang pintar, fikiran ‎yang panjang dan berbagai-bagai ilmu pengetahuan: Ilmu perang, ilmu politik dan ilmu ‎teknik dan kimia. ‎ Dari semenjak dia masih kecil, hatinya sudah tidak enak melihat perang yang selalu ‎timbul antara Kerajaan di Timur (Kerajaan Farsi) dengan Kerajaan di Barat (Kerajaan ‎Rum). Perang yang tidak henti-hentinya dari tahun ke tahun, malah dari abad ke abad, ‎yang telah mengorbankan ribuan manusia dan merosakkan bumi, menghancurkan banyak ‎harta benda.‎ ‎ ‎ Untuk menghindarkan perang antara Timur dengan Barat yang sudah bertradisi ini, dia ‎ingin mendirikan sebuah kerajaan besar yang meliputi Timur dan Barat. ‎ Padanya terdapat segala syarat untuk menyampaikan maksud dan tujuan hidupnya yang ‎mempunyai tanggungjawab yang besar itu. Selain dia seorang yang baik, berakhlak yang ‎tinggi, berilmu pengetahuan tentang ketenteraan, tentang pemerintahan dan teknik, akan ‎dapat membawa dia sampai kepada cita-citanya. ‎ Mula-mula sekali dengan tenteranya yang lengkap kuat, dia menuju ke Barat (Maghribi ‎atau Moroko), tempat terbenamnya matahari. Disitu dilihatnya matahari itu terbenam di ‎matair yang bertambah hitam, iaitu Lautan Atlantik sekarang ini. ‎ Disitu didapatinya satu bangsa yang terlalu engkar dan kafir, hebat sekali kerosakan dan ‎kejahatan yang ditimbulkan bangsa itu. Bukan saja merosakkan permukaan bumi dan ‎mengacaukannya, tetapi juga sudah menjadi tabiat mereka suka membunuh orang-orang ‎yang tidak bersalah sekalipun. ‎ Sebelum melakukan tindakan, terlebih dahulu Iskandar Zulkarnain menadahkan ‎tangannya ke langit, memohon petunjuk kepada Allah, tindakan apa sebaiknya yang ‎harus dilakukan terhadap bangsa yang begitu kejam. Apakah bangsa itu akan ‎digempurnya habis-habisan atau akan dibiarkan begitu saja? ‎ Tuhan menyuruh Iskandar Zulkarnain membuat pilihan salah satu diantara dua tindakan: ‎Digempur habis-habisan sebagai balasan atas kekejaman mereka selama ini atau diajar ‎dan dididik dengan propaganda, agar mereka kembali kepada kebenaran dan ‎meninggalkan segala kejahatan. ‎ Akhirnya Iskandar Zulkarnain memutuskan akan menggempur mereka yang derhaka dan ‎jahat sehebat-hebatnya dan membiarkan serta melindungi orang-orang yang baik diantara ‎mereka. Pada bangsa itu, Iskandar Zulkarnain lalu mengucapkan kata-katanya yang ‎ringkas: Siapa yang membuat aniaya, akan kami seksa dan dikembalikan kepada Tuhan ‎agar Tuhan memberi seksa yang lebih hebat lagi. Adapun orang-orang yang soleh dan ‎baik, akan kami lindungi serta diberi ganjaran-ganjaran dan kepadanya kami hanya akan ‎perintahkan kewajipan-kewajipan yang ringan saja. ‎ Tenteranya segera bergerak, menewaskan setiap orang yang kejam, melindungi setiap ‎orang yang baik. Akhirnya negeri itu dapat diamankan dan ditenteramkan, serta diatur ‎sebaik-baiknya, penuh dengan kehidupan bahagia dan makmur.‎ ‎ ‎ 


Kerana kewajipannya terhadap bangsa dan negeri itu sudah selesai, Iskandar Zulkarnain ‎dengan tenteranya lantas menuju ke arah Timur (India). Dilihatnya matahari terbit atas ‎bangsa yang masih hidup telanjang (Bangsa Hindustan). ‎ Bangsa dan negeri itupun dapat ditaklukkannya, diamankan dan ditenteramkannya, serta ‎diatur sebaik-baiknya sehingga setiap orang dapat merasakan hidup aman dan tenteram, ‎bahagia dan senang pula. Bangsa itu dapat dikeluarkannya dari lembah kesesatan dan ‎kejahilan. ‎ Selesailah sudah kewajipannya terhadap negeri dan bangsa itu. Ia lalu menuju ke utara, ‎ke negeri Armenia melalui Persia (Parsi/Iran) dan Azerbaijan. Dengan kemenangan demi ‎kemenangan yang dicapainya selama dalam perjalanan itu, akhirnya dia sampai ditempat ‎yang ditujui. Didapatinya di situ satu bangsa yang hidup antara dua buah gunung, iaitu ‎Gunung Armani dan Gunung Azerbaijan. Iskandar Zulkarnain tidak mengerti akan ‎bahasa yang diguna bangsa ini. ‎ Bangsa ini didapatinya hidup selalu dalam ketakutan dan kekhuatiran, kerana negeri ‎mereka bersempadan dengan bangsa Yakjuj dan Makjuj yang terkenal kejam dan kuatnya. ‎Bukan sekali-dua kali saja tetapi sering sekali bangsa Yakjuj dan Makjuj itu datang ‎menyerang mereka, menghancurkan apa saja yang didapatinya dan membunuh siapa saja ‎yang dijumpainya. ‎ Kedatangan Iskandar Zulkarnain ini, mereka sambut dengan segala kehormatan dan ‎kegembiraan, kerana mereka tahu bahawa Iskandar Zulkarnain adalah raja yang terkuat ‎dan raja yang adil di muka bumi ini. ‎ Kepada Iskandar Zulkarnain dimintanya pertolongan, untuk melindungi diri mereka dari ‎serangan Yakjuj dan Makjuj. Mereka memohon agar antara negeri mereka dengan negeri ‎Yakjuj dan Makjuj diadakan dinding raksasa yang tidak dapat ditembusi dan untuk ‎keperluan ini, mereka sanggup membayar upah dan kerugian kepada Iskandar ‎Zulkarnain. ‎ Mendengar permohonan ini, Iskandar Zulkarnain menjawab: Saya tidak mengharapkan ‎upah dari kamu. Nikmat dan pemberian Tuhanku adalah lebih berharga dari upah itu. ‎Hanya kepadamu saya minta kaum pekerja dan alat-alatnya, besi, tembaga, arang batu ‎dan kayu. ‎ Setelah semua itu terkumpul, Iskandar Zulkarnain mulai bekerja dengan pentolongan ‎para pekerja. Mula-mula dinyalakan api dengan kayu dan arang batu, diambilnya besi, ‎lalu dihancurkannya dengan api itu. Hancuran besi itu dituangkannya tembaga, ‎sehingga bersatu dengan besi. Dengan bahan campuran inilah didirikannya dinding ‎raksasa antara negeri itu dengan negeri Yakjuj dan Makjuj, dinding besi raksasa yang ‎tidak dapat ditembus dan dilubangi oleh sesiapa. ‎ Kepada bangsa itu Iskandar Zulkarnain lalu berkata: Dinding ini adalah rahmat dari ‎Tuhan kepadamu, hanya Tuhanlah yang dapat menembus dinding ini, bila ‎dikehendakiNya. ‎ Dengan jalan begitu, maka aman dan tenteramlah negeri itu. Setelah Iskandar Zulkarnain ‎dapat menaklukkan negeri-negeri lainnya ditimur, barat, di utara dan di selatan, maka ‎kerajaannya kini meliputi: Moroko, Rom, Yunani, Mesir, Parsi dan India, sehingga ‎menjadi sebuah kerajaan yang amat luas, yang belum pernah terjadi sebelumnya, di ‎mana penduduknya kini hidup dengan aman tenteram dan makmur. ‎ Cita-cita Iskandar Zulkarnain telah dapat dicapainya, berkat pertolongan Allah, kerana ‎dia selalu berlindung diri kepadaNya. 


Tetapi sayang setelah Iskandar Zulkarnain ‎meninggal dunia, kerajaan yang besar dan bahagia itu menjadi berpecah-belah, kerana ‎perebutan kekuasaan para pengikutnya yang ditinggalkannya. ‎ Zulkarnain yang bererti raja Timur dan Barat, telah dapat menyatukan ‎kerajaan Timur dengan kerajaan Barat, menjadi suatu kerajaan yang adil dan makmur, ‎berkat ilmu dan pengetahuannya, serta berkat dasar ketuhanan yang selalu dipegangnya ‎teguh dalam mendirikan kerajaan besar itu. ‎ Kita sedang menunggu berdirinya negara itu, menunggu-nunggu kedatangan Iskandar ‎Zulkarnain abad keduapuluh. ‎ Persoalan tentang Zulkarnain tercatat dalam sirah nabawiyah (sejarah Nabi) dan tertulis ‎dalam sirah Ibnu Ishaq yang menceritakan bahawa musyrikin Makkah meminta bantuan ‎Yahudi Khaibar untuk mencari kelemahan Muhammad S.A.W. Ketika yahudi Bani Nadr ‎mengatakan hal tersebut kepada mereka, mereka mengirim dia dan Uqbah bin Abu Muit ‎kepada rabai/pendita Yahudi di Madinah. Untuk membuktikan kenabian, rabai tersebut akan ‎mengajukan tiga soalan yang sekiranya dijawab dengan betul, maka itu membuktikan ‎akan baginda seorang nabi dan begitu juga sebaliknya. Persoalan yang ditanyakan ialah:‎ ‎1. Tentang beberapa anak muda di zaman dahulu yang ceritanya amat pelik dan ‎menakjubkan.‎ ‎2. Tentang seorang lelaki yang merupakan pengembara hebat yang telah sampai ke timur ‎dan barat.‎ ‎3. Tentang Roh. ‎ Baginda Nabi Muhammad s.a.w. meminta masa untuk menjawabnya dan selepas diturunkan ‎wahyu, semuanya telah terjawab melalui surah al-Kahfi.‎ 


Berbagai perbezaan pendapat antara Iskandar Agung dan Zulkarnain Hasil kajian ilmuan dan sarjana Islam seperti Seyyed Ahmad Khan (pentafsir Quran ‎terkenal), Maulana Abulkalam Azad (Menteri Kebudayaan India), Baha'eddin ‎Khomrashahi dan Dr. Muhammad Ebrahim Bastabi Parizi menyangkal bahawa ‎Zulkarnain adalah Iskandar Agung. Mereka lebih mengesyaki yang Zulkarnain adalah ‎Cyrus Agung iaitu raja empayar Parsi Arkaemenia.‎ Mereka memberikan bukti-bukti kukuh termasuk artifak tulisan dan ukiran pada batu ‎istana dan kubur. Berikut merupakan bukti yang dinyatakan:‎ ‎1. Ukiran pada batu yang masih dapat dilihat hingga kini yang memaparkan Cyrus ‎dengan mahkotanya yang mempunyai tanduk.‎ ‎2. Menurut al-Qur'an, rahmat Tuhan diberikan bersamanya dan dengan itu, Cyrus ‎merupakan raja pertama (beberapa ratus tahun sebelum Iskandar Agung) yang menakluki ‎sebahagian besar Eropah dan Asia.‎ ‎3. Cyrus (seperti juga Zulkarnain) menyembah satu Tuhan tetapi Iskandar Agung ‎mempunyai banyak dewa-dewi.‎ ‎4. Di dalam al-Qur'an tercatat perjalanan Zulkarnain iaitu bermula ke Barat lalu ke Timur ‎sebelum ke jalan yang lain (iaitu Utara) yang bertepatan dengan ekspedisi Cyrus yang ‎memulakan penaklukan di Barat Parsi hingga ke Lydia di Asia Kecil kemudian berpatah ‎ke timur sehingga Makran dan Sistani (Scythian) sebelum ke Timur Laut menawan ‎Eropah berhampiran Balkan.‎ ‎5. Ekspedisi Cyrus diteruskan dengan penaklukan Lycia, Cilicia dan Phoenicia, dan ‎mereka menggunakan teknik pembinaan tembok yang belum digunakan lagi oleh orang ‎Yunani ketika itu.‎ ‎6. Menurut al-Qur'an, pengembaraan Zulkarnain dimudahkan dan kebetulan lagi bagi ‎Cyrus, beliau sempat menamatkan ekspedisinya kali itu pada 542 SM, sebelum pulang ke ‎Parsi manakala Iskandar masih dalam misi menakluknya ketika dia mati.‎ ‎7. Keperibadian Iskandar juga dikatakan tidak seperti yang dikatakan mulia apabila ‎Iskandar sendiri sering berpesta arak dan juga mempunyai seorang lelaki, Haphaeston, ‎sebagai kekasihnya.‎ Selain di Mesir, Zulkarnain dikenali juga sebagai Alexandria, mendirikan/diabadikan di ‎kota-kota berikut: ‎ ‎* Alexandria Asiana, Iran ‎ ‎* Alexandria in Ariana, Afghanistan ‎ ‎* Alexandria of the Caucasus, Afghanistan ‎ ‎* Alexandria on the Oxus, Afghanistan ‎ ‎* Alexandria of the Arachosians, Afghanistan ‎ ‎* Alexandria on the Indus, Pakistan ‎ ‎* Alexandria Eschate, “The furthest”, Tajikistan ‎ Mungkin sudah ditakdirkan wilayah sekitar Mesopotamia (sekarang Iraq) selalu menjadi ‎wilayah peperangan hingga sekarang. Kisah Alexander The Great di atas kini diabadikan ‎oleh sutradara Oliver Stone ke layar lebar dengan judul Alexander.‎

Tiada ulasan:

Catat Ulasan