Selasa, 1 Oktober 2013

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian

Sekiranya anda merasakan bahawa kehidupan anda susah, ketahuilah bahawa para nabi dan rasul juga pernah mengalami kesusahan dalam perjuangan mereka untuk menegakkan Islam sebelum mencapai kemenangan. Kesusahan yang mereka hadapi tidak pernah menyebabkan mereka berputus asa, malahan mereka terus berjuang di atas jalan kebenaran sehingga mendapat kemenangan. Diantara kesusahan yang dihadapi oleh para nabi dan rasul ialah:

1. Rasulullah SAW dan pengikutnya pernah dipulaukan selama tiga tahun oleh kaum Quraisy yang diketuai oleh Abu Lahab kerana ingin menyekat penyebaran Islam. Kesemua kaum keluarga dan sesiapa saja yang beriman dengan Rasulullah SAW dan Islam dipulaukan dengan mengenakan perkara-perkara seperti tiada sebarang urusan jual beli, tidak boleh menjamu makan kepada mereka, tiada ikatan perkahwinan dan tidak dibenarkan membeli makanan dan mendapatkan apa jua bentuk bantuan dari luar Mekah. Akhirnya habislah bekalan makanan dan mereka hanya memakan sebiji kurma sehari.  Kemudian hanya setengah biji terpaksa dibahagi-bahagi dan juga menjadikan rumput-rumput kering sebagai makanan.  Sehinggalah kulit unta dicuci bersih, dibakar, diracik-racik menjadi potongan kecil dan direndam dalam air dan dijadikan bekalan makan hingga tiga hari. Dengan rahmat dari Allah SWT, pemulauan ini berakhir dengan sendirinya apabila notis pengumuman reput dimakan anai-anai dan juga tentangan dari kaum Quraisy sendiri yang diketuai oleh Hisham Bin Amru yang dihatinya masih ada bibit-bibit simpati.

2. Nabi Ibrahim AS telah dibakar oleh Raja Namrud kerana telah mengajak Raja Namrud dan rakyatnya meninggalkan sembahan berhala dan menyembah Allah SWT. Raja Namrud dan seluruh rakyatnya mengambil keputusan agar Nabi Ibrahim AS dibakar dengan api atau ungun yang besar. Maka Namrud pun terus memerintahkan seluruh rakyatnya agar menyediakan api besar hinggakan sampai peringkat burung-burung tidak berani untuk terbang di atasnya. Kalau terbang juga mereka akan terbakar kerana nyalaan api yang besar itu. Mereka pun mengikat Nabi Ibrahim pada satu tiang seakan-akan lastik yang besar dan terus Nabi Ibrahim AS di lemparkan ke dalam api yang besar itu. Dengan izin Allah SWT api yang besar itu tidak membakar Nabi Ibrahim AS. Tidak lama selepas itu api yang besar tadi pun terpadam lalu Nabi Ibrahim AS keluar dari longgokan-longgokan bara api dengan selamat seakan-akan tidak ada apa-apa yang berlaku ke atasnya.

3. Nabi Yusof AS telah dipenjara kerana beliau masih menjaga kehormatan dirinya biarpun beliau telah digoda oleh isteri-isteri orang kenamaan. Setelah Zulaikha gagal menggoda Nabi Yusof AS maka tersebarlah khabar angin bahawa Zulaikha telah tertarik hati kepada hambanya sendiri. Oleh itu Zulaikhapun menjemput isteri-isteri orang kenamaan untuk berkumpul dalam satu majlis di rumahnya. Beliau menghidangkan buah epal dan pisau kepada para tetamunya. Semasa para tetamunya sedang mengupas buah epal menggunakan pisau, lalu Zulaikha menjemput Nabi Yusof AS hadir dihadapan tetamunya. Kesemua isteri-isteri orang kenamaan tersebut merasa terpegun dengan ketampanan Nabi Yusof AS sehingga mereka tidak sedar yang pisau mereka telah melukakan tangan mereka sendiri. Akhirnya isteri-isteri orang kenamaan ini sendiri telah tertarik hati kepada Nabi Yusof lalu menggoda beliau. Dengan rahmat dari Allah SWT akhirnya Allah SWT berhasil memalingkan dan menyelamatkan Nabi Yusuf AS dari godaan wanita-wanita tersebut. Kemudian suami-suami wanita tersebut iaitu orang-orang kenamaan telah bertindak memenjarakan Nabi Yusof AS untuk menutup cerita dan khabar angin tentang isteri-isteri mereka. Lalu Nabi Yusof AS dipenjara selama beberapa tahun bukan kerana kesalahannya. Dengan rahmat Allah SWT juga, akhirnya Raja telah membebaskan Nabi Yusof AS lalu melantik beliau menjadi Perdana Menteri kerana kebolehan istimewa Nabi Yusof AS mentafsir mimpi.

4. Nabi Musa AS terpaksa meninggalkan kemewahan istana sebagai anak angkat Firaun kerana dengan tidak sengaja telah menyebabkan kematian seseorang. Pada suatu hari, Nabi Musa AS berjalan-jalan di sekitar kota. Kemudian Nabi Musa AS mendapati seorang lelaki dari pengikut firaun yang sedang berkelahi dengan seorang Bani Israil. Lalu seorang yang lemah dari kedua orang itu meminta tolong kepadanya. Ketika itu memang Nabi Musa AS terkenal sebagai seorang yang kuat. Nabi Musa AS pun turut campur tangan dalam perkelahian itu. Nabi Musa AS telah menumbuk orang yang menganiayai orang yang lemah tersebut. Lelaki itu tersungkur kemudian mati.  Nabi Musa AS hanya berniat untuk meleraikan kedua orang yang berkelahi tersebut, namun tanpa sengaja telah membunuhnya. Disebabkan kejadian tersebut, para penguasa Firaun telah mengeluarkan perintah untuk menangkap dan membunuh Nabi Musa AS. Dengan rahmat dari Allah SWT, akhirnya beliau mendapat tahu tentang perintah tersebut lalu berkelana seorang diri sebatang kara meninggalkan kota. Dengan rahmat dari Allah SWT juga, akhirnya beliau kembali sebagai rasul dan berdakwah kepada Firaun dan akhirnya diselamatkan dari Firaun dan para tenteranya apabila mereka ditenggelamkan oleh Allah SWT dalam laut Merah.

Di atas hanyalah sebahagian dari kisah para nabi dan rasul yang telah mengalamai kesusahan sementara sebelum mendapat kejayaan dalam hidup mereka. Bukan sahaja kesusahan dalam berdakwah, malah kesusahan dalam kehidupan juga hanyalah sementara dan Insya Allah akan mendapat kesenangan pada akhirnya andai kita seorang yang beriman dan bertawakal kepada Allah SWT. 

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang tinggi (darjatnya), andai kamu orang-orang yang beriman.” (Ali ‘Imran 3:139)

Jumaat, 27 September 2013

Bestnya Kalau Dapat Masuk Syurga

Bestnya kalau dapat masuk syurga,
Di syurga Allah bagi istana besar,
Lengkap dengan perabot, pelayan dan bidadari,
Kat dunia ni nak beli rumah terpaksa ambil loan dengan bank,
Pinjam seratus ribu bayar balik dua ratus ribu,
Seratus ribu boleh dapat rumah flat sekangkang kera,
Kalau nak beli rumah besar terpaksa la keluar duit beratus-ratus ribu,
Separuh dari duit tu buat bayar interest bank,
Kerja sampai pencen baru habis bayar loan dan rumah itu jadi milikku.

Bestnya kalau dapat masuk syurga,
Di syurga Allah bagi kereta mewah,
Boleh jalan sana sini minyak free of charge,
Kat dunia aku baru kerja gaji baru dua tiga ribu,
Terpaksa ambil Waja sebab nak beli Honda tak mampu,
Ambil loan 9 tahun agar bayaran bulanan tak cecah seribu,
Lagi kena bajet untuk minyak, insurans, road tax dan maintenance,
Nak beli kereta Merc kena tunggu naik pangkat dan gaji cecah sepuluh ribu,
Tupun masih kena ambil loan 9 tahun dan bayar bulanan beribu-ribu.

Bestnya kalau dapat masuk syurga,
Di syurga Allah bagi bidadari bermata jeli,
Mencintai aku sepenuh hati,
Kat dunia aku nak kahwin dengan anak dara yang ada degree,
Mak bapak dia letak hantaran dua puluh ribu,
Aku downgrade kepada anak dara yang ada diploma,
Mak bapak dia letak hantaran sepuluh ribu,
Itu baru duit hantaran, majlis, honeymoon dan pelamin nak kena keluar duit lagi,
Aku fikir banyak kali,
Nak kena downgrade anak dara yang ada SPM je ker? Atau janda?
Susah-susah aku kahwin lari Siam mari.

Bestnya kalau dapat masuk syurga,
Allah bagi keluasan syurga sekurang-kurangnya sepuluh kali keluasan dunia,
Boleh aku pergi melancong sana sini siang malam,
Kat dunia aku nak pergi tempat yang best macam Maldives,
Terpaksa tunggu AirAsiaX offer tiket free,
Tupun terpaksa bukak website AirAsia pukul 2 pagi dan klik banyak kali,
Tiket flight dah beli kena kumpul duit nak bayar hotel dan duit joli,
Lepas setahun kumpul duit barulah dapat merasa pergi Maldives,
Nak pergi melancong tempat yang best lagi kenalah aku kumpul duit setahun lagi.

Bestnya kalau dapat masuk syurga,
Allah bagi badan yang sihat tiada sakit tiada tua tiada mati,
Aku boleh enjoy makan dan minum sepuas hati,
Kat dunia aku nak makan makanan manis kena kontrol takut kena kencing manis,
Aku nak makan seafood kena kontrol takut kena gout,
Aku nak makan KFC dan McD, kena kontrol takut gemuk,
Aku nak bawak kereta laju, kena hati-hati takut accident,
Aku nak bersukan, kena hati-hati takut cedera,
Segala benda yang best di dunia, ada risiko yang aku kena ambil kira.

Bestnya kalau aku dapat masuk syurga, tiada musnah kekal abadi,
Antara dunia dan syurga, sudah jelas yang mana lebih baik menjadi idaman hati,
Aku nak perbanyakkan amalan baik, semoga mendapat keredhaan Ilahi,
Jadikanlah aku ahli syurga ya Allah, itulah dia kemenangan yang hakiki.

Selasa, 5 Februari 2013

Perkara yang menghapuskan kebaikan dan perkara yang menghapuskan kejahatan

Berikut adalah salah satu dari Sunnatullah yang perlu kita fahami dan hayati agar kita selamat di dunia dan akhirat.


Kebaikan balasannya kebaikan dan kejahatan balasannya kejahatan.
Walaubagaimanapun penyakit hati boleh menghapuskan kebaikan manakala keampunan dan kemaafan boleh menghapuskan kejahatan.

Ulasan: Sudah menjadi Sunnatullah bahawa perbuatan baik itu balasannya baik juga iaitu pahala dan syurga manakala perbuatan jahat itu balasannya jahat juga iaitu dosa dan neraka. Walaubagaimanapun ada perkara yang boleh mengurangkan/menghapuskan pahala kebaikan kita dan pada masa yang sama ada perkara yang boleh mengurangkan/menghapuskan dosa kita. 

Perkara yang boleh mengurangkan pahala kebaikan kita ialah penyakit hati. Contoh yang mudah ialah Iblis. Pada satu ketika dahulu, Iblis yang dikenali sebagai Azazil sangat taat dan banyak beribadat kepada Allah sehingga dia dilantik sebagai ketua para malaikat. Tapi sayang sekali kerana sifat sombong yang ada pada Iblis, dia tidak mahu sujud (sebagai tanda hormat) kepada Adam AS kerana bagi Iblis, dia lebih mulia dari Adam AS kerana dia diciptakan dari api sedangkan Adam AS diciptakan dari tanah. Hanya kerana sifat sombong yang ada pada Iblis, dia telah mendapat murka Allah SWT dan segala kebaikan yang telah dibuatnya telah terhapus. Ini diterangkan di dalam Surah Al-Baqarah seperti berikut:

Maksud Al-Quran "Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir." (Al-Baqarah 2:34)

Contoh yang lain: pahala amalan yang diberikan oleh Allah SWT adalah bergantung kepada keikhlasan hati kita. Kedua-dua contoh penyakit hati ini iaitu sombong dan tidak ikhlas boleh mengurangkan pahala kita. Malah kesemua sifat mazmumah iaitu sifat buruk yang berkaitan dengan hati seperti hasad dengki, pemarah, kedekut, buruk sangka, menghina, mengutuk, mengumpat dsb boleh menghilangkan pahala kebaikan kita. 

Perkara yang boleh menghapuskan dosa kita pula ialah keampunan dari Allah SWT dan kemaafan dari manusia yang kita telah buat salah. Cara untuk mendapat keampunan dari Allah SWT ialah dengan:
1. Perbanyakkah istighfar. Rasulullah SAW sendiri beristighfar sekurang-kurangnya 70 kali sehari walaupun baginda seorang yang maksum iaitu tidak melakukan dosa.
2. Menjauhkan diri dari melakukan dosa besar.
Maksud Al-Quran: "Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (Syurga)." (An-Nissa 4:31)
3. Perbanyakkan kebaikan. Berdasarkan hadis Nabi SAW, ada seorang pelacur yang diampunkan dosanya kerana memberi minum seekor anjing yang dahaga. Kita perlu perbanyakkan kebaikan kita kerana kita tidak tahu amalan kita yang mana yang mendapat keredhaan dan keampunan dari Allah SWT.
Dalam hadis, Nabi SAW bersabda:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
Cara untuk mendapat kemaafan dari manusia pula ialah: 
1. Jangan cabuli hak orang lain dan tunaikanlah hak orang yang berhak terhadap kita
2. Maafkanlah kesalahan orang lain kepada kita semoga orang itu juga memaafkan kesalahan kita

Kadangkala memang sukar untuk memaafkan kesalahan orang terhadap kita. Dalam Islam sendiri, memang terdapat hukum Qisas yang membolehkan sesiapa yang dianiaya membalas pelakunya dengan perkara yang sama. Walaubagaimapaun memaafkan kesalahan orang itulah adalah perkara yang lebih baik dan pemberian maaf itu dijamin pahala yang banyak oleh Allah SWT seperti ayat berikut:

Maksud Al-Quran "Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim." (Ash-Shura 42: 40)