Isnin, 29 Jun 2020

Tiga TA Yang Menjadi Kegilaan Manusia

1. WaniTA

Ingatkah anda tentang kisah Habil dan Qabil? 

Mereka adalah anak-anak dari pasangan Nabi Adam AS dan Siti Hawa ketika sudah diturunkan ke muka bumi setelah diusir dari syurga karena makan buah khuldi. Allah SWT menganugerahi anak keturunan kepada mereka. Hawa sentiasa melahirkan kembar lelaki dan perempuan. 

Riwayat menyebut Hawa melahirkan anak-anak Adam dalam seratus dua puluh kehamilan. Anak pertama adalah Qabil dan saudara kembarnya, Qalima, dan yang terakhir adalah ‘Abd al-Mughith dan saudara kembarnya, Amat al-Mughith. Setelah anak keturunannya mencapai dewasa, Allah SWT mensyariatkan (membolehkan) kepada Nabi Adam AS untuk menikahkan salah satu dari pasangan kembar. 

Saudara kembar Qabil ialah Iqlimiya yang berparas cantik. Sedangkan, pasangan kembar Habil ialah Layudha yang berparas kurang menarik. Ketika Nabi Adam AS hendak menikahkan mereka (Habil dengan Iqlimiya dan Qabil dengan Layudha) proteslah Qabil dan membangkang karena saudara kembar Habil hodoh dan saudara kembarnya sendiri cantik. Sehingga Qabil menginginkan saudara kembarnya tersebut untuk dia sendiri lantaran merasa lebih berhak atas saudara kembarnya.

Berdasarkan wahyu dari Allah SWT, Nabi Adam AS memerintahkan keduanya untuk berkorban. Siapa yang diterima korbannya maka dialah yang berhak atas keutamaan (menikahi saudara kembarnya Qabil yang cantik).

Qabil adalah seorang petani. Ketika diperintahkan berkorban maka dia berkorban dengan seikat gandum. Dia pilih gandum yang teruk dari tanamannya. Dia tidak peduli apakah korbannya diterima atau tidak kerana rasa sombong dan dengki sudah menguasainya.

Sedangkan Habil seorang peternak kambing, dia memilih kambing yang muda lagi gemuk untuk berkorban. Dia berkeinginan agar korbannya diterima di sisi Allah Ta’ala.  Setelah korban keduanya dipersembahkan, Allah Ta’ala menurunkan api berwarna putih dan dengan izin Allah api itu membawa korban Habil (sebagai tanda bahawa korbannya diterima) dan meninggalkan korban Qabil.

Kerana dengki dengan Habil yang akan berkahwin dengan Iqlimiya yang berparas cantik, Qabil berkeinginan kuat untuk membunuh saudaranya, Habil, sekalipun sudah diberikan nasihat dan peringatan oleh Habil sendiri.

Pada suatu hari ketika Habil sedang menggembala kambing lantas tertidur lelap, tiba-tiba datanglah Qabil dengan membawa batu lalu dengan batu itu dihempap kepala Habil hingga memecahkannya. 

Setelah Habil meninggal, tanpa rasa belas kasihan Qabil meninggalkan jenazahnya di tempat terbuka. Dia tidak tahu apa yang mesti dilakukan kepada jenazah saudaranya sebab jenazah Habil adalah yang pertama kali di muka bumi. 

Perbuatan Qabil ini membuahkan malapetaka yang besar bagi dia sendiri. Dia akan menanggung dosa dari pembunuhannya tersebut dan dosa orang yang menirunya yakni melakukan pembunuhan dengan jalan yang tidak benar. 

Dalam keadaan yang demikian, Allah Ta’ala mendatangkan dua burung gagak yang sedang bertarung, salah satunya mati. Maka yang hidup mengais-ngais tanah dengan paruhnya membuat lubang untuk menanam burung gagak yang mati. Qabil mengambil pelajaran dari peristiwa itu tentang cara mengubur jenazah saudaranya itu.

Al-Qurtubhi mengatakan, “Hasad (dengki) adalah dosa yang pertama kali dilakukan di langit dan di bumi, di langit adalah dengkinya iblis kepada Nabi Adam AS dan di bumi adalah dengkinya Qabil kepada Habil.”

Hanya kerana seorang waniTA, telah berlaku pembunuhan pertama dalam sejarah manusia.  Pembunuhan adalah dosa besar yang mengancam pelakunya masuk neraka.

2. TakhTA

Cuba perhatikan berapa banyak kerosakan yang telah berlaku kerana perebutan takhTA? Kalau di zaman dahulu, perebutan takhTA boleh mengakibatkan peperangan di antara dua negara yang boleh mengorbankan jutaan manusia. Pada zaman sekarang ini, takhTA bolehlah disamakan dengan pangkat dan kedudukan. 

Perhatikanlah politik negara. Berapa ramaikan ahli politik yang telah difitnah kerana ingin menjatuhkannya? Perhatikanlah politik syarikat. Berapa ramaikah pekerja yang ditikam belakangnya oleh rakan sekerjanya sendiri kerana berebutkan jawatan? 

Sedangkan dalam Islam sendiri, jawatan itu adalah satu amanah. Amanah itu adalah sesuatu beban yang berat yang boleh membawa pemikulnya ke neraka sekiranya dia gagal menunaikan amanah yang dipikulnya dengan baik. 

Suatu waktu Abu Dzar al-Ghifari bertanya kepada Nabi. "Ya Rasulullah, mengapa kau tak memberi jawatan apa-apa kepadaku?" Sambil menepuk bahu sahabatnya yang zuhud itu, Nabi SAW menjawab, "Hai Abu Dzar, kau seorang yang lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah." Jawatan kelak pada hari kiamat hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan, kecuali bagi orang yang dapat menunaikan kewajiban dan tanggung jawabnya (HR Muslim)

3. HarTA

Kerana harta, seorang perompak sanggup membunuh untuk merampas hartanya. Kerana harta, seorang abang sanggup memutuskan persaudaraan dengan adik-beradiknya dengan merampas harta pusaka yang ditinggalkan oleh orang tuanya. Kerana harta, seorang kawan sanggup memutuskan persahabatan dengan kawannya kerana melarikan diri dari hutang yang dipinjam dari kawannya. Kerana harta, seorang kawan sanggup menipu rakan perniagaannya.

Sejak dahulu hingga sekarang, WaniTA, TakhTA dan HarTA menjadi kegilaan manusia,
Siapa yang berjaya mengislahkan dan menidakkannya,
Akhirnya agung di arena dunia. 

Sabtu, 27 Jun 2020

Formula Mengatasi Kesukaran Dari Surah Al-Insyirah

Pada hari ini saya ingin memberikan satu formula yang mudah yang digali dari surah Al-Insyirah. Formulanya adalah 

KESUKARAN=KEMUDAHAN

Formula ini digali dari ayat 5&6 surah Al-Insyirah.

Maksud formula ini ialah setiap kesukaran itu tidak datang kepada anda melainkan kemudahan itu juga datang bersama-sama dengan kesukaran tersebut.

Tapi untuk mengamalkan formula ini ada syaratnya. Syaratnya ialah dengan bersungguh-sungguh mengerjakan amal soleh seperti ayat 7 surah Al-Insyirah. Apabila menyebut tentang amal soleh, kenalah disertai dengan sifat takwa iaitu perasaan takut dan harap kepada Allah SWT kerana kesolehan itu mestilah disertai dengan takwa.

Malah formula dari surah Al-Insyirah ini boleh dikembangkan lagi seperti berikut:

KELEMAHAN=KEKUATAN

Maksud formula ini ialah setiap kelemahan itu tidak datang kepada anda melainkan kekuatan itu juga datang bersama-sama dengan kelemahan tersebut.

Syarat untuk kedua-dua formula ini berkesan ada dua iaitu amal soleh dan takwa. Dua formula yang ringkas tapi kesannya kepada kita sungguh luar biasa, Insya Allah!

Rahsia 7 Lapisan Langit

Perhatikan ayat Al-Quran berikut:

Lalu Dia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa dan Dia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui. (41:12)

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT telah menjadikan 7 lapisan langit dan setiap langit ada urusan dan keperluannya masing-masing. Perhatikan perkataan ... dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Ayat ini jelas menunjukkan langit yang paling dekat iaitu langit yang pertama ialah langit yang dilihat oleh penduduk bumi ini. Jadi apakah maksud langit ke-2 hingga ke 7 tersebut?

Sebenarnya 7 lapisan langit ini merujuk kepada 7 lapisan alam yang ada. 7 lapisan langit dan 7 alam yang ada adalah seperti berikut:
1. Langit pertama = alam mulki (alam manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan)
2. Langit kedua = alam bunian (alam jin)
3. Langit ketiga = alam barzakh (alam arwah)
4. Langit keempat = alam malakut (alam malaikat)
5. Langit kelima = alam jabarut (alam roh)
6. Langit keenam = alam lahut (alam ketuhanan)
7. Langit ketujuh = Sidratul Muntaha (alam puncak)

Mari saya terangkan secara ringkas setiap alam tersebut. Alam mulki adalah alam yang kita nampak iaitu alam 3 dimensi yang mengandungi bumi, matahari, bintang-bintang dan galaksi. Cuba bayangkan betapa luasnya alam mulki. Alam mulki mengandungi berbillion- billion bintang sehinggakan agak sukar untuk mendapat angka yang tepat tentang jumlah bilangan bintang ini. Anggaran kasar untuk jumlah bintang di alam mulki ialah sebanyak 1019 iaitu nombor 1 diikuti dengan sembilan belas angka kosong. Bayangkan betapa besarnya alam mulki ini!

Langit kedua hingga ketujuh merujuk kepada alam yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera kita. Namun kita tahu bahawa alam ini wujud berdasarkan kepada Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. 

Langit kedua ialah alam bunian iaitu alam 4-dimensi yang dihuni oleh bangsa jin. Alam ini sebenarnya berdampingan dengan kita, tetapi tidak bersentuhan kerana memang dimensinya berbeza. Perbandingannya bagaikan 'Dunia Bayangan' yang 2 dimensi dan hidup di permukaan tembok, dengan 'Dunia Manusia' yang berdimensi 3, hidup di dalam ruangan. Kedua dunia itu hidup berdampingan tetapi tidak bercampur-aduk. Keluasan alam bunian ini adalah jauh lebih luas dari alam mulki. Sekiranya dibuat perbandingan, alam mulki adalah umpama setitis air manakala alam bunian adalah seumpama sebuah lautan. Kehidupan bangsa jin ini amat sama dengan kehidupan manusia. Mereka bekerja, berkeluarga dan beragama. Ada golongan jin yang Islam dan ada yang bukan Islam.


Langit ketiga ialah alam barzakh yang juga dikenali sebagai alam arwah. Alam ini ialah alam 5-dimensi yang menempatkan roh-roh yang sudah meninggal dunia sementara menunggu hari kiamat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kubur (alam barzakh) itu adalah salah satu taman syurga atau salah satu lubang neraka.” (Hadis riwayat at-Tabrani). Sesungguhnya siksa kubur itu benar bagi mereka yang banyak dosanya. Salah satu cara untuk mengelakkan dari siksaan kubur ialah dengan selalu membaca surah Al-Mulk. Keluasan alam barzakh juga adalah seumpama keluasan lautan berbanding satu titik air iaitu alam bunian.

Langit keempat ialah alam malakut. Alam ini ialah alam 6-dimensi yang dihuni oleh para malaikat. Jumlah malaikat itu sangat banyak jika dibandingkan dengan jumlah jin dan manusia. Sekiranya jumlah jin, manusia dan malaikat diambil sebagai 100%, jumlah malaikat ialah 90%, jumlah jin ialah 9% dan jumlah manusia ialah 1%.

Langit kelima ialah alam Jabarut atau alam roh. Alam ini ialah alam 7-dimensi yang dihuni oleh para roh sebelum roh itu dimasukkan ke dalam jasad jin atau manusia. Kesemua roh telah naik saksi bahawa Allah SWT itu adalah tuhan berdasarkan ayat berikut: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini. (7:172)

Langit keenam ialah alam lahut atau alam ketuhanan. Alam ini ialah alam 8-dimensi yang menjadi rahsia tuhan. Alam lahut juga dikenali sebagai “KaabatulLah” dan “Mahligai Allah” dan “Rumah Allah” yakni murad (maksud) daripadanya tempat TajalliNya dan tempat tilikanNya dan tempat rahsiaNya. 

Langit ketujuh ialah Sidratul Muntaha iaitu alam 9-dimensi. Sidratul Muntaha digambarkan sebagai Pohon Bidara yang sangat besar, tumbuh mulai Langit Keenam hingga Langit Ketujuh. Dedaunannya sebesar telinga gajah dan buah-buahannya seperti bejana atau kendi dari daerah Hajar. Menurut Kitab As-Suluk, Sidrat al-Muntahā adalah sebuah pohon yang terdapat di bawah 'Arasy, pohon tersebut memiliki daun yang sama banyaknya dengan sejumlah makhluk ciptaan Allah. Syurga Firdaus terletak di langit ketujuh ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW berikut: “Apabila engkau memohon kepada Allah, maka mohonlah kepadanya Syurga Firdaus. Sesungguhnya ia (adalah) Syurga yang paling utama dan paling tinggi. Di atasnya terdapat ‘Arasy Allah yang Maha Pengasih...” (HR Imam Bukhari, Imam Ahmad, Ibnu Abi ‘Ashim) dan hadis berikut: Masih diriwayatkan dari Ibnu Abi 'Ashim, Nabi Muhammad bersabda: “Sesungguhnya ‘Arasy sebelumnya berada di atas air. Setelah Allah menciptakan langit (yang 7), ‘Arasy itu ditempatkan di langit yg ke-7. Dia jadikan awan sebagai saringan untuk hujan. Apabila tidak dijadikan seperti itu, tentu bumi akan tenggelam terendam air.”

Sunnatullahnya ialah makhluk dari alam bawah tidak dapat melihat makhluk alam atasnya, kecuali makhluk alam atasnya turun ke alam bawah dan menjelma sebagai makhluk alam bawah dengan mengikut sunnatullah juga. Oleh itu, bertasbihlah kepada Allah SWT kerana telah menciptakan langit itu sebanyak 7 lapis dengan keperluan dan urusannya masing-masing.

Jumaat, 26 Jun 2020

7 Rahsia Huruf Ha

1. Huruf Ha merujuk kepada Allah SWT

Lafaz Allah adalah lafaz yang sangat istimewa. Lafaz ini adalah satu-satunya lafaz yang apabila dibuang hurufnya satu-persatu, maka sampai satu huruf yang terakhir tetap akan mempunyai makna. Perhatikan kalimah ٱللَّهِ. Ketika alif dibuang, maka akan menjadi lillahi (kerana Allah). Ketika alif dan lam pertama dibuang, maka akan menjadi lahu (miliknya). Ketika alif, lam pertama, lam kedua dibuang tersisa hu (dia/nya/kata ganti ketiga).

Oleh yang demikian, zikir kepada Allah SWT yang paling ringkas adalah dengan menyebut hu, hu, hu... Zikir yang lebih bagus ialah dengan zikir nafas iaitu semasa menarik nafas, sebut Allah di dalam hati dan semasa menghembus nafas, sebut hu di dalam hati.

2. Huruf ha (ringkas)  melambangkan cermin / simetri dan kebenaran

Dalam huruf arab, hanya ada enam huruf sahaja yang mempunyai sifat simetri iaitu alif, ba, ta, tsa, nun dan ha. Huruf simetri ini melambangkan cermin. Cermin itu sendiri melambangkan kebenaran kerana cermin itu tidak pernah menipu, ianya akan sentiasa memantulkan objek yang benar dihadapannya.

3. Huruf Ha melambangkan alam

Huruf ha adalah huruf ke 5 dari 28 dalam susunan A-Ba-Ja-Dun / ABJAD arab dan mempunyai nilai abjad 5. Angka 5 merujuk kepada 5 unsur alam iaitu api, tanah, logam, air dan kayu.

4. Huruf Ha merujuk kepada 5 alam nyata dan ghaib

Sebenarnya alam ini ada berlapis-lapis. Selain alam nyata ini, masih ada lagi alam ghaib yang tidak dapat ditangkap oleh pancaindera kita. 5 alam utama dunia ini ialah alam mulki (alam manusia), alam bunian (alam jin), alam malakut (alam malaikat), alam jabarut (alam roh) dan alam lahut (alam ketuhanan).

5. Huruf Ha merujuk kepada nikmat Allah SWT kepada manusia

Allah SWT dengan limpah dan kurniaNya telah memberikan 5 deria kepada manusia iaitu mata, telinga, hidung, lidah dan kulit. Dengan 5 deria inilah manusia mengecapi segala kenikmatan yang diberikan oleh Allah SWT di dunia ini.

6. Huruf Ha melambangkan kehidupan

Bentuk huruf ha (ringkas) itu bulat di bawah dan meruncing di atas adalah seperti air yang menitik. Dengan rahmat dari Allah SWT, Dia menurunkan hujan yang memberikan kehidupan kepada tumbuh-tumbuhan dan manusia seluruhnya.

7.  Huruf Ha melambangkan syahadah

Perhatikan bentuk huruf Ha (kompleks). Ianya bermula dari luar, kemudian masuk ke dalam, kemudian keluar balik sebagai ekor. Ini melambangkan kalimah syahadah "Asyhadu  Ala Ilaha Illallah Wa Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah". Yang bererti aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah. 

Untuk kesempurnaan kalimah syahadah, ianya perlulah diucapkan keluar di mulut, kemudian ianya perlulah dipercayai di dalam hati, akhir sekali ianya perlulah dibuktikan dengan perbuatan (ibadat). 

Khamis, 25 Jun 2020

7 Rahsia huruf mim

1. Huruf mim merupakan pintu menuju Ahad (Allah SWT)

Huruf mim merupakan pintu menuju Ahad (Allah SWT) melalui Ahmad (Nabi Muhammad SAW). Perbezaan antara Ahad dan Ahmad adalah huruf mim.

Perhatikan ayat Quran berikut:
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (3:31)


Sudah jelas cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT ialah dengan mengikuti cara dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

2. Huruf mim merujuk kepada Nabi Muhammad SAW

Permulaan nama Nabi Muhammad SAW ialah huruf mim. Huruf mim juga merupakan huruf ke 13 dalam susunan A-Ba-Ja-Dun / ABJAD arab. Muhammad bin Abdullah jika dieja dalam bahasa Arab, mempunyai 13 huruf. Nabi Muhammad SAW adalah rasul ke 313.

3. Huruf mim merujuk kepada sifat ikhlas


Nilai abjad huruf mim ialah 40. Nilai 40 merujuk kepada khalwat (menyendiri untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT) Nabi Muhammad SAW di gua Hira' selama 40 hari setiap kali. Untuk berkhalwat selama 40 hari ini memerlukan keikhlasan yang tinggi kepada Allah SWT.

4. Huruf mim merujuk kepada orang yang dekat dengan Allah SWT

Huruf mim membentuk posisi sujud dalam solat. Sujud merupakan posisi paling dekat seorang hamba itu dengan Allah SWT. Bahkan cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT ialah dengan sujud yang lama (solat) kepadanya.

5. Huruf mim merujuk kepada asma Allah SWT Malikul Mulk (keagungan/penguasaan ke atas seluruh langit dan bumi)

Asma Allah Malikul Mulk bermula dengan huruf mim. Selain itu, ayat Qursi yang menceritakan tentang penguasaan dan Qursi Allah meliputi langit dan bumi mempunyai banyak huruf mim di dalamnya.

6. Huruf mim merujuk kepada jalan yang lurus / Mustaqim dalam surah Fatihah

Jika diperhatikan huruf mim itu mempunyai garis yang tegak, kemudian berpusing lalu bertemu kembali di garis yang tegak tersebut. Ini menggambarkan kehidupan manusia beriman yang ingin mencari jalan yang lurus. Asalkan berusaha dengan ikhlas, walau mengalami kesukaran dengan berpusing-pusing arah, akhirnya Insya Allah akan bertemu juga dijalan yang lurus itu.

7. Huruf mim merujuk kepada bangsa melayu

Huruf mim memulakan perkataan melayu dan mengakhiri perkataan Islam. Mim juga jika dikaji pandang berbentuk tanjak yang belum dililit kemas yakni pakaian warisan orang melayu. Ianya juga berbentuk seolah-olah keris yang merupakan senjata warisan melayu.







Rabu, 24 Jun 2020

7 Rahsia Huruf Nun Dalam Surah Al-Qalam

Surah Al-Qalam dalam Al-Quran dimulakan dengan huruf nun. Huruf nun itu sendiri adalah huruf istimewa yang mempunyai rahsia seperti berikut:

1. Huruf nun melambangkan Islam

Huruf nun yang mempunyai separuh bulatan dan satu titik di atasnya juga disimbolkan sebagai bulan sabit dan bintang di atasnya. Simbol ini dikenali sebagai hilal dalam bahasa Arab dan digunapakai secara meluas sebagai simbol untuk Islam. Perhatikan bendera-bendera kebanyakan negara Islam seperti Malaysia, Turki, Tunisia, Pakistan, Brunei dsb kebanyakannya menggunakan simbol bulan sabit dan bintang ini yang melambangkan Islam.

2. Huruf nun melambangkan cermin / simetri dan kebenaran

Dalam huruf arab, hanya ada enam huruf sahaja yang mempunyai sifat simetri iaitu alif, ba, ta, tsa, nun dan ha. Huruf simetri ini melambangkan cermin. Cermin itu sendiri melambangkan kebenaran kerana cermin itu tidak pernah menipu, ianya akan sentiasa memantulkan objek yang benar dihadapannya.

3. Huruf nun melambangkan separuh dari kesempurnaan

Huruf nun adalah huruf ke 14 dari 28 dalam susunan A-Ba-Ja-Dun / ABJAD arab. 14 dari 28 melambangkan separuh.


Masing-masing huruf dalam Abjad Arab (seperti halnya Abjad Yahudi) memiliki nilai tertentu dan Huruf Nun nilainya 50. Angka ini bermaksud “setengah” dari angka sempurna yang biasanya diberikan nilai 100. Kesan serupa juga terlihat dari bentuk huruf itu (=نِ) yang menyerupai “setengah” lingkaran dengan satu titik di tengahnya.

4. Huruf nun melambangkan keselamatan benih-benih kehidupan dari bencana

Perhatikan ayat Al-Quran berikut:


Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah dia dalam kalangan mereka selama seribu tahun kurang lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka). (29:14)

1000 tahun bersamaan dengan sehari di akhirat manakala 50 tahun pula merujuk kepada huruf nun yang mempunyai nilai 50. Ayat ini telah merujuk kepada huruf nun secara tidak langsung sebagai petunjuk bahawa huruf nun itu dikaitkan dengan banjir besar pada zaman nabi Nuh AS.

Bentuk setengah lingkaran juga menggambarkan “perahu” yang dapat dianalogikan dengan perahu Nabi Nuh AS yang digunakan untuk menyelamatkan “benih-benih kehidupan” dalam masa transisi atau masa kegelapan (“a period of “obscuration”) yang menandai dua kehidupan yang sangat berbeda: sebelum dan selepas banjir besar. Benih-benih kehidupan itu dilambangkan oleh titik dalam Huruf Nun.

5. Huruf nun melambangkan sikap tidak pernah putus asa dari rahmat Allah SWT

Huruf nun merujuk kepada kisah Nabi Yunus AS yang ditelan ikan nun dalam Al-Quran seperti ayat berikut:

Dan (sebutkanlah peristiwa) Zunnun, ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri. (21:87)

Sebab itulah Nabi Yunus AS digelarkan oleh Allah SWT sebagai Zun-nun, yang menunjukkan sikapnya yang tidak pernah berputus asa dari rahmat Allah SWT sewaktu berada di dalam perut ikan nun.

6. Huruf nun melambangkan takdir kerana ia adalah pena yang digunakan sebagai alat untuk menulis oleh Al-Qalam

Perhatikan dua hadis berikut:
Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: "Sesungguhnya yang pertama kali diciptakan Allah adalah qalam (pena). Allah berfirman kepada kalam tersebut, 'Tulislah'. Kemudian Qalam berkata, "Wahai Rabbku, apa yang akan aku tulis?" Allah berfirman, "Tulislah takdir segala sesuatu yang terjadi hingga Hari Kiamat." (HR. Abu Daud)

Diceritakan oleh Abu Hurairah, beliau mendengar bahwa Nabi bersabda “Awal benda yang Allah ciptakan adalah Al-Qalam, kemudian Dia menciptakan Nun, iaitu Pena”

Dan ayat Quran berikut:
Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis; (68:1) 

Surah Al-Qalam merujuk kepada Al-Qalam iaitu makhluk pertama sekali diciptakan Allah SWT. Pemulaan surah Al-Qalam ialah huruf nun diikuti dengan sumpah Allah SWT dengan pena.  Sebagaimana penjelasan Syekh Nawawi dalam Tafsir Marah Labid, nun bukanlah pena biasa. Pena yang dimaksudkan adalah pena tertentu yang terbuat dari cahaya, yang panjangnya terbentang sebagaimana jarak antara langit dan bumi. Pena inilah yang digunakan oleh Al-Qalam untuk menulis takdir segala sesuatu yang terjadi hingga Hari Kiamat.

7. Huruf nun melambangkan penulisan

M. Quraish Shihab dalam tafsirnya Al-Misbah lebih cenderung pada pemaknaan pena secara umum. Iaitu Al-Qalam yang memiliki makna di atas, makna pena sebagai alat tulis, serta pada benda yang memiliki fungsi yang sama dengan pena, termasuk laptop, komputer atau handphone. Penulisan ialah sesuatu yang mampu menghasilkan pahala yang berterusan kepada ahlinya seperti hadis berikut:

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya antara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya meninggal dunia ialah ilmu yang disebarluaskannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan, sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai dan harta yang disedekahkannya." (Riwayat Ibn Majah)

Selasa, 23 Jun 2020

Huru Hara Padang Mahsyar

Setelah kiamat berlaku dan semua makhluk dimatikan oleh Allah SWT, malaikat Israfil dihidupkan kembali oleh Allah SWT. Kemudian, malaikat Israfil meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi. Makhluk yang dihidupkan adalah manusia, jin dan binatang.

Sekalian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” (tulang ekor) yang berada di hujung tulang belakang mereka. Setelah Allah SWT menurunkan hujan, hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

Kita akan dihidupkan kembali sepertimana kita dilahirkan seperti sabda Rasulullah SAW: "Kalian akan dikumpulkan pada hari kiamat dalam keadaan telanjang kaki (khufatan), telanjang badan ('uratan), berjalan kaki (musyatan), dan tidak berkhitan (ghurlan)" (HR. Ibn Abi Hatim)

Aisyah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW "Ya Rasulullah, kalau begitu kaum wanita dan kaum lelaki dapat melihat aurat satu dengan yang lainnya?" Rasulullah SAW menjawab: "Hai Aisyah, peristiwa pada hari itu lebih penting untuk diperhatikan oleh setiap orang daripada memerhatikan orang lain." Manusia dan jin pada ketika itu tidak malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

Ini dijelaskan dalam Al-Quran surah Abasa seperti berikut:
Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. (80:37)

Hari itu, matahari akan didekatkan kepada para makhluk hingga berjarak kira-kira satu mil. Jika ditukarkan ke km, satu mil adalah lebih kurang 1.6 km panjangnya. Dengan suhu lebih 150°C menurut perhitungan manusia, matahari memancarkan panas yang sangat hebat. Akibatnya, setiap manusia dibanjiri dengan peluhnya. Menurut Rasulullah SAW, banyak manusia terbenam dengan peluhnya sendiri, sesuai dengan amalnya. Di antara mereka, ada yang terbenam sampai buku lali, sampai lututnya dan ada yang terbenam sampai mulutnya (HR Muslim)


Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia akan sibuk memikirkan nasib masing-masing.

Kemudian semua makhluk akan berkumpul disatu tempat untuk menunggu mahkamah Allah SWT memulakan perbicaraan. Tempoh menunggu ini adalah satu tempoh yang sangat lama, iaitu kira-kira 50,000 tahun dunia. Tempoh menunggu yang sangat lama ini menyebabkan manusia mencari-cari syafaat para rasul agar perbicaraan mahkamah Allah SWT disegerakan. Mereka bertemu dengan Nabi Adam AS, Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS sebelum bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, yang akhirnya Rasulullah SAW menggunakan syafaat baginda agar dipercepatkan mahkamah perbicaraan dan hisab dan permohonan baginda dimakbulkan Allah SWT.

Proses perbicaraan dan hisab mahkamah Allah SWT akan membicarakan manusia dan jin itu satu-persatu. Umat yang akan pertama sekali dibicarakan dan dihisab ialah umat Nabi Muhammad SAW. Pada ketika itu, manusia dan jin tidak akan bercakap. Yang akan bercakap pada ketika itu ialah anggota-anggota badan mereka yang akan menjadi saksi tentang apa yang mereka kerjakan seperti yang diceritakan dalam Al-Quran surah Yasin seperti berikut:

Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (36:65)

Manusia dan jin akan dapat melihat pahala dan dosa yang mereka kerjakan secara berbentuk/berjisim. Pahala dan dosa inilah yang akan ditimbang di mizan oleh Allah SWT. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati.

Mereka yang pahalanya lebih berat dari dosanya akan mendapat keputusan catatan amalnya menggunakan tangan kanannya dan mereka adalah golongan ahli syurga. Mereka yang dosanya lebih berat dari pahalanya akan mendapat keputusan catatan amalnya menggunakan tangan kirinya dan mereka adalah golongan ahli neraka.



Setelah selesai proses perbicaraan dan hisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.


Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15,000 tahun. 5,000 tahun menaik, 5,000 tahun mendatar dan 5,000 tahun menurun. Walaubagaimanapun ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki bergantung kepada amalan masing-masing. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

Setelah mengetahui dahsyatnya huru-hara di padang mahsyar tersebut, lalu bagaimanakah caranya kita boleh meringankan beban kita di mahsyar kelak? Berikut adalah 3 amalan yang  boleh meringankan beban kita di mahsyar kelak:

1. Menjadi salah satu dari 7 golongan yang mendapat naungan Allah SWT di padang mahsyar

Daripada Abu Hurairah RA, Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tujuh golongan Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya; 

Pertama: Imam (pemimpin) yang adil. 

Kedua: Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah. 

Ketiga: Insan yang hatinya terpaut dengan masjid.

Keempat: Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah. 

Kelima: Insan yang diajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata, ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah.’ 

Keenam: Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya. 

Ketujuh: Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya.”

(HR Bukhari dan Muslim)

2. Dengan selalu membaca Al-Quran terutamanya surah Al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-dua surah ini akan menjadi peguambela kita di hari akhirat seperti hadis berikut:

Daripada Abu Umamah al-Bahili, beliau berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: ‘Bacalah al-Quran kerana al-Quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak. Dan bacalah Az Zahrawain iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-dua surah itu akan datang pada hari kiamat, seolah-olah kedua-duanya bagai sekelompok awan atau payung yang menaungi, atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya. Kedua-duanya akan membela pembacanya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam Ahmad)

3. Dengan menginsafi bahawa kita hidup di dunia ini hanyalah sebentar sahaja jika dibandingkan dengan akhirat

Satu hari di akhirat itu bersamaan dengan 1000 tahun di dunia seperti ayat Al-Quran berikut:

....... Sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung. (22:47)


Mari kita kira berapa lamakah kita hidup di dunia ini:
1 hari akhirat = 1000 tahun,

24 jam akhirat = 1000 tahun,
3 jam akhirat = 125 tahun,
1.5 jam akhirat = 62.5 tahun.
Apabila umur manusia itu rata-rata 60-70 tahun, maka hidup manusia ini jika dilihat dari pandangan Allah SWT hanyalah 1.5 jam saja. Ternyata hanya satu setengah jam saja yang akan menentukan kehidupan abadi kita kelak, hendak di Syurga atau Neraka. Oleh yang demikian, bersabarlah dalam kehidupan dunia yang sementara ini dan penuhilah ia dengan ibadat dan amal soleh.


Akhir kata, renungkanlah ayat Al-Quran berikut:
Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi? Mereka menjawab: Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung (umur). Allah berfirman: Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia). (23:112-114)

Ahad, 21 Jun 2020

Menjadi Ikhwan Yang Dirindui Rasullullah SAW

Pada suatu hari, berlaku perbualan di antara Nabi saw. dengan Saidina Abu Bakar Siddiq serta para sahabat lain. “Wahai Abu Bakar, aku begitu rindu hendak bertemu dengan saudara-saudaraku ( ikhwanku ),” berkata Nabi saw. “Wahai Rasulullah, bukankah kami ini teman-teman engkau?” jawab Abu Bakar. “Bukan,” jawab Nabi saw. “Kamu adalah sahabat-sahabatku”.


Para sahabat menjadi keliru dan hairan siapakah yang dimaksudkan dengan ikhwan yang Nabi rindukan itu. Setahu mereka yang paling rapat dengan Nabi ialah para sahabat sendiri. Melihatkan Abu Bakar dan sahabat-sahabat lain kebingungan, Nabi segera menjelaskan; “Ikhwan ialah mereka yang belum pernah melihat aku, tetapi mereka beriman dengan aku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku lebih daripada kecintaannya kepada anak dan orang-orang tua mereka”. Para sahabat masih belum berpuas hati dan bertanya, “Ya Rasulullah, bukankah kami ini ikhwan( saudara) engkau?”. “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku!” sekali lagi Nabi menjelaskan.



“Wahai Abu Bakar, tidakkah engkau juga merindui ikhwanku itu, kerana mereka juga mencintai engkau lantaran engkau adalah sahabatku?” Persoalan ikhwan menjadi teka-teki kepada para sahabat. Kemudian Nabi memberitahu bahawa mereka ialah umat Nabi sesudah wafatnya baginda. Walaupun mereka tidak berjumpa dengan baginda namun tetap beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka membaca al-Quran dan al-Hadis serta mencintai Nabi-Nya sebagai Rasulullah yang penghabisan. Mereka juga mencintai sahabat-sahabat Nabi yang berjuang menegakkan Islam.



Alhamdulillah yang dimaksudkan oleh Nabi sebagai ikhwan itu ialah umat terkemudian termasuk diri kita. Jika kita mengikut ajaran Nabi serta mencintai baginda, Nabi saw. amat menyanjungi serta merindui kita kerana menurut baginda meskipun kita tidak berpeluang berjumpa dengannya, namun kita tetap beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Golongan ikhwan ini pernah Nabi katakan sebagai makhluk yang paling ajaib imannya kerana beriman tanpa bertemu dengan Nabi sendiri. “Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman dengan aku. Dan berbahagialah 70 kali ganda orang-orang yang beriman dengan aku, meskipun tidak pernah berjumpa dengan aku!” jelas Nabi lagi. 

Pernahkah kita fikirkan betapa besarnya keuntungan kita menjadi umat Nabi Muhammad SAW? Sebenarnya kelebihan umat Nabi Muhammad SAW ini telah diketahui oleh Nabi Musa AS sewaktu munajatnya dengan Allah SWT seperti kisah berikut:

Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dan Muqatil bin Sulaiman berkata:

Nabi Musa a. s bermunajat: Ya Rabbi, aku mendapatkan dalam alwaah, ada suatu umat yang dapat memberi syafaat dan akan diterima syafaat mereka. Jadikanlah mereka umatku. Jawab Allah S. W. T: Mereka umat Muhammad S. A.W

Ya Rabbi, aku dapatkan juga umat yang tebusan dosa mereka cukup dengan sembahyang lima waktu, jadikanlah mereka umatku. Jawab Allah S. W. T: Mereka umat Muhammad S. A.W

Ya Rabbi, aku dapatkan juga ada umat yang akan membasmi kesesatan sehingga mereka akan membunuh Dajjal yang bermata sebelah. Jadikan mereka umatku. Jawab Allah S. W. T: Mereka umat Muhammad S. A.W

Ya Rabbi, juga aku dapatkan ada umat yang kesucian mereka dengan air dan tanah, jadikanlah mereka umatku. Jawab Allah S. W. T: Mereka umat Muhammad S. A.W

Ya Rabbi, juga aku dapatkan ada umat yang boleh menerima sedekah (zakat) dan memakannya, padahal umat-umat yang dahulu harus dibakar dengan api. Jadikan mereka umatku. Jawab Allah S. W. T: Mereka umat Muhammad S. A.W

Ya Rabbi, juga aku dapatkan ada umat yang bila seorang niat akan membuat kebaikan dan tidak jadi berbuat dicatat satu hasanah (kebaikan), lalu bila dikerjakan ditulis sepuluh hasanah, dan dapat dilipat gandakan hingga tujuh ratus lebih, dan bila niat kejahatan tidak ditulis, dan jika dikerjakan kejahatan itu ditulis hanya satu. Jadikan mereka umatku. Jawab Allah S. W. T: Mereka umat Muhammad S. A.W

Ya Rabbi, juga aku dapatkan ada umat yang tujuh puluh ribu orang dari mereka akan masuk syurga tanpa hisab, jadikan mereka umatku. Jawab Allah S. W. T: Mereka umat Muhammad S. A.W

Ya Rabbi, aku juga mengetahui akan suatu umat yang merupakan sebaik-baik umat kerana mereka melakukan amar makruf dan nahi munkar, jadikanlah mereka umatku. Jawab Allah S. W. T: Mereka umat Muhammad S. A.W

Ya Rabbi, juga aku dapatkan ada umat yang terakhir masanya, tetapi terdahulu di hari kiamat, jadikan mereka umatku. Jawab Allah S. W. T: Mereka umat Muhammad S. A.W

Ya Rabbi, juga aku dapatkan ada umat yang kitab Allah itu di dalam dada mereka (hafaz) tetapi mereka membacanya sambil melihat, jadikan mereka umatku. Jawab Allah S. W. T: Mereka umat Muhammad S. A.W

Sehingga Nabi Musa as ingin menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Lalu Allah menurunkan wahyu kepadanya: Ya Musa, Aku telah memilih engkau dan semua manusia untuk menerima risalah-Ku dan firman-Ku maka terimalah apa yang Aku berikan kepadamu, dan jadilah dari golongan orang- orang yang bersyukur.

(Dan dari kaum Musa ada orang-orang yang memimpin umat ke jalan yang hak, dan dengan hak itu mereka berlaku adil). Maka Nabi Musa as. berpuas hati dengan jawapan Allah SWT ini serta redha.

KETERANGAN: Saudaraku sekalian, di sini kita dapat lihat betapa istimewanya umat Nabi Muhammad SAW ini sehinggakan seorang Nabi yang tinggi darjatnya ingin jadi seperti kita. Namun adakah kita pernah bersyukur dengan keistimewaan ini? Pernahkah kita mengucapkan ucapan syukur kepada-Nya kerana menjadikan kita umat Nabi Muhammad S. A.W ? Maka jika kita tidak pernah mengucapkannya, marilah sama-sama kita mengucapkan "Alhamdulillah Ya Rahman Ya Rahim". 

Kita juga perlu bersyukur kerana menjadi umat Nabi Muhammad SAW dengan memperbanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW dan mengikuti sunnah-sunnahnya.

Semoga kita termasuk dalam golongan Ikhwan yang dirindui oleh Rasullullah SAW...