Rabu, 22 Julai 2015

Antara Roh dan Jasad

Allah menciptakan sesuatu itu berpasang-pasangan dan ini merupakan salah satu Sunnatullah dari Allah SWT. Dari benda yang sangat besar seperti planet yang mempunyai pasangannya iaitu matahari kepada benda yang sangat kecil seperti proton yang mempunyai pasangannya iaitu elektron. Contoh lain ialah malam dan siang dan hidup dan mati. Begitu juga dengan jasad yang mempunyai pasangannya iaitu roh. Jasad bersifat nyata manakala roh bersifat ghaib.

Oleh kerana roh ini bersifat ghaib, maka cara untuk mengenali benda ghaib ini perlulah melalui ilmu yang diajarkan oleh Allah SWT melalui Al Quran dan daripada hadis Rasulullah SAW. Allah SWT telah berfirman dalam surah Al-Israa', ayat 85 yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja". Ayat ini jelas menunjukkan bahawa roh itu adalah perkara ghaib yang menjadi rahsia Allah SWT. Walaubagaimanapun, kita masih boleh mencari ilmu tentang roh itu, walaupun hanya sedikit.

Sebenarnya sebelum kita hidup di dunia ini, kita telah hidup di alam roh. Dan roh kita mengenali Allah SWT. Ini dibuktikan melalui ayat Quran dalam surah Al–A’raf ayat 173:
“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)” 

Roh kitalah yang telah menjadi saksi bahawa tuhan kita ialah Allah SWT. Oleh sebab itulah orang kafir di akhirat nanti tiada alasan mengapa mereka tidak beriman kepada Allah SWT kerana mereka juga telah menjadi saksi bahawa tuhan mereka ialah Allah SWT sewaktu di alam roh. 

Kita menganggap jasad kita ini hidup, tapi hakikatnya jasad kita ini adalah berasal dari tanah iaitu benda yang mati. Dan jasad kita ini akan mati dan musnah satu hari nanti. Roh kitalah sebenarnya yang hidup dan roh kita akan terus hidup walau jasad kita telah mati untuk bertemu dengan Allah SWT.

Kebanyakan dosa manusia di dunia ini adalah disebabkan mengikut kehendak jasad. Contohnya minum arak, berzina, mencuri, merompak, makan rasuah dsb semuanya adalah kerana keinginan nafsu syahwat untuk kepuasan jasad. Sedangkan kita akan mendapat pahala yang banyak sekiranya kita mengikut kehendak roh yang kenal Allah SWT dan akan kembali bertemu Allah SWT seperti solat, zikir, membaca Quran dsb. 

Oleh yang demikian, berusahalah untuk mengenali roh kita kerana dalam diri kita sendiri ada tanda-tanda tentang kekuasaan Allah SWT seperti dalam surah Fussilat ayat 53: "Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?"

Pada suatu hari nanti roh kita pasti akan berpisah dengan jasad kita. Pada ketika itu, kita sudah tiada keinginan lagi kepada makanan yang lazat, tilam yang empuk dan tidur yang nyenyak. Pada ketika itu, roh kita tidak mengharapkan duit yang banyak, rumah yang besar dan kereta yang besar kerana semua itu sudah tidak berguna lagi kepada roh. Yang roh kita harapkan pada ketika itu ialah pahala yang banyak, dosa yang sedikit dan keredhaan dari Allah SWT.

SIAPAKAH AKU YANG SEBENARNYA, ROH ATAU JASAD?
ROH MEMANDANG KEPADA AKHIRAT,
JASAD MEMANDANG KEPADA DUNIA,
BAGI JASAD DUNIA INI SUNGGUH INDAH DAN MENARIK,
BAGI ROH DUNIA INI HANYALAH SATU KESENANGAN PALSU.

Khamis, 16 Julai 2015

Formula Pembahagian Waktu Malam Imam Syafie

Imam Syafie adalah mujaddid yang lahir pada kurun ke-2 hijrah. Beliau adalah ulama yang berilmu tinggi dan merupakan salah seorang daripada empat ulama pencetus mazhab fikah yang menjadi pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah iaitu mazhab Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali. Mazhab Syafie merupakan mazhab yang menjadi pegangan di kawasan Selatan Mesir, Barat Arab Saudi, Syria, Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Filipina dan Pantai Koromandel di Malabar, Hadramaut (Yaman) serta Bahrain.

Imam Syafie adalah seorang yang sangat tekun dalam menuntut ilmu dan beribadah. Beliau membahagikan waktu malam beliau kepada tiga aktiviti iaitu satu pertiga malam untuk berehat, satu pertiga malam untuk ilmu dan satu pertiga malam lagi untuk beribadat. Ini lah formula beliau yang menjadikan beliau salah seorang ulama yang hebat dan sangat tinggi ilmunya.

Jadi bagaimakah caranya untuk kita mengamalkan formula pembahagian waktu malam Imam Syafie ini? Sebenarnya terdapat dua kaedah yang boleh kita cuba untuk mengamalkan formula ini seperti berikut:

Kaedah pertama: 
Waktu malam boleh ditakrifkan dari selepas solat Isyak hingga ke Subuh, iaitu dari pukul 9 malam hingga pukul 6 pagi selama 9 jam. Sekiranya kita membahagikan 9 jam ini sama rata kepada 3 aktiviti, setiap satu aktiviti ini akan diperuntukkan selama 3 jam. Untuk kaedah pertama ini, kita perlulah tidur dari pukul 9 hingga 12 malam. Kemudian dari pukul 12 malam hingga ke 3 pagi, kita boleh gunakan untuk mengulangkaji ilmu. Kemudian, dari pukul 3 hingga 6 pagi kita boleh gunakan untuk solat malam seperti Tahajud, Taubat, Tasbih dan sebagainya. Persoalannya cukupkah tidur kita selama 3 jam sahaja jika kita menggunakan kaedah ini? Menurut kajian oleh Dr Hamza Al Hamzawi, tidur dari jam 9 ke 12 malam adalah waktu tidur yang paling bermanfaat kerana tidur pada waktu ini, badan kita akan memperolehi 80% tidur dalam keadaan nyenyak. Oleh yang demikian, 1 jam tidur pada waktu ini bersamaan dengan 3 jam tidur pada waktu lain. 

Kaedah kedua:
Kaedah kedua adalah lebih bersesuaian dengan gaya hidup akhir zaman yang kebiasaannya waktu siang seseorang itu dipenuhi dengan bekerja yang menyebabkan kita memerlukan waktu rehat yang lebih pada waktu malam. Kaedah kedua memperuntukkan masa yang lebih lama untuk tidur. Caranya ialah dengan tidur dari pukul 10 malam hingga 4 pagi selama 6 jam. Kemudian dari pukul 4 hingga 5 pagi diperuntukkan untuk mengulangkaji ilmu. Kemudian dari pukul 5 hingga 6 pagi diperuntukkan untuk beribadat. Menurut kajian yang sama oleh Dr Hamza Al Hamzawi, waktu tidur dari 12 malam hingga 2 pagi juga agak bermanfaat kerana tidur pada waktu ini, badan kita akan memperolehi 20% tidur dalam keadaan nyenyak. Oleh yang demikian, 1 jam tidur pada waktu ini bersamaan dengan 1 jam tidur.

Formula pembahagian malam Imam Syafie ini bukan sahaja akan membolehkan seseorang itu menambahkan ilmu secara berterusan pada setiap malam, malah ia juga bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW tentang kelebihan beribadat pada waktu malam seperti berikut:

1. Allah akan mengabulkan permintaan hambanya:

Sabda Rasulullah:

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:

“Pada setiap malam di sepertiga terakhir pada bahagian malam, Allah turun ke langit dunia dan berseru: ”Siapa yang memangggilKu, maka Aku akan menyambutnya. Siapa yang memohon kepadaKu, Akupun mengabulkannya. Dan siapa yang memohon ampun, maka Aku mengampuninya.

(Bukhari, Muslim, Tarmizi.)

2. Menambah dekatnya diri antara hamba dengan Allah.

Sabda Rasulullah:

“Sesungguhnya sedekat-dekatnya seorang hamba pada TuhanNya adalah di waktu tengah malam. Oleh sebab itu, jika kamu dapat menjadikan dirimu termasuk orang-orang yang berzikir kepadaNya, maka kerjakanlah. (Abu Daud dan Tarmizi.)

3. Menjadi penghindar segala penyakit yang berasal dari tubuh.

Sabda Rasulullah:

“Hendaklah kamu semua rajin bangun malam bertahajjud. Sebab hal itu telah menjadi kebiasaan para solihin sebelummu. Dan yang menyebabkan kamu dekat dengan Allah. Di samping itu dosa-dosa kamu dihapuskanNya, dan menjadi penghindar segala penyakit yang berasal dari tubuh. (Tarmizi)

4.Tahajjud mempunyai kebaikan yang tinggi.

Sabda Rasulullah:

Dari Abu Hurairah ia berkata: Sesungguhnya Rasulullah bersabda: ”Sebaik-baik solat setelah solat fardu ialah solat tahajjud.” (Muslim)

Selasa, 23 Jun 2015

Tiga Pesanan Nabi Khidir Untuk Umat Akhir Zaman

Umum mengetahui kisah Nabi Khidir dengan Nabi Musa yang terkandung dalam Surah Al Kahfi. Suatu hari, seorang dari Bani Israil menemui Musa dan kemudian bertanya, “Wahai Nabiyullah, adakah di dunia ini orang yang lebih berilmu darimu ?” ujarnya. Tersentak, Nabi Musa AS pun jelas menjawab, “Tidak”. Tentu saja, siapa yang mampu menandingi ilmu Nabi Musa, utusan Allah kala itu. Sumber tuntunan agama dan sumber pengetahuan wahyu Allah ada di genggaman Musa. Ia memiliki Taurat dan pelbagai mukjizat dari-Nya.

Namun, rupanya Allah memiliki hamba lain selain Musa yang lebih berilmu. Allah pun menegur dengan mewahyukan pada Musa bahwa tak seorang pun di muka bumi yang mampu menguasai semua ilmu. Tak hanya Nabi Musa, di bumi lain pun terdapat seorang yang memiliki ilmu luar biasa. Ilmu itu tak dimiliki Nabi Musa sekalipun.  Mengetahui hal tersebut, Nabi Musa pun ingin berguru pada orang tersebut. Ia bersemangat ingin menuntut ilmu dan menambah pengetahuannya.

Walaubagaimanapun Nabi Musa yang mempunyai ilmu syariat bingung dengan tiga tindakan Nabi Khidir yang nampak seperti bersalahan dengan syariat tetapi mempunyai hikmah yang mendalam yang tidak difahami oleh Nabi Musa. Tiga tindakan Nabi Khidir tersebut adalah seperti berikut:

1. Tindakan pertama Nabi Khidir ialah merosakkan perahu yang mereka tumpangi. Hikmah yang terkandung di dalam tindakan ini ialah perahu tersebut dimiliki oleh orang miskin dan di hujung sungai tersebut terdapat seorang raja yang akan merampas perahu yang elok. Perahu yang telah rosak tersebut tidak akan dirampas oleh raja tersebut. Tindakan Nabi Khidir ini sebenarnya mempunyai pesanan yang tersirat untuk umat akhir zaman. Di akhir zaman ini, ramai orang yang sudah kaya seperti seorang raja, tapi masih lagi ingin bertambah kaya dengan mengambil harta orang lain. Walaubagaimanapun, cara mereka mengambil harta orang lain tersebut bukanlah dengan secara kasar seperti merampas bahkan dengan secara halus seperti riba. Sistem riba adalah sistem yang diharamkan oleh Allah SWT tetapi umat akhir zaman sudah menjadi biasa dengan sistem tersebut lalu menerima sistem riba sebagai keperluan hidup. Tahukah anda hutang rumah anda sebanyak RM 500,000 setelah dibayar kembali melalui sistem riba hutang selama 40 tahun, anda akan membayar sebanyak RM 1,500,000? Dan bunga sebanyak satu juta itu dibayar oleh orang yang miskin yang tak mampu membeli rumah secara tunai kepada orang yang sudah kaya iaitu pemilik bank yang sudah kaya-raya. Oleh yang demikian, lebih baik kita umat akhir zaman ini bersederhana dalam memiliki harta, umpama memiliki perahu yang sudah bocor. Tapi sekurang-kurangnya perahu kita yang bocor itu tidak akan dirampas oleh raja yang zalim.

2. Tindakan kedua Nabi Khidir ialah membunuh seorang budak yang tidak mempunyai apa-apa kesalahan. Hikmah yang terkandung di dalam perbuatan ini ialah budak tersebut apabila dewasa akan menjadi seorang yang jahat dan akan menyusahkan ibu bapanya. Sedangkan ibu bapa budak tersebut akan mendapat seorang anak lain yang apabila dewasa akan menjadi seorang yang soleh dan menggembirakan ibu bapanya. Pesanan yang tersirat Nabi Khidir untuk umat akhir zaman ialah tentang kesusahan ibu bapa di akhir zaman ini untuk mendidik anak agar menjadi seorang yang soleh. Terdapat banyak cabaran bagi ibu bapa untuk mendidik anaknya di akhir zaman ini. Perkara yang buruk dan negatif sangat senang diperolehi di akhir zaman, melalui televisyen, internet dsb. Kanak-kanak akhir zaman akan terdedah kepada budaya negatif seperti couple, zina, gay, lesbian, dadah, bohsia, bohjan, rempit dan bermacam-macam lagi. Sekiranya anak yang dididik dengan nilai agama oleh ibu bapanya menjadi seorang yang jahat, apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapanya? Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW adalah tertakluk kepada hukum syariat dan tidak boleh membunuh seorang jiwa tanpa hak kecuali melalui hukum Qisas dsb. Oleh yang demikian perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa tersebut adalah memutuskan hubungan dengan anak tersebut. Walaubagaimanapun, tindakan nabi Khidir ini adalah peringatan kepada umat akhir zaman bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang sangat berat dalam mendidik anak-anak mereka.

3. Tindakan ketiga Nabi Khidir ialah membaiki tembok yang hampir runtuh di sebuah kampung di mana penduduk kampung tersebut sangat kedekut dan tidak memberikan mereka makanan mahupun tempat berlindung. Hikmah disebalik tindakan Nabi Khidir ini ialah di bawah tembok tersebut tertanam harta anak yatim. Sekiranya tembok itu runtuh, harta anak yatim tersebut akan dijumpai oleh penduduk kampung tersebut dan akan dirampas mereka. Dengan membaiki tembok tersebut, anak yatim tersebut akan menjumpai harta tersebut setelah mereka dewasa. Pesanan yang tersirat Nabi Khidir untuk umat akhir zaman ialah tentang sedikit sekali orang yang amanah di akhir zaman ini. Seumpama bapa anak tersebut yang terpaksa menanam hartanya di bawah tembok kerana tiada seorangpun yang amanah di kampungnya yang boleh diamanahkan harta tersebut. Kita sebagai umat akhir zaman lebih baik mengamanahkan harta yang kita ada kepada institusi yang kukuh seperti Tabung Haji, Amanah Raya dan sebagainya yang diumpamakan sebagai tembok yang kukuh daripada kepada seorang individu kerana sangat sedikit individu yang amanah di akhir zaman ini. Walaubagaimanapun, insitusi yang kukuh seperti Tabung Hajipun boleh runtuh sekiranya institusi tersebut dipegang oleh mereka yang tidak amanah.

Surah Al Kahfi adalah surah pelindung dari Dajjal yang akan lahir di akhir zaman. Nabi Khidir juga mempunyai ilmu Laduni iaitu ilmu tentang masa hadapan yang diberikan secara langsung oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, kisah tentang Nabi Khidir dan Nabi Musa ini mempunyai pesanan yang tersirat untuk umat akhir zaman. Semoga kita sebagai umat akhir zaman mendapat manfaat dari kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa ini.

Sumber: Ceramah sheikh imran hosein - khidr and Akhirulzaman