Nama penuh: Ahmad bin Indera, berdarah pahlawan daripada keturunan Datuk Bentara Husin Lela Pahlawan Siak Seri Inderapura yang menjadi Panglima Kanan Sultan Sharif di Siak. Memiliki sifat terpuji seperti lemah lembut, peramah, mudah tersenyum, suka melawak, tidak mudah marah dan tidak gemar menyakiti hati orang lain.
Seorang hafiz al-Quran, gemar bernasyid, berkasidah dan berzanji. Berguru kepada Kiyai Haji Fadzil Bentan yang menjadi salah seorang guru dan penasihat DYMM Sultan Ibrahim. Dilahirkan pada 1920 di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat. menamatkan persekolahan peringkat darjah enam sekolah agama pada tahun 1937, dan bertugas sebagai seorang guru agama di Parit Setongkat, Muar.
Melibatkan diri dalam politik dengan tujuan memerdekakan tahahair daripada penjajahan Inggeris. Beliau menjadi ahli sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ishak Haji Mohammad;Mat Indera juga aktif didalam pergerakkan yang dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API).
Mat Indera telah memilih untuk masuk ke hutan dan meneruskan perjuangan secara gerila pada bulan Jun 1948, mungkin terpengaruh dengan perjuangan Revolusi Indonesia menentang Belanda. Beliau bergerak di daerah Muar, sekitar kawasan Lenga, Pagoh, Jorak, Bukit Kepong dan Poris. Memandangkan gerakan gerila yang sudah sedia aktif bergerak di dalam hutan ialah kumpulan orang-orang Cina dikenali sebagai Bintang Tiga, maka Mat Indera tidak punya pilihan melainkan perlu membina hubungan dengan mereka sebagai pelindung walaupun hakikatnya matlamat perjuangan berbeza;atas dasar inilah Mat Indera dilabel sebagai komunis yang ganas, berbahaya dan tidak beragama. Mat Indera menjadi ketua gerila PKM Melayu bagi Daerah Muar, Batu Pahat dan Melaka.
Mat Indera menempa nama sebagai pejuang gerila yang paling dikehendaki apabila dikaitkan dengan peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong. Sebaliknya menurut saksi, seorang anggota polis marin bernama Abu Bakar yang terselamat dalam serangan, Mat Indera tidak tidak terlibat menembak atau menyerang anggota Polis,malah sebaliknya melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis di Rumah Pasong Bukit Kepong.
Mat Indera memang bertanggungjawab mengarahkan serangan tetapi arahan yang diberikan ialah untuk menangkap beberapa orang anggot polis yang berjudi dan mabuk pada malam Tahun Baru Cina, sebaliknya gerila-gerila Cina di bawah arahan beliau telah membuat pakatan rahsia dan mengingkari perintah lalu membakar dan membunuh polis.
Tragedi Bukit Kepong dijadikan alasan oleh Inggeris untuk mengukuhkan dakwaan keganasan dan kekejaman Mat Indera. Inggeris menetapkan reward $75,000 sebagai hadiah tawaran penangkapan. Mat Indera dikatakan mempunyai ilmu ghaib dan telah beberapa kali terlepas daripada tangkapan.
Namun salah seorang pengikutnya bergelar Mat Tukyo telah ditangkap Inggeris dan dipujuk untuk membelot bagi menangkap Mat Indera.Mat Tukyo berunding dengan 2 orang kawannya yang lain yang dikenali sebagai Beladang dan Misban.Mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan Inggeris setelah permintaan mereka untuk diberi ganjaran sekeping tanah untuk tapak rumah dan kebun diterima oleh Inggeris.
Pada malam 14 oktober 1952, Mat Indera dijemput ke sebuah perjumpaan di kampung Seri Medan, dan dihidangkan tempe goreng dan air kopi yang bercampur dgn kecubung, yang boleh menyebabkan rasa mengantuk dan mabuk jia meminumnya. Mat Indera setelah diberi minum air kopi bercampur kecubung itu telah tidak sedarkan diri; maka pada ketika itulah Mat Tukyo mencabut segala tangkal. Di katakan tangan Mat Indera diikat dengan lalang dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Seri Medan. Adalah dipercayai kehilangan tangkal dan ikatan lalang menggugurkan semua kekuatan ilmu kebatinan beliau. Mat Indera semasa didalam tahanan Inggeris telah dipamerkan ke khalayak ramai sebagai sebahagian propaganda Inggeris.
Mat Indera dipenjarakan di beberapa tempat, dari Batu Pahat ke Johor Bahru, Pulau Pinang, Pudu dan Taiping. Di dalam penjara mat Indera didera. Akhirnya Mat Indera menjalani hukuman gantung sampai mati pada jam 11 malam 30 Januari 1953 di Penjara Taiping. Jenazahnya dikebumikan di Kampung Jambu Air, Taiping.
Antara cerita lain tentang Mat Indera ialah menahan komunis dari membunuh anggota polis yang cedera di depan balai polis sewaktu serangan di Rumah Pasong Bukit Kepong. Chin Peng pernah mengatakan sekiranya Mat Indera menyerah diri ketika itu, ramai orang Melayu yang menyertai PKM akan mengikut jejaklangkahnya juga. Manakala adik Mat Indera mengatakan bukan Mat Indera yang mengetuai serangan Balai Polis bukit Kepong.
Manakala menurut cerita orang, kali pertama kena tangkap, Mat Indera memberitahu yang dia hendak sembahyang dan minta izin untuk mengambil wudhuk, semase ambil air sembahyang Mat Indera dikatakan ghaib menghilangkan diri. Peristiwa kali kedua pula, Mat Indera minta hendak sentuh rumput semasa di tangkap, apabila beliau menyentu rumput, dikatakan Mat Indera sekali lagi dapat meloloskan diri secara ghaib. Akhirnya Mat Indera kecundang juga setelah terminum air kopi yang dibubuh buah kecubung. -lanailestari
RENCANA INI TERSIAR DI AKHBAR BERITA HARIAN PADA 13/12/2010
Kopi kecubung tewaskan kekebalan Mat Indera
NAMA Jawa Ponorogo pernah terkenal dengan berita penangkapan anggota komunis, Ahmad Indera atau dikenali sebagai Mat Indera, berdarah pahlawan daripada keturunan Datuk Bentara Husin Lela Pahlawan Siak Seri Inderapura yang menjadi panglima kanan Sultan Sharif di Siak.
Meskipun Mat Indera dikaitkan sebagai pengganas oleh sesetengah orang kerana pembabitannya dalam komunis dan dilabelkan sebagai petualang oleh kerajaan Inggeris, ramai masyarakat Jawa Ponorogo menganggapnya pejuang dalam menuntut kemerdekaan, cuma memilih jalan yang salah.
Pemuda kelahiran Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat itu mempunyai peribadi tinggi dan dikatakan kuat beribadat serta tinggi pengetahuan agamanya. Justeru, dia disenangi penduduk di Sri Medan yang kerap membantunya membekalkan makanan ketika dia dalam parti komunis.
Namun, tekanan yang diberikan Inggeris terutama kepada rakan karibnya, Mat Tukyo supaya menangkap Mat Indera atau tindakan tegas dikenakan terhadap penduduk Sri Medan menyebabkan mereka tiada pilihan selain memastikannya ditangkap. Namun, bukan kerja mudah menangkapnya kerana kehebatan dan ketinggian ilmu Mat Indera.
Ugutan Inggeris terus menjadi tekanan kepada penduduk Sri Medan termasuk untuk memindahkan mereka dan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang membantu membekalkan makanan kepada Mat Indera.
Penangkapan Mat Tukyo oleh Inggeris sebelum ditawarkan beberapa ganjaran selain hidup bebas di Sri Medan menjadi kemuncak tindakan nekad penduduk Jawa Ponorogo, namun perlu melalui kaedah terancang kerana semua mengetahui kesaktian Mat Indera.
Pada 14 Oktober 1952, lima lelaki Jawa Ponorogo yang diketuai Md Sham dan dibantu Ismail Mustakim (Misban), Beladang, Mat Tukyo dan Bajuri menggunakan tipu helah untuk memberkas Mat Indera.
Ia bermula dengan jemputan Mat Tukyo dan Misban untuk mengadakan perbincangan mengenai pelan bantuan orang kampung kepada Mat Indera. Dalam perbincangan itu, dia dijamu dengan tempe dan kopi yang dicampur kecubung. Akibat itu Mat Indera mabuk dan mengantuk.
Kesempatan itu digunakan untuk menanggalkan semua tangkal serta mengikat tangannya dengan lalang. Dikatakan, kerana itulah ilmu ghaib dan kehebatan Mat Indera tidak lagi dapat digunakan.
Bekas ketua kampung Parit Warijo, Malik Samuri menjadi saksi bagaimana Mat Indera dibawa dengan basikal sedang tangannya diikat daun lalang. Peristiwa itu sebenarnya menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat Jawa Ponorogo. Ada yang gembira dan ada yang sebak.
Mohd Abidin Ismail iaitu anak salah seorang yang menangkap Mat Indera, Misban, berkata meskipun terbabit secara langsung dalam tipu helah itu, sepanjang hidup ayahnya tidak pernah menyatakan kebanggaan atas kejayaan itu, malah tidak sesekali melabelkan Mat Indera sebagai petualang.
“Cuma apa yang kerap diceritakannya ialah tindakan mereka ketika itu adalah disebabkan tekanan yang dihadapi akibat ugutan Inggeris. Mungkin ada melabelkannya sebagai petualang tetapi saya merasakan dia seorang pejuang tetapi memilih jalan yang salah.
“Tidak adil terus melabel Mat Indera sebagai pengkhianat kerana dia juga berjuang untuk menuntut kemerdekaan. Cuma kumpulan yang disertainya itu tidak sesuai, itupun disebabkan tiada kumpulan lain ketika itu. Kumpulan Melayu lain terlalu lambat bertindak” katanya. -BH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan