Selasa, 5 Jun 2012

Kisah Ashabul Kahfi part 5

Sambungan dari Kisah Ashabul Kahfi part 4

Ketika ini pendeta Yahudi itu ingin menguji Saiyidina Ali a.s lalu bertanyakan nilai wang lama berbanding dengan wang baru. Lalu Saiyidina Ali a.s menjawab bahawa 1 dirham wang lama bersamaan dengan 10 dan dua per tiga dirham baru.

Saiyidina Ali a.s meneruskan kisahnya. Ketika Tamlikha mengeluarkan wang dan memberikannya kepada penjual roti, penjual itu berasa girang lalu berkata kepada Tamlikha, "Ini harta karun yang nilainya jauh lebih besar dari sekarang. Di mana kamu menemui harta karun ini?" Kata Tamlikha "Saya tidak menemui harta karun. Wang ini saya perolehi hasil jualan kurma tiga hari yang lalu. Semuanya berjumlah tiga dirham."

Penjual roti itu lalu berkata "Aku tidak percaya kata-katamu itu. Aku mesti melaporkan penemuan harta karun ini kepada raja." Lalu Tamlikha dibawa mengadap raja untuk disoal siasat. Setelah diberitahu bahawa Tamlikha telah menemui harta karun, raja itu berkata kepada Tamlikha "Kamu tidak perlu takut! Nabi Isa memerintahkan supaya kami hanya memungut seperlima daripada harta karun itu. Serahkan seperlima itu kepadaku dan kamu akan selamat." Tamlikha berkata "Tuanku, saya tidak menemui harta karun seperti yang dituduh oleh mereka. Saya adalah penduduk kota ini yang kebetulan ingin membeli makanan."

Raja tersebut terus menyoal siasat Tamlikha "Jika benar kau ialah penduduk kota ini, sebutkan nama-nama orang yang kau kenal." Tamlikha menyebutkan nama-nama orang yang dikenalinya iaitu hampir seribu orang. Namun, tidak ada satupun daripada nama-nama yang disebut itu pernah didengari ataupun dikenali oleh raja dan orang lain yang hadir sama menyaksikan soal siasat itu. Salah seorang daripada mereka berkata, "Semua nama yang disebutkan oleh Tamlikha bukan nama orang-orang yang hidup di zaman kita ini. Tetapi, mereka hidup pada zaman dahulu iaitu ratusan tahun yang lalu."

bersambung: https://lautan-biru.blogspot.com/2020/07/kisah-ashabul-kahfi-part-6.html

2 ulasan:

  1. Asslmlkum TT.. ada tak sambungan Part 6 kisah Ashabul Kahfi ini?

    BalasPadam
  2. Ada. Insya Allah saya akan sambung dalam masa terdekat ya.

    BalasPadam