Rabu, 2 Ogos 2017

Hutang pada pandangan Islam

Islam mengharuskan seseorang itu berhutang sekiranya kesempitan wang. Konsep hutang di dalam Islam adalah lebih kepada pertolongan antara seorang Muslim kepada saudara Muslimnya yang lain. Islam mengharamkan pemberi hutang itu mendapatkan keuntungan daripada pemberian hutangnya. Keuntungan dari pemberian hutang ini dipanggil riba dan riba adalah salah satu daripada dosa besar di dalam Islam.

Walaupun seorang Muslim itu tidak dibenarkan mendapatkan keuntungan melalui pemberian hutang, terdapat konsep perkongsian risiko dan keuntungan di dalam Islam iaitu Mudharabah. Melalui konsep ini, pemodal akan memberikan wang untuk menjalankan perniagaan kepada peniaga. Risiko dan keuntungan akan dikongsi secara persetujuan bersama. Konsep Mudharabah ini dibenarkan di dalam Islam.

Secara amnya, pahala memberi hutang itu adalah lebih besar daripada pahala memberi sedekah. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang mengatakan ‘Pahala sedekah ialah 10 kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda‘. Walaubagaimanapun, pahala sedekah itu boleh digandakan oleh Alah SWT sehingga 700 kali ganda atau lebih dari itu berdasarkan keikhlasan, pemberian sedekah untuk kepentingan Islam dan pemberian sedekah tanpa dipinta contohnya kepada anak-anak yatim. Allah Ta’ala berfirman: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki . Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui” . (Al Baqarah (2) : 261)

Risiko kepada pemberi hutang ialah di dunia ini kerana ada kemungkinan penerima hutang itu tidak membayar balik hutangnya. Risiko kepada penerima hutang ialah di akhirat kelak sekiranya dia tidak membayar kembali hutangnya di dunia. Hutang akan menjadi penghalang kepada seseorang itu untuk masuk syurga berdasarkan hadis Rasulullah SAW : Barang siapa datang pada hari Kiamat dalam keadaan bebas dari tiga perkara maka ia masuk surga, takabur, khianat, dan hutang. (HR. Nasai dan Ibnu Hibban)

Untuk mereka yang pernah memberi hutang tapi tidak dapat kembali hutang mereka, janganlah bersedih kerana anda telah mendapat dua pahala. Pahala menolong orang yang kesempitan wang dan pahala bersabar kerana tidak dapat kembali wang anda. 


Untuk mereka yang pernah berhutang tapi tidak membayar kembali hutang mereka, ingatlah kesusahan kesempitan wang di dunia ini hanya sementara sahaja manakala kesusahan di akhirat akibat hutang menjadi penghalang memasuki syurga adalah selama-lamanya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan