Memaparkan catatan dengan label amal soleh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label amal soleh. Papar semua catatan

Rabu, 5 Ogos 2020

Istighfar sebab murah rezeki dan turunnya hujan

Tahukah anda bahawa dengan ucapan yang sederhana saja, rezeki mudah datang dan hujan mudah Allah turunkan? Ucapan yang sederhana tersebut adalah ucapan istighfar. Dengan memohon ampun pada Allah dan meninggalkan maksiat, nescaya pintu rezeki akan terbuka dan hujan pun akan diturunkan dengan lebat.

Ayat inilah yang boleh diambil pelajaran,


فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (11) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا (12)

Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (QS. Nuh: 10-12)

Syaikh As Sa’di rahimahullah mengatakan mengenai ayat di atas, “Tinggalkanlah dosa, beristighfarlah pada Allah atas dosa yang kalian perbuat. Sungguh Allah itu Maha Pengampun. Dosa yang begitu banyak akan dimaafkan oleh Allah. Maka hendaklah mereka segera memohon ampun pada Allah meraih pahala dan hilanglah musibah. Allah pun akan memberikan kurnia yang disegerakan di dunia dengan istighfar tersebut iaitu akan diturunkan hujan dengan lebat dari langit, juga akan dikurnia harta dan anak yang diharapkan. Begitu pula akan diberi kurnia kebun dan sungai di antara kelezatan dunia.” (Taisir Al Karimir Rahman, hal. 889). Itulah faedah istighfar dan meninggalkan dosa atau maksiat.

Terdapat sebuah atsar dari Hasan Al Bashri rahimahullah yang menunjukkan bagaimana faedah istighfar yang luar biasa.

أَنَّ رَجُلًا شَكَى إِلَيْهِ الْجَدْب فَقَالَ اِسْتَغْفِرْ اللَّه ، وَشَكَى إِلَيْهِ آخَر الْفَقْر فَقَالَ اِسْتَغْفِرْ اللَّه ، وَشَكَى إِلَيْهِ آخَر جَفَاف بُسْتَانه فَقَالَ اِسْتَغْفِرْ اللَّه ، وَشَكَى إِلَيْهِ آخَر عَدَم الْوَلَد فَقَالَ اِسْتَغْفِرْ اللَّه ، ثُمَّ تَلَا عَلَيْهِمْ هَذِهِ الْآيَة

“Sesungguhnya seseorang pernah mengadukan kepada Al Hasan tentang musim kemaru yang terjadi. Lalu Al Hasan menasihatkan, “Beristigfarlah (mohon ampunlah) kepada Allah”.

Kemudian orang lain mengadu lagi kepada beliau tentang kemiskinannya. Lalu Al Hasan menasihatkan, “Beristigfarlah (mohon ampunlah) kepada Allah”.

Kemudian orang lain mengadu lagi kepada beliau tentang kekeringan pada kebunnya. Lalu Al Hasan menasehatkan, “Beristigfarlah (mohon ampunlah) kepada Allah”.

Kemudian orang lain mengadu lagi kepada beliau karena sampai waktu itu belum memiliki anak. Lalu Al Hasan menasihatkan, “Beristigfarlah (mohon ampunlah) kepada Allah”.

Kemudian setelah itu Al Hasan Al Bashri membacakan surat Nuh di atas. (Riwayat ini disebutkan oleh Al Hafidz Ibnu Hajar di Fathul Bari, 11: 98)

Juga dapat kita lihat dari perkataan sahabat mulia Umar bin Al Khattab berikut.

Dari Asy Sya’bi, ia berkata, “’Umar bin Al Khattab radhiyallahu ‘anhu suatu masa meminta diturunkannya hujan, namun beliau tidak menambah istighfar hingga beliau kembali, lalu ada yang mengatakan padanya, ”Kami tidak melihatmu meminta hujan.” ‘Umar pun mengatakan, “Aku sebenarnya sudah meminta diturunkannya hujan dari langit”. Kemudian ‘Umar membaca ayat,

اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا, يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا

“Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat”

Umar pun lantas mengatakan,

وَيَا قَوْمِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا

“Wahai kaumku, mintalah ampun kepada Rabb kalian. Kemudian bertaubatlah kepada-Nya, niscaya Dia akan menurunkan pada kalian hujan lebat dari langit.” (HR. Al Baihaqi 3: 352)

Ketika menjelaskan surat Nuh di atas, Ibnu Katsir rahimahullah mengatakan, “Jika kalian meminta ampun (beristigfar) kepada Allah dan mentaati-Nya, niscaya kalian akan mendapatkan banyak rezeki, akan diberi keberkahan hujan dari langit, juga kalian akan diberi keberkahan dari tanah dengan ditumbuhkannya berbagai tanaman, dilimpahkannya air susu, dilapangkannya harta, serta dikurniakan anak dan keturunan. Di samping itu, Allah juga akan memberikan pada kalian kebun-kebun dengan berbagai buah yang di tengah-tengahnya akan dialirkan sungai-sungai.” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 7: 388)

Mengenai ayat di atas, Ibnu Katsir juga mengatakan, “Maksud ayat nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, iaitu Allah akan menurunkan hujan dengan ucapan istighfar tersebut. Oleh karenanya, dianjurkan ketika solat istisqa’ (solat minta hujan) untuk membaca surat Nuh ini.” 

Jadi, dengan istighfar dan meninggalkan dosa, musibah akan terangkat, datang kemudahan rezeki, dan mudah hujan untuk turun.

Semoga Allah memberi taufik untuk terus memperbanyak istighfar.

Khamis, 9 Julai 2020

Doa Kegemaranku Selepas Solat

Salam, berikut adalah doa kegemaranku selepas solat. Boleh diamalkan semoga kalian mendapat manfaat, Insya Allah.


أَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ لِسَانًا رَاطِبًا بِذِكْرِكَ وَقَلْبًا مَفْعُمًا بِشُكْرِكَ وَبَدَناً هَيِّنًا لَيِّنًا بِطَاعَتِكَ أَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ إِيْمَانًا كَامِلاً وَنَسْأَلُكَ قَلْبًا خَاشِعًا وَنَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَنَسْأَلُكَ يَقِيْنًا صَادِقًا وَنَسْأَلُكَ دِيْنًا قَيِّمًا وَنَسْأَلُكَ اْلعَافِيَةَ مِنْ كُلِّ بَلِيَّةٍ وَنَسْأَلُكَ تَمَامَ اْلغِنَى عَنِ النَّاسِ وَهَبْلَنَا حَقِيْقَةَ اْلإِْيمَانِ بِكَ حَتَّى لاَ نَخَافَ وَلاَ نَرْجُوْ غَيْرَكَ وَلاَ نَعْبُدَ شَيْئًا سِوَاكَ وَاجْعَلْ يَدَكَ مَبْسُوْطَةً عَلَيْنَا وَعَلَى أَهْلِنَا وَأَوْلاَدِنَا وَمَنْ مَعَنَا بِرَحْمَتِكَ وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ وَلاَ أَقَلَّ مِنْ ذَلِكَ يَاِنعْمَ اْلمُجِيْبُ وَصَلىَّ اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ اْلكَرِيْمِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

Allaahumma inna nas'aluka lisaanan rootiban bidzikrik. Wa qolban maf'uman bisyukrik. Wa badanan hayyinan layyinan bithoo'atik.  Allahumma inna nas-aluka iimaanan kaamila.  Wanas'aluka qolban khosyi'a. Wa nas-aluka 'ilman naafi'a.  Wa nas-aluka yaqiinan shoodiqo. Wa nas-aluka diinan qoyyima. Wa nas-alukal 'aafiyata min kulli baliyyah.  Wa nas-aluka tamaama-lghinaa 'anin-nnaas wahab lanaa haqiiqotal iimaani bik.  Hatta laa nakhoofa wa laa narjuu ghoiroka wa laa na'buda syai'an siwaak.  Waj'al yadaka mabsuuthotan 'alainaa wa 'alaa ahlinaa wa aulaadinaa wamam-ma'ana birohmatik. Wa laa takkilnaa ilaa anfusinaa thorfata 'aini wa laa aqolla min dzaalika ya ni'mal mujiibu. Wa sholli 'alaa sayyidinaa Muhammadin-nnabiyyi-lkariim wa 'alaa aalihi wa shohbihi ajma'iin.

Ya Allah kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut nama-Mu, hati yang penuh segar mensyukuri nikmat-Mu serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintah-Mu. Ya Allah kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyu', ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap. Ya Allah kurniakanlah kami diin (cara hidup) yang jitu dan unggul selamat dari segala bahaya dan malapetaka, kami mohon ya Allah kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain. Berikanlah kami ya Allah iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi mengharap orang lain selain dari Engkau. Kembangkanlah lembayung rahmat-Mu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta siapa saja yang bersama-sama kami. Ya Allah jangan Engkau biarkan nasib kami di tentukan oleh diri kami sendiri, walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu. Wahai Tuhan yang paling mudah dan cepat memperkenankan permohonan, (perkenankanlah). Selawat yang mulia kepada keluarga baginda dan para sahabatnya.

Sabtu, 27 Jun 2020

Formula Mengatasi Kesukaran Dari Surah Al-Insyirah

Pada hari ini saya ingin memberikan satu formula yang mudah yang digali dari surah Al-Insyirah. Formulanya adalah 

KESUKARAN=KEMUDAHAN

Formula ini digali dari ayat 5&6 surah Al-Insyirah.

Maksud formula ini ialah setiap kesukaran itu tidak datang kepada anda melainkan kemudahan itu juga datang bersama-sama dengan kesukaran tersebut.

Tapi untuk mengamalkan formula ini ada syaratnya. Syaratnya ialah dengan bersungguh-sungguh mengerjakan amal soleh seperti ayat 7 surah Al-Insyirah. Apabila menyebut tentang amal soleh, kenalah disertai dengan sifat takwa iaitu perasaan takut dan harap kepada Allah SWT kerana kesolehan itu mestilah disertai dengan takwa.

Malah formula dari surah Al-Insyirah ini boleh dikembangkan lagi seperti berikut:

KELEMAHAN=KEKUATAN

Maksud formula ini ialah setiap kelemahan itu tidak datang kepada anda melainkan kekuatan itu juga datang bersama-sama dengan kelemahan tersebut.

Syarat untuk kedua-dua formula ini berkesan ada dua iaitu amal soleh dan takwa. Dua formula yang ringkas tapi kesannya kepada kita sungguh luar biasa, Insya Allah!

Khamis, 11 Jun 2020

Adab Berdoa Kepada Allah SWT

Dalam Al Quran, Allah SWT berjanji untuk mengabulkan doa hamba-hambanya seperti ayat-ayat berikut:


Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (2:186)

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina. (40:60)

Jadi mengapakah ada di antara kita yang berdoa tetapi masih belum dimakbulkan doanya oleh Allah SWT?

Sebenarnya banyak perkara yang menjadi asbab kepada terhalangnya doa dimakbulkan. Kebanyakannya berpunca daripada diri sendiri sama ada sedar atau tidak. Salah satunya ialah tidak mengambil berat soal halal dan haram terutamanya dalam urusan makanan.

Pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW bercerita tentang seorang pemuda yang bermusafir jauh di padang pasir hingga menyebabkan rambutnya menjadi kusut-masai dan dipenuhi dengan debu kerana perjalanannya yang jauh itu.

Lalu Rasulullah SAW bersabda:
ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟
Seorang lelaki yang telah lama berjalan dan jauhnya perjalanan yang ditempuh, sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Dia menadahkan tangannya ke langit lalu berdoa: "Wahai Tuhan ku! Wahai Tuhanku!" Padahal, makanannya dari sumber yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diberi makan dengan makanan yang haram. Maka bagaimana mungkin Allah SWT akan memperkenankan doanya?" (Riwayat Muslim)

Antara sebab lain ialah dosa yang ada pada diri seseorang itu juga boleh menjadi penghalang kepada makbulnya doa. Oleh itu, perbanyakkanlah solat taubat dan istighfar agar dosa seseorang diampunkan lalu menghilangkan penghalang untuk dimakbulkan doanya.

Sebenarnya apabila seseorang hamba itu berdoa, Allah SWT pasti akan mengurniakan salah satu dari tiga perkara kepada hambanya tersebut:
1. Dimakbulkan doanya pada masa itu atau pada masa terdekat
2. Ditangguhkan makbulnya doa itu pada masa akan datang
3. Diganti doanya itu dengan sesuatu yang sama nilai atau sesuatu yang lebih baik

Untuk perkara no. 3 di atas, contoh yang mudah ialah adakalanya kita berdoa apa yang kita inginkan, tapi Allah SWT memberikan kepada kita apa yang kita perlukan. Apabila ini berlaku, berbaik sangkalah dengan Allah SWT bahawa Allah SWT telah memberikan yang terbaik untuk kita seperti ayat berikut:

...... dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (2:216)

Apabila kita membaca kisah-kisah nabi, mereka sendiri ada yang ditangguhkan doanya sehingga bertahun-tahun lamanya. Contohnya seperti berikut:

1. Nabi Muhammad SAW yang berdoa agar kiblat dipindahkan dari masjidil Aqsa ke Mekah. Doa Nabi Muhammad SAW ini dimakbulkan Allah SWT setelah 2 tahun.
2. Nabi Ayub AS yang mendapat sakit yang teruk. Nabi Ayub AS hanya berdoa setelah 18 tahun lalu dimakbulkan oleh Allah SWT dan disembuhkan penyakitnya.
3. Nabi Ibrahim AS dan Nabi Zakaria AS berterusan berdoa selama lebih 80 tahun untuk mendapat anak sebelum dimakbulkan Allah SWT.

Apabila kita berdoa, jagalah adab-adab dalam berdoa kerana memakbulkan doa itu adalah hak mutlak Allah SWT pada suatu waktu yang ditentukanNya. Antara adab-adab dalam berdoa adalah seperti berikut:

1. Berdoalah sebagai seorang hamba yang merendah diri, yang mengharapkan kurnia dari Rajanya, bukan sebagai seorang pekerja yang mengharapkan upah dari majikannya.

2. Pujilah Allah SWT sebelum berdoa. Surah Al Fatihah itu adalah surah yang mengandungi doa dan surah ini dimulai dengan puji-pujian kepada Allah SWT.

3. Berdoalah dengan suara yang lembut, penuh keyakinan terhadap Allah SWT, menghadap kiblat, berwuduk, berdoa pada waktu mustajab dengan merendah diri dan mengharapkan hanya kepada Allah SWT.

4. Tutuplah doa tersebut dengan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW

JANGANLAH KERANA KELAMBATAN MASA PEMBERIAN TUHAN KEPADA KAMU,
PADAHAL KAMU TELAH BERSUNGGUH-SUNGGUH BERDOA,
MEMBUAT KAMU BERPUTUS ASA, SEBAB ALLAH MENJAMIN UNTUK MENERIMA SEMUA DOA, MENURUT APA YANG DIPILIH-NYA UNTUK KAMU,
TIDAK MENURUT KEHENDAK KAMU, DAN PADA WAKTU YANG DITENTUKANNYA,
TIDAK PADA WAKTU YANG KAMU TENTUKAN.

Jumaat, 29 Mei 2020

Zikir Menyembuhkan Penyakit dari Al Quran

Syurga adalah tempat mereka yang dekat dengan Allah SWT. Antara sifat ahli syurga ialah sabar apabila mendapat ujian dan antara ujian daripada Allah SWT kepada manusia di dunia ini ialah dengan ditimpakan penyakit. Ahli syurga adalah mereka yang bersabar apabila mendapat ujian seperti ujian mendapat penyakit.

Al-Quran menceritakan kisah Nabi Ayub a.s. yang digambarkan manusia yang paling sabar, bahkan boleh dikatakan bahawa baginda berada di puncak kesabaran. Sering orang mengagumi kesabaran Nabi Ayub. Misalnya, dikatakan: seperti sabarnya Nabi Ayub. Jadi, Nabi Ayub menjadi simbol kesabaran dan cermin kesabaran atau teladan kesabaran pada setiap bahasa, pada setiap agama, dan pada setiap budaya. Allah SWT telah memujinya dalam kitab-Nya yang berbunyi:
"Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya)." (Al-Quran Surah. Sod: 44)

Didalam Al-Quran terdapat beberapa ayat yang boleh dijadikan zikir dan doa untuk disembuhkan penyakit oleh Allah SWT. Jangan jemu untuk terus berdoa kepada Allah SWT kerana Allah SWT amat menyukai mereka yang terus-menerus berdoa dan merayu kepadaNya. Nabi Ayub sendiri telah diuji dengan musibah penyakit selama 18 tahun sebelum beliau berdoa kepada Allah SWT dan doanya dimakbulkan Allah SWT dan beliau disembuhkan dari penyakitnya.

Apabila berzikir dan berdoa dengan ayat Quran ini, niatkanlah agar kesembuhan yang diminta tersebut bertujuan agar kita mendapat kesihatan yang baik untuk beribadah kepada Allah SWT. Insya Allah niat untuk sembuh dengan tujuan agar bertambah ibadah  kita akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Zikir dari Al-Quran untuk mendapat kesembuhan dari penyakit adalah ayat-ayat berikut:

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ۬ وَرَحۡمَةٌ۬ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ‌ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارً۬ا

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. (Al-Isra 17:82)

وَأَيُّوبَ إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُ ۥۤ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّٲحِمِينَ (٨٣) فَٱسۡتَجَبۡنَا لَهُ ۥ فَكَشَفۡنَا مَا بِهِۦ مِن ضُرٍّ۬‌ۖ وَءَاتَيۡنَـٰهُ أَهۡلَهُ ۥ وَمِثۡلَهُم مَّعَهُمۡ رَحۡمَةً۬ مِّنۡ عِندِنَا وَذِڪۡرَىٰ لِلۡعَـٰبِدِينَ (٨٤
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. (83) Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: Keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik). (84) (Al Anbiya 21:83-84)
Berikut adalah doa Nabi Ayub a.s:

Ahad, 17 Mei 2020

8 Amalan Pada Waktu Pagi dan Waktu Petang

1. Berselawat pada waktu pagi selepas Subuh 10 kali dan selepas Asar 10 kali. Jumhur ulama menyarankan selawat seperti berikut: Allahumma Solli Ala Saiyidina Muhammad Waala Ali Saiyidina Muhammad.

Sabda Nabi SAW: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat - HR Thabrani

2. Solat berjemaah Subuh dan Asar dan membaca zikir untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT 3x

Waktu Subuh dan waktu Asar adalah waktu pertukaran shift malaikat. Sewaktu pertukaran shift ini, Allah SWT akan bertanya kepada malaikat apakah yang sedang dibuat oleh hambaku? Malaikat akan menjawab sewaktu kami turun dia sedang solat Subuh dan sewaktu kami naik dia sedang solat Asar. Oleh itu ya Allah ampunkanlah dosanya di hari kiamat. Selepas solat bacalah zikir "Radhitu Billahi Rabba, Wa Bil islami Dina, Wabi muhammadiin Nabiya Wa Rasula" 3x untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Zikir ini boleh ditambah dengan "Wa Bil Qurani Imama, Wa Bil Kaabati Qiblata, Wabil Mukminina Ikhwana" yang bermaksud : Aku Redha Allah Subhanahu wata’ala sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai nabi dan rasulku, Quran sebagai imam (petunjuk), kaabah sebagai kiblat, mukmin sebagai saudara.

Kemudian diikuti dengan zikir berikut 3x : Subhanallahi Wabihamdihi 'Adadakhalqihi Waridhonafsihi Wazinata 'arshihi Wamida dakalimatih 3x.

Ertinya: Maha suci Allah dan segala puji bagiNya sebanyak bilangan makhlukNya, dan sebesar redha diriNya, dan seberat 'ArasyNya, dan sebanyak hitungan kalimatNya. 

Diceritakan dari sahabat Tsauban Radhiyallahu`anhu Nabi SAW berkata : Barang siapa yang di pagi dan petang mengucapkan kalimat “Radhitu Billahi Rabba, Wa Bil islami Dina, Wabi muhammadiin Nabiya Wa Rasula” 3x. Maka wajib bagi Allah Subhanahu wata’ala untuk meredhainya”. (HR.At-Tirmidzi, Abu daud dan An-Nasa’i)


Daripada Juwairiyah binti al-Harith r.ha., isteri Nabi SAW bahawa pada suatu pagi setelah selesai menunaikan solat Subuh, Nabi SAW keluar dari sisinya, sementara dia masih berada di tempat solatnya (membaca zikir). Kemudian, Nabi SAW pulang pada waktu Dhuha, sementara dia masih duduk di tempatnya. Nabi lalu bertanya:
Maksudnya:

"Apakah engkau tetap seperti itu sejak aku meninggalkanmu?" Dia menjawab: "Ya." Maka Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya sejak berpisah denganmu tadi, aku telah membaca sebanyak empat kalimat berikut sebanyak tiga kali yang jika ditimbang nilainya, tentu sama dengan banyaknya zikir yang engkau baca daripada tadi, iaitu:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ

(Hadis Riwayat Muslim) Riyadhus Solihin, Imam Nawawi

3. Baca Saiyyidul Istighfar setiap pagi selepas Subuh dan setiap petang selepas Asar.


Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang mengucapkan Sayyidul Istighfar di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. - Hadis riwayat Bukhari

4. Baca Allahumma ajirni minan naar, sebanyak 7 kali selepas Subuh dan 7 kali selepas Maghrib

Sabda Nabi SAW : Apabila kamu selesai dari solat subuh, bacalah ini sebelum kamu bercakap dengan orang lain, iaitu: Allahumma ajirni minan naar, sebanyak 7 kali, maka jika pada hari tersebut kamu meninggal dunia, akan ditetapkan oleh Allah bahawa kamu akan dijauhi dari api neraka. Apabila kamu selesai dari solat Maghrib, bacalah ini sebelum kamu bercakap dengan orang lain, iaitu: Allahumma ajirni minan naar, sebanyak 7 kali, maka jika pada waktu malam tersebut kamu meninggal dunia, akan ditetapkan oleh Allah 'azza wa jalla bahawa kamu akan dijauhi dari api neraka." (Riwayat Ahmad : 17362, Abu Daud : 5079)


5. Baca ‘Laa ilaaha illallah wahdahu laa syarikalah, lahul mulku, walahul hamdu, yuhyiy wa yumiytu wahuwa ‘ala kulli syay-in qadiir,’ sebanyak 10x selepas solat Maghrib dan Subuh dalam keadaan masih duduk tahiyat akhir dan tidak berkata-kata, sehingga selesai bacaan

Sabda Nabi SAW : Barangsiapa setelah solat Maghrib dan Subuh membaca ‘Laa ilaaha illallah wahdahu laa syarikalah, lahul mulku, walahul hamdu, yuhyiy wa yumiytu wahuwa ‘ala kulli syay-in qadiir,’ sebanyak 10x Allah SWT akan tulis setiap satu kali 10 kebaikan, dihapus 10 keburukan (dosa), diangkat 10 darjat, Allah SWT lindungi dari setiap keburukan, dan Allah SWT lindungi dari godaan syaitan yang terkutuk. (HR. Ahmad IV/227, at-Tirmidzi no.3474).

Hadis daripada Abu Zar berkata, “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda, ‘Barangsiapa yang membaca selepas solat Subuh, dalam keadaan kakinya masih seperti tasyahhud akhir, sebelum berkata-kata sebanyak sepuluh kali, ditulis baginya sepuluh kebaikan, dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan (dosa), diangkatkan baginya sepuluh darjat (kedudukan), dan dia pada hari itu terjaga daripada segala perkara yang dibenci, terbentang daripada syaitan, serta tidak ada suatu dosa yang dapat membinasakannya pada hari itu kecuali syirik (menyekutukan) Allah’. ” (Riwayat at-Tarmizi dengan sanad Hasan, Imam ath-Thobrani menyebutnya di dalam al-Aushot dan al-Kabir. Lihat juga Shahih at-Targhib wa at-Tarhib:  1/306)

6. Melakukan 2 rakaat solat sunat Isyraq setelah Subuh dan berzikir kepada Allah SWT. Tempoh masa Solat Sunat Isyraq adalah sangat singkat iaitu 15 minit sahaja (12 minit – 27 minit setelah Syuruk).

Sabda Nabi SAW: Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah  sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna, sempurna, sempurna. (Hadis riwayat al-Tirmidzi dan al-Tabrani RA : 586)


7. Sedekah Subuh. Caranya sediakan satu tabung. Kemudian pilihlah WAKTU yang paling AFDHAL iaitu SELEPAS SUBUH DAN SEBELUM SYURUK. Masukkanlah tak kira berapa sen/rm ke dalam tabung sedekah Subuh itu. Semasa hendak memasukkan wang itu berniatlah apa sahaja niat yang baik-baik untuk anda dan keluarga. Masukkan ke dalam tabung itu sehingga genap sebulan. Setelah sebulan agihkanlah kepada mana-mana orang/badan yang memerlukan dan teruskan amalan itu seperti biasa. Contohnya wang dari tabung tersebut boleh disalurkan ke tabung masjid, rumah anak yatim atau maahad tahfiz. Waktu Subuh dan Asar adalah waktu pertukaran shift malaikat dan malaikat akan mendoakan orang yang bersedekah Subuh ini. Biasakan sedekah subuh walaupun cuma seringgit atau dua ringgit, tetapi lakukanlah dengan istiqamah kerana disitu dapat doa malaikat dan doa malaikat mustajab di sisi Allah SWT.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada satu subuh-pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa: “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”, sedangkan yang satu lagi berdo’a “Ya Allah, berilah kerosakan bagi orang yang menahan (hartanya)” (Hadis Riwayat Bukhary 5/270)

8. Membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar sebanyak 100 kali selepas Subuh dan Asar

Dari Abdullah bin Amr bin Ash, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa membaca ‘Subhanallah’ 100 kali sebelum terbit dan terbenamnya matahari, maka itu lebih utama dari (pahala sedekah) 100 unta. Barangsiapa membaca ‘Alhamdulillah’ 100 kali sebelum terbit dan terbenamnya matahari, maka itu lebih utama dari (pahala sedekah) 100 kuda yang dipersiapkan untuk jihad fisabilillah. Dan barangsiapa membaca ‘Allahu Akbar’ 100 kali sebelum terbit dan terbenamnya matahari, maka itu lebih utama dari (pahala) memerdekakan 100 hamba”. (Nasa’i dalam Kitab Sunan Kubra, dan di-hasan-kan oleh Albani)

Sabtu, 16 Mei 2020

8 Amalan Untuk Membina Rumah di Syurga

Tahukah anda kita boleh membina rumah di dalam syurga sejak di dunia ini lagi? Cuba anda bayangkan rumah di dunia ini. Semakin cantik rumah di dunia ini, semakin mahallah harganya. Dari rumah kos rendah yang berharga puluh ribu kepada rumah apartment yang berharga seratus ribu kepada rumah kondo yang berharga beratus-ratus ribu kepada rumah teres yang berharga lebih lima ratus ribu kepada rumah banglo yang berharga jutaan. Semakin mahal harga rumah di dunia ini, semakin cantiklah rumah tersebut. Bayangkan rumah di syurga yang tentunya jauh lebih bagus dan cantik dari rumah di dunia ini, dan kita boleh bina rumah di syurga tersebut di dunia ini lagi dengan melakukan 8 amalan berikut:

1. Dengan membangunkan masjid. Maksud membangunkan masjid di sini ialah dengan menggunakan wang kita untuk membina sebahagian dari kelengkapan masjid. Sekiranya anda mampu menggunakan wang anda untuk membina sebuah masjid, itulah yang paling utama. Sekiranya anda tidak mampu, cukuplah dengan menggunakan wang anda untuk kelengkapan masjid dan itu sudah cukup untuk melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang membangun masjid kerana Allah walaupun hanya sebesar sangkar burung atau lebih kecil dari itu, Allah akan bangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." - Hadis Riwayat Ibnu Majah

2. Dengan solat Dhuha dan Qabliyah Zohor empat rakaat. Sebenarnya solat-solat sunat mempunyai fadhilat yang  sangat besar. Oleh itu lazimkanlah bersolat sunat, seperti solat sunat Dhuha empat rakaat diikuti dengan sonat sunat Qabliyah Zohor (solat sunat sebelum Zohor) empat rakaat juga, akan melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang solat Dhuha empat rakaat dan Qabliyah Zohor empat rakaat, akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." - Hadis Riwayat at-Thabrani

3. Dengan solat sunat Rawatib 12 rakaat. Solat sunat Rawatib ialah solat sunat Qabliyah (sebelum ) dan Ba'diyah (sesudah) solat Fardhu. Ada solat sunat Muakkad (dituntut) dan ada solat Ghairu Muakkad (tidak dituntut). Walaubagaimanapun kedua-dua solat sunat Muakkad dan Ghairu Muakkad boleh sahaja dilaksanakan. Berikut adalah senarai solat sunat Rawatib: 2 rakaat sebelum Subuh (Muakkad), 4 rakaat sebelum zohor (Muakkad), 2/4 rakaat selepas zohor (2 Muakkad, 2 Ghairu Muakkad), 4 rakaat sebelum asar (Ghairu Muakkad), 2 rakaat sebelum Maghrib (Ghairu Muakkad), 2 rakaat selepas Maghrib (Muakkad), 2 rakaat sebelum Isyak (Ghairu Muakkad), 2/4 rakaat selepas Isyak (2 Muakkad, 2 Ghairu Muakkad). Laksanakanlah solat sunat Rawatib Muakkad 12 rakaat dalam sehari akan melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang melakukan solat sunat (sunat rawatib) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam, akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga, empat rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas Isyak dan dua rakaat sebelum Subuh.” (Riwayat al-Tirmidzi, al-Nasa’I, Ibnu Majah dan Imam Ahmad)

Solat sunat Ghairu Muakkad juga mempunyai fadhilatnya yang tersendiri. Contohnya solat sunat Ghairu Muakkad 2 rakaat tambahan sesudah melaksanakan solat sunat Muakkad 2 rakaat selepas Zuhur.


Ummu Habibah iaitu isteri Nabi SAW berkata, “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menjaga empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, haram atasnya neraka.” (Riwayat Abu Dawud, al-Nasai, dan Imam Ahmad)

4.  Dengan membaca surah Al-Ikhlas 10 kali. Surah Al-Ikhlas (Qulhuwallahu Ahad) adalah surah yang pendek untuk dibaca tapi fadhilat membacanya sangatlah besar. Sekali membaca surah Al-Ikhlas pahalanya adalah seperti membaca satu pertiga Al-Quran. Sepuluh kali membaca surah Al-Ikhlas akan melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang membaca "Qulhuwallahu Ahad" sepuluh kali, Allah SWT akan bangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." - Hadis Riwayat Ahmad.

5. Dengan membaca doa masuk pasar. Umum mengetahui bahawa pasar adalah tempat ramai manusia dan tempat kebanyakan manusia adalah lalai dari mengingati Allah SWT. Oleh yang demikian, sesiapa yang mengingati Allah SWT dengan membaca doa masuk pasar ini akan mendapat ganjaran yang sangat banyak:


Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang masuk pasar lalu membaca doa masuk pasar maka Allah SWT akan menuliskan untuknya sejuta kebaikan, menghapus darinya sejuta keburukan, mengangkat untuknya sejuta darjat dan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." Hadis Riwayat At Tirmidzi, Ahmad, Ibnu Majah dan Al-Hakim.

6. Dengan beristirjak (menyebut "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun") ketika anak meninggal. Musibah kehilangan anak adalah antara ujian yang sangat berat dari Allah SWT. Oleh yang demikian, mereka yang bersabar ketika menerima ujian tersebut lalu mengucapkan istirjak iaitu kalimah "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" akan mendapat ganjaran yang besar.

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila anak seorang hamba meninggal dunia, Allah berfirman kepada malaikatNya, "Kalian telah mencabut nyawa anak hambaku?" Mereka berkata, "Benar." Allah berfirman, "Kalian telah mencabut nyawa buah hatinya?" Mereka menjawab, "Benar." Allah berfirman, "Apa yang diucapkan oleh hambaku?" Mereka berkata, "Ia memujimu dan mengucapkan Istirjak (Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun)." Allah berfirman, " Bangunkan untuk hambaku di syurga, dan namai ia rumah pujian," - Hadis Riwayat al-Tirmidzi.

7. Dengan berakhlak mulia. Akhlak yang mulia adalah sesuatu yang sangat dituntut dalam Islam. Seseorang yang mempunyai akhlak yang mulia akan mendapat ganjaran yang besar dan melayakkan dia mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Aku menjamin dengan rumah di pinggir syurga bagi orang yang meninggalkan pertengkaran walaupun ia dipihak yang benar. Aku menjamin dengan rumah di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta walaupun untuk ketika bergurau. Aku menjamin dengan rumah di syurga yang paling tinggi bagi orang yang baik akhlaknya." Hadis Riwayat Abu Dawud.

8. Dengan Iman, Islam, Hijrah dan Jihad. Nikmat terbesar yang diberi oleh Allah SWT kepada kita ialah nikmat Iman dan Islam. Mereka yang beriman dan Islam, kemudian juga berhijrah dan berjihad akan melayakkan dia mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Aku menjamin orang yang beriman kepadaku, masuk Islam dan berhijrah dengan sebuah rumah di pinggir syurga, di tengah syurga dan syurga yang paling tinggi. Aku menjamin orang yang beriman kepadaku, masuk Islam dan berjihad dengan sebuah rumah di pinggir syurga, di tengah syurga dan syurga yang paling tinggi. Barangsiapa yang melakukan itu, ia tidak membiarkan satupun kebaikan, dan lari dari semua keburukan, ia meninggal, di mana saja Dia kehendaki untuk meninggal." - Hadis Riwayat al-Nasai, Ibnu Hibban dan Al-Hakim.