Sabtu, 16 Mei 2020

8 Amalan Untuk Membina Rumah di Syurga

Tahukah anda kita boleh membina rumah di dalam syurga sejak di dunia ini lagi? Cuba anda bayangkan rumah di dunia ini. Semakin cantik rumah di dunia ini, semakin mahallah harganya. Dari rumah kos rendah yang berharga puluh ribu kepada rumah apartment yang berharga seratus ribu kepada rumah kondo yang berharga beratus-ratus ribu kepada rumah teres yang berharga lebih lima ratus ribu kepada rumah banglo yang berharga jutaan. Semakin mahal harga rumah di dunia ini, semakin cantiklah rumah tersebut. Bayangkan rumah di syurga yang tentunya jauh lebih bagus dan cantik dari rumah di dunia ini, dan kita boleh bina rumah di syurga tersebut di dunia ini lagi dengan melakukan 8 amalan berikut:

1. Dengan membangunkan masjid. Maksud membangunkan masjid di sini ialah dengan menggunakan wang kita untuk membina sebahagian dari kelengkapan masjid. Sekiranya anda mampu menggunakan wang anda untuk membina sebuah masjid, itulah yang paling utama. Sekiranya anda tidak mampu, cukuplah dengan menggunakan wang anda untuk kelengkapan masjid dan itu sudah cukup untuk melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang membangun masjid kerana Allah walaupun hanya sebesar sangkar burung atau lebih kecil dari itu, Allah akan bangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." - Hadis Riwayat Ibnu Majah

2. Dengan solat Dhuha dan Qabliyah Zohor empat rakaat. Sebenarnya solat-solat sunat mempunyai fadhilat yang  sangat besar. Oleh itu lazimkanlah bersolat sunat, seperti solat sunat Dhuha empat rakaat diikuti dengan sonat sunat Qabliyah Zohor (solat sunat sebelum Zohor) empat rakaat juga, akan melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang solat Dhuha empat rakaat dan Qabliyah Zohor empat rakaat, akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." - Hadis Riwayat at-Thabrani

3. Dengan solat sunat Rawatib 12 rakaat. Solat sunat Rawatib ialah solat sunat Qabliyah (sebelum ) dan Ba'diyah (sesudah) solat Fardhu. Ada solat sunat Muakkad (dituntut) dan ada solat Ghairu Muakkad (tidak dituntut). Walaubagaimanapun kedua-dua solat sunat Muakkad dan Ghairu Muakkad boleh sahaja dilaksanakan. Berikut adalah senarai solat sunat Rawatib: 2 rakaat sebelum Subuh (Muakkad), 4 rakaat sebelum zohor (Muakkad), 2/4 rakaat selepas zohor (2 Muakkad, 2 Ghairu Muakkad), 4 rakaat sebelum asar (Ghairu Muakkad), 2 rakaat sebelum Maghrib (Ghairu Muakkad), 2 rakaat selepas Maghrib (Muakkad), 2 rakaat sebelum Isyak (Ghairu Muakkad), 2/4 rakaat selepas Isyak (2 Muakkad, 2 Ghairu Muakkad). Laksanakanlah solat sunat Rawatib Muakkad 12 rakaat dalam sehari akan melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang melakukan solat sunat (sunat rawatib) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam, akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga, empat rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas Isyak dan dua rakaat sebelum Subuh.” (Riwayat al-Tirmidzi, al-Nasa’I, Ibnu Majah dan Imam Ahmad)

Solat sunat Ghairu Muakkad juga mempunyai fadhilatnya yang tersendiri. Contohnya solat sunat Ghairu Muakkad 2 rakaat tambahan sesudah melaksanakan solat sunat Muakkad 2 rakaat selepas Zuhur.


Ummu Habibah iaitu isteri Nabi SAW berkata, “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menjaga empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, haram atasnya neraka.” (Riwayat Abu Dawud, al-Nasai, dan Imam Ahmad)

4.  Dengan membaca surah Al-Ikhlas 10 kali. Surah Al-Ikhlas (Qulhuwallahu Ahad) adalah surah yang pendek untuk dibaca tapi fadhilat membacanya sangatlah besar. Sekali membaca surah Al-Ikhlas pahalanya adalah seperti membaca satu pertiga Al-Quran. Sepuluh kali membaca surah Al-Ikhlas akan melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang membaca "Qulhuwallahu Ahad" sepuluh kali, Allah SWT akan bangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." - Hadis Riwayat Ahmad.

5. Dengan membaca doa masuk pasar. Umum mengetahui bahawa pasar adalah tempat ramai manusia dan tempat kebanyakan manusia adalah lalai dari mengingati Allah SWT. Oleh yang demikian, sesiapa yang mengingati Allah SWT dengan membaca doa masuk pasar ini akan mendapat ganjaran yang sangat banyak:


Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang masuk pasar lalu membaca doa masuk pasar maka Allah SWT akan menuliskan untuknya sejuta kebaikan, menghapus darinya sejuta keburukan, mengangkat untuknya sejuta darjat dan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." Hadis Riwayat At Tirmidzi, Ahmad, Ibnu Majah dan Al-Hakim.

6. Dengan beristirjak (menyebut "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun") ketika anak meninggal. Musibah kehilangan anak adalah antara ujian yang sangat berat dari Allah SWT. Oleh yang demikian, mereka yang bersabar ketika menerima ujian tersebut lalu mengucapkan istirjak iaitu kalimah "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" akan mendapat ganjaran yang besar.

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila anak seorang hamba meninggal dunia, Allah berfirman kepada malaikatNya, "Kalian telah mencabut nyawa anak hambaku?" Mereka berkata, "Benar." Allah berfirman, "Kalian telah mencabut nyawa buah hatinya?" Mereka menjawab, "Benar." Allah berfirman, "Apa yang diucapkan oleh hambaku?" Mereka berkata, "Ia memujimu dan mengucapkan Istirjak (Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun)." Allah berfirman, " Bangunkan untuk hambaku di syurga, dan namai ia rumah pujian," - Hadis Riwayat al-Tirmidzi.

7. Dengan berakhlak mulia. Akhlak yang mulia adalah sesuatu yang sangat dituntut dalam Islam. Seseorang yang mempunyai akhlak yang mulia akan mendapat ganjaran yang besar dan melayakkan dia mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Aku menjamin dengan rumah di pinggir syurga bagi orang yang meninggalkan pertengkaran walaupun ia dipihak yang benar. Aku menjamin dengan rumah di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta walaupun untuk ketika bergurau. Aku menjamin dengan rumah di syurga yang paling tinggi bagi orang yang baik akhlaknya." Hadis Riwayat Abu Dawud.

8. Dengan Iman, Islam, Hijrah dan Jihad. Nikmat terbesar yang diberi oleh Allah SWT kepada kita ialah nikmat Iman dan Islam. Mereka yang beriman dan Islam, kemudian juga berhijrah dan berjihad akan melayakkan dia mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Aku menjamin orang yang beriman kepadaku, masuk Islam dan berhijrah dengan sebuah rumah di pinggir syurga, di tengah syurga dan syurga yang paling tinggi. Aku menjamin orang yang beriman kepadaku, masuk Islam dan berjihad dengan sebuah rumah di pinggir syurga, di tengah syurga dan syurga yang paling tinggi. Barangsiapa yang melakukan itu, ia tidak membiarkan satupun kebaikan, dan lari dari semua keburukan, ia meninggal, di mana saja Dia kehendaki untuk meninggal." - Hadis Riwayat al-Nasai, Ibnu Hibban dan Al-Hakim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan