Memaparkan catatan dengan label Religion - Tauhid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Religion - Tauhid. Papar semua catatan

Jumaat, 2 September 2011

Maksud Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar dan Lahawlawala Quwwataillabillahilaliyyilazim

Kita selalu berzikir dengan menyebut zikir secara berturutan seperti berikut: Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar dan Lahawlawala Quwwataillabillahilaliyyilazim. Tetapi berapa ramaikah dari kita yang mengkaji apakah maksud zikir-zikir tersebut. Saya rasa dari segi bahasa hampir semua dari kita tahu maksudnya. Cuma dari segi huraian maksud setiap zikir tersebut tidak ramai yang tahu. Pada artikel kali ini saya akan menerangkan huraian maksud zikir tersebut.

1. Subhanallah (Tasbih)
Subhanallah dari segi bahasa bermaksud Maha Suci Allah. Huraiannya ialah kita meyakini bahawa Allah itu Maha Bersih dan Maha Suci. Allah tidak melakukan kesilapan dan segala tindakanNya sentiasa betul. Saya bagi contoh. Di dalam dunia ini, ada manusia yang Allah pilih untuk beri hidayah dan ada manusia yang Allah pilih untuk tidak memberi hidayah. Ketahuilah bahwa Allah SWT itu langsung tidak memilih kasih. Sesiapa yang diberikan hidayah oleh Allah memang layak menerima hidayah itu berdasarkan usaha dan takdirnya manakala sesiapa yang tidak diberikan hidayah oleh Allah SWT, dia memang tidak layak menerima hidayah tersebut berdasarkan usaha dan takdirnya juga.

Allah SWT langsung tidak serupa dengan manusia yang suka pilih kasih apabila memberi sesuatu. Contohnya bos yang asyik pilih kasih apabila memberi markah cemerlang dan pangkat walaupun mungkin ada orang lain yang sama/lebih layak untuk menerima markah cemerlang dan pangkat tersebut. Contoh yang lain apabila seseorang lelaki itu berkahwin empat. Adalah mustahil untuk dia menyintai keempat-empat isterinya dengan sama rata. Soal hati itu tidak dikira berdosa kerana itu sifat semulajadi manusia. Yang penting dia mestilah berlaku adil terhadap isteri-isterinya dengan memberikan hak mereka seperti nafkah zahir dan batin, giliran yang bersesuaian dsb.

2. Alhamdulillah (Tahmid)
Alhamdulillah dari segi bahasa bermaksud segala puji itu hanya untuk Allah. Dari segi huraian maksudnya segala yang kita ada, semuanya adalah milik Allah. Apabila ada orang yang memuji kita samaada hebat, hensem atau kaya, kembalikanlah pujian tersebut kepada Allah dengan mengucapkan Alhamdulillah. Janganlah kita merasa hebat dengan apa yang kita miliki samaada ilmu, pangkat, harta dsb kerana semuanya adalah kurniaan dari Allah. Ada orang yang merasa dia hebat kerana berjaya menjawat pangkat yang tinggi dalam syarikat. Siapakah yang telah memberikannya otak dan kepandaian sehingga dia layak menjawat jawatan tersebut? jawapannya ialah Allah. Sebenarnya segala yang kita ada, semuanya adalah milik Allah. Di akhirat nanti, kita akan ditanya oleh Allah apakah yang telah kita buat dengan nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada kita. Ucapkanlah Alhamdulillah juga untuk bersyukur terhadap segala nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.

Ucapan ALHAMDULILLAH yang diucap dengan ikhlas
nescaya akan dibalas dengan Rahmat dariNya
dan sesiapa yang diberi Rahmat olehNya
Insya Allah akan bertambah nikmatnya

3. Lailahaillah (Tasdiq/Tauhid)
Maksud Lailahaillah ialah tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Dari segi huraian maksudnya kita hanya patut menyembah Allah semata-mata dan bukannya benda-benda lain di dunia ini. Kalau zaman dulu, masyarakat jahiliah menyembah berhala. Tapi zaman sekarang ini ada manusia yang bertuhankan benda seperti wang, wanita, pangkat, manusia dsb. Maksud bertuhankan benda ini ialah sanggup melakukan apa sahaja tidak kira halal atau haram untuk mendapatkan benda tersebut. Wang, wanita, pangkat dan lain-lain tidak salah untuk dimiliki tetapi perlu dimiliki dengan cara halal seperti bekerja, berkahwin dan jujur. Bukan dengan cara haram seperti menipu, mencuri, makan rasuah, berzina dsb. Ada orang yang sanggup bekerja dengan kuat tanpa menghiraukan solat 5 waktu kepada Allah SWT. Bukankah seolah-olah dia telah bertuhankan wang dengan mengabaikan Allah SWT? Bukankah dia seolah-olah telah syirik kepada Allah SWT? berhati-hatilah dengan syirik kerana syirik termasuk dalam dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT kecuali dengan bertaubat Nasuha iaitu taubat yang bersungguh-sungguh dan tidak mengulangi lagi dosa tersebut.

4. Allahu Akbar (Takbir)
Dari segi bahasa Allahu Akbar bermaksud Allah Maha Besar. Huraian bagi maksud Allahu Akbar ialah Allah itu Maha Besar dan Hebat. Dia boleh berbuat apa sahaja yang dia kehendaki dan tiada siapa yang boleh mempertikaikan segala tindakanNya itu. Tiada siapapun yang layak menyoal Allah tentang segala tindakan dan keputusanNya bahkan makhluklah yang akan disoal oleh Allah SWT di akhirat nanti tentang apa yang mereka kerjakan. 

Allah berfirman: Dia (Allah) tidak boleh ditanya tentang apa yang Dia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak. (Al-Anbiya' 21:23)

Sesungguhnya ilmu Allah itu Maha luas. Sekiranya dibuat perbandingan ilmu Allah dengan ilmu makhluk itu, ilmu Allah itu seumpama satu lautan yang luas sedangkan ilmu makhluk itu seumpama setitis air dari lautan tersebut, bahkan lebih sedikit dari itu. Jadi layakkah kita mempertikaikan keputusan Allah terhadap kita dengan ilmu kita yang sedikit ini? Oleh itu, kita tidak boleh sama sekali membesarkan benda lain selain dari Allah SWT. Kesemua kita adalah hamba Allah yang tertakluk kepada hukum syariat yang telah ditetapkanNya. kita mestilah mengikut segala hukum syariat Allah untuk membesar dan mengagungkanNya.

5. Lahawlawala QuwwataillabillahilAliyilAzim (Takdis)
Maksud Lahawlawala QuwwataillabillahilAliyilAzim ialah tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah. Dari segi huraian maksudnya kita hendaklah takut hanya kepada Allah dan bukan kepada makhluk kerana makhluk itu langsung tiada kuasa. Kekuasaan makhluk itu hanya sekadar yang diizinkan oleh Allah SWT. Janganlah takut dengan hantu, orang yang berpangkat besar, orang kafir, orang munafik, orang jahat dsb. Takutlah hanya kepada Allah SWT. Sesiapa yang takut kepada Allah SWT, semua makhluk akan takut kepadanya kerana tidak kira siapa sahaja langsung tiada kuasa untuk menyakiti diri anda kecuali diizinkan oleh Allah SWT.

Akhir kata, di antara fadhilat berzikir dengan Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar dan Lahawlawala Quwwataillabillahilaliyyilazim adalah seperti 3 hadis berikut:

Hadis 1
Ketika Siti Fatimah r.a. puteri baginda Rasulullah s.a.w. merayukan halnya kepada baginda dengan berkata:

"Ya Rasulullah, berikan kepadaku seorang hamba (khadam) agar aku dapat mengatasi kesukaran-kesukaran yang ku alami dalam menyelenggarakan urusan-urusan rumah-tangga ku." Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:


"Hendaklah kau ucapkan: SUBHANALLAHI sebanyak 33 kali ALHAMDULILLAHI sebanyak 33 kali dan ALLAHU AKBAR sebanyak 34 kali sebelum tidur di malam hari."

Lantas baginda Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Ini lebih baik bagimu daripada khadam yang kau mintakan itu."


Hadis 2

Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa satu ketika baginda Rasulullah S.A.W datang kepada kami dan bersabda: Ambillah perisai untuk melindungi kamu! Para sahabat R.Anhum bertanya: Ya Rasulullah, adakah musuh akan datang? Baginda bersabda: Ambillah perisai untuk melindungi kamu dari api neraka. Bacalah : Subhanallah, Alhamdulillah, Laailahaillallah, Allahuakbar, Walahaulawalakuataillabillah, - Sesungguhnya kalimat ini akan datang pada hari kiamat kepada pembacanya dan akan melindunginya dari sebelah hadapannya, disebelah belakangnya, dikanannya dan dikirinya dan inilah amal kebajikan yang sentiasa mendapat ganjarannya. (HR Tabrani. Majma`ul Bahrain).



Keterangan

Dalam hadith dinyatakan "Kalimat ini akan berada dihadapan pembacanya: bermaksud ialah dia akan menjadi penyokong dan pembela untuknya. Dan :berada disebelah belakang, kanan dan kirinya" bermaksud dia akan melindungi pembacanya dari segala azab dan siksa.


Hadis 3
Riwayat Muslim menjelaskan bahawa barangsiapa bertasbih (Subhanallah) setiap kali selesai solat sebanyak 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) sebanyak 33 kali dan bertakbir (Allahu Akbar) sebanyak 33 kali, kemudian digenapkan dengan mengucapkan La Ilaha Illallahu Wahdahu La Syarikalahu Lahul Mulku Wa Lahul Hamdu Wahuwa 'Ala Kulli Syai-in Qadir, nescaya akan diampuni dosanya walaupun sebanyak buih di lautan. 

Kalimah 'Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillallah Wallahuakbar' juga dikenali sebagai Al-Baqiyat As-Salihat seperti disebut dalam Quran surah Al-Kahfi ayat ke-46. Di sana disebutkan suatu amalan yang ganjarannya lebih utama dibanding perhiasan dunia yang berupa anak dan harta. Maksud ayat : “Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh (al-baqiyat as-salihat) adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.”

Diriwayatkan dari Abu Sa’id Al Khudry r.a., Telah bersabda Rasulullah saw : “Perbanyaklah oleh kalian dari bacaan “al baqiyat as-salihat”. Sahabat-sahabat lantas bertanya : Apakah “al baqiyat as-salihat” itu Ya Rasulullah saw ? Baginda bersabda : Subhanallah walhamdulillah walailaha illallah wallahu Akbar wala haula wala quwwata illabillah."


Fadhilat menyebut Al-Baqiyat As-Salihat ini sangatlah banyak seperti berikut:
1. Menggugurkan dosa seperti menggugurkan daun-daun kering dari pokok
2. Subhanallah mendapat 20 pahala dan dipadam 20 dosa
3. Alhamdulillah mendapat 30 pahala dan dipadam 30 dosa
4. Lailahaillallah mendapat 20 pahala dan dipadam 20 dosa
5. Allahuakbar mendapat 20 pahala dan dipadam 20 dosa
6. Subhanallah dan Alhamdulillah akan mendapat pahala memenuhi ruang antara langit dan bumi
7. Merupakan tanaman syurga, orang yang mengucapkannya sekali akan ditanamkan baginya satu pohon di syurga

Jumhur ulama menyarankan agar kita menyebut Al-Baqiyat As-Salihat ini seratus kali pada waktu pagi selepas Subuh dan pada waktu petang selepas Asar.

Sumber Al-Baqiyat As-Salihat: Ceramah Ustaz Jafri Abu Bakar 

Rabu, 31 Ogos 2011

Kuliah Syahadah (Bahagian 2)

Bismillahir Rahmanir Rahiim


Akidah kepada Rasulullah ini hendaklah  diperluaskan lagi. Tidak cukup dengan hanya yang asas.


1. Di antaranya,'' Saya naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu maksum.''
Maksud  maksum adalah baginda tidak berbuat salah dan tidak berbuat dosa, sekalipun dosa kecil.

Walaupun sifat ini tidak wajib dipelajari dan tidak menjadi asas akidah  tetapi eloklah kita tahu supaya kita terasa kebesaran dan kehebatan Rasulullah SAW agar kita dapat menghayatinya.

Untuk menjadi orang bertaqwa, kita harus mencintai Rasulullah SAW dengan sebenar2 cinta.

''Aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu maksum.'' Jarang orang memperkatakan sifat maksum ini sebab ia bukanlah akidah yang asas.

Rasulullah itu sejak dari kecilnya telah terpelihara. Dosa kecil pun baginda tidak buat. Bukankah luar biasa! Bila kita melihat peribadinya, kita menjadi sangat menyayanginya dan ingin
mengikut jejak langkah seseorang  yang sangat disayangi Tuhan.

 2. Kita harus menyaksikan bahawa Rasulullah itu adalah ummi.
Apakah maksud ummi? Maksud Ummi ialah, baginda tidak membaca dan menulisJangan berkata Rasulullah itutidak pandai membaca dan menulis...jangan berkata begitu.

Untuk mendapatkan ilmu, Rasulullah tidak perlu membaca dan menulis seperti kita.


Lebih bahaya lagi bila kita kata dia tidak boleh membaca dan menulis. Itu namanya menghina. Jika kita kata Rasulullah membaca dan menulis, tidaklah hebat juga bunyinya dibandingkan dengan jika kita kata baginda tidakmembaca dan menulis.

Kalaulah kita tidak membaca dan tidak menulis [ummi], akan berilmukah kita? Rasulullah tidak membaca dan tidak menulis tetapi baginda sarat dan penuh dengan ilmu. Sungguh luar biasa!


Jadi terasalah kehebatan dan kebesaran Rasulullah itu. Keyakinan Ini penting untuk mencapai sifat taqwa. Jadi  katakanlah '' Aku naik saksi bahawa Rasulullah itu tidak membaca dan tidak menulis''. 


3. '' Saya naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu contoh ikutan.'' Mesti yakinkan itu. Bila dikatakan contoh, kita akan nampak baginda itu di hadapan dan di belakang kita. Roh kita akan menjadi yakin akan kebesarannya lantas mudah kita mencapai sifat  taqwa.


4. ''Saya naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah wasilah.''

Rasulullah SAW  itu adalah  wasilah tetapi kita sebagai umatnya  jarang mengambil peduli dan tidak endah. Padahal perihal  wasilah baginda itu adalah satu  perkara  yang besar. Apakah buktinya ?.

=>Setiap hari kita membacanya di dalam doa selepas azan. Walaupun hukumnya sunat, maksudnya adalah besar.

Apakah maksud wasilah?  Wasilah ada dua =>  yang lahir dan  yang batin. Wasilah lahir adalah ilmunya. Jikalau bukan baginda sebagai wasilah, kita tidak mendapat ilmu yang diwahyukan kepadanya sebagai utusan Allah.

Katalah kita tidak mahu belajar ilmu-ilmu  yang disampaikan oleh Rasulullah  SAW melalui Al Quran dan Hadis => maka boleh rosaklah wasilah lahir kita.


Wasilah lahir Rasulullah ialah perbuatannya, sikapnya, tingkah laku dan sebagainya, walaupun Rasulullah sudah tiada lagi. Dengan izin Allah, baginda diyakini orang walaupun sudah lebih 1400 tahun baginda meninggalkan kita.

Ada lagi satu wasilah yang telah dilupakan  orang iaitu wasilah roh muqodassah. Roh yang sangat suci.Walaupun baginda sudah wafat, dengan izin Tuhan, baginda boleh membantu umatnya.


Sama ada dalam menolong agamaNya, untuk mendapat kekuatan lahir dan batin, baginda boleh dijadikan wasilah. Ilmu ini sudah beratus tahun tidak dipedulikan orang. Sebab itu umat Islam dihina dan terhina. Bahkan bagi golongan fahaman wahabi, wasilah itu dianggap syirik.

Sebab itu orang-orang yang rohnya bersih, mereka  boleh berjumpa Rasulullah dalam keadaan jaga =>bukan dalam mimpi. Jika di  dalam mimpi, itu perkara biasa. Mereka boleh berbual2 dalam keadaan jaga. Bukankah hebatnya Rasulullah!

Kita boleh berdoa dengan menyeru namanya, meminta bantuannya.


''Wahai Rasulullah, tenangkan hati saya. Berilah  saya ilmu dan lain-lain. Bantulah  saya menjadi orang bertaqwa.''

Ini sudah tidak dipelajari sejak beratus tahun. Sebab itu umat Islam terhina dimana-mana.


Jadi bila kita mengucap dua kalimah syahadah, menurut kita yang berfahaman Ahli sunnah wal jamaah, maka kita bersaksilah bahawa baginda adalah wasilah.

5. Kita naik saksi lagi bahawa Nabi Muhammad itu kalau bukan kerananya, dunia dan akhirat tidak diciptakan.

Bukankah betapa  besarnya Rasulullah? Sebab itu baginda dikatakan sohibuz zaman => Orang yang mempunyai /menguasai semua zaman.


Sebab itu perlu wasilah baginda , kerana baginda itu Tuhan yang menjadikan.


Sebagaimana Allah menyebut di dalam Al Quran,''Tidak Kami jadikan engkau Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.''


Artinya kalau bukan kerana Rasulullah, dunia akhirat dan kita ini pun tidak ada.

''Ya Allah, saya minta di atas nama Nabi Muhammad kerana wasilah.'' Turunlah rahmat.

Kerana Rasulullah, Allah berikan apa yang diminta. Inilah ilmu yang sudah dilupakan orang. Bahkan disyirikkan orang. Banyak perkara-perkara seni sudah terhapus. Kerana itu untuk berkasih sayang sudah susah! Seni-seni sudah tidak ada. Jiwa sudah menjadi kasar.



Bukankah Nabi Adam AS setelah beliau melakukan dosa memakan buah khuldi, beliau berwasilah dengan nama Muhammad agar dosanya diampunkan oleh Allah SWT? Dengan cara inilah akhirnya dosa beliau telah diampunkan oleh Allah SWT.

Itulah dia akidah tambahan untuk menjadi orang bertaqwa. Jika yang asas sahaja, tidak cukup. 
Sebab itu jika kita membaca riwayat,  sahabat-sahabat di zaman Rasulullah, janggut Rasulullah pun dipandang besar. Sayidina Khalid membawa janggut Rasulullah ke medan perang. Bila serbannya jatuh sewaktu berperang, dia cepat-cepat mengambilnya kerana ada janggut Rasulullah di dalamnya.

Akhirnya orang bertanya,''Wahai Khalid, sewaktu berperang, serban kamu jatuh pun, kamu ambil?''

=>''Sebab ada janggut Rasulullah di dalam serban....Dengan berkat janggut kepunyaan Rasulullah itulah saya diizinkan Allah menang.''

Dengan janggut baginda, orang boleh bertawassul,mengambil berkat, betapalah dengan roh, jasad, akal dan dengan akhlaknya. Tetapi ilmu ini sudah terlalu dilupakan.

Syahadah Rasulullah itu besar dan luas. Ada yang asas dan ada yang tambahan. Bila digabungkan barulah boleh membantu kita untuk menjadi orang yang bertaqwa.

Saya rasa cukuplah setakat itu. Yang baik datangnya dari Tuhan. Terima kasih Tuhan kerana telah memberikan sesuatu yang benar.

--------------------------------------------------- 


Kuliah: Ustaz Ashaari Muhammad
Sumber : Rufaqa Eropah

Kuliah Syahadah (Bahagian 1)


Bismillahi Rahmanir Rahim.


Anak-anakku yang dikasihi sekalian.


Alhamdulillah. Mari kita sambung kuliah tentang Kalimah Syahadah ini. Hari ini kita hendak perkatakan tentang syahadah Rasulullah. "Asyhadu allailahaillallah wa asyahaduanna muhammadurrasulullah" - Saya naik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Saya naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Dalam ajaran Islam, Rasulullah juga termasuk sebahagian akidah. Sebab itu di’set’kan dalam syahadah itu, nama Allah dengan Rasulullah. Tidak sah akidah jika menyebut salah satu sahaja. Jika kita bersyahadah dan menyebut Rasulullah tanpa Allah atau menyebut Allah tanpa Rasulullah, itu tidak dikira sah.

Kebesaran Tuhan itu tiada tandingannya. Tiada satu makhluk pun yang boleh menandingi-Nya. Tetapi atas nisbah makhluk, kehebatan Rasulullah itu besar. Allah SWT sendiri membesarkan baginda supaya hamba-hamba Allah juga membesarkan baginda. Hinggakan nama Allah  dan Rasulullah di’set’kan sekali dalam syahadah. Akhirnya kedua-keduanya menjadi akidah, menjadi pegangan dan keyakinan.


Apa maksudnya Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah? Artinya kita wajib yakin bahawa baginda itu pesuruh Allah. Pesuruh yang Tuhan telah lantik kepada seluruh alam. Jin dan manusia diperintahkan mengikut apa yang diarahkan oleh Allah,  yakni mengaku Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Itu akidah asas.

Termasuk dalam ‘meyakini’ yang tersirat iaitu apa sahaja yang ada hubungan dengan Rasulullah atau yang wajib berlaku pada Rasulullah. Wajib kita yakin. Pegangan dan akidah kita adalah termasuk dalam pengakuan syahadah itu.


Kita sudah mengakui Allah itu Tuhan kita. Zat itu adalah zat Pencipta alam. Dengan sendiri, sifat-sifatNya yg berkait dengan Tuhan, kita wajib yakin dan percaya.

Artinya kalau kita yakin seseorang itu utusan Allah, maka kita bersaksi, percaya dan yakin kepada apa sahaja sifat-sifat yang wajib pada Rasul itu.
Ada 4 sifat wajib yang ada pada Rasul yang wajib diketahui, yakin dan percaya iaitu:
1.Dalam syahadah Rasulullah, yakinkan bahawa " Aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu siddiq." Apa maksud Rasulullah itu siddiq? 


Siddiq berarti Benar, yakni kata-katanya benar, perbuatannya benar, sikapnya benar, menggambarkan segala yang Allah perintahkan kepadanya.
~Rasulullah itu, cakapnya tidak mendahului perbuatan.
~Tidak membohongi.
~Perbuatannya tidak membohongi perkataan.
~Perbuatan dan kata-katanya itu sama.

Itulah keyakinan kita. Kita naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW itu siddiq. Kita membenarkan perkataan, perbuatan dan sikapnya. Apa yang berlaku pada Rasulullah itulah yang Tuhan kehendaki.

2.Begitu juga kita naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu amanah. Apa maksud amanah?
Apa sahaja yang Allah pesankan untuk disampaikan, walau satu perkataan pun tidak tercicir. Bukan sahaja satu ayat, malah satu perkataan pun tidak tercicir. Satu lafaz pun tidak tertinggal. Bahkan satu huruf pun tidak tercecer. Artinya amanah sungguh Rasulullah itu. Allah swt telah menyampaikan Al Quran. Betapa banyak ayatnya dan perkataannya, namun satu huruf pun tidak tercicir. Begitu amat amanahnya Rasulullah dengan Tuhan.

Jadi, bila kita mengucap "asyhadu anna Muhammadurrasulullah", didalamnya itu, rupanya terkandung yang dimaksudkan bahawa Rasulullah itu bersifat amanah.


Saya bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu amanah. Sangat jujur menyampaikan hingga tidak ada yang tercicir dan tidak bertambah walau satu huruf.
Tidak menambah-nambah.


Maka kita bersaksi bahawa sifat amanah Rasulullah itu adalah satu keyakinan. Sesiapa yang tidak belajar tentang sifat ‘amanah’ dan ‘siddiq’ ini boleh berdosa. Akidah boleh menjadi cacat. Sebab itu wajib kita tahu, percaya dan yakin. Sebab ia termasuk sifat yang wajib bagi Rasul.

3. "Asyhadu anna Muhammadurrasulullah" itu juga kita maksudkan bahawa kita bersaksi bahawa Rasulullah itu tabligh atau menyampaikan. Bukan sahaja kita wajib yakin rasul itu Rasul. Kita juga wajib yakin bahawa dia sangat menyampaikan. Sedikit pun tidak syak. Menyampaikan  hinggakan satu huruf pun tidak tercicir. Menyampaikan kepada semua.

4.Bila kita mengucap dua kalimah syahadah itu, kalimah Rasulullah yang kita maksudkan lagi ilah "Saya bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah cerdik/fathonah".


Cerdiknya Rasulullah itu pun menjadi akidah. Sesiapa beriktikad Rasulullah bodoh, rosaklah akidahnya. Katalah seseorang itu yakin pada Rasulullah, yakni yakin baginda yang membawa Al Quran untuk mengislamkan manusia dengan Al Quran, yakin baginda bersifat siddiq, amanah, dan tabligh tetapi yang satu ini dia tidak yakin. Maka rusaklah akidahnya.

Sifat cerdik itu adalah sebahagian dari satu pakej sifat2 Rasul yang 4. Itulah yang dikatakan Syahadat Rasulullah.

Syahadat Rasulullah menjadi akidah bersama-sama Syahadat Tauhid.

Cerdik Rasulullah bukan lagi cerdik istilah manusia.
Istilah genius itu adalah istilah yang tersendiri. Pada manusia umum, istilah cerdik itu biasa.


Tetapi hendak mencari yang ‘zakiyun’ itu juga payah. Genius pula istilah cerdik luar biasa pada orang awam [dipinjam dari bahasa Inggris].

Dalam istilah bahasa arab ‘genius’ disebut abqari iaitu ahli-ahli falsafah, ahli pemikir, atau ahli otak. Rasulullah tidak dikatakan abqari. Dia amat tersendiri. Sebab itu ada istilah baqanah. Istilah baqanah hanya boleh disandarkan pada Rasulullah. Kecerdikan Rasulullah itu tiada bandingan. Abqari pun kalah. Walaupun seribu ahli falsafah yang bertaraf abqari, mereka tidak boleh lawan satu fathonah. Sebab itu, ia dijadikan keyakinan akidah. Adalah menjadi akidah bahawa "Saya bersaksi Rasulullah itu adalah fathonah." 

Jika ada kita bertanya seseorang  tentang Rasulullah, dia menjawab "Eh!  tak pernah dengar pun tentang sifat  fathonah pada Rasulullah?". Rosak akidah dia!

Lebih lagi boleh rosak,kalau dia telah belajar tetapi dia tidak yakin. Lagi rosak kalau dia tidak belajar dan dia tidak tahu bahawa akidahnya sudah rosak!

Sebab itu wajib tahu dan wajib belajar! Serta wajib dijadikan keyakinan. Kalau sudah tahu tetapi menolak juga, lagilah berat. Sebab kalau sudah rosak akidah, walaupun akidah tentang syahadat Rasulullah sahaja, solat, zakat, puasa, haji menjadi batal.

Maka semasa kita mengucap dua kalimah syahadat itu, bukan sahaja kita wajib mengakui bahawa Nabi Muhammad itu Rasul tetapi 4 sifat yang wajib baginya pun kita kena yakin dan kita saksikan. 

Saya rasa, tentang keyakinan pada sifat yang 4, inipun ramai orang telah mengabaikannya. Sifat fathonah itu pun orang ambil tidak peduli. Ramai yang yakin Nabi Muhammad itu pesuruh Allah tetapi sifat-sifat baginda tidak pernah diambil tahu.

Seperti orang yakin bahawa Allah itu Tuhan tetapi tidak tahu sifat-sifat Tuhan seperti Maha berkuasa, berkehendak, mendengar dsb. 

Di dalam Islam ini, akidah yang asas sahaja tidak cukup. iaitu sekadar hendak membezakan antara Islam dan kafir. Menjadi orang baik itu sahaja tidak cukup. Allah minta kita bukan setakat menjadi muslim atau orang Islam. Tidak pernah dikatakan orang Islam begini-begini masuk syurga. Tidak ada. Syaratnya mestilah menjadi orang bertaqwa. Lagi selamat. Dengan Islam sahaja tidak tentu selamat. Mukmin sahaja pun tidak pasti selamat dari neraka. Mesti mukmin yang bertaqwa. Jadi, jika  hendak menjadi orang yang bertaqwa, ada satu pakej. Gabungan rukun iman, rukun Islam dan ihsan, ianya adalah  satu pakej. Kena ada ilmunya, difahami, dihayati lalu diapply dalam kehidupan, barulah boleh jadi orang bertaqwa.

Kerana ada rukun kepada rukun Iman, ada rukun kepada rukun Islam dan dalam rukun Ihsan, ada rukunnya. Kesemuanya itu satu pakej, barulah boleh menjadi orang bertaqwa. Sebab itu di dalam ajaran Islam ada 3, Iman, Islam dan Ihsan. Iman dan Islam sahaja tidak cukup. Mesti ada Ihsan. Kalau sampai peringkat Ihsan , baru boleh menjadi orang bertaqwa. Bila sudah menjadi orang  bertaqwa, baru ada jaminan selamat dunia akhirat. Di dunia ada jaminan tenang, bantuan dari Tuhan dan diakhirat selamat dari neraka serta terus akan pergi ke syurga.


Jadi jangan belajar Islam yang asas sahaja sedangkan kita tidak sedar kita sudah jatuh kafir. Sebab itu Tuhan bukan hendak kita setakat menjadi Islam atau mukmin tetapi muttaqin.
---------------------------------------------------------


Kuliah : Ustaz Ashaari Muhammad
Sumber : Rufaqa Eropah

Khamis, 28 Julai 2011

PENGERTIAN AL-HAQ (kebenaran) dan AL-BATHIL (kebatilan)


Haq (kebenaran) dan Bathil (kebatilan) adalah dua realiti objektif yang sentiasa bersifat  kontradiktif (bertentangan) di antara satu sama lainya. Bahkan pertentangan tersebut akan mengkristal menjadi peperangan abadi.


Selama didunia ini berlaku siang dan malam, gelap dan terang, maka selama itulah pula akan berlaku pertarungan antara yang haq dan yang bathil di alam semesta ini. 

Dan Allah akan mengukuhkan yang benar dengan ketetapan-Nya, walaupun orang-orang yang berbuat dosa tidak menyukai(nya). (Yunus 10:82)

Agar Allah menetapkan yang hak (Islam) dan membatalkan yang batil (syirik) walaupun orang-orang yang berdosa (musyrik) itu tidak menyukainya. (Al-Anfal 8:8)

Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu dia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah ia dan (tetaplah) kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami) (Al-Anbiya 21:18) 

APAKAH AL-HAQ ITU?

(Apa yang telah Kami ceritakan itu), itulah yang benar, yang datang dari Rabbmu, karena itu janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu. (Al-Imran 3:60). 

Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu. (Al-Baqarah 2:147) 

Dan Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi, lalu Kami berkata: tunjukkanlah bukti kebenaranmu, maka tahulah mereka bahawasanya yang hak itu kepunyaan Allah dan lenyaplah dari mereka apa yang dahulunya mereka ada-adakan. (Al-Qasas 28:75)

Allah SWT adalah Al-Haq [22:6], dimana kebenaran sejati itu adalah bersumber dari Allah. Oleh karena itu segala sesuatu yang tidak bersumber (berpedoman) dan atau berlawan dengan keputusan (wahyu) Allah, adalah kebatilan [22:62, 31:30]. dan kesesatan [10:32].

Oleh karena itu, kita bisa menyimpulkan bahwa "Al-Haq" (kebenaran sejati) itu adalah kebenaran yang bersumber dari Allah. Dan segala sesuatu yang tidak bersumber dari Allah adalah Bathil (kebatilan) dan Dholal (kesesatan).

Hukum yang bersumber dari Allah (berdasar wahyu) adalah hukum yang haq, sementara hukum yang tidak bersumber dari Allah (wahyu) adalah hukum yang bathil [5:49-50, 10:35-36]. Oleh itu, negara yang melaksanakan hukum Allah yang haq adalah negara yang haq. Sebaliknya, negara yang melaksanakan hukum bathil iaitu hukum ciptaan manusia, adalah negara Bathil.

Kadang kala para pembela kebatilan menyatakan kepada rakyat bahwa apa yang dibawanya adalah kebenaran, seperti pernyataan Fir'aun yang diabadikan Al-Qur'an.


(Musa berkata)Wahai kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa memerintah dengan bermaharajalela di muka bumi (Mesir dan sekitarnya; tetapi kiranya keadaan bertukar) maka siapakah yang akan membela kita dari azab Allah kalau azab itu datang menimpa kita? Firaun berkata: Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan) dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar. (Ghafir 40:29) 

Khamis, 30 Jun 2011

Ketinggian Darjat manusia di sisi Allah

Ketinggian Darjat manusia di sisi Allah berdasarkan 1) ILMU 2) IMAN 3) TAKWA 4) AMAL

Kenapa ilmu itu diletakkan nombor 1?

Dalil Naqli#1: ….(Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki; dan tiap-tiap yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya  yang lebih mengetahui (Surah Yusof ayat 76)

Dalil Akli: Rasulullah SAW yang menghafal dan mengamalkan Al-Quran iaitu ilmu yang tertinggi adalah manusia yang paling mulia dan paling dikasihi Allah SWT.

Asas ibadat itu sendiri adalah dengan ilmu. Sekiranya seseorang itu solat tanpa ilmu iaitu tanpa menyempurnakan rukun-rukunnya, solatnya tidak sah dan tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Dalil Naqli#2: Maksud hadis Rasulullah SAW “Berfikir sesaat itu lebih baik dari solat sunat 1000 rakaat”

Berfikir yang macam mana? Berfikir tentang ciptaan Allah dan kebesaran Allah. Juga berfikir tentang hari akhirat. Ini akan menambahkan ilmu dan meningkatkan iman.

Ilmu itu sendiri terbahagi kepada 2 iaitu 1) Ilmu Akli 2) Ilmu Laduni

Ilmu Akli boleh dipelajari dengan menggunakan akal. Ilmu ini boleh didapati oleh semua manusia yang rajin. Cara-cara agar ilmu Akli bertambah seperti berikut:
1.       Banyak membaca seperti maksud ayat Al-Quran pertama yang turun iaitu Iqra’ atau 
          maksudnya bacalah.
2.       Banyak mendengar ceramah agama dan juga menghadiri majlis ilmu
3.       Mengamalkan apa yang kita tahu
4.       Mengajar apa yang kita tahu
5.       Bertanya orang yang ahli apa yang kita tak tahu
6.       Mengkaji Sunnatullah Alamiah iaitu hukum alam

Ilmu Laduni pula ialah ilmu yang bersifat seni (Kasyaf) yang diberikan oleh Allah kepada orang-orang tertentu yang dikasihiNya. 

Dalil Naqli#3: hadis qudsi, Allah berfirman yang maksudnya: Orang yang mendekatkan diri kepadaKu, mengerjakan yang fardhu dan yang sunat, sehingga Aku cinta kepada mereka lalu Aku menjadi pendengaran mereka dan Aku menjadi penglihatan mereka.

Dalil Naqli#4: “Dan kami telah ajarkan kepadanya (Nabi khidhir) dari sisi Kami suatu ilmu (ilmu Laduni)”. (Surah Al Kahfi ayat 65)

Cara mendapatkan ilmu Laduni ialah dengan membersihkan hati. Semakin bersih hati seseorang itu, semakin tinggi tingkatan Kasyafnya.

Kedua-dua ilmu Akli dan Ilmu Laduni itu hebat. Orang kafir dengan hanya menggunakan ilmu Akli dengan cara mengkaji hukum alam boleh menghantar roket ke bulan. Orang Islam sepatutnya lebih hebat dari orang kafir kerana orang Islam memiliki kedua-dua ilmu Akli dan ilmu Laduni.


Daripada ilmulah seseorang itu baru boleh pergi ke tingkat seterusnya iaitu beriman kepada Allah SWT. Bagaimana hendak percaya kepada Allah kalau tak kenal Allah? Sekurang-kurangnya kena tahu 20 sifat yang wajib bagi Allah.


Saya bagi contoh lagi. Di zaman Nabi Musa AS, golongan manakah yang mula-mula beriman kepada dakwah Nabi Musa AS? Ini diterangkan oleh Allah SWT dalam surah TaHa:


(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa. (TaHa 20:70)


Golongan yang mula-mula sekali beriman kepada ajaran Nabi Musa AS ialah golongan ahli sihir Firaun kerana dengan ilmu sihir mereka, mereka mengetahui bahawa tongkat Nabi Musa yang menjadi ular itu bukanlah sihir tetapi adalah mukjizat dari Allah SWT. 


Ini menunjukkan dengan ilmulah seseorang itu akan dapat melihat kebenaran dan di zaman Nabi Musa AS, Allah SWT telah memberikan hidayah kepada golongan yang berilmu itu terlebih dahulu dari golongan yang lain walaupun ilmu yang mereka pelajari itu adalah ilmu yang salah iaitu ilmu sihir. Apatah lagi jika ilmu yang mereka pelajari itu adalah ilmu yang betul iaitu ilmu agama. 

Kenapa Iman diletak nombor 2?

Iman itu percara kepada perkara yang ghaib iaitu berdasarkan rukun iman 1) Allah 2) Malaikat 3) Kitab 4) Rasul 5) Hari Kiamat 6) Qada’ dan Qadar

Dalil Naqli#1: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. dari Nabi SAW sabdanya: "Setelah penduduk syurga masuk ke dalam syurga dan penduduk neraka masuk ke dalam neraka, maka Allah berfirman: Keluarkanlah dari neraka orang-orang yang ada iman di dalam dadanya (walau hanya) sebesar biji sawi!"

Ini menunjukkan iman itu dipandang tinggi oleh Allah, walau hanya sebesar biji sawi melayakkan seseorang itu masuk syurga setelah dibersihkan dosanya dengan api neraka.


Dalil Naqli#2: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasaara (Nasrani) dan orang-orang Saabiin, sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Al-Baqarah 2:62)


Dalam ayat diatas, Allah menegaskan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh tidak kiralah mereka itu Yahudi, Nasrani atau Saabiin akan diberi ganjaran pahala oleh Allah dan mereka termasuk dalam golongan yang bahagia.


Dalil Aqli: bukan senang nak percaya dekat benda yang kita tak nampak. Makin tinggi kepercayaan kita, makin tinggilah iman kita.

Kenapa takwa nombor 3?

Takwa itu bermaksud takut kepada Allah. Setelah adanya Iman iaitu kepercayaan kepada Allah dan perkara-perkara yang ghaib barulah kita boleh mendidik hati kita untuk takut kepada Allah. Apabila hati kita takut kepada Allah, barulah kita akan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Dalil Naqli:
Maksud Firman Allah : "Alif, Lam, Mim. Al-Qur’an adalah sebuah kitab yang tidak diragui, sebagai hidayah kepada orang yang bertaqwa." (surah Al-Baqarah : ayat 1-2)

Dalam ayat ini Allah dengan terang menjelaskan bahawa Al Quran yang diturunkan ini adalah merupakan panduan kepada hamba2nya yang bertakwa kepadaNya. Siapakah orang yang bertakwa itu? Menurut Ibn Abbas orang yang bertakwa itu ialah seorang muslim yang meninggalkan syirik kepada Allah dan melakukan amal ketaatan kepada Allah semata. Maknanya melakukan semua yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang dilarang Allah.

Dalil Akli: Hanya orang yang takut dengan Allah dan percaya bahawa seluruh amalannya samaada baik atau buruk akan dihisab pada hari akhirat kelak akan menjadi seorang yang sangat baik.

Akhir sekali amal.

Amal itu apabila kita melakukan kebaikan dan beribadat semata-mata untuk mengharapkan keredhaanNya. Yang paling utama ialah rukun Islam itu sendiri iaitu 1) mengucap dua kalimah syahadah 2)solat 5 waktu 3) berpuasa bulan Ramadhan 4) mengeluarkan zakat 5) menunaikan haji di Mekah jika mampu

Dalil Naqli:  Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya keutamaan dan kelebihan seorang yang alim berbanding seorang abdi (ahli ibadah) adalah seperti kelebihanku berbanding orang yang paling rendah antara kamu. Sesungguhnya Allah, malaikat, makhluk di langit dan di bumi, malah semut di dalam lubang dan ikan di laut sentiasa memohon keampunan untuk orang alim (ulama selalu membimbing umat ke arah kebaikan). (Hadis Riwayat Imam Tarmizi)

Dalil Aqli: Ada orang di dunia ini yang beribadat dengan banyak tapi muflis di akhirat kelak kerana 1) tidak ikhlas beribadat kerana Allah 2) pahalanya terpaksa digunakan untuk membayar dosanya kepada orang lain. 3) amalannya tidak diterima oleh Allah kerana sebab-sebab tertentu (akidah tidak betul, amalan yang tidak mengikut sunnah, amalan tanpa ilmu dsb)


Contoh ibadat tanpa ilmu - Takbir Ultraman

Ini menunjukkan seorang yang banyak amalannya itu belum tentu akan selamat di akhirat. Masih perlu diperiksa keikhlasan ibadatnya, berapa banyak dosanya kepada orang lain dan sama ada amalannya itu dengan ilmu dan mengikut sunnah Rasulullah SAW atau sebaliknya.