Memaparkan catatan dengan label syurga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label syurga. Papar semua catatan

Ahad, 17 Mei 2020

8 Amalan Pada Waktu Pagi dan Waktu Petang

1. Berselawat pada waktu pagi selepas Subuh 10 kali dan selepas Asar 10 kali. Jumhur ulama menyarankan selawat seperti berikut: Allahumma Solli Ala Saiyidina Muhammad Waala Ali Saiyidina Muhammad.

Sabda Nabi SAW: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat - HR Thabrani

2. Solat berjemaah Subuh dan Asar dan membaca zikir untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT 3x

Waktu Subuh dan waktu Asar adalah waktu pertukaran shift malaikat. Sewaktu pertukaran shift ini, Allah SWT akan bertanya kepada malaikat apakah yang sedang dibuat oleh hambaku? Malaikat akan menjawab sewaktu kami turun dia sedang solat Subuh dan sewaktu kami naik dia sedang solat Asar. Oleh itu ya Allah ampunkanlah dosanya di hari kiamat. Selepas solat bacalah zikir "Radhitu Billahi Rabba, Wa Bil islami Dina, Wabi muhammadiin Nabiya Wa Rasula" 3x untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Zikir ini boleh ditambah dengan "Wa Bil Qurani Imama, Wa Bil Kaabati Qiblata, Wabil Mukminina Ikhwana" yang bermaksud : Aku Redha Allah Subhanahu wata’ala sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai nabi dan rasulku, Quran sebagai imam (petunjuk), kaabah sebagai kiblat, mukmin sebagai saudara.

Kemudian diikuti dengan zikir berikut 3x : Subhanallahi Wabihamdihi 'Adadakhalqihi Waridhonafsihi Wazinata 'arshihi Wamida dakalimatih 3x.

Ertinya: Maha suci Allah dan segala puji bagiNya sebanyak bilangan makhlukNya, dan sebesar redha diriNya, dan seberat 'ArasyNya, dan sebanyak hitungan kalimatNya. 

Diceritakan dari sahabat Tsauban Radhiyallahu`anhu Nabi SAW berkata : Barang siapa yang di pagi dan petang mengucapkan kalimat “Radhitu Billahi Rabba, Wa Bil islami Dina, Wabi muhammadiin Nabiya Wa Rasula” 3x. Maka wajib bagi Allah Subhanahu wata’ala untuk meredhainya”. (HR.At-Tirmidzi, Abu daud dan An-Nasa’i)


Daripada Juwairiyah binti al-Harith r.ha., isteri Nabi SAW bahawa pada suatu pagi setelah selesai menunaikan solat Subuh, Nabi SAW keluar dari sisinya, sementara dia masih berada di tempat solatnya (membaca zikir). Kemudian, Nabi SAW pulang pada waktu Dhuha, sementara dia masih duduk di tempatnya. Nabi lalu bertanya:
Maksudnya:

"Apakah engkau tetap seperti itu sejak aku meninggalkanmu?" Dia menjawab: "Ya." Maka Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya sejak berpisah denganmu tadi, aku telah membaca sebanyak empat kalimat berikut sebanyak tiga kali yang jika ditimbang nilainya, tentu sama dengan banyaknya zikir yang engkau baca daripada tadi, iaitu:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ

(Hadis Riwayat Muslim) Riyadhus Solihin, Imam Nawawi

3. Baca Saiyyidul Istighfar setiap pagi selepas Subuh dan setiap petang selepas Asar.


Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang mengucapkan Sayyidul Istighfar di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. - Hadis riwayat Bukhari

4. Baca Allahumma ajirni minan naar, sebanyak 7 kali selepas Subuh dan 7 kali selepas Maghrib

Sabda Nabi SAW : Apabila kamu selesai dari solat subuh, bacalah ini sebelum kamu bercakap dengan orang lain, iaitu: Allahumma ajirni minan naar, sebanyak 7 kali, maka jika pada hari tersebut kamu meninggal dunia, akan ditetapkan oleh Allah bahawa kamu akan dijauhi dari api neraka. Apabila kamu selesai dari solat Maghrib, bacalah ini sebelum kamu bercakap dengan orang lain, iaitu: Allahumma ajirni minan naar, sebanyak 7 kali, maka jika pada waktu malam tersebut kamu meninggal dunia, akan ditetapkan oleh Allah 'azza wa jalla bahawa kamu akan dijauhi dari api neraka." (Riwayat Ahmad : 17362, Abu Daud : 5079)


5. Baca ‘Laa ilaaha illallah wahdahu laa syarikalah, lahul mulku, walahul hamdu, yuhyiy wa yumiytu wahuwa ‘ala kulli syay-in qadiir,’ sebanyak 10x selepas solat Maghrib dan Subuh dalam keadaan masih duduk tahiyat akhir dan tidak berkata-kata, sehingga selesai bacaan

Sabda Nabi SAW : Barangsiapa setelah solat Maghrib dan Subuh membaca ‘Laa ilaaha illallah wahdahu laa syarikalah, lahul mulku, walahul hamdu, yuhyiy wa yumiytu wahuwa ‘ala kulli syay-in qadiir,’ sebanyak 10x Allah SWT akan tulis setiap satu kali 10 kebaikan, dihapus 10 keburukan (dosa), diangkat 10 darjat, Allah SWT lindungi dari setiap keburukan, dan Allah SWT lindungi dari godaan syaitan yang terkutuk. (HR. Ahmad IV/227, at-Tirmidzi no.3474).

Hadis daripada Abu Zar berkata, “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda, ‘Barangsiapa yang membaca selepas solat Subuh, dalam keadaan kakinya masih seperti tasyahhud akhir, sebelum berkata-kata sebanyak sepuluh kali, ditulis baginya sepuluh kebaikan, dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan (dosa), diangkatkan baginya sepuluh darjat (kedudukan), dan dia pada hari itu terjaga daripada segala perkara yang dibenci, terbentang daripada syaitan, serta tidak ada suatu dosa yang dapat membinasakannya pada hari itu kecuali syirik (menyekutukan) Allah’. ” (Riwayat at-Tarmizi dengan sanad Hasan, Imam ath-Thobrani menyebutnya di dalam al-Aushot dan al-Kabir. Lihat juga Shahih at-Targhib wa at-Tarhib:  1/306)

6. Melakukan 2 rakaat solat sunat Isyraq setelah Subuh dan berzikir kepada Allah SWT. Tempoh masa Solat Sunat Isyraq adalah sangat singkat iaitu 15 minit sahaja (12 minit – 27 minit setelah Syuruk).

Sabda Nabi SAW: Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah  sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna, sempurna, sempurna. (Hadis riwayat al-Tirmidzi dan al-Tabrani RA : 586)


7. Sedekah Subuh. Caranya sediakan satu tabung. Kemudian pilihlah WAKTU yang paling AFDHAL iaitu SELEPAS SUBUH DAN SEBELUM SYURUK. Masukkanlah tak kira berapa sen/rm ke dalam tabung sedekah Subuh itu. Semasa hendak memasukkan wang itu berniatlah apa sahaja niat yang baik-baik untuk anda dan keluarga. Masukkan ke dalam tabung itu sehingga genap sebulan. Setelah sebulan agihkanlah kepada mana-mana orang/badan yang memerlukan dan teruskan amalan itu seperti biasa. Contohnya wang dari tabung tersebut boleh disalurkan ke tabung masjid, rumah anak yatim atau maahad tahfiz. Waktu Subuh dan Asar adalah waktu pertukaran shift malaikat dan malaikat akan mendoakan orang yang bersedekah Subuh ini. Biasakan sedekah subuh walaupun cuma seringgit atau dua ringgit, tetapi lakukanlah dengan istiqamah kerana disitu dapat doa malaikat dan doa malaikat mustajab di sisi Allah SWT.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada satu subuh-pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa: “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”, sedangkan yang satu lagi berdo’a “Ya Allah, berilah kerosakan bagi orang yang menahan (hartanya)” (Hadis Riwayat Bukhary 5/270)

8. Membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar sebanyak 100 kali selepas Subuh dan Asar

Dari Abdullah bin Amr bin Ash, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa membaca ‘Subhanallah’ 100 kali sebelum terbit dan terbenamnya matahari, maka itu lebih utama dari (pahala sedekah) 100 unta. Barangsiapa membaca ‘Alhamdulillah’ 100 kali sebelum terbit dan terbenamnya matahari, maka itu lebih utama dari (pahala sedekah) 100 kuda yang dipersiapkan untuk jihad fisabilillah. Dan barangsiapa membaca ‘Allahu Akbar’ 100 kali sebelum terbit dan terbenamnya matahari, maka itu lebih utama dari (pahala) memerdekakan 100 hamba”. (Nasa’i dalam Kitab Sunan Kubra, dan di-hasan-kan oleh Albani)

Sabtu, 16 Mei 2020

8 Amalan Untuk Membina Rumah di Syurga

Tahukah anda kita boleh membina rumah di dalam syurga sejak di dunia ini lagi? Cuba anda bayangkan rumah di dunia ini. Semakin cantik rumah di dunia ini, semakin mahallah harganya. Dari rumah kos rendah yang berharga puluh ribu kepada rumah apartment yang berharga seratus ribu kepada rumah kondo yang berharga beratus-ratus ribu kepada rumah teres yang berharga lebih lima ratus ribu kepada rumah banglo yang berharga jutaan. Semakin mahal harga rumah di dunia ini, semakin cantiklah rumah tersebut. Bayangkan rumah di syurga yang tentunya jauh lebih bagus dan cantik dari rumah di dunia ini, dan kita boleh bina rumah di syurga tersebut di dunia ini lagi dengan melakukan 8 amalan berikut:

1. Dengan membangunkan masjid. Maksud membangunkan masjid di sini ialah dengan menggunakan wang kita untuk membina sebahagian dari kelengkapan masjid. Sekiranya anda mampu menggunakan wang anda untuk membina sebuah masjid, itulah yang paling utama. Sekiranya anda tidak mampu, cukuplah dengan menggunakan wang anda untuk kelengkapan masjid dan itu sudah cukup untuk melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang membangun masjid kerana Allah walaupun hanya sebesar sangkar burung atau lebih kecil dari itu, Allah akan bangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." - Hadis Riwayat Ibnu Majah

2. Dengan solat Dhuha dan Qabliyah Zohor empat rakaat. Sebenarnya solat-solat sunat mempunyai fadhilat yang  sangat besar. Oleh itu lazimkanlah bersolat sunat, seperti solat sunat Dhuha empat rakaat diikuti dengan sonat sunat Qabliyah Zohor (solat sunat sebelum Zohor) empat rakaat juga, akan melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang solat Dhuha empat rakaat dan Qabliyah Zohor empat rakaat, akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." - Hadis Riwayat at-Thabrani

3. Dengan solat sunat Rawatib 12 rakaat. Solat sunat Rawatib ialah solat sunat Qabliyah (sebelum ) dan Ba'diyah (sesudah) solat Fardhu. Ada solat sunat Muakkad (dituntut) dan ada solat Ghairu Muakkad (tidak dituntut). Walaubagaimanapun kedua-dua solat sunat Muakkad dan Ghairu Muakkad boleh sahaja dilaksanakan. Berikut adalah senarai solat sunat Rawatib: 2 rakaat sebelum Subuh (Muakkad), 4 rakaat sebelum zohor (Muakkad), 2/4 rakaat selepas zohor (2 Muakkad, 2 Ghairu Muakkad), 4 rakaat sebelum asar (Ghairu Muakkad), 2 rakaat sebelum Maghrib (Ghairu Muakkad), 2 rakaat selepas Maghrib (Muakkad), 2 rakaat sebelum Isyak (Ghairu Muakkad), 2/4 rakaat selepas Isyak (2 Muakkad, 2 Ghairu Muakkad). Laksanakanlah solat sunat Rawatib Muakkad 12 rakaat dalam sehari akan melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang melakukan solat sunat (sunat rawatib) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam, akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga, empat rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas Isyak dan dua rakaat sebelum Subuh.” (Riwayat al-Tirmidzi, al-Nasa’I, Ibnu Majah dan Imam Ahmad)

Solat sunat Ghairu Muakkad juga mempunyai fadhilatnya yang tersendiri. Contohnya solat sunat Ghairu Muakkad 2 rakaat tambahan sesudah melaksanakan solat sunat Muakkad 2 rakaat selepas Zuhur.


Ummu Habibah iaitu isteri Nabi SAW berkata, “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menjaga empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, haram atasnya neraka.” (Riwayat Abu Dawud, al-Nasai, dan Imam Ahmad)

4.  Dengan membaca surah Al-Ikhlas 10 kali. Surah Al-Ikhlas (Qulhuwallahu Ahad) adalah surah yang pendek untuk dibaca tapi fadhilat membacanya sangatlah besar. Sekali membaca surah Al-Ikhlas pahalanya adalah seperti membaca satu pertiga Al-Quran. Sepuluh kali membaca surah Al-Ikhlas akan melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang membaca "Qulhuwallahu Ahad" sepuluh kali, Allah SWT akan bangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." - Hadis Riwayat Ahmad.

5. Dengan membaca doa masuk pasar. Umum mengetahui bahawa pasar adalah tempat ramai manusia dan tempat kebanyakan manusia adalah lalai dari mengingati Allah SWT. Oleh yang demikian, sesiapa yang mengingati Allah SWT dengan membaca doa masuk pasar ini akan mendapat ganjaran yang sangat banyak:


Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang masuk pasar lalu membaca doa masuk pasar maka Allah SWT akan menuliskan untuknya sejuta kebaikan, menghapus darinya sejuta keburukan, mengangkat untuknya sejuta darjat dan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." Hadis Riwayat At Tirmidzi, Ahmad, Ibnu Majah dan Al-Hakim.

6. Dengan beristirjak (menyebut "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun") ketika anak meninggal. Musibah kehilangan anak adalah antara ujian yang sangat berat dari Allah SWT. Oleh yang demikian, mereka yang bersabar ketika menerima ujian tersebut lalu mengucapkan istirjak iaitu kalimah "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" akan mendapat ganjaran yang besar.

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila anak seorang hamba meninggal dunia, Allah berfirman kepada malaikatNya, "Kalian telah mencabut nyawa anak hambaku?" Mereka berkata, "Benar." Allah berfirman, "Kalian telah mencabut nyawa buah hatinya?" Mereka menjawab, "Benar." Allah berfirman, "Apa yang diucapkan oleh hambaku?" Mereka berkata, "Ia memujimu dan mengucapkan Istirjak (Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun)." Allah berfirman, " Bangunkan untuk hambaku di syurga, dan namai ia rumah pujian," - Hadis Riwayat al-Tirmidzi.

7. Dengan berakhlak mulia. Akhlak yang mulia adalah sesuatu yang sangat dituntut dalam Islam. Seseorang yang mempunyai akhlak yang mulia akan mendapat ganjaran yang besar dan melayakkan dia mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Aku menjamin dengan rumah di pinggir syurga bagi orang yang meninggalkan pertengkaran walaupun ia dipihak yang benar. Aku menjamin dengan rumah di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta walaupun untuk ketika bergurau. Aku menjamin dengan rumah di syurga yang paling tinggi bagi orang yang baik akhlaknya." Hadis Riwayat Abu Dawud.

8. Dengan Iman, Islam, Hijrah dan Jihad. Nikmat terbesar yang diberi oleh Allah SWT kepada kita ialah nikmat Iman dan Islam. Mereka yang beriman dan Islam, kemudian juga berhijrah dan berjihad akan melayakkan dia mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Aku menjamin orang yang beriman kepadaku, masuk Islam dan berhijrah dengan sebuah rumah di pinggir syurga, di tengah syurga dan syurga yang paling tinggi. Aku menjamin orang yang beriman kepadaku, masuk Islam dan berjihad dengan sebuah rumah di pinggir syurga, di tengah syurga dan syurga yang paling tinggi. Barangsiapa yang melakukan itu, ia tidak membiarkan satupun kebaikan, dan lari dari semua keburukan, ia meninggal, di mana saja Dia kehendaki untuk meninggal." - Hadis Riwayat al-Nasai, Ibnu Hibban dan Al-Hakim.

Selasa, 12 Jun 2012

8 Pintu Syurga

Ibnu Abbas ra. berkata: Syurga mempunyai 8 pintu yang dibuat dari emas, yang dihiasi dengan jauhar (sejenis mutiara) dan pada :

Pintu yang pertama tertulis kalimat LAA ILAAHA ILLALLAAH MUHAMMADUR RASUULULLAH, iaitu pintu bagi para Nabi dan Rasul, syuhada’ dan juga pintunya orang-orang yang dermawan.

Pintu yang kedua iaitu pintu bagi orang-orang yang mendirikan solat, orang yang menyempurnakan wudhunya dan orang yang menyempurnakan rukun-rukun solatnya.

Pintu yang ketiga iaitu pintu bagi orang-orang yang memberikan zakatnya dengan senang hati dan ikhlas.

Pintu yang keempat iaitu pintu bagi orang-orang yang memerintahkan kepada kebajikan dan mencegah terhadap perbuatan munkar.

Pintu yang kelima iaitu pintu bagi orang-orang yang dapat memelihara syahwatnya dan mencegah dari nafsu yang buruk.

Pintu yang keenam iaitu pintu bagi orang-orang yang melaksanakan haji dan umrah.

Pintu yang ketujuh iaitu pintu bagi orang-orang yang berjihad (dijalan Allah).

Pintu yang kelapan iaitu pintu bagi orang-orang yang bertaqwa, yaitu orang yang memejamkan matanya dari perbuatan dan sesuatu yang haram, orang-orang yang melakukan kebaikan, diantaranya: berbuat baik kepada orang tua, mempererat tali persaudaraan (silaturrahim) dan sebagainya.

Syurga itu ada 8 (lapan):

1. Jannatul Firdaus yaitu syurga yang terbuat dari emas merah.
Penghuni:
i. Orang yang memelihara dan khusyuk dalam solatnya
ii. Orang yang menjauhi dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia
iii. Orang yang membayar zakat
iv. Orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isterinya atau hambanya
v. Orang yang memelihara amanah dan menepati janji

2. Jannatul ‘Adn iaitu surga yang terbuat dari intan putih.
Penghuni:
i. Orang yang bertakwa kepada Allah SWT
ii. Orang yang beriman dan beramal soleh
iii. Orang yang berbuat baik
iv. Orang yang sabar, menginfakkan hartanya dan membalas kejahatan dengan kebaikan

3. Jannatun Na’im yaitu surga yang terbuat dari perak putih.
Penghuni: orang yang bertakwa dan beramal soleh

4. Jannatul Ma’wa yaitu surga yang terbuat dari zabarjud hijau.
Penghuni:
i. orang yang bertakwa kepada Allah SWT
ii. orang yang benar-benar beriman dan berawal saleh
iii. orang-orang yang takut kepada kebesaran Allah SWT dan menahan diri dari hawa nafsu yang buruk.

5. Darus Salam yaitu surga yang terbuat dari yaqut merah.
Penghuni: 
i. orang yang kuat iman dan islamnya;
ii. orang yang memperhatikan ayat-ayat Al-Qur’an dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari karena Al­lah SWT.

6. Darul Muqomah diciptakan oleh Allah SWT dari permata putih.
Penghuni:
i. orang yang kebaikannya amat banyak dan sangat jarang berbuat kesalahan.

7. Al-Maqomul Amin diciptakan oleh Allah SWT dari emas.
Penghuni:
i. orang yang keimanannya telah mencapai tingkat muttaqin, yakni orang-orang yang benar- benar bertakwa kepada Allah SWT.

8. Khuldi yaitu surga yang terbuat dari marjan yang berwarna merah dan kuning.
Penghuni: orang yang taat menjalankan perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Jumaat, 17 Jun 2011

Pewaris Syurga Firdaus

Maksud Surah Al-Mu’minun, ayat 1-11:
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
1. Sesungguhnya beruntunglah orang orang yang beriman
2. (Iaitu) mereka yang khusuk dalam solatnya
3. Dan yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna
4. Dan yang mengerjakan perbuatan suci ( membayar zakat )
5. Dan yang menjaga kehormatannya ( maruah )
6. Melainkan kepada isterinya atau kepada Hambanya. Maka sesungguhnya mereka itu tidak tercela.
7. Tetapi mereka yang mecari selain daripada itu, maka merekalah orang orang yang melanggar batas.
8. Dan mereka yang memelihara kepercayaan dan memenuhi janjinya
9. Dan yang menjaga solatnya
10. Mereka itulah orang orang yang akan mewarisi
11. Mereka akan mewarisi syurga Firdaus dan kekal di dalamnya.

Untuk panduan dan iktibar kepada kita bersama, marilah sama-sama kita merenung dan memerhatikan beberapa potong ayat di atas. Pada permulaan surah ini, Allah S.W.T menyebut tentang ciri-ciri orang mu’min yang berjaya dalam kehidupannya di dunia dan juga di akhirat. Allah S.W.T telah menyebut sebanyak 6 ciri-ciri orang mu’min yang berjaya di dalam ayat ini. Ayat ini merupakan kaedah atau formula kepada kita untuk berjaya di dunia sekaligus dapat mewarisi syurga yang dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada kita iaitu Syurga Firdaus.

6 ciri-ciri yang tersebut adalah seperti berikut:-
1. Mereka yang khusyuk di dalam solat. Hal ini adalah kerana solat merupakan perkara yang pertama sekali akan disoal oleh Allah S.W.T di hari qiamat kelak. Jadi, orang yang menjaga solatnya dengan baik, khusyuk dan tawadhu’, maka mereka merupakan orang yang berjaya. Hasil dari solat yang khusyuk dan sempurna inilah dapat mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Ankabut, ayat 46 yang bermaksud: (Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang itu dari melakukan perbuatan keji dan mungkar.)
2. Orang yang menjaga dirinya daripada terlibat dengan perkara-perkara yang melalaikan dan tidak berfaedah. Hal ini adalah kerana benda-benda yang melalaikan boleh menjauhkan seseorang daripada mengingati Allah S.W.T, maka senanglah syaitan dan hawa-nafsu menguasai serta membawa dirinya ke arah kemaksiatan dan derhaka kepada Allah S.W.T. Oleh itu mereka yang dapat menjaga diri mereka daripada terlibat dengan perkara-perkara yang melalaikan, mereka adalah orang-orang mukmin yang berjaya.
3. Orang yang mengeluarkan zakat. Zakat asalnya ialah satu perkataan daripada bahasa arab. Ertinya ialah pembersihan. Makna zakat di sini ialah mengeluarkan sebahagian harta dengan kadar yang ditentukan oleh syara’. Zakat ini dikeluarkan kepada mereka yang disebut sebagai ‘asnaf lapan’ di dalam surah At-Taubah. Mereka ialah golongan fakir, miskin, muallaf dan selainnya. Tujuan Allah S.W.T mewajibkan zakat kepada kita adalah untuk menolong mereka yang berhajat serta membersihkan jiwa kita. Jadi apabila seseorang itu mengeluarkan zakat, maka dia telah membersihkan jiwanya. Orang yang bersih jiwanya daripada kekotoran dunia adalah orang yang berjaya.
4. Orang yang menjaga kemaluannya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T melainkan kepada isteri dan hamba perempuannya. Oleh kerana perkara ini merupakan satu perkara yang payah untuk dielakkan, Rasulullah S.A.W menjamin kepada mereka yang dapat menjaga kemaluannya dari melakukan perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T dengan mendapat lindungan ‘ArasyNya di Padang Mahsyar kelak. Jadi, mereka yang berjaya menahan nafsunya dari membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T adalah dari golongan orang mu’min yang berjaya.
5. Orang yang menjaga amanah dan janji yang diberikan kepada mereka. Mereka menjaga amanah dan janji dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran. Ini adalah kerana mereka yang mengkhianati serta tidak memelihara amanah dan janjinya dengan baik, mereka disifatkan oleh Rasulullah sebagai orang munafik sebagaimana sabdanya: yang bermaksud: (Tanda-tanda orang munafik ada tiga: (1) Apabila dia bercakap, dia bercakap bohong, (2) Apabila dia berjanji, dia tidak menepatinya, (3) Apabila dia diberikan amanah, dia mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya). Oleh itu, mereka yang mempunyai sifat ini, mereka merupakan orang yang berjaya.
6. Orang yang menjaga dan menunaikan solatnya dengan baik. Di sini Allah S.W.T menyebut sekali lagi berkenaan dengan solat. Maksudnya di sini ialah menjaga dan menyempurnakan segala hak-hak yang berkaitan dengan solat. Hak-hak yang berkaitan dengan solat contohnya adalah seperti menunaikannya dengan berjemaah, solat di awal waktu, menyempurnakan ruku’, sujud dan segala rukun-rukunnya. Betapa ramai mereka yang mendirikan solat, tetapi pada hakikatnya mereka tidak bersolat.

Mereka yang tidak mendirikan solatnya dengan sempurna disifatkan oleh Allah S.W.T sebagai ‘celaka’. Sebagaimana firmanNya di dalam surah Al-Ma’un: yang bermaksud: (Maka celakalah mereka yang bersolat # iaitu mereka yang lalai daripada menunaikan solatnya). Oleh itu, mereka yang menjaga solat dengan segala hak-haknya adalah mereka yang berjaya. Mereka berhak mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T di akhirat kelak. Inilah semua ciri-ciri dan sifat orang-orang yang berjaya yang di sebut oleh Allah S.W.T di dalam surah ini. Pada akhir ayat ini Allah S.W.T berjanji akan mewarisi mereka dengan SyurgaNya iaitu Syurga Firdaus. Oleh itu bertuah dan beruntunglah mereka yang mempunyai sifat-sifat ini.

Akhirnya marilah sama-sama kita menghisab dan menghitung diri kita, adakah kita mempunyai sifat-sifat yang di sebutkan oleh Allah S.W.T itu. Jika sifat-sifat ini tidak ada di dalam diri kita, sama-samalah kita berusaha untuk mendapatkannya. Wallahu Subhanahu Wa Taala A’lam.