Jumaat, 19 Jun 2020

3 Amalan Memanjangkan Umur

1. Sedekah

Dari Amru bin Auf radhiallahu anhu katanya Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu MEMANJANGKAN UMUR dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah Subhana wa taala pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Ali, bahawa Rasulullah bersabda: "Sedekah dapat merubah takdir yang mubram (yang pasti)". (HR. Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Imam Ahmad)

Kisah Nabi Ibrahim a.s. Dan Pemuda

Sebuah kisah termahsyur di zaman Nabi Ibrahim telah memperlihatkan bahawa sedekah dapat menunda kematian dan memanjangkan usia dalam erti yang sebenarnya.

Suatu hari, malaikat maut mendatangi Nabi Ibrahim alaihissalam, malaikat tersebut bertanya, "Siapa gerangan anak muda yang tadi mendatangimu wahai Ibrahim?"

"Dia adalah sahabat sekali gus muridku! Dia menemuiku untuk memberitahu pernikahannya pada esok hari."

"Wahai Ibrahim, ketahuilah bahawa umur pemuda itu takkan sampai esok pagi."

Setelah berkata demikian, malaikat maut meninggalkan Nabi Ibrahim.

Nabi Ibrahim mahu memberitahu sahabatnya tersebut bahawa usianya tidak sampai esok hari, hendaknya mengadakan pernikahan malam ini juga, namun Nabi Ibrahim menyimpan niat tersebut dan tetap merahsiakan kedatangan maut.

Keesokannya, Nabi Ibrahim masih melihat dan menyaksikan pernikahan pemuda tersebut.

Bahkan, hari berganti minggu, bulan dan tahun, pemuda tersebut tetap hidup dengan sihat wal afiat dan panjang usia.

Suatu hari, Nabi Ibrahim kembali mendapat kunjungan dari malaikat maut, maka Ibrahim berkata, "Adakah engkau berdusta mengenai kematian pemuda yang merupakan murid dan sahabatku dulu?"

Malaikat maut menjelaskan bahawa, ketika ia akan melaksanakan tugas untuk mencabut nyawa pemuda tersebut, Allah menahannya.

Nabi Ibrahim kehairanan kenapa Allah memilih untuk memanjangkan umur pemuda itu dan jawapan Malaikat maut sungguh tidak disangka-sangka.

“Wahai Ibrahim, di malam menjelang pernikahannya, anak muda tersebut menyedekahkan separuh dari harta kekayaannya. Dan ini yang membuatkan Allah memutuskan untuk memanjangkan umur anak muda itu, sehingga engkau melihatnya masih hidup.”

Jelaslah bahawa sedekah dapat mengubah takdir dan memanjangkan usia.

Faedah sedekah di dunia adalah seseorang itu akan dimurahkan rezekinya oleh Allah, terhindar daripada bala bencana, DIPANJANGKAN UMUR, mencegah daripada kematian yang buruk di mana orang yang selalu bersedekah akan dilindungi daripada ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematian dalam keadaan yang ngeri atau mati dalam keadaan tidak beriman (su’ul khatimah) kerana sedekah itu sebenarnya membawa rahmat di samping menghapuskan sifat sombong, takbur dan menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.   

Manakala faedahnya di akhirat pula ialah seseorang itu akan mendapat naungan daripada panas terik di padang Mahsyar dan mendapat pendinding daripada api neraka.

2. Menghubungkan Silaturrahim 

Islam mementingkan silaturrahim.  Dalam hadis yang lain disebut, seribu (1,000) kawan masih dikira sedikit, seorang musuh sudah dikira ramai.  

Rasulullah sallahu alaihi wa alihi wassalam bersabda:
“Sesiapa yang ingin diperluaskan rezeki dan DIPANJANGKAN UMURNYA, maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim” (Riwayat Bukhari)

3. Amalan kebaikan 

Apa saja amalan kebaikan yang dilakukan dapat mengindarkan pelakunya dari sebarang kemalangan atau musibah yang teruk.  Sebagai contoh, jika seorang berlaku kemalangan kereta, hanya kereta sahaja yang kemek sedikit tetapi orang itu tidak mati atau tidak mengalami cedera parah.  

Apabila seseorang melakukan sesuatu kebaikan, UMURNYA DITAMBAH dan apabila seseorang itu melakukan sesuatu kejahatan, umurnya berkurangan.  

Rasulullah sallahu alaihi wa alihi wassalam bersabda:
"Tidak dapat menolak takdir kecuali doa, dan tidak dapat MENAMBAH UMUR kecuali amal kebaikan. Seringkali seseorang tidak mendapatkan rezeki kerana berbuat dosa." (HR. Muslim)

Jadi apakah maksud DIPANJANGKAN UMURNYA dalam hadis-hadis di atas? Abu Laits As-Samarqandi menjelaskan maksud panjang umur itu ada dua.

Pertama, panjangnya umur bererti bertambahnya kebaikan. Ertinya pahalanya terus bertambah. Umurnya sendiri tetap seperti yang telah ditentukan di dalam Lauhul Mahfudz sebagaimana ditegaskan Allah dalam firmannya, "Jika ajal kamu telah tiba, tidak dapat diundurkan sedikit pun dan tidak pula dapat dimajukan." Bertambahnya kebaikan juga bererti juga dicatat terus pahalanya sesudah matinya. Tercatat pahalanya sesudah kematian sama dengan bertambah umurnya.

Kedua, yang dimaksudkan panjang umur itu memang benar-benar bertambah umurnya dengan kuasa Allah. Misalnya, di catatan Lauhul Mahfudz katakanlah umur seseorang telah ditetapkan 40 tahun, namun kemudian dengan izin Allah ditambahkan menjadi 60 tahun. Ini terjadi berkat dari amalan kebaikannya, termasuk sedekah dan menghubungkan silaturrahim. 

Berkenaan dengan amalan kebaikan, timbul persoalan, ada juga orang jahat yang umurnya panjang meninggal dunia ketika berumur 90 tahun.  

Maka jawabnya, “mungkin umur asalnya 95 tahun, tetapi dipendekkan disebabkan kejahatannya”.  Ada juga orang baik yang meninggal dunia pada umur muda misalnya 30 tahun.  Maka jawabnya, “mungkin umur asalnya 25 tahun, tetapi ditambah disebabkan kebaikannya.

Khamis, 18 Jun 2020

Mata Lebah dan Mata Lalat

Lebah dan lalat adalah dua haiwan istimewa yang mempunyai banyak manfaat kepada manusia. Kedua-dua haiwan ini ada disebutkan di dalam Quran seperti ayat berikut:

Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (16:68-69)

Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya) dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya). (22:73)

Manfaat lebah kepada manusia ialah pendebungaan bunga jantan dan betina kepada pokok-pokok lalu menghasilkan buah yang dimakan oleh manusia. Manfaat lain kepada manusia ialah penghasilan madu lebah yang menjadi makanan berkhasiat, ubat dan juga sumber pendapatan kepada manusia.

Manfaat lalat pula ialah penteluran lalat pada bangkai dan sampah-sarap menjadikan proses penguraian bangkai dan sampah-sarap tersebut menjadi lebih cepat lalu menukarkan bangkai dan sampah-sarap tersebut kepada komponen-komponen yang tidak lagi menghasilkan bau busuk dan kotor.

Ada seorang alim bertanya pada pemuda:
Apa yang lebah akan cari bila dicampak ke dalam sampah?
Pemuda jawab :
Dia akan mencari madu.
Orang alim itu memberitahu :
Tidak, sebaliknya dia akan cari bunga terlebih dahulu, kemudian baru datangnya madu.
Kemudian dia tanya lagi :
Apa yang terjadi apabila lalat dicampakkan ke dalam taman yang dipenuhi dengan bunga?
Pemuda menjawab :
Pasti lalat akan mencari sampah.
Kemudian orang alim itu berpesan :
Jadilah kamu seperti mata lebah walaupun ditunjuk akan keburukan seseorang kepada kamu, tetap kamu mencari kebaikannya.
Sebaliknya janganlah kamu jadi mata lalat walaupun ditunjuk seribu kebaikan seseorang kepada kamu, kamu masih lagi mahu mencari keburukan orang lain. 

Mata lebah selalu mencari bunga-bunga yang cantik dan menghasilkan madu yang manis lagi berkhasiat, manakala mata lalat selalu mencari tahi dan bau busuk. 

Apabila kita melihat kepada orang lain, biarlah kita menjadi seperti mata lebah yang selalu melihat kepada kebaikan orang lain dan tidak kepada keburukannya.  

Apabila kita melihat kepada diri kita sendiri, biarlah kita menjadi seperti mata lalat yang sedar bahawa kita memiliki kelemahan dan kekurangan. Dengan kesedaran tersebut, kita berusaha untuk membaiki kelemahan dan kekurangan kita dan memohon istighfar kepada Allah SWT atas dosa-dosa kita disebabkan kelemahan dan kekurangan tersebut.

Isnin, 15 Jun 2020

Melawan Tipudaya Syaitan Dengan Ilmu, Ikhlas, Doa dan Zikir

Dalam menghadapi kehidupan harian kita sebagai seorang Muslim, musuh kita yang paling utama adalah nafsu dan syaitan. Untuk menghadapi kedua-dua musuh utama ini, kita perlulah ada senjatanya. Empat senjata utama seorang Muslim yang boleh digunakan untuk mengalahkan syaitan ialah ilmu, ikhlas, doa dan zikir. Nafsu pula boleh dikalahkan dengan puasa.

1. Melawan tipudaya syaitan dengan ilmu

Seorang yang berlimu itu seribu kali lebih ditakuti oleh syaitan berdasarkan hadis berikut:


Daripada Abdullah bin Abbas radhiallahu'anhuma berkata: Telah bersabda Rasulullah saw.:"Seorang yang berilmu (alim) itu lebih ditakuti oleh syaitan daripada seribu abid (ahli ibadah) yang tidak berilmu (alim)". H.R Tirmizi dan Ibnu Majah.

Ini adalah kerana si alim itu tahu caranya untuk melawan godaan syaitan dan dapat pula si alim itu memberi bimbingan kepada orang lain supaya ia selamat dari godaan syaitan, bahkan si alim itu dapat pula menyelamatkan orang-orang yang telah disesatkan oleh syaitan. Jadi syaitan sangat takut kepada si alim kerana dia dapat memelihara dirinya dan memberikan bimbingan kepada orang lain.


Contohnya semasa Wali Allah Syeikh Abdul Kadir Jilani cuba ditipu oleh Iblis dengan cara berikut: 


Iblis menyamar sebagai satu cahaya yang sangat terang benderang dan sangat menarik, lalu muncul dihadapan Sheikh seraya berkata:
“Ya Abdul Qadir, aku Tuhanmu. Oleh kerana engkau telah bersungguh2 mujahdah padaku maka pada hari ini aku telah menghalalkan bagi kamu segala yang aku haramkan.!!!”
Maka segera Sheikh menyahut, “A’uzhu Billahi Mina-asy-Syaitanir-Rajim”, nyahlah engkau wahai Iblis yang dilaknat” .. Ketika itu cahaya seperti kepulan awan itu bertukar menjadi asap. Dan terlihatlah Iblis. Lalu Iblis itu berkata, “Ya Abdul Qadir, bagaimana engkau tahu aku Iblis?” sedangkan berapa banyak orang alim yang telah aku sesatkan sebelum kamu dengan cara ini.”
Sheikh menjawab, “Allah Ta’ala telah menyatakan hukum di dalam Al-Qur’an. Dan dia tidak pernah menghalalkan yang haram”. Maka aku tahu tentu engkau Iblis.
Iblis menjawab, “Engkau telah selamat disebabkan ketinggian ilmu engkau”

Sheikh menjawab kembali, “Binasalah engkau. Aku terselamat bukan kerana ilmuku tetapi kerana Rahmat Tuhanku”.. Maka kembalilah Iblis berputus asa tak dapat menggoda Sheikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu ‘Anh.

Pelajaran yang boleh kita teladani dari kisah tersebut ialah seseorang itu perlukan ilmu untuk melawan tipudaya syaitan. Walaubagaimanapun, pergantungan kita untuk melawan tipudaya syaitan tersebut mestilah hanya kepada Allah SWT dan ilmu tersebut hanyalah sebagai asbab sahaja.

Ilmu yang paling asas yang diperlukan seorang Muslim ialah ilmu tauhid, iaitu ilmu  yang membentangkan tentang wujudullah (adanya Allah) dengan sifat-Nya yang wajib, mustahil dan jaiz (harus), dan membuktikan kerasulan para rasul-Nya dengan sifat-sifat mereka yang wajib, mustahil dan jaiz, serta membahas segala hujah terhadap keimanan yang berhubung dengan perkara-perkara sam’iyat, iaitu perkara yang diambil dari Al-Quran dan Hadis dengan yakin.

Kemudian, seorang Muslim itu juga perlu mengetahui ilmu syariat iaitu ilmu berkaitan hukum-hukum dalam Islam dan juga berkaitan cara melakukan ibadat. Ilmu syariat ini perlulah mengikuti Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu syariat Rasulullah SAW.

Akhirnya seorang Muslim itu perlu menguasai ilmu Tasawuf iaitu ilmu membersihkan hati, bermujahadah melawan hawa nafsu, mendekati sifat-sifat hati yang baik (Mahmudah) dan menjauhi sifat-sifat hati yang buruk (Mazmumah). 

2. Melawan tipudaya syaitan dengan ikhlas

Iblis telah mengaku kepada Allah SWT bahawa dia tidak berkuasa menyesatkan mereka yang ikhlas seperti ayat Quran berikut:

Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, (39) Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang ikhlas (dibersihkan dari sebarang syirik). (15:40)

Cara untuk mendapatkan keikhlasan itu ialah dengan sentiasa membetulkan niat berbuat ibadah itu hanya kerana Allah SWT, bukan untuk tujuan yang lain seperti mendapatkan pujian manusia, menunjukkan yang kita ini baik di hadapan isteri/suami/anak, bukan kerana mengikut-ikut kawan, bukan kerana ingin mendapatkan habuan dunia dsb.

Cara lain untuk mendapatkan keihlasan ialah dengan membaca surah Al-Ikhlas (Qul huwallahu Ahad) yang menegaskan tentang keesaan Allah SWT  secara berulang-ulang. 

3. Melawan tipudaya syaitan dengan doa

Walaupun kita mempunyai ilmu yang banyak sekalipun, pergantungan kita untuk mengalahkan tipudaya syaitan itu mesti hanyalah kepada Allah SWT. Doa itu adalah cara kita untuk menguatkan pergantungan kita kepada Allah SWT kerana kita hanya akan selamat dari tipudaya syaitan itu dengan rahmatNya.

Antara doa yang boleh diamalkan sebagai pergantungan kita kepada Allah SWT untuk mengalahkan syaitan ialah:

Dengan membaca 'Au zubillahi minassyaito nirrajim dan bismillahirrahmanirrahim  sebelum memulakan sesuatu aktiviti.

Dengan membaca doa sebelum masuk tandas:
بِسْم الله اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ
Dengan Nama Allah, Ya Allah aku berlindung denganMu daripada syaitan jantan dan syaitan betina.

Dengan membaca doa mengelakkan gangguan syaitan sebelum solat:


Allahumma inni a’u zubika minassyaita nirrajim min hamzihi wa naf sihi wa naf qihi.

Ya Allah aku berlindung denganMu daripada syaitan yang direjam, dari bisikannya, dari nafasnya dan dari hembusannya.

Dengan berdoa khusus kepada Allah SWT untuk melindungi kita dari gangguan dan godaan makhluk-makhluk yang jahat termasuk syaitan.

4. Melawan tipudaya syaitan dengan zikir

Zikir yang paling utama untuk mengelakkan gangguan syaitan ialah dengan membaca ayat Kursi pada waktu pagi, waktu petang, setiap kali selepas solat dan sebelum tidur berdasarkan hadis-hadis berikut:

Dari Ubay bin Ka'ab, Nabi SAW bersabda: "Siapa yang membaca ayat Kursi saat pagi, maka ia akan dilindungi dari gangguan kami (jin) hingga petang. Siapa yang membacanya ketika petang, maka ia akan dilindungi dari gangguan kami (jin) sehingga pagi." (HR. Al Hakim 1:562) 

Sesiapa membaca ayat Al-Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas solat fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga solat yang lain dan terpelihara daripada tipudaya dan gangguan syaitan.

Sesiapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT akan mewakilkan dua Malaikat memeliharanya dan menjaga selama tidurnya hingga subuh.

Zikir seterusnya adalah ayat 97&98 Surah Al-Mukminun seperti berikut:

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٲتِ ٱلشَّيَـٰطِينِ (٩٧) وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ (٩٨    

Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku. (23:97-98)

Zikir terakhir yang boleh diamalkan untuk mengelakkan gangguan syaitan ialah dengan membaca 3 Qul, dihembuskan ke tapak tangan dan disapu ke muka dan seluruh badan dan anggota sebanyak 3 kali sebelum tidur.

Dari Aisyah radhiallahu anhu berkata: "Rasulullah SAW apabila hendak beranjak ketempat tidurnya setiap malam, Beliau menyatukan kedua telapak tangannya lalu meniupkan keduanya dan membacakan keduanya surat al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas. Kemudian beliau mengusap dengan keduanya bahagian mana saja semampunya. Beliau memulainya dari atas kepala dan wajahnya serta bahagian belakang dari badannya. Beliau melakukan perkara itu tiga kali." (HR. Muslim).

Khamis, 11 Jun 2020

Adab Berdoa Kepada Allah SWT

Dalam Al Quran, Allah SWT berjanji untuk mengabulkan doa hamba-hambanya seperti ayat-ayat berikut:


Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (2:186)

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina. (40:60)

Jadi mengapakah ada di antara kita yang berdoa tetapi masih belum dimakbulkan doanya oleh Allah SWT?

Sebenarnya banyak perkara yang menjadi asbab kepada terhalangnya doa dimakbulkan. Kebanyakannya berpunca daripada diri sendiri sama ada sedar atau tidak. Salah satunya ialah tidak mengambil berat soal halal dan haram terutamanya dalam urusan makanan.

Pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW bercerita tentang seorang pemuda yang bermusafir jauh di padang pasir hingga menyebabkan rambutnya menjadi kusut-masai dan dipenuhi dengan debu kerana perjalanannya yang jauh itu.

Lalu Rasulullah SAW bersabda:
ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟
Seorang lelaki yang telah lama berjalan dan jauhnya perjalanan yang ditempuh, sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Dia menadahkan tangannya ke langit lalu berdoa: "Wahai Tuhan ku! Wahai Tuhanku!" Padahal, makanannya dari sumber yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diberi makan dengan makanan yang haram. Maka bagaimana mungkin Allah SWT akan memperkenankan doanya?" (Riwayat Muslim)

Antara sebab lain ialah dosa yang ada pada diri seseorang itu juga boleh menjadi penghalang kepada makbulnya doa. Oleh itu, perbanyakkanlah solat taubat dan istighfar agar dosa seseorang diampunkan lalu menghilangkan penghalang untuk dimakbulkan doanya.

Sebenarnya apabila seseorang hamba itu berdoa, Allah SWT pasti akan mengurniakan salah satu dari tiga perkara kepada hambanya tersebut:
1. Dimakbulkan doanya pada masa itu atau pada masa terdekat
2. Ditangguhkan makbulnya doa itu pada masa akan datang
3. Diganti doanya itu dengan sesuatu yang sama nilai atau sesuatu yang lebih baik

Untuk perkara no. 3 di atas, contoh yang mudah ialah adakalanya kita berdoa apa yang kita inginkan, tapi Allah SWT memberikan kepada kita apa yang kita perlukan. Apabila ini berlaku, berbaik sangkalah dengan Allah SWT bahawa Allah SWT telah memberikan yang terbaik untuk kita seperti ayat berikut:

...... dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (2:216)

Apabila kita membaca kisah-kisah nabi, mereka sendiri ada yang ditangguhkan doanya sehingga bertahun-tahun lamanya. Contohnya seperti berikut:

1. Nabi Muhammad SAW yang berdoa agar kiblat dipindahkan dari masjidil Aqsa ke Mekah. Doa Nabi Muhammad SAW ini dimakbulkan Allah SWT setelah 2 tahun.
2. Nabi Ayub AS yang mendapat sakit yang teruk. Nabi Ayub AS hanya berdoa setelah 18 tahun lalu dimakbulkan oleh Allah SWT dan disembuhkan penyakitnya.
3. Nabi Ibrahim AS dan Nabi Zakaria AS berterusan berdoa selama lebih 80 tahun untuk mendapat anak sebelum dimakbulkan Allah SWT.

Apabila kita berdoa, jagalah adab-adab dalam berdoa kerana memakbulkan doa itu adalah hak mutlak Allah SWT pada suatu waktu yang ditentukanNya. Antara adab-adab dalam berdoa adalah seperti berikut:

1. Berdoalah sebagai seorang hamba yang merendah diri, yang mengharapkan kurnia dari Rajanya, bukan sebagai seorang pekerja yang mengharapkan upah dari majikannya.

2. Pujilah Allah SWT sebelum berdoa. Surah Al Fatihah itu adalah surah yang mengandungi doa dan surah ini dimulai dengan puji-pujian kepada Allah SWT.

3. Berdoalah dengan suara yang lembut, penuh keyakinan terhadap Allah SWT, menghadap kiblat, berwuduk, berdoa pada waktu mustajab dengan merendah diri dan mengharapkan hanya kepada Allah SWT.

4. Tutuplah doa tersebut dengan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW

JANGANLAH KERANA KELAMBATAN MASA PEMBERIAN TUHAN KEPADA KAMU,
PADAHAL KAMU TELAH BERSUNGGUH-SUNGGUH BERDOA,
MEMBUAT KAMU BERPUTUS ASA, SEBAB ALLAH MENJAMIN UNTUK MENERIMA SEMUA DOA, MENURUT APA YANG DIPILIH-NYA UNTUK KAMU,
TIDAK MENURUT KEHENDAK KAMU, DAN PADA WAKTU YANG DITENTUKANNYA,
TIDAK PADA WAKTU YANG KAMU TENTUKAN.

Rabu, 3 Jun 2020

8 Kelebihan Menghadiri Majlis Ilmu

Ilmu pengetahuan agama adalah sangat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Ayat pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW ialah perintah supaya mencari ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud, “Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang amat pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawa ilmu yang wajib dipelajari ialah ilmu yang mendorong kepada mentauhidkan Allah, mendekatkan diri dan mematuhi syariat. Ilmu-ilmu tersebut terbahagi kepada dua bahagian iaitu ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah. Ilmu fardu ain ialah ilmu yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim untuk mempelajarinya, sesiapa yang tidak mempelajarinya akan menanggung dosa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “menuntut ilmu adalah fardu ain ke atas setiap orang Islam lelaki dan perempuan.” (HR Muslim)

Ilmu fardu ain terbahagi kepada tiga bahagian utama seperti berikut :-

Pertama : ilmu akidah atau ilmu tauhid, iaitu ilmu yang berkaitan dengan kepercayaan kepada Allah, malaikat, kitab, para rasul, hari kiamat dan qada dan qadar, sebagaimana yang terkandung dalam rukun iman yang enam.

Kedua : ilmu syariat atau ilmu fekah iaitu ilmu yang berkaitan dengan ibadah, muamalat, munakahat dan jenayah yang boleh mendatangkan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Ketiga : ilmu akhlak atau ilmu tasawuf, iaitu ilmu yang berkaitan dengan pembersihan hati, pembentukan peribadi atau akhlak yang mulia, yang merangkumi sifat benar, amanah, ikhlas, bersopan-santun, berdisiplin, menjaga masa dan sebagainya.

Ilmu fardu kifayah pula ialah ilmu yang wajib dikuasai oleh sebahagian umat Islam yang memenuhi syarat untuk menegakkan urusan umat Islam di dalam kehidupan dunia ini. Ini merangkumi ilmu agama seperti ilmu tafsir al-Quran hadis, fekah dan sebagainya, atau ilmu duniawi seperti ilmu perubatan, pertanian, politik, teknologi, ekonomi, sains dan sebagainya.

Hadirkan dirimu dalam majlis ilmu, kerana mempelajari ilmu merupakan perkara yang dituntut sepanjang hayat, tidak ada istilah terlambat, selagi hayat dikandung badan. Oleh itu, setiap orang Islam wajib berusaha mempelajari ilmu, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, sekurang-kurangnya sekadar mengesahkan akidah dan ibadatnya serta mengetahui yang mana halal dan yang mana haram, bagi memastikan segala urusan hidup yang dijalankan adalah menepati hukum syarak dan diredhai Allah SWT.

Hadirkan dirimu dalam majlis ilmu sama ada di masjid, surau atau sebagainya kerana orang yang menghadiri majlis ilmu ini akan memperoleh banyak kelebihan yang disediakan oleh Allah, antaranya :-

Pertama : dipermudahkan jalan ke syurga. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkannya jalan ke syurga.” (HR Muslim)

Kedua : dimuliakan oleh para malaikat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Dan sesungguhnya malaikat merendahkan sayapnya bagi penuntut ilmu kerana redha dengan apa yang dilakukannya.” (HR Tirmizi)

Ketiga : lebih baik daripada melakukan solat sunat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, perginya kamu mempelajari satu bab daripada ilmu itu lebih baik daripada kamu sembahyang sunat seratus rakaat.” (HR Ibnu Majah)

Keempat : penerima wasiat Rasulullah SAW. Sabda Baginda yang bermaksud, “Akan datang kepada kamu beberapa kaum yang menuntut ilmu, oleh itu apabila kamu melihat mereka maka katakanlah kepada mereka : selamat datang kepada penerima wasiat Rasulullah SAW dan ajarkanlah kami.”

Kelima : semua makhluk memohon keampunan baginya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Orang yang mempunyai ilmu itu tiap-tiap sesuatu meminta keampunan untuknya sehingga ikan dalam laut.” (HR Abu Ya’la bersanad sahih)

Keenam : Mendapat doa para malaikat dan binatang. Rasulullah SAW  bersabda, “Sesungguhnya Allah, malaikat-Nya, penduduk bumi dan langit, serta semut yang berada di lubangnya dan ikan paus, mereka semua mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” (HR. Tirmizi)

Ketujuh : Mendapat kebaikan lebih baik dari dunia dan seisinya. Rasulullah SAW bersabda “Satu bab daripada ilmu yang dipelajari seseorang, adalah lebih baik baginya daripada dunia dan isinya.”  (Hadis riwayat Imam Ibnu Hibban dan Ibnu Abdul Birri)

Kelapan : Dekelilingi para malaikat dan mendapat rahmat dari Allah SWT. Dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id radhiyallahu ‘anhuma, mereka berdua berkata, “Rasulullah SAW bersabda, ‘Tidaklah suatu kaum duduk berzikir (mengingati) Allah, melainkan mereka dikelilingi oleh para malaikat, diliputi oleh rahmat, diturunkan sakinah (ketenangan), dan mereka disebut oleh Allah di hadapan malaikat yang ada di sisi-Nya.’” (HR. Muslim, no. 2700) 

Di zaman moden ini, majlis ilmu sangat mudah untuk dicari. Kita hanya perlu mencari ceramah ustaz-ustaz di youtube untuk berada di majlis ilmu dan mendapatkan kelebihan-kelebihan di atas. Walaubagaimanapun, menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid adalah lebih afdal kerana disitu dapat pahala solat berjemaah dan juga keberkatan menuntut ilmu secara berjemaah.

Jumaat, 29 Mei 2020

Zikir Menyembuhkan Penyakit dari Al Quran

Syurga adalah tempat mereka yang dekat dengan Allah SWT. Antara sifat ahli syurga ialah sabar apabila mendapat ujian dan antara ujian daripada Allah SWT kepada manusia di dunia ini ialah dengan ditimpakan penyakit. Ahli syurga adalah mereka yang bersabar apabila mendapat ujian seperti ujian mendapat penyakit.

Al-Quran menceritakan kisah Nabi Ayub a.s. yang digambarkan manusia yang paling sabar, bahkan boleh dikatakan bahawa baginda berada di puncak kesabaran. Sering orang mengagumi kesabaran Nabi Ayub. Misalnya, dikatakan: seperti sabarnya Nabi Ayub. Jadi, Nabi Ayub menjadi simbol kesabaran dan cermin kesabaran atau teladan kesabaran pada setiap bahasa, pada setiap agama, dan pada setiap budaya. Allah SWT telah memujinya dalam kitab-Nya yang berbunyi:
"Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya)." (Al-Quran Surah. Sod: 44)

Didalam Al-Quran terdapat beberapa ayat yang boleh dijadikan zikir dan doa untuk disembuhkan penyakit oleh Allah SWT. Jangan jemu untuk terus berdoa kepada Allah SWT kerana Allah SWT amat menyukai mereka yang terus-menerus berdoa dan merayu kepadaNya. Nabi Ayub sendiri telah diuji dengan musibah penyakit selama 18 tahun sebelum beliau berdoa kepada Allah SWT dan doanya dimakbulkan Allah SWT dan beliau disembuhkan dari penyakitnya.

Apabila berzikir dan berdoa dengan ayat Quran ini, niatkanlah agar kesembuhan yang diminta tersebut bertujuan agar kita mendapat kesihatan yang baik untuk beribadah kepada Allah SWT. Insya Allah niat untuk sembuh dengan tujuan agar bertambah ibadah  kita akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Zikir dari Al-Quran untuk mendapat kesembuhan dari penyakit adalah ayat-ayat berikut:

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ۬ وَرَحۡمَةٌ۬ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ‌ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارً۬ا

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. (Al-Isra 17:82)

وَأَيُّوبَ إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُ ۥۤ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّٲحِمِينَ (٨٣) فَٱسۡتَجَبۡنَا لَهُ ۥ فَكَشَفۡنَا مَا بِهِۦ مِن ضُرٍّ۬‌ۖ وَءَاتَيۡنَـٰهُ أَهۡلَهُ ۥ وَمِثۡلَهُم مَّعَهُمۡ رَحۡمَةً۬ مِّنۡ عِندِنَا وَذِڪۡرَىٰ لِلۡعَـٰبِدِينَ (٨٤
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. (83) Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: Keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik). (84) (Al Anbiya 21:83-84)
Berikut adalah doa Nabi Ayub a.s:

Ahad, 17 Mei 2020

8 Amalan Pada Waktu Pagi dan Waktu Petang

1. Berselawat pada waktu pagi selepas Subuh 10 kali dan selepas Asar 10 kali. Jumhur ulama menyarankan selawat seperti berikut: Allahumma Solli Ala Saiyidina Muhammad Waala Ali Saiyidina Muhammad.

Sabda Nabi SAW: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat - HR Thabrani

2. Solat berjemaah Subuh dan Asar dan membaca zikir untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT 3x

Waktu Subuh dan waktu Asar adalah waktu pertukaran shift malaikat. Sewaktu pertukaran shift ini, Allah SWT akan bertanya kepada malaikat apakah yang sedang dibuat oleh hambaku? Malaikat akan menjawab sewaktu kami turun dia sedang solat Subuh dan sewaktu kami naik dia sedang solat Asar. Oleh itu ya Allah ampunkanlah dosanya di hari kiamat. Selepas solat bacalah zikir "Radhitu Billahi Rabba, Wa Bil islami Dina, Wabi muhammadiin Nabiya Wa Rasula" 3x untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Zikir ini boleh ditambah dengan "Wa Bil Qurani Imama, Wa Bil Kaabati Qiblata, Wabil Mukminina Ikhwana" yang bermaksud : Aku Redha Allah Subhanahu wata’ala sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai nabi dan rasulku, Quran sebagai imam (petunjuk), kaabah sebagai kiblat, mukmin sebagai saudara.

Kemudian diikuti dengan zikir berikut 3x : Subhanallahi Wabihamdihi 'Adadakhalqihi Waridhonafsihi Wazinata 'arshihi Wamida dakalimatih 3x.

Ertinya: Maha suci Allah dan segala puji bagiNya sebanyak bilangan makhlukNya, dan sebesar redha diriNya, dan seberat 'ArasyNya, dan sebanyak hitungan kalimatNya. 

Diceritakan dari sahabat Tsauban Radhiyallahu`anhu Nabi SAW berkata : Barang siapa yang di pagi dan petang mengucapkan kalimat “Radhitu Billahi Rabba, Wa Bil islami Dina, Wabi muhammadiin Nabiya Wa Rasula” 3x. Maka wajib bagi Allah Subhanahu wata’ala untuk meredhainya”. (HR.At-Tirmidzi, Abu daud dan An-Nasa’i)


Daripada Juwairiyah binti al-Harith r.ha., isteri Nabi SAW bahawa pada suatu pagi setelah selesai menunaikan solat Subuh, Nabi SAW keluar dari sisinya, sementara dia masih berada di tempat solatnya (membaca zikir). Kemudian, Nabi SAW pulang pada waktu Dhuha, sementara dia masih duduk di tempatnya. Nabi lalu bertanya:
Maksudnya:

"Apakah engkau tetap seperti itu sejak aku meninggalkanmu?" Dia menjawab: "Ya." Maka Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya sejak berpisah denganmu tadi, aku telah membaca sebanyak empat kalimat berikut sebanyak tiga kali yang jika ditimbang nilainya, tentu sama dengan banyaknya zikir yang engkau baca daripada tadi, iaitu:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ

(Hadis Riwayat Muslim) Riyadhus Solihin, Imam Nawawi

3. Baca Saiyyidul Istighfar setiap pagi selepas Subuh dan setiap petang selepas Asar.


Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang mengucapkan Sayyidul Istighfar di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. - Hadis riwayat Bukhari

4. Baca Allahumma ajirni minan naar, sebanyak 7 kali selepas Subuh dan 7 kali selepas Maghrib

Sabda Nabi SAW : Apabila kamu selesai dari solat subuh, bacalah ini sebelum kamu bercakap dengan orang lain, iaitu: Allahumma ajirni minan naar, sebanyak 7 kali, maka jika pada hari tersebut kamu meninggal dunia, akan ditetapkan oleh Allah bahawa kamu akan dijauhi dari api neraka. Apabila kamu selesai dari solat Maghrib, bacalah ini sebelum kamu bercakap dengan orang lain, iaitu: Allahumma ajirni minan naar, sebanyak 7 kali, maka jika pada waktu malam tersebut kamu meninggal dunia, akan ditetapkan oleh Allah 'azza wa jalla bahawa kamu akan dijauhi dari api neraka." (Riwayat Ahmad : 17362, Abu Daud : 5079)


5. Baca ‘Laa ilaaha illallah wahdahu laa syarikalah, lahul mulku, walahul hamdu, yuhyiy wa yumiytu wahuwa ‘ala kulli syay-in qadiir,’ sebanyak 10x selepas solat Maghrib dan Subuh dalam keadaan masih duduk tahiyat akhir dan tidak berkata-kata, sehingga selesai bacaan

Sabda Nabi SAW : Barangsiapa setelah solat Maghrib dan Subuh membaca ‘Laa ilaaha illallah wahdahu laa syarikalah, lahul mulku, walahul hamdu, yuhyiy wa yumiytu wahuwa ‘ala kulli syay-in qadiir,’ sebanyak 10x Allah SWT akan tulis setiap satu kali 10 kebaikan, dihapus 10 keburukan (dosa), diangkat 10 darjat, Allah SWT lindungi dari setiap keburukan, dan Allah SWT lindungi dari godaan syaitan yang terkutuk. (HR. Ahmad IV/227, at-Tirmidzi no.3474).

Hadis daripada Abu Zar berkata, “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda, ‘Barangsiapa yang membaca selepas solat Subuh, dalam keadaan kakinya masih seperti tasyahhud akhir, sebelum berkata-kata sebanyak sepuluh kali, ditulis baginya sepuluh kebaikan, dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan (dosa), diangkatkan baginya sepuluh darjat (kedudukan), dan dia pada hari itu terjaga daripada segala perkara yang dibenci, terbentang daripada syaitan, serta tidak ada suatu dosa yang dapat membinasakannya pada hari itu kecuali syirik (menyekutukan) Allah’. ” (Riwayat at-Tarmizi dengan sanad Hasan, Imam ath-Thobrani menyebutnya di dalam al-Aushot dan al-Kabir. Lihat juga Shahih at-Targhib wa at-Tarhib:  1/306)

6. Melakukan 2 rakaat solat sunat Isyraq setelah Subuh dan berzikir kepada Allah SWT. Tempoh masa Solat Sunat Isyraq adalah sangat singkat iaitu 15 minit sahaja (12 minit – 27 minit setelah Syuruk).

Sabda Nabi SAW: Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah  sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna, sempurna, sempurna. (Hadis riwayat al-Tirmidzi dan al-Tabrani RA : 586)


7. Sedekah Subuh. Caranya sediakan satu tabung. Kemudian pilihlah WAKTU yang paling AFDHAL iaitu SELEPAS SUBUH DAN SEBELUM SYURUK. Masukkanlah tak kira berapa sen/rm ke dalam tabung sedekah Subuh itu. Semasa hendak memasukkan wang itu berniatlah apa sahaja niat yang baik-baik untuk anda dan keluarga. Masukkan ke dalam tabung itu sehingga genap sebulan. Setelah sebulan agihkanlah kepada mana-mana orang/badan yang memerlukan dan teruskan amalan itu seperti biasa. Contohnya wang dari tabung tersebut boleh disalurkan ke tabung masjid, rumah anak yatim atau maahad tahfiz. Waktu Subuh dan Asar adalah waktu pertukaran shift malaikat dan malaikat akan mendoakan orang yang bersedekah Subuh ini. Biasakan sedekah subuh walaupun cuma seringgit atau dua ringgit, tetapi lakukanlah dengan istiqamah kerana disitu dapat doa malaikat dan doa malaikat mustajab di sisi Allah SWT.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada satu subuh-pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa: “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”, sedangkan yang satu lagi berdo’a “Ya Allah, berilah kerosakan bagi orang yang menahan (hartanya)” (Hadis Riwayat Bukhary 5/270)

8. Membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar sebanyak 100 kali selepas Subuh dan Asar

Dari Abdullah bin Amr bin Ash, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa membaca ‘Subhanallah’ 100 kali sebelum terbit dan terbenamnya matahari, maka itu lebih utama dari (pahala sedekah) 100 unta. Barangsiapa membaca ‘Alhamdulillah’ 100 kali sebelum terbit dan terbenamnya matahari, maka itu lebih utama dari (pahala sedekah) 100 kuda yang dipersiapkan untuk jihad fisabilillah. Dan barangsiapa membaca ‘Allahu Akbar’ 100 kali sebelum terbit dan terbenamnya matahari, maka itu lebih utama dari (pahala) memerdekakan 100 hamba”. (Nasa’i dalam Kitab Sunan Kubra, dan di-hasan-kan oleh Albani)