Isnin, 15 Jun 2020

Melawan Tipudaya Syaitan Dengan Ilmu, Ikhlas, Doa dan Zikir

Dalam menghadapi kehidupan harian kita sebagai seorang Muslim, musuh kita yang paling utama adalah nafsu dan syaitan. Untuk menghadapi kedua-dua musuh utama ini, kita perlulah ada senjatanya. Empat senjata utama seorang Muslim yang boleh digunakan untuk mengalahkan syaitan ialah ilmu, ikhlas, doa dan zikir. Nafsu pula boleh dikalahkan dengan puasa.

1. Melawan tipudaya syaitan dengan ilmu

Seorang yang berlimu itu seribu kali lebih ditakuti oleh syaitan berdasarkan hadis berikut:


Daripada Abdullah bin Abbas radhiallahu'anhuma berkata: Telah bersabda Rasulullah saw.:"Seorang yang berilmu (alim) itu lebih ditakuti oleh syaitan daripada seribu abid (ahli ibadah) yang tidak berilmu (alim)". H.R Tirmizi dan Ibnu Majah.

Ini adalah kerana si alim itu tahu caranya untuk melawan godaan syaitan dan dapat pula si alim itu memberi bimbingan kepada orang lain supaya ia selamat dari godaan syaitan, bahkan si alim itu dapat pula menyelamatkan orang-orang yang telah disesatkan oleh syaitan. Jadi syaitan sangat takut kepada si alim kerana dia dapat memelihara dirinya dan memberikan bimbingan kepada orang lain.


Contohnya semasa Wali Allah Syeikh Abdul Kadir Jilani cuba ditipu oleh Iblis dengan cara berikut: 


Iblis menyamar sebagai satu cahaya yang sangat terang benderang dan sangat menarik, lalu muncul dihadapan Sheikh seraya berkata:
“Ya Abdul Qadir, aku Tuhanmu. Oleh kerana engkau telah bersungguh2 mujahdah padaku maka pada hari ini aku telah menghalalkan bagi kamu segala yang aku haramkan.!!!”
Maka segera Sheikh menyahut, “A’uzhu Billahi Mina-asy-Syaitanir-Rajim”, nyahlah engkau wahai Iblis yang dilaknat” .. Ketika itu cahaya seperti kepulan awan itu bertukar menjadi asap. Dan terlihatlah Iblis. Lalu Iblis itu berkata, “Ya Abdul Qadir, bagaimana engkau tahu aku Iblis?” sedangkan berapa banyak orang alim yang telah aku sesatkan sebelum kamu dengan cara ini.”
Sheikh menjawab, “Allah Ta’ala telah menyatakan hukum di dalam Al-Qur’an. Dan dia tidak pernah menghalalkan yang haram”. Maka aku tahu tentu engkau Iblis.
Iblis menjawab, “Engkau telah selamat disebabkan ketinggian ilmu engkau”

Sheikh menjawab kembali, “Binasalah engkau. Aku terselamat bukan kerana ilmuku tetapi kerana Rahmat Tuhanku”.. Maka kembalilah Iblis berputus asa tak dapat menggoda Sheikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu ‘Anh.

Pelajaran yang boleh kita teladani dari kisah tersebut ialah seseorang itu perlukan ilmu untuk melawan tipudaya syaitan. Walaubagaimanapun, pergantungan kita untuk melawan tipudaya syaitan tersebut mestilah hanya kepada Allah SWT dan ilmu tersebut hanyalah sebagai asbab sahaja.

Ilmu yang paling asas yang diperlukan seorang Muslim ialah ilmu tauhid, iaitu ilmu  yang membentangkan tentang wujudullah (adanya Allah) dengan sifat-Nya yang wajib, mustahil dan jaiz (harus), dan membuktikan kerasulan para rasul-Nya dengan sifat-sifat mereka yang wajib, mustahil dan jaiz, serta membahas segala hujah terhadap keimanan yang berhubung dengan perkara-perkara sam’iyat, iaitu perkara yang diambil dari Al-Quran dan Hadis dengan yakin.

Kemudian, seorang Muslim itu juga perlu mengetahui ilmu syariat iaitu ilmu berkaitan hukum-hukum dalam Islam dan juga berkaitan cara melakukan ibadat. Ilmu syariat ini perlulah mengikuti Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu syariat Rasulullah SAW.

Akhirnya seorang Muslim itu perlu menguasai ilmu Tasawuf iaitu ilmu membersihkan hati, bermujahadah melawan hawa nafsu, mendekati sifat-sifat hati yang baik (Mahmudah) dan menjauhi sifat-sifat hati yang buruk (Mazmumah). 

2. Melawan tipudaya syaitan dengan ikhlas

Iblis telah mengaku kepada Allah SWT bahawa dia tidak berkuasa menyesatkan mereka yang ikhlas seperti ayat Quran berikut:

Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, (39) Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang ikhlas (dibersihkan dari sebarang syirik). (15:40)

Cara untuk mendapatkan keikhlasan itu ialah dengan sentiasa membetulkan niat berbuat ibadah itu hanya kerana Allah SWT, bukan untuk tujuan yang lain seperti mendapatkan pujian manusia, menunjukkan yang kita ini baik di hadapan isteri/suami/anak, bukan kerana mengikut-ikut kawan, bukan kerana ingin mendapatkan habuan dunia dsb.

Cara lain untuk mendapatkan keihlasan ialah dengan membaca surah Al-Ikhlas (Qul huwallahu Ahad) yang menegaskan tentang keesaan Allah SWT  secara berulang-ulang. 

3. Melawan tipudaya syaitan dengan doa

Walaupun kita mempunyai ilmu yang banyak sekalipun, pergantungan kita untuk mengalahkan tipudaya syaitan itu mesti hanyalah kepada Allah SWT. Doa itu adalah cara kita untuk menguatkan pergantungan kita kepada Allah SWT kerana kita hanya akan selamat dari tipudaya syaitan itu dengan rahmatNya.

Antara doa yang boleh diamalkan sebagai pergantungan kita kepada Allah SWT untuk mengalahkan syaitan ialah:

Dengan membaca 'Au zubillahi minassyaito nirrajim dan bismillahirrahmanirrahim  sebelum memulakan sesuatu aktiviti.

Dengan membaca doa sebelum masuk tandas:
بِسْم الله اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ
Dengan Nama Allah, Ya Allah aku berlindung denganMu daripada syaitan jantan dan syaitan betina.

Dengan membaca doa mengelakkan gangguan syaitan sebelum solat:


Allahumma inni a’u zubika minassyaita nirrajim min hamzihi wa naf sihi wa naf qihi.

Ya Allah aku berlindung denganMu daripada syaitan yang direjam, dari bisikannya, dari nafasnya dan dari hembusannya.

Dengan berdoa khusus kepada Allah SWT untuk melindungi kita dari gangguan dan godaan makhluk-makhluk yang jahat termasuk syaitan.

4. Melawan tipudaya syaitan dengan zikir

Zikir yang paling utama untuk mengelakkan gangguan syaitan ialah dengan membaca ayat Kursi pada waktu pagi, waktu petang, setiap kali selepas solat dan sebelum tidur berdasarkan hadis-hadis berikut:

Dari Ubay bin Ka'ab, Nabi SAW bersabda: "Siapa yang membaca ayat Kursi saat pagi, maka ia akan dilindungi dari gangguan kami (jin) hingga petang. Siapa yang membacanya ketika petang, maka ia akan dilindungi dari gangguan kami (jin) sehingga pagi." (HR. Al Hakim 1:562) 

Sesiapa membaca ayat Al-Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas solat fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga solat yang lain dan terpelihara daripada tipudaya dan gangguan syaitan.

Sesiapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT akan mewakilkan dua Malaikat memeliharanya dan menjaga selama tidurnya hingga subuh.

Zikir seterusnya adalah ayat 97&98 Surah Al-Mukminun seperti berikut:

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٲتِ ٱلشَّيَـٰطِينِ (٩٧) وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ (٩٨    

Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku. (23:97-98)

Zikir terakhir yang boleh diamalkan untuk mengelakkan gangguan syaitan ialah dengan membaca 3 Qul, dihembuskan ke tapak tangan dan disapu ke muka dan seluruh badan dan anggota sebanyak 3 kali sebelum tidur.

Dari Aisyah radhiallahu anhu berkata: "Rasulullah SAW apabila hendak beranjak ketempat tidurnya setiap malam, Beliau menyatukan kedua telapak tangannya lalu meniupkan keduanya dan membacakan keduanya surat al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas. Kemudian beliau mengusap dengan keduanya bahagian mana saja semampunya. Beliau memulainya dari atas kepala dan wajahnya serta bahagian belakang dari badannya. Beliau melakukan perkara itu tiga kali." (HR. Muslim).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan