Sabtu, 27 Jun 2020

Rahsia 7 Lapisan Langit

Perhatikan ayat Al-Quran berikut:

Lalu Dia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa dan Dia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui. (41:12)

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT telah menjadikan 7 lapisan langit dan setiap langit ada urusan dan keperluannya masing-masing. Perhatikan perkataan ... dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Ayat ini jelas menunjukkan langit yang paling dekat iaitu langit yang pertama ialah langit yang dilihat oleh penduduk bumi ini. Jadi apakah maksud langit ke-2 hingga ke 7 tersebut?

Sebenarnya 7 lapisan langit ini merujuk kepada 7 lapisan alam yang ada. 7 lapisan langit dan 7 alam yang ada adalah seperti berikut:
1. Langit pertama = alam mulki (alam manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan)
2. Langit kedua = alam bunian (alam jin)
3. Langit ketiga = alam barzakh (alam arwah)
4. Langit keempat = alam malakut (alam malaikat)
5. Langit kelima = alam jabarut (alam roh)
6. Langit keenam = alam lahut (alam ketuhanan)
7. Langit ketujuh = Sidratul Muntaha (alam puncak)

Mari saya terangkan secara ringkas setiap alam tersebut. Alam mulki adalah alam yang kita nampak iaitu alam 3 dimensi yang mengandungi bumi, matahari, bintang-bintang dan galaksi. Cuba bayangkan betapa luasnya alam mulki. Alam mulki mengandungi berbillion- billion bintang sehinggakan agak sukar untuk mendapat angka yang tepat tentang jumlah bilangan bintang ini. Anggaran kasar untuk jumlah bintang di alam mulki ialah sebanyak 1019 iaitu nombor 1 diikuti dengan sembilan belas angka kosong. Bayangkan betapa besarnya alam mulki ini!

Langit kedua hingga ketujuh merujuk kepada alam yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera kita. Namun kita tahu bahawa alam ini wujud berdasarkan kepada Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. 

Langit kedua ialah alam bunian iaitu alam 4-dimensi yang dihuni oleh bangsa jin. Alam ini sebenarnya berdampingan dengan kita, tetapi tidak bersentuhan kerana memang dimensinya berbeza. Perbandingannya bagaikan 'Dunia Bayangan' yang 2 dimensi dan hidup di permukaan tembok, dengan 'Dunia Manusia' yang berdimensi 3, hidup di dalam ruangan. Kedua dunia itu hidup berdampingan tetapi tidak bercampur-aduk. Keluasan alam bunian ini adalah jauh lebih luas dari alam mulki. Sekiranya dibuat perbandingan, alam mulki adalah umpama setitis air manakala alam bunian adalah seumpama sebuah lautan. Kehidupan bangsa jin ini amat sama dengan kehidupan manusia. Mereka bekerja, berkeluarga dan beragama. Ada golongan jin yang Islam dan ada yang bukan Islam.


Langit ketiga ialah alam barzakh yang juga dikenali sebagai alam arwah. Alam ini ialah alam 5-dimensi yang menempatkan roh-roh yang sudah meninggal dunia sementara menunggu hari kiamat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kubur (alam barzakh) itu adalah salah satu taman syurga atau salah satu lubang neraka.” (Hadis riwayat at-Tabrani). Sesungguhnya siksa kubur itu benar bagi mereka yang banyak dosanya. Salah satu cara untuk mengelakkan dari siksaan kubur ialah dengan selalu membaca surah Al-Mulk. Keluasan alam barzakh juga adalah seumpama keluasan lautan berbanding satu titik air iaitu alam bunian.

Langit keempat ialah alam malakut. Alam ini ialah alam 6-dimensi yang dihuni oleh para malaikat. Jumlah malaikat itu sangat banyak jika dibandingkan dengan jumlah jin dan manusia. Sekiranya jumlah jin, manusia dan malaikat diambil sebagai 100%, jumlah malaikat ialah 90%, jumlah jin ialah 9% dan jumlah manusia ialah 1%.

Langit kelima ialah alam Jabarut atau alam roh. Alam ini ialah alam 7-dimensi yang dihuni oleh para roh sebelum roh itu dimasukkan ke dalam jasad jin atau manusia. Kesemua roh telah naik saksi bahawa Allah SWT itu adalah tuhan berdasarkan ayat berikut: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini. (7:172)

Langit keenam ialah alam lahut atau alam ketuhanan. Alam ini ialah alam 8-dimensi yang menjadi rahsia tuhan. Alam lahut juga dikenali sebagai “KaabatulLah” dan “Mahligai Allah” dan “Rumah Allah” yakni murad (maksud) daripadanya tempat TajalliNya dan tempat tilikanNya dan tempat rahsiaNya. 

Langit ketujuh ialah Sidratul Muntaha iaitu alam 9-dimensi. Sidratul Muntaha digambarkan sebagai Pohon Bidara yang sangat besar, tumbuh mulai Langit Keenam hingga Langit Ketujuh. Dedaunannya sebesar telinga gajah dan buah-buahannya seperti bejana atau kendi dari daerah Hajar. Menurut Kitab As-Suluk, Sidrat al-Muntahā adalah sebuah pohon yang terdapat di bawah 'Arasy, pohon tersebut memiliki daun yang sama banyaknya dengan sejumlah makhluk ciptaan Allah. Syurga Firdaus terletak di langit ketujuh ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW berikut: “Apabila engkau memohon kepada Allah, maka mohonlah kepadanya Syurga Firdaus. Sesungguhnya ia (adalah) Syurga yang paling utama dan paling tinggi. Di atasnya terdapat ‘Arasy Allah yang Maha Pengasih...” (HR Imam Bukhari, Imam Ahmad, Ibnu Abi ‘Ashim) dan hadis berikut: Masih diriwayatkan dari Ibnu Abi 'Ashim, Nabi Muhammad bersabda: “Sesungguhnya ‘Arasy sebelumnya berada di atas air. Setelah Allah menciptakan langit (yang 7), ‘Arasy itu ditempatkan di langit yg ke-7. Dia jadikan awan sebagai saringan untuk hujan. Apabila tidak dijadikan seperti itu, tentu bumi akan tenggelam terendam air.”

Sunnatullahnya ialah makhluk dari alam bawah tidak dapat melihat makhluk alam atasnya, kecuali makhluk alam atasnya turun ke alam bawah dan menjelma sebagai makhluk alam bawah dengan mengikut sunnatullah juga. Oleh itu, bertasbihlah kepada Allah SWT kerana telah menciptakan langit itu sebanyak 7 lapis dengan keperluan dan urusannya masing-masing.

1 ulasan:

  1. Terima kasih atas perkongsian. Ilmu baru untuk sy :)

    BalasPadam