Ilmu pengetahuan agama adalah sangat penting bagi menjamin
kesejahteraan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Ayat pertama yang
diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW ialah perintah supaya
mencari ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5
yang bermaksud, “Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan
sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan
Tuhanmu yang amat pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia
mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawa ilmu yang wajib
dipelajari ialah ilmu yang mendorong kepada mentauhidkan Allah, mendekatkan
diri dan mematuhi syariat. Ilmu-ilmu tersebut terbahagi kepada dua bahagian
iaitu ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah. Ilmu fardu ain ialah ilmu yang
diwajibkan ke atas setiap individu muslim untuk mempelajarinya, sesiapa yang
tidak mempelajarinya akan menanggung dosa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
“menuntut ilmu adalah fardu ain ke atas setiap orang Islam lelaki dan
perempuan.” (HR Muslim)
Ilmu fardu ain terbahagi kepada tiga bahagian utama seperti
berikut :-
Pertama : ilmu akidah atau ilmu tauhid, iaitu ilmu yang
berkaitan dengan kepercayaan kepada Allah, malaikat, kitab, para rasul, hari
kiamat dan qada dan qadar, sebagaimana yang terkandung dalam rukun iman yang
enam.
Kedua : ilmu syariat atau ilmu fekah iaitu ilmu yang
berkaitan dengan ibadah, muamalat, munakahat dan jenayah yang boleh
mendatangkan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Ketiga : ilmu akhlak atau ilmu tasawuf, iaitu ilmu yang berkaitan
dengan pembersihan hati, pembentukan peribadi atau akhlak yang mulia, yang
merangkumi sifat benar, amanah, ikhlas, bersopan-santun, berdisiplin, menjaga
masa dan sebagainya.
Ilmu fardu kifayah pula ialah ilmu yang wajib dikuasai oleh
sebahagian umat Islam yang memenuhi syarat untuk menegakkan urusan umat Islam
di dalam kehidupan dunia ini. Ini merangkumi ilmu agama seperti ilmu tafsir
al-Quran hadis, fekah dan sebagainya, atau ilmu duniawi seperti ilmu perubatan,
pertanian, politik, teknologi, ekonomi, sains dan sebagainya.
Hadirkan dirimu dalam majlis ilmu, kerana mempelajari ilmu
merupakan perkara yang dituntut sepanjang hayat, tidak ada istilah terlambat,
selagi hayat dikandung badan. Oleh itu, setiap orang Islam wajib berusaha
mempelajari ilmu, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, sekurang-kurangnya
sekadar mengesahkan akidah dan ibadatnya serta mengetahui yang mana halal dan
yang mana haram, bagi memastikan segala urusan hidup yang dijalankan adalah
menepati hukum syarak dan diredhai Allah SWT.
Hadirkan dirimu dalam majlis ilmu sama ada di masjid, surau
atau sebagainya kerana orang yang menghadiri majlis ilmu ini akan memperoleh
banyak kelebihan yang disediakan oleh Allah, antaranya :-
Pertama : dipermudahkan jalan ke syurga. Sabda Rasulullah
SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu,
Allah akan mempermudahkannya jalan ke syurga.” (HR Muslim)
Kedua : dimuliakan oleh para malaikat. Sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud, “Dan sesungguhnya malaikat merendahkan sayapnya bagi penuntut
ilmu kerana redha dengan apa yang dilakukannya.” (HR Tirmizi)
Ketiga : lebih baik daripada melakukan solat sunat. Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, perginya kamu mempelajari
satu bab daripada ilmu itu lebih baik daripada kamu sembahyang sunat seratus
rakaat.” (HR Ibnu Majah)
Keempat : penerima wasiat Rasulullah SAW. Sabda Baginda yang
bermaksud, “Akan datang kepada kamu beberapa kaum yang menuntut ilmu, oleh itu
apabila kamu melihat mereka maka katakanlah kepada mereka : selamat datang
kepada penerima wasiat Rasulullah SAW dan ajarkanlah kami.”
Kelima : semua makhluk memohon keampunan baginya. Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud, “Orang yang mempunyai ilmu itu tiap-tiap sesuatu
meminta keampunan untuknya sehingga ikan dalam laut.” (HR Abu Ya’la bersanad
sahih)
Keenam : Mendapat doa para malaikat dan binatang. Rasulullah
SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah,
malaikat-Nya, penduduk bumi dan langit, serta semut yang berada di lubangnya
dan ikan paus, mereka semua mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan kepada
manusia.” (HR. Tirmizi)
Ketujuh : Mendapat kebaikan lebih baik dari dunia dan seisinya. Rasulullah SAW bersabda “Satu bab daripada ilmu yang
dipelajari seseorang, adalah lebih baik baginya daripada dunia dan isinya.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Hibban dan Ibnu Abdul Birri)
Kelapan : Dekelilingi para malaikat dan mendapat rahmat dari Allah SWT. Dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id radhiyallahu ‘anhuma, mereka berdua
berkata, “Rasulullah SAW bersabda, ‘Tidaklah suatu kaum duduk berzikir (mengingati)
Allah, melainkan mereka dikelilingi oleh para malaikat, diliputi oleh rahmat, diturunkan
sakinah (ketenangan), dan mereka disebut oleh Allah di hadapan malaikat yang
ada di sisi-Nya.’” (HR. Muslim, no. 2700)
Di zaman moden ini, majlis ilmu sangat mudah untuk dicari.
Kita hanya perlu mencari ceramah ustaz-ustaz di youtube untuk berada di majlis
ilmu dan mendapatkan kelebihan-kelebihan di atas. Walaubagaimanapun, menghadiri
majlis-majlis ilmu di masjid adalah lebih afdal kerana disitu dapat pahala
solat berjemaah dan juga keberkatan menuntut ilmu secara berjemaah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan