Setelah kiamat berlaku dan semua makhluk dimatikan oleh Allah SWT, malaikat Israfil dihidupkan kembali oleh Allah SWT. Kemudian, malaikat Israfil meniup
sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi
putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit
atau bulat seperti bumi. Makhluk yang dihidupkan adalah manusia, jin dan binatang.
Sekalian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut
“Ajbuz Zanbi” (tulang ekor) yang berada di hujung tulang belakang mereka. Setelah Allah SWT menurunkan hujan, hiduplah manusia
umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
Kita akan dihidupkan kembali sepertimana kita dilahirkan seperti sabda Rasulullah SAW: "Kalian akan dikumpulkan pada hari kiamat dalam keadaan telanjang kaki (khufatan), telanjang badan ('uratan), berjalan kaki (musyatan), dan tidak berkhitan (ghurlan)" (HR. Ibn Abi Hatim)
Aisyah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW "Ya Rasulullah, kalau begitu kaum wanita dan kaum lelaki dapat melihat aurat satu dengan yang lainnya?" Rasulullah SAW menjawab: "Hai Aisyah, peristiwa pada hari itu lebih penting untuk diperhatikan oleh setiap orang daripada memerhatikan orang lain." Manusia dan jin pada ketika itu tidak malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang
tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
Ini dijelaskan dalam Al-Quran surah Abasa seperti berikut:
Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. (80:37)
Hari itu, matahari akan didekatkan kepada para makhluk hingga berjarak kira-kira satu mil. Jika ditukarkan ke km, satu mil adalah lebih kurang 1.6 km panjangnya. Dengan suhu lebih 150°C menurut perhitungan manusia, matahari memancarkan panas yang sangat hebat. Akibatnya, setiap manusia dibanjiri dengan peluhnya. Menurut Rasulullah SAW, banyak manusia terbenam dengan peluhnya sendiri, sesuai dengan amalnya. Di antara mereka, ada yang terbenam sampai buku lali, sampai lututnya dan ada yang terbenam sampai mulutnya (HR Muslim)
Lalu
datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau
manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka
menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang
amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan
lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia akan sibuk memikirkan nasib
masing-masing.
Kemudian semua makhluk akan berkumpul disatu tempat untuk menunggu mahkamah Allah SWT memulakan perbicaraan. Tempoh menunggu ini adalah satu tempoh yang sangat lama, iaitu kira-kira 50,000 tahun dunia. Tempoh menunggu yang sangat lama ini menyebabkan manusia mencari-cari syafaat para rasul agar perbicaraan mahkamah Allah SWT disegerakan. Mereka bertemu dengan Nabi Adam AS, Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS sebelum bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, yang akhirnya Rasulullah SAW menggunakan syafaat baginda agar dipercepatkan mahkamah perbicaraan dan hisab dan permohonan baginda dimakbulkan Allah SWT.
Proses perbicaraan dan hisab mahkamah Allah SWT akan membicarakan manusia dan jin itu satu-persatu. Umat yang akan pertama sekali dibicarakan dan dihisab ialah umat Nabi Muhammad SAW. Pada ketika itu, manusia dan jin tidak akan bercakap. Yang akan bercakap pada ketika itu ialah anggota-anggota badan mereka yang akan menjadi saksi tentang apa yang mereka kerjakan seperti yang diceritakan dalam Al-Quran surah Yasin seperti berikut:
Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (36:65)
Manusia dan jin akan dapat melihat pahala dan dosa yang mereka kerjakan secara berbentuk/berjisim. Pahala dan dosa inilah yang akan ditimbang di mizan oleh Allah SWT. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada
orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara
sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati.
Mereka yang pahalanya lebih berat dari dosanya akan mendapat keputusan catatan amalnya menggunakan tangan kanannya dan mereka adalah golongan ahli syurga. Mereka yang dosanya lebih berat dari pahalanya akan mendapat keputusan catatan amalnya menggunakan tangan kirinya dan mereka adalah golongan ahli neraka.
Mereka yang pahalanya lebih berat dari dosanya akan mendapat keputusan catatan amalnya menggunakan tangan kanannya dan mereka adalah golongan ahli syurga. Mereka yang dosanya lebih berat dari pahalanya akan mendapat keputusan catatan amalnya menggunakan tangan kirinya dan mereka adalah golongan ahli neraka.
Setelah selesai proses perbicaraan dan hisab, manusia akan mula berjalan menuju
syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang
terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut
yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia
akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa
15,000 tahun. 5,000 tahun menaik, 5,000 tahun mendatar dan 5,000 tahun menurun. Walaubagaimanapun ada
makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang
korban dan berjalan kaki bergantung kepada amalan masing-masing. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api
neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
Setelah mengetahui dahsyatnya huru-hara di padang mahsyar tersebut, lalu bagaimanakah caranya kita boleh meringankan beban kita di mahsyar kelak? Berikut adalah 3 amalan yang boleh meringankan beban kita di mahsyar kelak:
1. Menjadi salah satu dari 7 golongan yang mendapat naungan Allah SWT di padang mahsyar
Daripada Abu Hurairah RA, Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tujuh golongan Allah akan menaungi mereka pada hari yang
tiada naungan melainkan naunganNya;
Pertama: Imam (pemimpin) yang adil.
Kedua:
Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah.
Ketiga: Insan yang hatinya
terpaut dengan masjid.
Keempat: Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka
bertemu dan berpisah kerana Allah.
Kelima: Insan yang diajak (digoda) oleh
wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata, ‘Sesungguhnya aku takutkan
Allah.’
Keenam: Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga
tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya.
Ketujuh: Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air
matanya.”
(HR Bukhari dan
Muslim)
2. Dengan selalu membaca Al-Quran terutamanya surah Al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-dua surah ini akan menjadi peguambela kita di hari akhirat seperti hadis berikut:
Daripada Abu Umamah al-Bahili, beliau berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: ‘Bacalah al-Quran kerana al-Quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak. Dan bacalah Az Zahrawain iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-dua surah itu akan datang pada hari kiamat, seolah-olah kedua-duanya bagai sekelompok awan atau payung yang menaungi, atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya. Kedua-duanya akan membela pembacanya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam Ahmad)
3. Dengan menginsafi bahawa kita hidup di dunia ini hanyalah sebentar sahaja jika dibandingkan dengan akhirat
Satu hari di akhirat itu bersamaan dengan 1000 tahun di dunia seperti ayat Al-Quran berikut:
....... Sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung. (22:47)
3. Dengan menginsafi bahawa kita hidup di dunia ini hanyalah sebentar sahaja jika dibandingkan dengan akhirat
Satu hari di akhirat itu bersamaan dengan 1000 tahun di dunia seperti ayat Al-Quran berikut:
....... Sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung. (22:47)
Mari kita kira berapa lamakah kita hidup di dunia ini:
1 hari akhirat = 1000 tahun,
24 jam akhirat = 1000 tahun,
3 jam akhirat = 125 tahun,
1.5 jam akhirat = 62.5 tahun.
Apabila umur manusia itu rata-rata 60-70 tahun, maka hidup manusia ini jika dilihat dari pandangan Allah SWT hanyalah 1.5 jam saja. Ternyata hanya satu setengah jam saja yang akan menentukan kehidupan abadi kita kelak, hendak di Syurga atau Neraka. Oleh yang demikian, bersabarlah dalam kehidupan dunia yang sementara ini dan penuhilah ia dengan ibadat dan amal soleh.
Akhir kata, renungkanlah ayat Al-Quran berikut:
Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): Berapa
tahun lamanya kamu tinggal di bumi? Mereka menjawab: Kami tinggal (di dunia)
selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan
(malaikat) yang menjaga urusan menghitung (umur). Allah berfirman: Kamu tidak
tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui
hal ini (tentulah kamu bersiap sedia). (23:112-114)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan