Pelarian Palestin 1948. Hari ini kanak-kanak di atas telah berumur 70-an di kem pelarian luar Palestin atau telah meninggal dunia tanpa sempat pulang ke kampung halaman mereka yang asal.
Pada Ahad 15/5/2011, genap 63 tahun umat Islam belum dapat membebaskan bumi berkat Palestin dari penjajahan Yahudi. Ini sekaligus tanda yang jelas betapa umat Islam hari ini berada di dalam keadaan yang paling lemah dalam sejarah 1400 tahunnya yang panjang.
Penjajah British yang mula menawan Palestin pada tahun 1917, setelah membuat penghijrahan Yahudi secara terancang masuk membanjiri Palestin, akhirnya menyerahkan bumi Islam ini kepada pendatang Yahudi pada tahun 1947 dan tertubuhlah negara haram “Israel”. PBB mengiktiraf “Israel” pada tahun 1948. Peristiwa pedih bersejarah ini dikenali sebagai “AN-NAKBAH” bermakna malapetaka, berlaku pada 15/5/1948.
Selepas itu bagi memastikan bilangan pendatang Yahudi mengatasi bilangan pribumi Palestin, pembunuhan dan pengusiran beramai-ramai dilakukan seperti tragedi Dier Yassin, Shabra Shatila dan banyak lagi. Hasilnya hari ini, 6 juta pelarian Palestin merempat di negara-negara jiran seperti Jordan, Lubnan, Syria dan di merata dunia termasuk negara-negara Barat.
Sudah jatuh ditimpa tangga, setelah menguatkan kedudukannya 20 tahun di Palestin sejak 1948, lalu pada tahun 1967 Israel menyerang dan menawan Bukit Golan milik Syria, Tebing Barat milik Jordan dan Gaza milik Mesir dan masih mencengkamnya sehingga ke hari ini. Berbagai sidang damai diadakan dari dulu hingga kini, namun isu Pelarian Palestin untuk kembali ke tanahair mereka, isu Golan, Tebing Barat dan Gaza sedikitpun tidak dihiraukan oleh Israel di satu pihak dan dilindungi oleh puluhan kuasa Veto oleh Amerika di Majlis Keamanan PBB, badan yang sepatutnya menguatkuasakan undang-undang dan resolusi antarabangsa. Dengan ini PBB sengaja dilumpuhkan oleh Veto Amerika bila berdepan dengan isu Israel menjajah Palestin.
Selepas 30 tahun penubuhannya untuk membebaskan Palestin, PLO akhirnya telah berdamai dan mengiktiraf “Israel” dalam Perjanjian Oslo 1993 tanpa mendapat apa-apa pulangan selain elaun bulanan dari Amerika dan Eropah. Umat Palestin beralih kepada HAMAS yang masih utuh dengan prinsip membebaskan Palestin dan tidak mengiktiraf “Israel”. Dalam Pilihanraya Umum Palestin 25/1/2006, HAMAS menang lalu Israel, Amerika, Eropah, banyak Negara-negara Arab dan Islam yang sememangnya mengikut arahan Barat mengadakan sekatan minyak, makanan, kewangan dan sebagainya terhadap 1.5 juta penduduk Gaza, Palestin hingga ke hari ini sebagai hukuman kerana memilih HAMAS untuk memimpin mereka dalam proses “Demokrasi” yang kononnya diperjuangkan oleh Barat.
Pengasas Penjajahan Iraq Abad 21, Presiden Bush dan isteri tiba di Israel untuk meraikan Ulangtahun ke-60 penubuhan negara “Israel”. Turut menyambut beliau di Ben Gurion Airport, Tel Aviv ialah Perdana Menteri “Israel” Ehud Olmert dan isteri. Yang mengisytiharkan penubuhan “Israel” pada 15/5/1948 ialah Presiden Ben Gurion. Mereka meraikan dan merancang lagi. Apakah langkah-langkah pemimpin-pemimpin negara umat Islam pula? Hari AN-NAKBAH (Malapetaka Tertubuhnya Israel) hari 15/5 ini, agaknya apa yang sedang pemimpin umat Islam sedang buat ?
Gaza, dengan keluasan 6km x 25km, hari ini bertukar dari sebuah bandar menjadi kem tahanan (Concentration Camp) terbesar Abad 21. Bekalan bahanapi dan makanan tidak dibenarkan masuk melalui sempadan 2 negara jiran, Israel (pemimpin beragama Yahudi) dan Mesir (pemimpin beragama Islam !!).
Dengan ini setelah 63 tahun merana dibawah kezaliman Yahudi, mereka juga turut perit disebabkan kebanyakan ketua negara-negara umat Islam tidak membantu kerana takut kepada Amerika dan Negara-negara Barat yang lain. Padah tali gantung di pagi Aidil Adha yang diterima Saddam Hussein masih menghantui ramai pemimpin negara umat Islam. Beliau pernah cuba mencabar Israel dan Amerika dengan melancarkan peluru berpandu Scudnya ke beberapa bandar di “Israel” pada tahun 1990.
Isteri dan 4 anaknya mati dibom ketika sedang bersarapan.
Penyelesaian isu penjajahan ke atas Palestin secara sangat ringkas adalah seperti berikut :
- Masyarakat Islam kembali menghayati Islam sepenuhnya, memenuhi masjid dan surau bersolat jemaah 5 waktu sehari, membanteras kelucahan dan maksiat yang mengotori persekitaran berupa majalah, rancangan TV, akhbar, mengutamakan balasan di Akhirat dari pulangan kebendaan segera di dunia. Sebab utama Yahudi Zionis dan Barat menguasai dunia adalah kerana umat Islam jauh dari hidup menghayati Islam yang hakiki.
- Umat Islam kembali menghayati Islam yang syumul (menyeluruh) mencakupi kesatuan dan kepimpinan umat seluruh dunia, bukan terbatas kepada sempadan bangsa, geografi dan bahasa ke arah menegakkan kembali Khilafah Islam yang telah dilenyapkan Barat pada tahun 1924. Sebab utama umat Islam lemah di persada antarabangsa ialah kerana negara-negara mereka berpecah, tiap satu hanya lebih berfikir dalam ruang lingkup sempadan geografi yang dicipta Penjajah Barat sebelum merdeka. Kesannya agenda memartabatkan kembali Khilafah Islam Antarabangsa belum menjadi agenda dan buah mulut mana-mana di kalangan pemimpin mereka.
- Masyarakat Islam yang saleh memilih pemimpin mereka dari kalangan orang-orang yang saleh, berkelayakan dan prihatin menyebarkan Islam ke pelusuk rantau dan dunia.
- Negara-negara Islam dan Khilafah Islam yang bakal tegak nanti akan memimpin kekuatan umat ke arah pembebasan tanah bumi Islam yang dijajah dan seterusnya menyebarluaskan Dakwah Islam ke seluruh penjuru-penjuru dunia.
- Dengan kepimpinan dunia di bawah Islam dan umat Islam yang saleh dan terdidik, seluruh umat di dunia, bahkan seluruh makhluk akan bahagia sejahtera di bawah naungan Islam, satu-satunya sistem Allah yang diredhaiNya.
Langkah-langkah penyelesaian isu Palestin, adalah tidak lari dari Amal 7 yang digariskan oleh Imam Hasan Al-Banna. Kesemuanya berkisar kepada mendidik dan mewujudkan diri dan generasi Islam yang hakiki ke arah menanggung beban Dakwah Islam yang berat dan panjang. “Jika ada di sana seorang yang saleh, kamu akan dapati pada dirinya faktor-faktor kejayaan Islam” [Hasan Al-Banna].
Moga umat Islam akan segera sedar dari lamunan mereka. Di hari umat terjaga dan bangkit, pastinya penderitaan umat Palestin selepas peristiwa An-Nakbah sehingga ke hari ini akan segera berakhir. Ameen
Tiada ulasan:
Catat Ulasan