Solat Sunat Rawatib ini adalah satu sunat muakkad, iaitu yang amat dituntut dan digalakkan. Solat Sunat Rawatib adalah sebagai sunat tambahan yang bertujuan menyempurnakan apa-apa kecelaan ataupun kekurangan yang terdapat dalam solat fardu pengamal. Solat sunat Rawatib ini dituntut ke atas orang Islam yang mukallaf dan dilakukan secara rela hati serta kemahuan sendiri dan apabila dilakukan dijanjikan pahala dan ganjaran oleh Allah S.W.T. dan jika ditinggalkan pula tidak membawa kepada apa-apa dosa.
Solat sunat Rawatib ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuk golongan musafir yang mendirikan solat fardu secara qasar. Solat sunat Rawatib tidak didahului dengan azan ataupun iqamah. Solat sunat Rawatib ini juga didirikan secara bersendirian (munfarid),dan tidak didirikan secara berjemaah.
Dalil menunaikan solat sunat Rawatib adalah hadis berikut :
Dari Ibnu Umar ra berkata, “Aku menjaga 10 rakaat dari nabi SAW: 2 rakaat sebelum salat Zhuhur,2 rakaat sesudahnya,2 rakaat sesudah solat Maghrib, 2 rakaat sesudah solat Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh. (HR Muttafaqun ‘alaihi)
Sayyidah ‘Aisyah dalam hadis muttafaq ‘alaih menyatakan: “Tidak ada nafilah, solat sunnah, yang sangat dijaga pelaksanaannya oleh Nabi Saw. melebihi dua rakaat fajar.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Solat sunat Rawatib terbahagi kepada dua jenis, iaitu Solat Sunat Rawatib Qabliyyah dan Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah.
Solat Sunat Rawatib Qabliyyah adalah solat sunat yang didirikan sebelum kita mendirikan solat fardu. Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah pula didirikan selepas kita menunaikan solat fardu.
Sembahyang sunat Rawatib ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu, Sunat Muakkad dan Sunat Ghairu Muakkad. Solat sunat Rawatib Muakkad amat besar fadilatnya dan dijanjikan ganjaran yang besar apabila menunaikannya. Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad kurang sedikit fadilatnya berbanding dengan solat sunat muakkad.
Solat sunat Rawatib Muakkad amat dituntut oleh Islam dan diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. sentiasa menjaga 10 rakaat Solat Sunat Rawatib Muakkad ini terdiri dari :
- dua rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah Sebelum Subuh
- dua rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah Sebelum Zuhur
- dua rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Zuhur
- dua rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Maghrib
- dua rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Isyak
- dua rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Zuhur
- dua rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Ba’diyyah Setelah Zuhur
- empat rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Asar
- dua rakaat Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Maghrib
- dua rakaat Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Isyak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan