Ini kisah Nabi Ayub. Nabi Allah yang mana merupakan hambaNya yang paling sabar dan bersyukur. Ini bukan kisah dongeng malah kisah dari Al-Quran yang diriwayatkan dalam Surah Al-Anbiya’ dan Sad.
Nabi Ayub A.S. adalah cicit Nabi Ibrahim. Beliau anak Ish, putera Ishaq. Sedangkan ibunya adalah puteri Luth. Besar kemungkinan ia salah seorang dari dua puteri yang ditawarkan Nabi Luth kepada masyarakat Sodom untuk dinikahi.
Nabi Ayub membesar di Syam (Syria) dari keluarga yang kaya-raya. Beliau mewarisi seluruh kekayaan itu. Setelah dewasa, beliau menikahi cucu Yusuf, yakni Rahmah — anak Afrayim. Keluarga Nabi Ayub kemudian terkenal oleh masyarakat Hauran dan Tih sebagai keluarga kaya yang dermawan.
Iblis iri hati kepada Nabi Ayub yang sentiasa taat dan selalu sahaja bersyukur kepada Allah. Nabi Ayub punya harta yang banyak, ladang yang amat luas dan kambing-kambingnya memenuhi lereng² bukit. Namun Nabi Allah ini tidak pernah lupa untuk bersyukur.
Lalu iblis dengan penuh rasa dengki datang kepada Allah.
“Wahai Allah, izinkan aku menguji Ayub ini kerana aku rasa aku tahu kelemahannya”
Maka Allah pun mengizinkan kerana Dia tahu bahawa Nabi Ayub ini memang hamba yang sangat taat. Iblis pun menghancurkan semua harta² Nabi Ayub dan membunuh kambing² miliknya dengan izin Allah.
Kata Nabi Ayub “Ya Allah, sesungguhnya semua ini adalah milikmu. Jika engkau menghendaki semuanya kembali maka aku redha ya Allah”
iblis sangat tidak berpuas hati dan sekali lagi memohon pada Allah untuk menguji Nabi Ayub kali kedua.
Nabi Ayub punya ramai anak dan isteri yang amat disayangi baginda. Setiap kali pulang ke rumah, Nabi Ayub akan bermain² dengan mereka. Dengan izin Allah, iblis pun membunuh kesemua anak² Nabi Ayub.
Namun kata Nabi Ayub “Ya Allah, sesungguhnya semua ini adalah milikmu. Jika engkau menghendaki semuanya kembali maka aku redha ya Allah”
Semakinlah tidak puas hati iblis, sekali lagi meminta pada Allah untuk menguji buat kali ketiganya Nabi Ayub. Dengan izin Allah juga, iblis memberi penyakit kusta kepada Nabi Allah Ayub ini. Diriwayatkan bahawa kulitnya amat buruk terkena penyakit ini, daging-daging di badannya dimakan ulat dan bau Nabi Ayub masya Allah amat busuk! Kesemua isteri Nabi Ayub lari kecuali seorang sahaja iaitu Rahmah yang masih sanggup dan setia menemani baginda.
Ketika diuji dengan penyakit ini Nabi Ayub A.S. bermunajat (berbisik) dengan segenap jiwa raganya ke hadrat Tuhan: “Ya Allah Tuhanku, aku redha sekiranya Engkau cabut dariku akan nikmat Mu yang bernama hartabenda, anak keturunanku dan kesihatan badanku, bahkan aku redha sekiranya Engkau cabut dariku akan segala darah dan dagingku, serta kalau perlu boleh Engkau cabut segala tulang-belulang dan semua anggota badanku. Hanya aku berharap agar jangan sampai Engkau mencabut dua perkara (nikmat) Mu, iaitu akal fikiran dan lidahku, kerana aku memerlukan akal dan fikiran itu, guna mengingatiMu dan aku memerlukan lidah itu, agar dapat menyebut nama dan memujiMu.”
Malaikat pun beramai² bertemu Allah dan berdoa supaya menyembuhkan penyakit Nabi Ayub tadi tapi balas Allah:
“Aku hanya akan menyembuhkan penyakit Ayub jika sekiranya Ayub sendiri yang berdoa kepadaKu”
Berita gembira ini dikhabarkan malaikat kepada Nabi Ayub. Kata Nabi Ayub “Aku sangat² malu untuk meminta kepada Allah. Allah telah berikan aku terlampau banyak nikmat pada jangka masa yang sangat lama (ada riwayat mengatakan selama berpuluh-puluh tahun) sedangkan azab ini aku terima hanya dalam kadar masa yang pendek sahaja (ada riwayat mengatakan selama 7 tahun)”
Namun malaikat tetap merayu supaya berdoa kepada Allah dan akhirnya Nabi Allah ini berdoa seperti mana surah Al-Anbiya ayat ke 83:
“Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.”
dan Allah makbulkan doa Nabi Ayub seperti surah Al-Anbiya ayat ke 84:
“Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: Keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).”
Lihatlah doa nabi Allah yang sentiasa bersyukur ini. Kenapa tidak baginda berdoa terus supaya Allah sembuhkan penyakitnya. Bahasa bunga² ini baginda gunakan kerana perasaan malu baginda terhadap Allah.
Bagaimana dengan kita. Adakah kita malu dengan Allah tiap kali kita berdoa? Adakah kita malu dengan Allah tiap kali kita ditimpa musibah? Adakah kita bersabar apabila ditimpa musibah dan bersyukur apabila mendapat nikmat? Jadikanlah sifat sabar dan syukur Nabi Ayub ini sebagai pengajaran kepada kita agar kita mendapat pahala dan redha dari Allah SWT Insya Allah…
“Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya).” (Sad: 44)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan