Rabu, 6 Julai 2011

1. MAKSUD MUJADDID

Di zaman ketika masih ada Nabi dan  Rasul, manusia merujuk kepada para nabi dan Rasul utusan Tuhan. Ketika  kenabian sudah ditutup dengan kedatangan Rasulullah SAW manusia diminta  bertanya kepada para ulama yang haq, ulama pewaris nabi.


Firman Allah SWT : “Bertanyalah kamu kepada ahli zikir jika kamu tidak mengetahui.” Untuk menyelamatkan umat Islam, dengan rahmat dan kasih sayang Allah, setiap awal kurun, Allah kirimkan kepada umat Islam ini ulama besar  yang bertaraf mujaddid (pembaharu).


Rasulullah saw pernah bersabda : ‘Sesungguhnya ALLAH akan mengutus  pada umat ini (umat Rasulullah) setiap awal 100 tahun seorang mujaddid yang membaharui urusan agamanya. ”

Mujaddid berasal dari perkataan jaddada, yujaddidu, tajdidan, mujadidun, mujaddidun
Jaddada : dia telah membaharui
Yujadidu : dia sedang atau akan membaharui
Tajdidan : pembaharuan 
Mujadidun : orang yang membawa pembaharuan


Mujaddid maknanya orang yang membawa pembaharuan. Mujaddid itu bahasa Arab, dalam bahasa Inggeris dikatakan “Reformer”yang ertinya Pembaharu. 

Apakah maksud memperbaharui urusan agama? Adakah dia membaharui isi Al Quran, atau isi Hadis atau isi Islam? Tidak. Ia tetap membawa Al Quran, Hadis dan akhlak Islam, isi yang lama yang pernah dibawa oleh Rasulullah SAW. Tetapi ia mendapat ilham dari Allah dan membawa satu penafsiran baru tentang Al-Qur’an dan Hadis. 


Penafsirannya yang bersumber dari ilham itulah yang paling tepat dan sesuai untuk diamalkan di zaman itu. Dia tidak hanya menafsirkannya tetapi juga mengamalkan tafsiran tersebut dalam diri, keluarga, jamaah dan perjuangannya.  Dialah Al Qur’an dan ‘hadis berjalan’ di kurun itu.


Hasil dari keindahan Islam yang dibawa dan diperjuangkannya, banyak orang yang sangat fanatik dalam mencintai dan mengikutinya, tetapi tidak kurang juga yang sangat menentangnya, kerana tidak faham atau hasad dengki dengannya. Dia juga membawa style yang baru yang tidak pernah ditempuh oleh orang lain selama ini. Hingga Islam dapat diamalkan oleh masyarakat. 

Dengan kata-kata lain, agama yang sudah lama ditinggalkan itu dapat dihidupkan kembali oleh mujaddid tersebut dengan menggunakan method, uslub, teknik, strategi dan kaedah baru yang sesuai dengan fikiran dan suasana zamannya.


Dalam ajaran Islam ini tujuan dan matlamat tidak boleh berubah tetapi method dan uslub boleh berubah sesuai dengan fikiran manusia yang senantiasa berubah dan keadaan masa di zaman itu. Sebab itu sekiranya ada seorang pemimpin tetapi dia ikut style yang lama, walau bagaimana hebat sekalipun kepemimpinannya tidak dianggap sebagai mujaddid. Lebih- lebih lagi kalau lahirnya bukan di awal kurun. 


Kerana zaman dan situasi yang berbeza antara satu mujaddid dengan mujaddid lain,maka style antara satu 
mujaddid dengan mujaddid yang lain juga tidak sama. Tekniknya berbeza tetapi perkara yang diperjuangkan adalah sama yaitu mengajak manusia kepada Allah SWT Sebab itu jika kita mengkaji sejarah walaupun Islam tidak menjadi imperium tetapi di tangan mujaddid, Islam tetap hidup dan berkembang. Masih berlaku kesyumulan Islam dalam jemaah pimpinannya.


Jadi mujaddid itu tidak membawa agama yang baru, kerana  tidak ada Nabi dan Rasul selepas Rasulullah. Dia hanya membawa ajaran Rasulullah. Supaya ajaran Rasulullah SAW itu diamalkan oleh masyarakat, maka dia meniti di atas teknik, method, uslub, cara, kaedah, style dan strategi yang baru yang sesuai dengan kerosakan yang berlaku di zamannya. Sebab itu orang mudah menerimanya, sedangkan pejuang-pejuang lain di zamannya masih lagi mengekalkan style dan cara yang lama. 

Sebab itu masyarakat tidak dapat menerima mereka. Tetapi pejuang-pejuang yang tidak faham ini kadang-kadang menyalahkan masyarakat yang tidak mahu menerima Islam. Padahal bukan masyarakat yang tidak mahu Islam, tetapi kaedah mereka yang gagal untuk menarik minat orang kepada Islam. Tetapi kepada mujaddid, ALLAH membekalkan padanya melalui ilham satu cara, method dan kaedah yang tersendiri.
Sehingga hati-hati manusia dapat menerima kaedah perjuangannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan