Rabu, 6 Julai 2011

2. KEDATANGAN MUJADDID MEMPERBAIKI YANG ROSAK

Dengan kasih sayang Tuhan, selepas kewafatan Rasulullah SAW didatangkan setiap seratus tahun seorang mujaddid. Kedatangan seorang mujaddid yang membawa satu kaedah, cara teknik dan metod baru yang sesuai di kurunnya, bertujuan untuk memperbaiki yang rosak di waktu itu. Metod itu hanya menyangkut perkara yang telah rosak saja. Supaya yang rosak itu dapat dibetulkan dengan menggunakan metod yang baru.

Ini bererti, semakin kehujung semakin banyak yang rosak dan perlu dibaiki, makin banyaklah yang hilang, banyak yang rosak, banyak yang biasa wujud sudah tidak wujud lagi. Ertinya mujadid yang datang makin ke hujung, makin berat tanggung jawabnya. Sebab makin ke hujung makin banyak perkara dalam agama Islam yang sudah rosak.

Kalau begitu, tugas mujaddid pertama tidaklah seberat mujadid kedua. Tugas mujadid kedua tidak seberat mujaddid ketiga. Juga tugas mujadid ketiga tidak seberat mujaddid keempat. Tugas yang keempat tidak seberat yang kelima dan begitulah seterusnya.

Sebagai contoh, mujaddid pertama ialah Sayidina Umar bin Abdul Aziz. Dia membawa pembaharuan hanya berkaitan dengan masalah negara  saja. Dia tidak menyentuh soal ibadah, akhlak, masyarakat atau ekonomi. Sebab di zamannya semua aspek itu tidak rosak. Yang rosak ialah soal pemerintahan negara.

Begitu juga kedatangan mujaddid kedua, Imam Syafie. Dia datang bukan untuk membetulkan masalah ibadah, akhlak, ekonomi, atau masyarakat. Dia menyelesaikan hal-hal mengenai ulama. Sebelum kedatangan Imam Syafie, ulama-ulama memberi fatwa tanpa ada kaedah atau cara. Pada masa itu, orang membuat hukum dan fatwa tidak mengikut prosedur. Maka Imam Syafie pun membuat kaedah. Lahirlah dua kaedah yaitu usul fiqh dan khawaidul fiqhiyah. Sampai sekarang ulama menerima dan memakai kaedah ini. Jadi Imam Syafie datang untuk menyelesaikan masalah ijtihad.

Di waktu kedatangan mujaddid ketiga, Imam Abu Hassan Asyaari, yang rosak adalah aqidah. Sebab di waktu itu Islam sudah mulai meluas, falsafah Barat dan Yunani sudah meresap masuk ke dalam Islam. Jadi mujaddid ini tidaklah menyentuh hal-hal ekonomi, akhlak dan ibadah, tetapi membetulkan aqidah yang sudah keliru. Sebab itu ada kaedah sifat 20 itu dalam ilmu tauhid dan usuluddin.

Begitulah pula datang mujaddid seterusnya, Imam Fakhrurrazi. Dia membuat kaedah bagaimana mentafsirkan Al Quran.

Kemudian, kerosakan semakin bertambah berat. Islam sudah  terpecah-pecah. Ibadah sudah tidak ada hubungan dengan akhlak. Aqidah pula seolah-olah tersendiri. Mujaddid seterusnya yaitu Imam Ghazali, membawa suatu kaedah untuk menggabungkan ketiga-tiga asas agama yaitu tauhid, fikih dan tasawuf. Dalam setiap amalan umat Islam mesti terangkum tauhid, fikh dan tasawuf. Sebab ketiga-tiga asas tersebut tidak dapat dipisahkan satu sama lain.

Kalau begitu, makin ke hujung makin besarlah masalah umat Islam. Di kurun ini semua masalah sudah wujud. Sistem pemerintahan sudah rosak, masyarakat rosak, rakyat rosak, ibadah rosak, aqidah rosak, akhlak rosak, tauhid rosak, ekonomi rosak, politik rosak, dan macam-macam lagi  yang sudah rosak.

Ertinya seluruh aspek kehidupan itu sudah tidak dikaitkan dengan Allah. Sebab itu kedatangan mujaddid di kurun ini tentulah keadaannya lebih sulit lagi dan sangat ditentang. Apabila hendak membetulkan semua perkara tadi, semua golongan yang terlibat dalam kerosakan itu yang mungkin belum faham akan menjadi penentang perjuangan dan kedatangan mujadid ini. Bila semua sudah rosak, ertinya semua golongan yang terlibat akan menentang  kedatangan mujaddid kurun ini.

Tetapi dengan ilmu ilham yang diberikan oleh Allah dan ketaqwaan yang dimiliki oleh mujaddid tersebut, Insya Allah ia akan sanggup membaiki kerosakan yang ada.

Bersambung ke 3. CIRI MUJADDID DAN JEMAAHNYA

1 ulasan:

  1. Sila baca buku mujaddid dah lama dipasaran

    BalasPadam