Selasa, 1 Oktober 2013

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian

Sekiranya anda merasakan bahawa kehidupan anda susah, ketahuilah bahawa para nabi dan rasul juga pernah mengalami kesusahan dalam perjuangan mereka untuk menegakkan Islam sebelum mencapai kemenangan. Kesusahan yang mereka hadapi tidak pernah menyebabkan mereka berputus asa, malahan mereka terus berjuang di atas jalan kebenaran sehingga mendapat kemenangan. Diantara kesusahan yang dihadapi oleh para nabi dan rasul ialah:

1. Rasulullah SAW dan pengikutnya pernah dipulaukan selama tiga tahun oleh kaum Quraisy yang diketuai oleh Abu Lahab kerana ingin menyekat penyebaran Islam. Kesemua kaum keluarga dan sesiapa saja yang beriman dengan Rasulullah SAW dan Islam dipulaukan dengan mengenakan perkara-perkara seperti tiada sebarang urusan jual beli, tidak boleh menjamu makan kepada mereka, tiada ikatan perkahwinan dan tidak dibenarkan membeli makanan dan mendapatkan apa jua bentuk bantuan dari luar Mekah. Akhirnya habislah bekalan makanan dan mereka hanya memakan sebiji kurma sehari.  Kemudian hanya setengah biji terpaksa dibahagi-bahagi dan juga menjadikan rumput-rumput kering sebagai makanan.  Sehinggalah kulit unta dicuci bersih, dibakar, diracik-racik menjadi potongan kecil dan direndam dalam air dan dijadikan bekalan makan hingga tiga hari. Dengan rahmat dari Allah SWT, pemulauan ini berakhir dengan sendirinya apabila notis pengumuman reput dimakan anai-anai dan juga tentangan dari kaum Quraisy sendiri yang diketuai oleh Hisham Bin Amru yang dihatinya masih ada bibit-bibit simpati.

2. Nabi Ibrahim AS telah dibakar oleh Raja Namrud kerana telah mengajak Raja Namrud dan rakyatnya meninggalkan sembahan berhala dan menyembah Allah SWT. Raja Namrud dan seluruh rakyatnya mengambil keputusan agar Nabi Ibrahim AS dibakar dengan api atau ungun yang besar. Maka Namrud pun terus memerintahkan seluruh rakyatnya agar menyediakan api besar hinggakan sampai peringkat burung-burung tidak berani untuk terbang di atasnya. Kalau terbang juga mereka akan terbakar kerana nyalaan api yang besar itu. Mereka pun mengikat Nabi Ibrahim pada satu tiang seakan-akan lastik yang besar dan terus Nabi Ibrahim AS di lemparkan ke dalam api yang besar itu. Dengan izin Allah SWT api yang besar itu tidak membakar Nabi Ibrahim AS. Tidak lama selepas itu api yang besar tadi pun terpadam lalu Nabi Ibrahim AS keluar dari longgokan-longgokan bara api dengan selamat seakan-akan tidak ada apa-apa yang berlaku ke atasnya.

3. Nabi Yusof AS telah dipenjara kerana beliau masih menjaga kehormatan dirinya biarpun beliau telah digoda oleh isteri-isteri orang kenamaan. Setelah Zulaikha gagal menggoda Nabi Yusof AS maka tersebarlah khabar angin bahawa Zulaikha telah tertarik hati kepada hambanya sendiri. Oleh itu Zulaikhapun menjemput isteri-isteri orang kenamaan untuk berkumpul dalam satu majlis di rumahnya. Beliau menghidangkan buah epal dan pisau kepada para tetamunya. Semasa para tetamunya sedang mengupas buah epal menggunakan pisau, lalu Zulaikha menjemput Nabi Yusof AS hadir dihadapan tetamunya. Kesemua isteri-isteri orang kenamaan tersebut merasa terpegun dengan ketampanan Nabi Yusof AS sehingga mereka tidak sedar yang pisau mereka telah melukakan tangan mereka sendiri. Akhirnya isteri-isteri orang kenamaan ini sendiri telah tertarik hati kepada Nabi Yusof lalu menggoda beliau. Dengan rahmat dari Allah SWT akhirnya Allah SWT berhasil memalingkan dan menyelamatkan Nabi Yusuf AS dari godaan wanita-wanita tersebut. Kemudian suami-suami wanita tersebut iaitu orang-orang kenamaan telah bertindak memenjarakan Nabi Yusof AS untuk menutup cerita dan khabar angin tentang isteri-isteri mereka. Lalu Nabi Yusof AS dipenjara selama beberapa tahun bukan kerana kesalahannya. Dengan rahmat Allah SWT juga, akhirnya Raja telah membebaskan Nabi Yusof AS lalu melantik beliau menjadi Perdana Menteri kerana kebolehan istimewa Nabi Yusof AS mentafsir mimpi.

4. Nabi Musa AS terpaksa meninggalkan kemewahan istana sebagai anak angkat Firaun kerana dengan tidak sengaja telah menyebabkan kematian seseorang. Pada suatu hari, Nabi Musa AS berjalan-jalan di sekitar kota. Kemudian Nabi Musa AS mendapati seorang lelaki dari pengikut firaun yang sedang berkelahi dengan seorang Bani Israil. Lalu seorang yang lemah dari kedua orang itu meminta tolong kepadanya. Ketika itu memang Nabi Musa AS terkenal sebagai seorang yang kuat. Nabi Musa AS pun turut campur tangan dalam perkelahian itu. Nabi Musa AS telah menumbuk orang yang menganiayai orang yang lemah tersebut. Lelaki itu tersungkur kemudian mati.  Nabi Musa AS hanya berniat untuk meleraikan kedua orang yang berkelahi tersebut, namun tanpa sengaja telah membunuhnya. Disebabkan kejadian tersebut, para penguasa Firaun telah mengeluarkan perintah untuk menangkap dan membunuh Nabi Musa AS. Dengan rahmat dari Allah SWT, akhirnya beliau mendapat tahu tentang perintah tersebut lalu berkelana seorang diri sebatang kara meninggalkan kota. Dengan rahmat dari Allah SWT juga, akhirnya beliau kembali sebagai rasul dan berdakwah kepada Firaun dan akhirnya diselamatkan dari Firaun dan para tenteranya apabila mereka ditenggelamkan oleh Allah SWT dalam laut Merah.

Di atas hanyalah sebahagian dari kisah para nabi dan rasul yang telah mengalamai kesusahan sementara sebelum mendapat kejayaan dalam hidup mereka. Bukan sahaja kesusahan dalam berdakwah, malah kesusahan dalam kehidupan juga hanyalah sementara dan Insya Allah akan mendapat kesenangan pada akhirnya andai kita seorang yang beriman dan bertawakal kepada Allah SWT. 

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang tinggi (darjatnya), andai kamu orang-orang yang beriman.” (Ali ‘Imran 3:139)