Memaparkan catatan dengan label Ashabul Kahfi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ashabul Kahfi. Papar semua catatan

Sabtu, 4 Julai 2020

Kisah Ashabul Kahfi Part 7

Bersambung dari Kisah Ashabul Kahfi Part 7


Atas permintaan Tamlikha, mereka menunggu dan Tamlikha seorang diri masuk ke dalam gua. Setelah teman-teman Tamlikha mengucapkan syukur kerana Tamlikha selamat, Tamlikha lalu berkata "Sekarang kit tidak berurusan dengan Diqyanus lagi.". "Apa yang kamu maksudkan dengan kita tidak berurusan dengan DIqyanus lagi?" tanya salah seorang temannya dengan hairan.

"Tahukah kalian, sudah berapa lama kita tinggal di sini?" tanya Tamlikha. "Kita tinggal di sini sehari semalam sahaja", jawab mereka. "Tidak!" jawab Tamlikha. "Ternyata, kita sudah tinggal di sini selama 309 tahun! Diqyanus sudah lama meninggal dunia! Generasi demi generasi silih berganti. Penduduk kota itu kini beriman kepada Allah SWT dan sekarang mereka datang untuk bertemu dengan kalian!" Lalu mereka menyahut "Hai Tamlikha, adakah kau mahu menjadikan kami orang-orang yang menggemparkan dunia?" Tamlikha bertanya lagi, "Lantas apa yang kalian inginkan?"

Lalu mereka mengangkat tangan lalu berdoa "Ya Allah, dengan kebenaran yang kamu perlihatkan kepada kami perilah keanehan-keanehan yang kami alami sekarang ini, cabutlah kembali nyawa kami tanpa pengetahuan orang lain!"

Allah mengabulkan permohonan mereka lalu memerintahkan Malaikat Maut mencabut kembali nyawa mereka. Kemudian, Allah melenyapkan pintu gua tanpa meninggalkan kesan. Orang-orang yang menunggu di luar gua segera mara mendekati gua, mengelilinginya selama tujuh hari bagi mencari pintunya tapi tidak berhasil. Mereka tidak melalui jalan masuk lain ke dalam gua.

Tamat

Kisah Ashabul Kahfi part 6

Sambungan dari Kisah Ashabul Kahfi part 5

Lalu Raja berkata, "Beginilah, adakah kamu mempunyai tempat tinggal di kota ini?"


"Ya, tuan," Jawab Tamlikha. "Utuslah seseorang bagi menyertai saya!" pinta Tamlikha. Permintaan Tamlikha dikabulkan. Raja memerintahkan beberapa orang kepercayaannya menyertai Tamlikha menuju ke tempat tinggalnya. Selepas pintu rumah itu diketuk, muncul seorang lelaki yang sudah lanjut usia membukan pintu. Orang tua itu terperanjat dan ketakutan lalu bertanya kepada mereka, "Kenapa kalian datang ke sini?"

Lalu Tamlikha menjawab "Aku Tamlikha putera Filistin!", "Apa? Cuba ulang sekali lagi!" Tamlikha mengulang namanya dengan lebih jelas dan suara yang agak keras. Tiba-tiba orang tua itu berkata, "Tidak salah lagi orang ini adalah datukku yang pernah hidup ratusan tahun yang silam. Bukankah kalian pernah mendengar Nabi Isa kita berkata mereka itu akan kembali!" kata orang tua itu meyakinkan mereka yang hadir.

Selepas peristiwa itu dilaporkan kepada raja, raja bergegas menunggang kuda menghampiri mereka yang masih berkerumun di rumah orang tua itu. Kemudian, mereka beramai-ramai menyertai Tamlikha dan pergi ke gua tempat persembunyiannya dan teman-teman. Sebelum sampai di pintu gua, Tamlikha menghentikan langkah dan berkata, "Saya khuatir apabila teman-temanku mendengar bunyi tapak kaki kuda, mereka fikir pasukan Diqyanus datang. Oleh itu, kalian berhenti saja di sini. Biar saya sendiri yang menemui dan memberitahu mereka!"

Selasa, 10 Julai 2012

Kisah Cincin Nabi Sulaiman Dicuri Ifrit

Salah satu daripada mukjizat yang diberikan oleh Allah swt pada Nabi Sulaiman a.s. adalah tertulis pada cincinnya namanya dan nama Allah swt. Adapun setiap sesuatu yang tertulis padanya nama para Nabi dan nama Allah tidak boleh dibawa ke sebarang tempat seperti tempat-tempat yang hina seumpama tandas, tempat-tempat maksiat dan seumpamanya juga tidak boleh dipakai ketika tidur dan ketika berhadas besar.






Kerajaan Nabi Sulaiman a.s. masyhur serta luas kekuasaannya sehingga anginpun tunduk atas segala perintahnya. Maka ini memudahkan Nabi Sulaiman a.s. untuk pergi ke suatu tempat yang dihajati dengan tidak perlu berkenderaan. Cukup sekadar memerintahkan angin membawanya terbang di atas permaidani sekiranya baginda yang diiringi oleh pembesar-pembesar kerajaannya mahu menziarahi daerah kekuasaan baginda yang luas itu.



Pada suatu hari, Nabi Sulaiman a.s. bersama pembesar-pembesar kerajaannya pergi menziarahi salah sebuah daerah kekuasaan baginda dengan berkenderaan permaidani yang diterbangkan angin sehingga baginda melalui sebuah perkampungan nelayan yang terletak di tepi laut. Ketika itu kelihatan penduduknya sedang menjemur ikan. Di antaranya terdapat gadis-gadis yang turut serta menjemur ikan. Dari kalangan para gadis itu, ada seorang gadis yang amat hitam rupanya dan tidak menarik perhatian kaum lelaki.



Apabila Nabi Sulaiman a.s. dan para pembesarnya melalui tempat itu, maka penduduk kampung menjadi kehairanan kerana tiba-tiba sahaja cuaca menjadi redup. Lalu merekapun mendongak dan mendapati rombongan Nabi Sulaiman a.s. sedang melalui kawasan itu.



Sedang mereka dalam keadaan itu, berkatalah gadis yang hitam rupanya tadi: “Alangkah bahagianya aku sekiranya aku menjadi permaisuri Nabi Sulaiman a.s.”



Apabila teman-temannya yang lain mendengar ucapan gadis itu, mereka lalu mentertawakannya dan mengejeknya dengan kata-kata menghiris hati: “Wahai gadis tidak tahu diri, sesungguhnya hasratmu sekadar impian. Rupamu yang hitam langsung tidak menarik perhatian. Inikan pula mahu bersuamikan Nabi Sulaiman yang hebat kedudukannya. Sedangkan kami yang mempunyai wajah menarik tidak bercita-cita untuk menjadi permaisuri baginda. Apakah engkau tidak sedar bahawa orang-orang lelaki di kampung kita inipun belum tentu mahu beristerikan engkau yang hitam legam lagi tidak menarik hati? Cukuplah engkau berangan-angan!” Riuh rendahlah suara mereka mentertawakan si gadis hitam tadi.



Mendengarkan cemuhan dan hinaan mereka, merasa sayulah hati gadis yang malang itu. Dirinya ibarat pungguk merindukan bulan. Rupa yang buruk tidak dipinta. Akhlah yang baik lebih utama.



Setelah Nabi Sulaiman a.s. bersama pembesar-pembesarnya selesai dari menjelajah ke daerah kekuasaan baginda, merekapun balik ke rumah masing-masing.



Setibanya Nabi Sulaiman a.s. di istananya, baginda berhajat untuk ke tandas. Sebelum itu, baginda melucutkan cincin yang bertuliskan nama Allah dan namanya, lalu diserahkan pada isterinya.



Pada masa itulah datang jin Ifrit menyerupakan dirinya sepertimana Nabi Sulaiman a.s, lalu menemui isteri baginda dan berkata: “Wahai isteriku, ambilkan cincinku tadi.” Tanpa merasa ragu, isteri baginda menyerahkan cincin itu pada Ifrif kerana menyangka dirinya Nabi Sulaiman a.s.



Apabila Nabi Sulaiman a.s. selesai melepaskan hajatnya, baginda meminta dikembalikan cincinnya tetapi isterinya berkata: “Sesungguhnya telah aku kembalikan sebentar tadi.” Nabi Sulaiman a.s. diam kehairanan. Kemudian baginda berkata: “Baru inilah aku meminta kembali cincin itu.” Tetapi isteri baginda tetap mengatakan bahawa ia telah diserahkan.



Nabi Sulaiman a.s. merasa serba salah dan curiga. Kemungkinan cincin itu telah dicuri oleh seorang yang menyamar sebagai diri baginda kerana isterinya tidak mempunyai alasan untuk menyerahkan barang kepunyaannya kepada sesiapapun jua.



Adapun Ifrit setelah ia mencuri cincin tersebut, iapun masuk ke dalam istana kerajaan dan duduk di singgahsana sambil memerintah rakyat Nabi Sulaiman a.s. ke istana dan mendapati seorang yang menyerupai dirinya duduk di atas singgahsana. Maka fahamlah baginda kedudukan perkara.



Lalu baginda berkata: “Wahai rakyatku sekalian, sesungguhnya akulah Sulaiman, raja kamu yang sebenar.”



Jawab rakyatnya: “Tidak, raja itulah yang sedang memberi ucapan. Kamu bukan raja kami. Raja Sulaiman yang sebenar adalah dia yang duduk di kerusi singgahsana. Kamu pendusta!”





Apabila rakyatnya tidak percaya lagi pada baginda, maka baginda pun pergi meninggalkan istana, menuju dari sebuah perkampungan ke perkampungan yang lain dan menyatakan dirinya sebagai Raja Sulaiman tetapi kesemua mereka menafikannya.



Akhirnya baginda pergi ke sebuah kampung nelayan yang terletak di tepi laut, lalu baginda menyatakan hajatnya untuk turut bekerja sebagai nelayan kepada seorang nelayan di tempat itu. Nelayan itu menerima hajat baginda tanpa menyedari bahawa ia sedang berhadapan dengan Raja Sulaiman.



Nabi Sulaiman a.s. menjalani kehidupannya sebagai seorang nelayan dengan baik dan baginda bekerja bersungguh-sungguh tanpat mengenal jemu dan penat sehingga menghasilkan pendaptan yang lumayan dengan nelayan itu.



Pada suatu hari, ketika baginda duduk berehat menunggu waktu makan tengahari, baginda tertidur oleh sebab keletihan.



Tidak lama kemudian, datanglah anak gadis nelayan tersebut membawa makanan tengahari. Berkata si nelayan kepada anaknya: “Wahai anakku, panggillah Sulaiman untuk makan tengahari bersama kita.”



Gadis tersebutpun pergilah mendapatkan baginda yang sedang tidur sambil dikipas oleh seekor ular dengan sehelai daun. Alangkah terkejutnya gadis itu melihat keadaan yang luar biasa ini, lalu segera dikhabarkan kepada ayahnya. Apabila si nelayan menyaksikan sendiri perkara itu, ia pasti baginda bukan sebarangan orang tanpa mengesyaki baginda adalah raja Sulaiman. Mereka meninggalkan baginda sendirian sehingga akhirnya baginda terjaga dari tidurnya dan merekapun menghadapi hidangan tengahari bersama-sama.



Setelah beberapa lama Nabi Sulaiman tinggal nelayan, maka nelayan itu bermaksud untuk mengahwinkan anaknya dengan baginda. Nabi Sulaiman as tidak pula menolak kehendak nelayan itu. Maka hiduplah Nabi Sulaiman a.s. bersama gadis hitam yang pernah bercita-cita untuk menjadi isterinya suatu masa dahulu sebagai suami isteri yang sah tanpa gadis itu menyedari bahawa Tuhan telah menjadikan impiannya suatu kenyataan.



Manakalah di istana yang telah ditinggalkan baginda, Ifrit menyamar sebagai Nabi Sulaiman as memberikan pengajaran yang menyesatkan manusia. Berpunca dari amarannya yang jahat itu, Ifrit tidak sanggup menyimpan cincin baginda yang dicurinya itu, kerana khianatnya cincin itu lalu dicampakkannya ke dalam laut yang kemudiannyaditelan oleh seekor ikan. Ifrit meninggalkan takhta kerajaan. Ketika itulah orang ramai baru menyedari kepalsuan orang yang selama ini mengaku dirinya Raja Sulaiman rupanya jin yang menyamar sebagai baginda.



Segala sesuatu hanya Allah swt yang menentukan.



Sebagaimana biasa, nelayan dan Nabi Sulaiman as keluar menangkap ikan sebagai memenuhi keperluan hidupnya. Kebetulan pada hari itu, masuklah ikan yang menelan cincin Nabi Sulaiman as ke dalam pukat mereka. Menjelang senja, kembalilah mereka ke rumah. Sebahagian daripada ikan yang ditangkap hari itu mereka jemur manakala sebahagian lagi dijadikan hidangan makan malam.



Tatkala isteri baginda menyiang ikan yang akan dimasak malam itu, tiba-tiba ditemui dalam perut ikan itu sebentuk cincin yang bertuliskan nama Nabi Sulaiman as dan nama Allah.



Segeralah isteri baginda mengkhabarkannya. Demi melihat baginda akan cincin itu, baginda terus mengucap syukur sebanyak banyaknya kepada Tuhan kerana haknya telah dikembalikan tanpa ia duga sementara rasa kasih terhadap isterinya semakin bertambah.



Setelah cincin itu disarungkan, barulah rakyat baginda meyakini bahawa baginda adalah sebenarnya Raja Sulaiman.



Nabi Sulaiman as bermaksud untuk kembali ke istana dan melihat keadaan rakyat baginda yang telah lama ditinggalkan. Baginda juga berhasrat untuk membawa isteri baginda bersama-sama tetapi merasa keberatan kerana ditakuti isterinya akan menjadi bahan ejekan berpunca dari kehitaman rupanya itu. Baginda lalu berdoa kepada Allah Taala supaya mengubah rupa isterinya yang hodoh itu menjadi cantik. Doa baginda dimakbulkan sehingga merasa cemburulah teman-teman yang pernah menghina dan mengejek isterinya dahulu.



Baginda beserta isterinya kembali ke istana dengan disambut meriah oleh rakyat jelata yang telah menyedari kesilapan meraka.



Kemudian pada suatu hari, dikumpulkanlah sekalian rakyatnya, baik dari golongan manusia, jin dan juga binatang kerana Nabi Sulaiman ingin mengetahui siapakah yang telah mencuri cincin baginda dan menyesatkan rakyat dengan perbuatan durjana. Sesiapa yang telah melakukan kesalahan pasti takut untuk bertemu dengan baginda.



Setelah sekalian rakyat berkumpul, ternyata yang tidak hadir aalah jin Ifrit. Dengan ini, diisytiharkan bahawa Ifritlah yang telah mencuri cincin baginda. Mendengar kenyataan ini, merasa marahlah golongan jin terhadap Ifrit kerana telah memalukan bangsa mereka di khalayak ramai. Lalu Nabi Sulaiman as memerintahkan beberapa orang bangsa jin untuk menangkap Ifrit. Bangsa jin yang diperintah itu segera pergi mencari tempat persembunyian Ifrit.



Akhirnya ditemui Ifrit bersembunyi di batu karang di dasar lautan. Ifrit lalu dihadapkan kepada Nabi Sulaiman as dan baginda menghukum sesuai dengan kesalahannya.

Selasa, 5 Jun 2012

Kisah Ashabul Kahfi part 5

Sambungan dari Kisah Ashabul Kahfi part 4

Ketika ini pendeta Yahudi itu ingin menguji Saiyidina Ali a.s lalu bertanyakan nilai wang lama berbanding dengan wang baru. Lalu Saiyidina Ali a.s menjawab bahawa 1 dirham wang lama bersamaan dengan 10 dan dua per tiga dirham baru.

Saiyidina Ali a.s meneruskan kisahnya. Ketika Tamlikha mengeluarkan wang dan memberikannya kepada penjual roti, penjual itu berasa girang lalu berkata kepada Tamlikha, "Ini harta karun yang nilainya jauh lebih besar dari sekarang. Di mana kamu menemui harta karun ini?" Kata Tamlikha "Saya tidak menemui harta karun. Wang ini saya perolehi hasil jualan kurma tiga hari yang lalu. Semuanya berjumlah tiga dirham."

Penjual roti itu lalu berkata "Aku tidak percaya kata-katamu itu. Aku mesti melaporkan penemuan harta karun ini kepada raja." Lalu Tamlikha dibawa mengadap raja untuk disoal siasat. Setelah diberitahu bahawa Tamlikha telah menemui harta karun, raja itu berkata kepada Tamlikha "Kamu tidak perlu takut! Nabi Isa memerintahkan supaya kami hanya memungut seperlima daripada harta karun itu. Serahkan seperlima itu kepadaku dan kamu akan selamat." Tamlikha berkata "Tuanku, saya tidak menemui harta karun seperti yang dituduh oleh mereka. Saya adalah penduduk kota ini yang kebetulan ingin membeli makanan."

Raja tersebut terus menyoal siasat Tamlikha "Jika benar kau ialah penduduk kota ini, sebutkan nama-nama orang yang kau kenal." Tamlikha menyebutkan nama-nama orang yang dikenalinya iaitu hampir seribu orang. Namun, tidak ada satupun daripada nama-nama yang disebut itu pernah didengari ataupun dikenali oleh raja dan orang lain yang hadir sama menyaksikan soal siasat itu. Salah seorang daripada mereka berkata, "Semua nama yang disebutkan oleh Tamlikha bukan nama orang-orang yang hidup di zaman kita ini. Tetapi, mereka hidup pada zaman dahulu iaitu ratusan tahun yang lalu."

bersambung: https://lautan-biru.blogspot.com/2020/07/kisah-ashabul-kahfi-part-6.html

Sabtu, 19 Mei 2012

Kisah Ashabul Kahfi part 4

Sambungan dari Kisah Ashabul Kahfi part 3

Saiyidina Ali a.s. menyambung: "Pada saat raja bengis yang bernama Diqyanus itu mengetahui enam orang pembantu setianya sudah melarikan diri entah kemana, dia marah. Kemudian, dia memerintahkan 80,000 orang tentera berkuda mencari mereka. Dalam masa yang singkat, tentera itu berjaya menemui mereka. Ternyata mereka sedang tidur berbaring di dalam gua. Tentera itu yakin mereka tertidur.

Lalu Raja Diqyanus ingin menghukum mereka dengan memerangkap mereka hidup-hidup di dalam gua tersebut lalu beliau memerintahkan tukang-tukang batu menutup pintu gua dengan batu-batu yang disusun rapat. Tahun demi tahun berlalu sehingga 309 tahun mereka tinggal di dalam gua. Allah mengembalikan nyawa mereka. Pada saat matahari mula memancarkan sinar, mereka seperti baru sahaja terjaga daripada tidur. Salah seorang di antara mereka berkata, 'Kami tidur terlalu nyenyak, sehingga lupa beribadah kepada Allah semalam. Mudah-mudahan Allah mengampunkan kelalaian kita. Mari kita keluar dan pergi ke mata air. Di hadapan pintu gua ini ada mata air yang airnya jernih!"

Namun ketika mereka berada di luar pintu gua, didapati mata air itu sudah kering dan pepohonan yang merimbunpun sudah tidak ada. Malah, mereka tidak tahu pintu gua itu pernah ditutup rapat dengan batu-batu. Kini, batu itu sudah runtuh. Kemudian, Allah menjadikan mereka berasa lapar. Tamlikha berangkat menuju ke kota untuk membeli makanan. Spanjang perjalanan, dia berasa hairan kerana dia tidak dapat mengenali semua tempat yang dilaluinya. Setelah berada hampir di pintu gerbang kota, Tamlikha melihat bendera hijau yang bertulis: Tiada Tuhan selain Allah dan Isa adalah roh Allah. Dia berkata, "Apakah aku sedang bermimpi?" Setelah memasuki kota, dia bertambah hairan kerana kebanyakan orang yang ditemuinya sedang membaca kitab suci. Tamlikha tidak dapat mengecam seorangpun daripada mereka.

Setibanya di pasar, dia menemui penjual roti yang kebetulan berada tidak jauh daripadanya. Dia bertanya, "Encik, apa nama kota ini?" Penjual roti itu menjawab, "Aphesus." Tamlikha bertanya lagi, "Siapa nama rajanya?" Penjual roti menjawab, "Abdurrahman." Tamlikha benar-benar bingung. "Oh ya, saya mahu beli roti." Tamlikha mengeluarkan wang daripada saku bajunya dan memberikan wang itu kepada penjual roti. Penjual roti itu terkejut kerana wang yang diberikan oleh Tamlikha itu adalah wang yang digunakan pada ratusan tahun yang lalu.

bersambung : https://lautan-biru.blogspot.com/2012/06/kisah-ashabul-kahfi-part-5.html

Ahad, 9 Oktober 2011

Kisah Ashabul Kahfi part 3

Sambungan dari Kisah Ashabul Kahfi part 2

Saiyidina Ali a.s meneruskan ceritanya: "Raja itu bertakhta di atas singgahsana kekuasaannya selama 30 tahun. Selama dia berkuasa dalam kerajaannya, dia tidak pernah diserang penyakit sama ada penyakit ringan ataupun berat. Badannya sentiasa sihat. Ini yang menyebabkan raja itu tidak mahu bersyukur atas segala nikmat. Dia fikir dirinya kuat kerana tidak pernah terkena serangan sebarang penyakit seperti manusia lain. Dia menjadi raja yang sombong, derhaka dan zalim. Itu sebabnya dia sanggup mengaku sebagai Tuhan yang harus disembah.

Selang tidak lama kemudian, tepat pada hari ulang tahun Raja Diqyanus, tiba-tiba seorang hulubalang masuk dan  memberitahu tentera asing mahu menyerbu kerajaannya. Apabila mendengar berita itu, Raja Diqyanus menjadi gusar dan bingung sehingga menyebabkan mahkota yang dipakainya terjatuh ke lantai. Bukan sahaja mahkotanya yang jatuh, raja itu turut tergelincir dan jatuh daripada singgahsananya.

Kejadian itu mula membuka pemikiran pembantu setia raja yang cerdas bernama Tamlikha. Pada fikirannya tuhan tidak mungkin terjatuh, bingung dan sedih begitu. Dia merasakan sebagai tuhan, pasti semua itu tidak menimpa Diqyanus. Dia membuat kesimpulan, Diqyanus adalah manusia seperti orang lain. Dia tahu Diqyanus juga tidur, buang air kecil dan besar. Dia mengesahkan kepada dirinya sendiri yang rupa-rupanya Diqyanus hanya mengaku sebagai tuhan.

Akhirnya Tamlikha berjaya meyakinkan teman-temannya bahawa Diqyanus itu bukannya tuhan. Lalu mereka berenam mengambil keputusan untuk lari meninggalkan kota ke tempat yang jauh bagi menghindari raja yang durjana dan zalim itu. Mereka mahu mencari Tuhan pencipta langit dan bumi ini serta alam sekitarnya. Namun sebelum itu, Tamlikha menjual buah kurma dan mendapat wang sebanyak tiga dirham sebagai belanja dalam perjalanan. Lalu mereka berenam berangkat dengan menunggang kuda.

Setelah menunggang kuda sejauh hampir 3 batu, mereka berhenti lalu berjalan kaki. Setelah berjalan sejauh 7 farsakh (satu farsakh bersamaan 4.8 kilometer), mereka berhenti untuk berehat. Tidak lama kemudian, datang  seorang pengembala menghampiri mereka. Setelah pengembala tersebut megetahui bahawa mereka adalah golongan bangsawan yang lari dari raja yang zalim, pengembala tersebut ingin membantu mereka. Pengembala tersebut mempunyai seekor anjing yang bernama Qithmir.

Lalu pengembala tersebut membawa 6 orang bangsawan itu ke sebuah gua yang tidak jauh dari gunung. Anjing pengembala itu terus mengikuti kumpulan mereka dan dibiarkan sahaja oleh mereka. Akhirnya mereka sampai ke gua tersebut yang bernama Wahid atau Kheram manakala gunung tersebut pula bernama Naglus.

Setelah semua masuk ke dalam gua, tiba-tiba tumbuh pepohonan yang berbuah segar di hadapan gua itu dn terpancarlah mata air. Mereka makan buah-buahan dan minum air yang tersedia di tempat itu. Apabila tiba waktu malam, mereka masuk ke dalam gua kerana mencari tempat berlindung dan kemudian tidur. Anjing yang menyertai mereka juga mengikut masuk dan duduk serta berjaga-jaga di hadapan pintu gua.

Allah memerintahkan malaikat pencabut nyawa mengambil nyawa mereka. Kemudian, Allah memerintahkan matahari supaya mencondongkan sinarnya ke dalam gua dari arah kanan ketika terbit dan mencondongkan sinarnya ke dalam gua dari arah kiri ketika terbenam. Kemudian Allah memerintahkan dua malaikat membalik-balikkan tubuh mereka dari kanan ke kiri.

bersambung: https://lautan-biru.blogspot.com/2012/05/kisah-ashabul-kahfi-part-4.html

Jumaat, 7 Oktober 2011

Kisah Ashabul Kahfi part 2

Sambungan kisah lalu, 3 orang pendeta berjumpa dengan Khalifah Umar Al Khatab a.s lalu bertanyakan 7 soalan kepada khalifah. Khalifah Umar Al Khatab a.s tidak dapat menjawab soalan tersebut lalu meminta Saiyidina Ali a.s menjawabnya. Setelah Saiyidina Ali menjawab 4 dari 7 soalan tersebut, 2 orang pendeta tersebut memeluk agama Islam. Lalu pendeta yang ketiga meminta Saiyidina Ali a.s menceritakan kisah Ashabul Kahfi.

Lalu Saiyidina Ali a.s.pun bercerita kepada pendeta tersebut seperti berikut:

"Sejarah berkaitan kisah itu terjadi di negeri Romawi pada zaman dahulu iaitu di kota yang bernama Aphesus atau Ephesus. Namun selepas Islam datang, nama kota itu berubah dan diganti dengan nama Tarsus atau Tarse. Kini kota itu terletak di wilayah Turki.

Ketika itu penduduk negeri itu iaitu bangsa Aphesus mempunyai seorang raja yang baik. Masyarakatnya hidup aman dan sejahtera. Namun selepas raja yang baik itu meninggal dunia, Raja Persia yang bernama Diqyanus menyerbu negeri itu bersama pasukan yang besar dan kuat demi menguasainya. Dia seorang raja yang kafir, zalim dan bongkak. Tidak lama kemudian, akhirnya raja dan bala tenteranya berjaya mengusai Kota Aphesus. Dia telah merampas kota itu dan kemudian membina istana yang megah di situ."

Lalu pendeta ketiga tersebut meminta Saiyidina Ali a.s menceritakan perihal bentuk istana yang dibina oleh raja itu.

Saiyidina Ali a.s menyambung:

"Bangunan istana yang dibuat atas perintah raja itu berukuran 1 x 1 farsakh (satu farsakh berukuran 4.8 kilometer persegi, maka lebar istana itu lebih kurang 4.8 x 4.8 kilometer persegi). Tiang-tiang istana itu berjumlah 1000 buah dan semuanya diperbuat daripada emas. Begitu juga lampu-lampu istana berjumlah 1000 buah, semuanya dihasilkan daripada emas. Semua lampu itu tergantung pada rantai-rantai yang diperbuat daripada perak. Pada tiap-tiap malam, apinya dinyalakan dengan sejenis minyak yang mengeluarkan bau harum. Di sebelah timur serambi istana terdapat 100 buah lubang-lubang cahaya, demikian juga di sebelah baratnya. Hal ini bertujuan supaya matahari selalu menyinari ruangan itu.

Raja itu membuat sebuah singgahsana daripada emas. Singgahsana itu berukuran 80 x 40 hasta dan dilengkapi 80 buah kerusi yang diperbuat daripada emas. Di situlah orang bawahan kerajaan duduk dan bermesyuarat. Di sebelah kirinya juga disediakan 80 buah kerusi yang diperbuat daripada emas. Di situ tempat duduk para penguasa tinggi yang lain. Raja bersemayam di atas singgahsana dengan mengenakan mahkota kebesaran di atas kepalanya.

Mahkota raja itu diperbuat daripada kepingan-kepingan emas, mempunyai sembilan bucu, dan tiap-tiap bucunya bertaburan mutiara yang memantulkan cahaya laksana bintang-bintang menerangi kegelapan malam. Raja itu mempunyai 50 orang pelayan yang terdiri daripada anak-anak hulubalang. Semua hulubalang yang dipilih oleh raja memakai selempang dan baju sutera berwarna merah. Seluar mereka diperbuat daripada sutera yang berwarna hijau. Mereka dihiasi dengan gelang-gelang kaki yang indah begemerlapan. Setiap hulubalang memegang tongkat yang diperbuat daripada emas. Atas perintah raja, mereka berdiri di belakang raja selagi raja itu duduk di atas singgahsananya.

Selain hulubalang, raja juga melantik enam orang kepercayaannya sebagai menteri kerajaan. Mereka terdiri daripada anak-anak cendekiawan. Semua urusan kerajaan dipertanggungjawabkan kepada para menteri. Oleh itu, raja tidak membuat sebarang keputusan yang berkaitan peraturan kerajaan tanpa berunding dengan mereka terlebih dahulu. Maka, enam orang kepercayaan raja itu selalu berada di kiri dan kanan raja. Tiga orang berdiri di sebelah kanan dan tiga orang lagi berdiri di sebelah kiri raja.

Mereka yang berdiri di sebelah kanan raja ialah Tamlikha, Miksalmina dan Mikhaslamina. Manakala yang berdiri di sebelah kiri bernama Martelius, Casitius dan Sidemius.

bersambung: https://lautan-biru.blogspot.com/2011/10/kisah-ashabul-kahfi-part-3.html

Ahad, 2 Oktober 2011

Kisah Ashabul Kahfi part 1



Rasulullah SAW bersabda "Orang yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka dia akan disinari cahaya antara dua Jumaat." (Riwayat Nasai)


Dalam riwayat lain,  Rasulullah SAW bersabda "Orang yang membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat, dia akan disinari cahaya antara dirinya dan antara Kaabah." (Riwayat Nasai)


Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan "Ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (9) (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. (10) Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. (11) Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). (12) (Al-Kahfi 18:9-12)




Asbabun Nuzul Surah Al-Kahfi


Asbabun Nuzul bermakna sebab turunnya surah Al-Kahfi ini. Asbabun Nuzul surah Al-Kahfi menjelaskan perihal kaum Quraisy pada waktu itu yang mengutus Nadhar bin Al-Harits dan Uqbah bin Abi Mu'ith bagi menanyakan perihal kenabian Muhammad bin Abdullah. Mereka telah pergi ke Madinah dan bertanyakan pendeta di sana soalan apakah yang perlu mereka tanya Muhammad bin Abdullah tersebut. Lalu para pendeta di Madinah berkata "tanyakan 3 perkara. Apabila dia dapat menjawabnya maka dia benar-benar Nabi yang diutus oleh Allah. Sebaliknya, jika dia tidak dapat menjawabnya, maka Muhammad bin Abdullah adalah nabi palsu."


Tiga perkara tersebut adalah:
1. perihal para pemuda pada zaman dahulu yang meninggalkan kota dalam tempoh yang lama dan perkara yang terjadi sesudahnya.
2. perihal pengembara yang sampai ke masyriq dan maghrib (timur dan barat) serta persitiwa yang berlaku
3. tanyakan perihal roh


Lalu mereka bertanyakan perihal tersebut kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW berjanji akan menjawab 3 soalan tersebut pada keesokan harinya. Namun dalam janjinya beliau lupa mengatakan Insya Allah sehingga Allah memberi peringatan agar jangan tergesa-gesa mengatakan sesuatu yang belum jelas dan apabila kita berjanji perlu disertai dengan ucapan Insya Allah. Ini diterangkan dalam ayat 23 hingga 24 dalam surah Al-Kahfi.  Setelah 15 malam beliau menunggu, lalu turunlah Surah Al-Kahfi bagi menjawab 3 soalan orang Quraisy tersebut. Ayat 9-26 sebagai jawapan perihal pemuda-pemuda zaman dahulu. Ayat 83-101 menjawab hal pengembara yang mereka tanyakan. Seterusnya pertanyaan ketiga berkaitan roh dijawab dalam ayat 85.




Pengajaran penting Surah Al-Kahfi


Sebelum kita pergi kepada kisah Ashabul Kahfi, mari kita tengok pengajaran yang dapat diambil dari Surah Al-Kahfi. Pengajarannya adalah seperti berikut:


1. Ancaman kepada mereka yang mengatakan Allah mempunyai anak
2. Ketegasan perihal Ashabul Kahfi
3. Petunjuk-petunjuk ketika berdakwah iaitu teguran kepada Nabi Muhammad supaya tidak mementingkan orang-orang yang terkemuka sahaja dalam berdakwah.
4. Contoh kehidupan dunia dan orang-orang yang tertipu dengannya.
5. Beberapa kejadian pada hari kiamat dan kederhakaan iblis
6. Kesan tidak mengendahkan peringatan-peringatan Allah
7. Kisah Nabi Musa yang sedang mencari guru bagi menimba ilmu pengetahuan
8. Kisah kesolehan pemimpin cerdas iaitu Zulkarnain dengan Yakjuj dan Makjuj
9. Azab untuk orang-orang musyrik dan pahala untuk orang-orang beriman
10. Luasnya ilmu Allah tidak terhingga




Pertanyaan perihal Ashabul Kahfi pada Zaman Khalifah Umar


Ketika Umar bin Khatab a.s menjadi khalifah, 3 pendeta Yahudi datang menemui Khalifah Umar bin Khatab a.s lalu mereka mengemukakan beberapa pertanyaan seperti berikut:
1. Jelaskan berkaitan induk kunci yang dapat mengunci langit
2. Jelaskan perihal sebuah kubur yang dapat bergerak bersama penghuni di dalamnya
3. Berikan penjelasan berkaitan makhluk yang dapat memberikan peringatan kepada kaum bangsanya tetapi makhluk itu bukan manusia mahupun jin
4. Jelaskan berkaitan 5 jenis makhluk yang dapat hidup di dunia. Tetapi makhluk-makhluk itu tidak berasal dari kandungan ibunya.
5. Jelaskan perihal kicauan burung pada saat sedang berdendang di angkasa.
6. Apa makna kokok ayam jantan ketika sedang berkokok?
7. Apa makna ringkikan kuda? Apa makna suara katak? Apa makna kicauan burung pipit?


Khalifah Umar tidak dapat menjawab pertanyaan tersebut lalu memanggil Saiyidina Ali a.s untuk menjawab kesemua pertanyaan tersebut. Jawapannya adalah seperti berikut.


1. Kunci induk yang dapat mengunci pintu-pintu langit ialah perbuatan syirik dan anak kuncinya ialah bertaubat Nasuha.
2. Kuburan yang dapat bergerak bersama penghuninya ialah kubur bernama ikan hiu (kod) yang menelan Nabi Yunus putera Matta.
3. Makhluk yang bukan manusia dan jin tapi dapat memberikan perintah kepada bangsanya ialah semut.
4. Lima jenis makhluk yang hidup di permukaan bumi tanpa dilahirkan oleh ibunya ialah Adam dan Hawa, kibas Nabi Ibrahim, unta Nabi Saleh dan tongkat Nabi Musa yang menjelma menjadi seekor ular.


Setelah Saiyidina Ali a.s menjawab 4 soalan tersebut, 2 orang pendeta Yahudi terus berdiri lalu memeluk Islam. Namun pendeta yang ketiga masih tidak berpuas hati lalu bertanyakan Saiyidina Ali sejarah orang-orang zaman dahulu yang sudah mati selama 309 tahun kemudian dihidupkan kembali oleh Tuhan. Pendeta tersebut meminta Saiyidina Ali a.s menjawab dengan terperinci dengan menceritakan nama-nama mereka, nama ayah-ayah mereka, nama kota mereka, nama raja mereka, nama anjing mereka dan nama gunung dan gua mereka.


Bersambung: https://lautan-biru.blogspot.com/2011/10/kisah-ashabul-kahfi-part-2.html


Sumber: Buku Mukjizat Surah Al-Kahfi karya Muhammad Mkahdlori