Sunday, 9 October 2011

Kisah Ashabul Kahfi part 3

Sambungan dari Kisah Ashabul Kahfi part 2

Saiyidina Ali a.s meneruskan ceritanya: "Raja itu bertakhta di atas singgahsana kekuasaannya selama 30 tahun. Selama dia berkuasa dalam kerajaannya, dia tidak pernah diserang penyakit sama ada penyakit ringan ataupun berat. Badannya sentiasa sihat. Ini yang menyebabkan raja itu tidak mahu bersyukur atas segala nikmat. Dia fikir dirinya kuat kerana tidak pernah terkena serangan sebarang penyakit seperti manusia lain. Dia menjadi raja yang sombong, derhaka dan zalim. Itu sebabnya dia sanggup mengaku sebagai Tuhan yang harus disembah.

Selang tidak lama kemudian, tepat pada hari ulang tahun Raja Diqyanus, tiba-tiba seorang hulubalang masuk dan  memberitahu tentera asing mahu menyerbu kerajaannya. Apabila mendengar berita itu, Raja Diqyanus menjadi gusar dan bingung sehingga menyebabkan mahkota yang dipakainya terjatuh ke lantai. Bukan sahaja mahkotanya yang jatuh, raja itu turut tergelincir dan jatuh daripada singgahsananya.

Kejadian itu mula membuka pemikiran pembantu setia raja yang cerdas bernama Tamlikha. Pada fikirannya tuhan tidak mungkin terjatuh, bingung dan sedih begitu. Dia merasakan sebagai tuhan, pasti semua itu tidak menimpa Diqyanus. Dia membuat kesimpulan, Diqyanus adalah manusia seperti orang lain. Dia tahu Diqyanus juga tidur, buang air kecil dan besar. Dia mengesahkan kepada dirinya sendiri yang rupa-rupanya Diqyanus hanya mengaku sebagai tuhan.

Akhirnya Tamlikha berjaya meyakinkan teman-temannya bahawa Diqyanus itu bukannya tuhan. Lalu mereka berenam mengambil keputusan untuk lari meninggalkan kota ke tempat yang jauh bagi menghindari raja yang durjana dan zalim itu. Mereka mahu mencari Tuhan pencipta langit dan bumi ini serta alam sekitarnya. Namun sebelum itu, Tamlikha menjual buah kurma dan mendapat wang sebanyak tiga dirham sebagai belanja dalam perjalanan. Lalu mereka berenam berangkat dengan menunggang kuda.

Setelah menunggang kuda sejauh hampir 3 batu, mereka berhenti lalu berjalan kaki. Setelah berjalan sejauh 7 farsakh (satu farsakh bersamaan 4.8 kilometer), mereka berhenti untuk berehat. Tidak lama kemudian, datang  seorang pengembala menghampiri mereka. Setelah pengembala tersebut megetahui bahawa mereka adalah golongan bangsawan yang lari dari raja yang zalim, pengembala tersebut ingin membantu mereka. Pengembala tersebut mempunyai seekor anjing yang bernama Qithmir.

Lalu pengembala tersebut membawa 6 orang bangsawan itu ke sebuah gua yang tidak jauh dari gunung. Anjing pengembala itu terus mengikuti kumpulan mereka dan dibiarkan sahaja oleh mereka. Akhirnya mereka sampai ke gua tersebut yang bernama Wahid atau Kheram manakala gunung tersebut pula bernama Naglus.

Setelah semua masuk ke dalam gua, tiba-tiba tumbuh pepohonan yang berbuah segar di hadapan gua itu dn terpancarlah mata air. Mereka makan buah-buahan dan minum air yang tersedia di tempat itu. Apabila tiba waktu malam, mereka masuk ke dalam gua kerana mencari tempat berlindung dan kemudian tidur. Anjing yang menyertai mereka juga mengikut masuk dan duduk serta berjaga-jaga di hadapan pintu gua.

Allah memerintahkan malaikat pencabut nyawa mengambil nyawa mereka. Kemudian, Allah memerintahkan matahari supaya mencondongkan sinarnya ke dalam gua dari arah kanan ketika terbit dan mencondongkan sinarnya ke dalam gua dari arah kiri ketika terbenam. Kemudian Allah memerintahkan dua malaikat membalik-balikkan tubuh mereka dari kanan ke kiri.

bersambung

2 comments:

  1. Dimana sambungannya????

    ReplyDelete
  2. http://lautan-biru.blogspot.in/2012/05/kisah-ashabul-kahfi-part-4.html

    http://lautan-biru.blogspot.in/2012/06/kisah-ashabul-kahfi-part-5.html

    ReplyDelete