Sunday, 2 October 2011

Kisah Ashabul Kahfi part 1



Rasulullah SAW bersabda "Orang yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka dia akan disinari cahaya antara dua Jumaat." (Riwayat Nasai)


Dalam riwayat lain,  Rasulullah SAW bersabda "Orang yang membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat, dia akan disinari cahaya antara dirinya dan antara Kaabah." (Riwayat Nasai)


Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan "Ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (9) (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. (10) Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. (11) Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). (12) (Al-Kahfi 18:9-12)




Asbabun Nuzul Surah Al-Kahfi


Asbabun Nuzul bermakna sebab turunnya surah Al-Kahfi ini. Asbabun Nuzul surah Al-Kahfi menjelaskan perihal kaum Quraisy pada waktu itu yang mengutus Nadhar bin Al-Harits dan Uqbah bin Abi Mu'ith bagi menanyakan perihal kenabian Muhammad bin Abdullah. Mereka telah pergi ke Madinah dan bertanyakan pendeta di sana soalan apakah yang perlu mereka tanya Muhammad bin Abdullah tersebut. Lalu para pendeta di Madinah berkata "tanyakan 3 perkara. Apabila dia dapat menjawabnya maka dia benar-benar Nabi yang diutus oleh Allah. Sebaliknya, jika dia tidak dapat menjawabnya, maka Muhammad bin Abdullah adalah nabi palsu."


Tiga perkara tersebut adalah:
1. perihal para pemuda pada zaman dahulu yang meninggalkan kota dalam tempoh yang lama dan perkara yang terjadi sesudahnya.
2. perihal pengembara yang sampai ke masyriq dan maghrib (timur dan barat) serta persitiwa yang berlaku
3. tanyakan perihal roh


Lalu mereka bertanyakan perihal tersebut kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW berjanji akan menjawab 3 soalan tersebut pada keesokan harinya. Namun dalam janjinya beliau lupa mengatakan Insya Allah sehingga Allah memberi peringatan agar jangan tergesa-gesa mengatakan sesuatu yang belum jelas dan apabila kita berjanji perlu disertai dengan ucapan Insya Allah. Ini diterangkan dalam ayat 23 hingga 24 dalam surah Al-Kahfi.  Setelah 15 malam beliau menunggu, lalu turunlah Surah Al-Kahfi bagi menjawab 3 soalan orang Quraisy tersebut. Ayat 9-26 sebagai jawapan perihal pemuda-pemuda zaman dahulu. Ayat 83-101 menjawab hal pengembara yang mereka tanyakan. Seterusnya pertanyaan ketiga berkaitan roh dijawab dalam ayat 85.




Pengajaran penting Surah Al-Kahfi


Sebelum kita pergi kepada kisah Ashabul Kahfi, mari kita tengok pengajaran yang dapat diambil dari Surah Al-Kahfi. Pengajarannya adalah seperti berikut:


1. Ancaman kepada mereka yang mengatakan Allah mempunyai anak
2. Ketegasan perihal Ashabul Kahfi
3. Petunjuk-petunjuk ketika berdakwah iaitu teguran kepada Nabi Muhammad supaya tidak mementingkan orang-orang yang terkemuka sahaja dalam berdakwah.
4. Contoh kehidupan dunia dan orang-orang yang tertipu dengannya.
5. Beberapa kejadian pada hari kiamat dan kederhakaan iblis
6. Kesan tidak mengendahkan peringatan-peringatan Allah
7. Kisah Nabi Musa yang sedang mencari guru bagi menimba ilmu pengetahuan
8. Kisah kesolehan pemimpin cerdas iaitu Zulkarnain dengan Yakjuj dan Makjuj
9. Azab untuk orang-orang musyrik dan pahala untuk orang-orang beriman
10. Luasnya ilmu Allah tidak terhingga




Pertanyaan perihal Ashabul Kahfi pada Zaman Khalifah Umar


Ketika Umar bin Khatab a.s menjadi khalifah, 3 pendeta Yahudi datang menemui Khalifah Umar bin Khatab a.s lalu mereka mengemukakan beberapa pertanyaan seperti berikut:
1. Jelaskan berkaitan induk kunci yang dapat mengunci langit
2. Jelaskan perihal sebuah kubur yang dapat bergerak bersama penghuni di dalamnya
3. Berikan penjelasan berkaitan makhluk yang dapat memberikan peringatan kepada kaum bangsanya tetapi makhluk itu bukan manusia mahupun jin
4. Jelaskan berkaitan 5 jenis makhluk yang dapat hidup di dunia. Tetapi makhluk-makhluk itu tidak berasal dari kandungan ibunya.
5. Jelaskan perihal kicauan burung pada saat sedang berdendang di angkasa.
6. Apa makna kokok ayam jantan ketika sedang berkokok?
7. Apa makna ringkikan kuda? Apa makna suara katak? Apa makna kicauan burung pipit?


Khalifah Umar tidak dapat menjawab pertanyaan tersebut lalu memanggil Saiyidina Ali a.s untuk menjawab kesemua pertanyaan tersebut. Jawapannya adalah seperti berikut.


1. Kunci induk yang dapat mengunci pintu-pintu langit ialah perbuatan syirik dan anak kuncinya ialah bertaubat Nasuha.
2. Kuburan yang dapat bergerak bersama penghuninya ialah kubur bernama ikan hiu (kod) yang menelan Nabi Yunus putera Matta.
3. Makhluk yang bukan manusia dan jin tapi dapat memberikan perintah kepada bangsanya ialah semut.
4. Lima jenis makhluk yang hidup di permukaan bumi tanpa dilahirkan oleh ibunya ialah Adam dan Hawa, kibas Nabi Ibrahim, unta Nabi Saleh dan tongkat Nabi Musa yang menjelma menjadi seekor ular.


Setelah Saiyidina Ali a.s menjawab 4 soalan tersebut, 2 orang pendeta Yahudi terus berdiri lalu memeluk Islam. Namun pendeta yang ketiga masih tidak berpuas hati lalu bertanyakan Saiyidina Ali sejarah orang-orang zaman dahulu yang sudah mati selama 309 tahun kemudian dihidupkan kembali oleh Tuhan. Pendeta tersebut meminta Saiyidina Ali a.s menjawab dengan terperinci dengan menceritakan nama-nama mereka, nama ayah-ayah mereka, nama kota mereka, nama raja mereka, nama anjing mereka dan nama gunung dan gua mereka.


Bersambung...


Sumber: Buku Mukjizat Surah Al-Kahfi karya Muhammad Mkahdlori

No comments:

Post a Comment