Memaparkan catatan dengan label Hati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hati. Papar semua catatan

Isnin, 10 Oktober 2011

ILMU ROHANI, ILMU TASAWUF, ILMU HAKIKAT ADALAH SATU

Sebenarnya ilmu rohaniah itu adalah ilmu tasawuf atau dikatakan juga sebagai ilmu hakikat atau ilmu batin. Mengapa ilmu ini dikatakan ilmu rohani? Ini kerana perbahasannya adalah mengenai roh.

Mengapa pula ia juga dikatakan ilmu tasawuf? Jika kita lihat perbincangan para ulama termasuk ulama moden, perkataan tasawuf itu diambil daripada bermacam-macam perkataan. Tetapi di sini saya hanya memilih salah satu daripadanya iaitu dari perkataan syifak’ bermakna bersih atau murni. Tegasnya, ilmu tasawuf itu adalah ilmu bagaimana hendak membersihkan atau memurnikan roh (hati) atau nafsu. Agar dari dorongan hati yang bersih itu dapat membersihkan pula anggota lahir daripada melakukan kemungkaran dan kesalahan.

Oleh itu, ilmu tasawuf itu adalah ilmu mengenai cara-cara membersihkan lahir dan batin daripada dosa dan kesalahan. Bahkan kesalahan lahir ini berpunca dari kesalahan batin. Dosa lahir ini berlaku setelah berlakunya dosa batin. Maka sebab itulah ia dikatakan ilmu tasawuf.

Kenapa pula ilmu ini juga dikatakan ilmu batin? Ini kerana roh atau hati memang tidak dapat dilihat oleh mata kepala. Ia adalah makhluk yang tersembunyi. Maka ilmu ini dinamakan ilmu batin kerana ia membahaskan tentang hati dan sifat-sifatnya yang memang tidak dapat dilihat dengan mata lahir tapi dapat dilihat oleh mata batin.

Mengikut pandangan umum masyarakat sekarang, bila disebut ilmu batin, mereka menganggap itu adalah ilmu pengasih atau ilmu kebal. Orang yang belajar ilmu batin bermakna dia belajar ilmu kebal atau belajar ilmu pengasih. Sebenarnya orang itu belajar ilmu kebudayaan Melayu, yang mana ilmu itu ada dicampur dengan ayat-ayat Al Quran. Kebal juga adalah satu juzuk daripada kebudayaan orang Melayu yang sudah disandarkan dengan Islam. Kalau kita hendak mempelajarinya tidak salah jika tidak ada unsur-unsur syirik. Tetapi itu bukan ilmu tasawuf atau ilmu kerohanian seperti apa yang kita bahaskan di sini.

Adakalanya ilmu tasawuf dipanggil juga ilmu hakikat. Ini kerana hakikat manusia itu yang sebenarnya adalah rohnya. Yang menjadikan manusia itu hidup dan berfungsi adalah rohnya. Yang menjadikan mereka mukalaf disebabkan adanya roh. Yang merasa senang dan susah adalah rohnya. Yang akan ditanya di Akhirat adalah rohnya. Hati atau roh itu tidak mati sewaktu jasad manusia mati. Cuma ia berpindah ke alam Barzakh dan terus ke Akhirat.

Jadi hakikat manusia itu adalah roh. Roh itulah yang kekal. Sebab itu ia dikatakan ilmu hakikat. Oleh yang demikian apabila kita mempelajari sungguh-sungguh ilmu rohani ini hingga kita berjaya membersihkan hati, waktu itu yang hanya kita miliki adalah sifat-sifat mahmudah iaitu sifat-sifat terpuji. Sifat-sifat mazmumah iaitu sifat-sifat terkeji sudah tidak ada lagi. Maka jadilah kita orang yang bertaqwa yang akan diberi bantuan oleh Allah SWT di dunia dan Akhirat. Kebersihan hati inilah yang akan menjadi pandangan Allah. Maksudnya, bila hati bersih, sembahyangnya diterima oleh Allah SWT. Bila hati bersih, puasanya diterima oleh Allah.

Bila hati bersih, perjuangannya diterima oleh Allah. Bila hati bersih, wirid dan zikirnya diterima oleh Allah. Bila hati bersih, pengorbanannya diterima oleh Allah. Tetapi bila hati tidak bersih, seluruh amalan lahirnya tidak akan diterima. Itulah yang dimaksudkan di dalam ajaran Islam bahawa walaupun kedua-dua amalan lahir dan amalan batin diperintahkan melaksanakannya tetapi penilaiannya adalah amalan roh atau hatinya. Ini sesuai dengan Hadis yang bermaksud:

“Cukup sembahyang sunat dua rakaat daripada hati yang bertaqwa.”

Maknanya dua rakaat sembahyang seorang yang bertaqwa itu lebih baik daripada seorang yang banyak sembahyang tetapi hati masih kotor. Selain sembahyang itu diterima, dua rakaat sembahyang dari hati yang bertaqwa itu akan memberi kesan kepada kehidupan seseorang itu. Sembahyangnya itu boleh mencegah dirinya dari berbuat kemungkaran dan kemaksiatan, lahir dan batin.
Berdasarkan Hadis di atas, kita cukup bimbang kerana selama ini kita telah mengerjakan sembahyang, sudah lama berjuang, sedikit sebanyak sudah berkorban, sudah habiskan masa untuk berdakwah, sembahyang berjemaah, ikut jemaah Islamiah, yang mana ini semua adalah amalan lahir, rupa-rupanya Allah tidak terima semua amalan itu disebabkan hati kita masih kotor. Roh kita masih tidak bersih.

Oleh itu dalam kita menunaikan kewajipan yang lahir ini, jangan lupa kita memikirkan roh kita. Kerana roh yang kotor itulah yang akan mencacatkan amalan lahir, mencacatkan sembahyang, mencacatkan segala ibadah dan mencacatkan pahala seluruh kebaikan kita.

Cuba renung kembali Hadis yang pernah diucapkan oleh Rasulullah SAW kepada Sayidina Muaz bin Jabal. Sila klik link di sini.


Orang yang banyak amal ibadah, di langit yang pertama sudah tercampak amalannya. Kalaupun boleh naik, di langit yang kedua pula tersekat. Begitulah seterusnya di pintu-pintu langit yang lain hingga sampai ke pintu langit yang ketujuh, tersangkut lagi. Itu bagi orang yang beramal, masih tertolak amalannya. Bagaimana agaknya kalau orang yang tidak beramal langsung?

Mengapa amalan lahir itu tersangkut? Tersangkutnya amalan itu kerana ia ada hubungan dengan penyakit batin atau roh (hati) kita yang masih kotor. Orang yang mengumpat umpamanya, kerana hatinya sakit. Walaupun mengumpat itu nampaknya amalan lahir, mulutnya yang bercakap tetapi ia datang dari hati yang kotor. Sebenarnya hati itulah yang mengumpat. Hasad dengki, riyak, kibir, sombong dan sebagainya, itu semua amalan hati. Rupa-rupanya yang menghijab amalan lahir ini adalah mazmumah hati. Amalan hati (roh) ini hendaklah dijaga kerana mazmumah hati inilah yang membatalkan pahala amalan-amalan lahir.

Ditegaskan sekali lagi, ilmu rohani adalah ilmu yang mengesan tabiat roh atau hati sama ada yang mazmumah atau mahmudahnya. Bukan untuk mengetahui hakikat zat roh itu sendiri. Hakikat roh itu sendiri tidak akan dapat dijangkau oleh mata kepala atau tidak akan dapat dibahaskan. Tetapi apa yang hendak dibahaskan adalah sifat-sifatnya sahaja supaya kita dapat mengenal sifat-sifat roh atau hati kita yang semula jadi itu. Mana-mana yang mahmudahnya (positif) hendak dipersuburkan dan dipertajamkan. Kita pertahankannya kerana itu adalah diperintah oleh syariat, diperintah oleh Allah dan Rasul dan digemari oleh manusia. Mana-mana yang mazmumahnya (negatif) hendaklah ditumpaskan kerana sifat-sifat negatif itu dimurkai oleh Allah dan Rasul serta juga dibenci oleh manusia.

Oleh yang demikian, sesiapa yang memiliki ilmu tentang roh ini, mudahlah dia mengesan sifat-sifat semula jadi yang ada pada roh itu. Mahmudahnya dapat disuburkan dan yang mazmumahnya dapat ditumpaskan. Maka jadilah roh atau hati seseorang itu bersih dan murni.

Sedangkan hati adalah raja dalam kerajaan diri. Bila raja dalam kerajaan diri ini sudah bersih, baik, adil, takut kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul, maka sudah tentu dia akan mendorong rakyat dalam dirinya iaitu anggota (jawarih) ini untuk tunduk dan patuh kepada Allah. Mudah untuk membangunkan syariat dan Sunnah Rasulullah SAW serta mudah berbuat bermacam-macam bentuk kebaikan lagi.

Maka kebaikan anggota lahir inilah yang merupakan buah daripada kebersihan jiwa itu sendiri. Jadi kebersihan jiwa itulah pokok yang melahirkan kebaikan kepada tangan, mulut, mata, telinga, kaki dan seluruh tindakan lahir kita ini. Maka bila roh sudah baik, akan jadi baiklah seluruh lahir dan batin manusia. Bila baik lahir batin manusia, dia akan menjadi orang yang bertaqwa.

Bila dia telah menjadi orang yang bertaqwa, maka dia dapat pembelaan dari Allah sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Selagi belum menjadi manusia yang bertaqwa, tidak ada jaminan dari Allah akan dibela sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Kalau sekadar menjadi orang Islam, tidak ada jaminan dari Allah untuk dibela.

Dalam Al Quran, Allah tidak mengatakan akan membela orang Islam. Tidak ada satu ayat pun yang Allah berjanji hendak membantu orang Islam. Tetapi yang ada dalam ayat Al Quran mahupun dalam Hadis, Allah hanya membantu orang-orang mukmin yang bertaqwa. Jadi bila jiwa sudah bersih, maka akan bersih lahir dan batin, maknanya orang itu sudah memiliki sifatsifat taqwa. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam Al Quran:

Maksudnya: “Hendaklah kamu berbekal. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah sifat taqwa.” (Al Baqarah: 197)

Bila seseorang itu sudah dapat berbekal dengan sifat-sifat taqwa, maka dia akan dapat pembelaan dari Allah SWT. Pembelaan di dunia mahupun di Akhirat. Sebenarnya, di sinilah rahsia kejayaan dan kemenangan umat Islam. Juga rahsia kehebatan umat Islam hingga berjaya menumpaskan musuh-musuhnya sama ada musuh lahir mahupun musuh batin.

Bahaya Menolak Ilmu Rohaniah

Kalau diterima tuduhan-tuduhan dari sebahagian orang yang menolak tasawuf atau ilmu rohaniah atau ilmu zauk, ertinya kita telah menganggap syariat Islam itu hanya mengenai kehidupan lahir semata-mata. Seolah-olah tidak ada hubungan langsung dengan soal-soal batin seperti persoalan hati atau roh dan nafsu.

Ertinya sama ada sedar atau tidak, kita mengakui bahawa ajaran Islam itu sama sahaja atau setaraf dengan ajaran-ajaran isme atau ajaranajaran ideologi ciptaan manusia. Yang mana peraturan- peraturan atau hukum-hakamnya hanya mengenai kehidupan yang lahir. Yakni apa yang dapat dinilai oleh mata lahir semata-mata dan tidak ada hubungkait langsung dengan hati atau roh dan nafsu.

Merbahaya sungguh jika kita menolak ilmu rohaniah ini. Tentu kita langsung tidak akan mempedulikan soal hati, nafsu dan hal ehwalnya. Tentu kita tidak akan ambil perhatian tentang kejahatan nafsu dan tidak anggap penting untuk membersihkan diri dan membuang sifat-sifat jahat tersebut. Sekaligus bererti, manusia tidak lagi bermujahadah untuk membaiki diri agar dapat memiliki sifat-sifat mahmudah (sifat terpuji) dan menumpaskan sifat-sifat mazmumah (sifat terkeji).

Untuk menghuraikan lebih terperinci lagi kita bawakan beberapa contoh. Umpamanya, selepas memiliki aqidah, mereka cukup hanya sekadar mempraktikkan Rukun Islam yang lima. Boleh jadi mereka suka juga menambah ibadah-ibadah sunat yang lain. Tetapi di waktu itu mereka tidak akan mempersoalkan lagi tentang soal khusyuk atau tidak, ikhlas atau tidak, riyak dan ujub atau tidak, megah dan sombong atau tidak. Mereka tidak akan ambil berat apakah mereka berbuat kerana nama dan kemasyhuran atau tidak. Apakah ada udang di sebalik batu dan sebagainya dalam mereka mengajar, belajar, berdakwah, berjuang, berkorban, memimpin, menutup aurat dan lain-lain lagi. Walhal inilah perkara yang paling penting yang mesti dijaga.
Begitu juga kalau dia meninggalkan yang haram, dia tidak akan ambil kira yang batin. Apa sebab ditinggalkannya? Adakah kerana takut ditangkap atau kerana takutkan Allah? Takut susah atau takutkan Allah. Takut malu atau takutkan Allah. Takut dihina orang atau takutkan Allah. Yang penting pada mereka, cukuplah perintah buat atau perintah tinggal itu ditaati sesuai dengan syariat. Soal-soal hati di waktu itu tidak usah diambil kira sangat. Peranan hati usah diambil kira lagi. Di waktu dia bertindak itu, kerana atau mengapa hati itu mendorong bertindak begitu, tidak diambil kira. Yang penting ianya sesuai dengan syariat lahir, itu sudah cukup baginya.

Kalau diibaratkan orang membeli buah, dibelinya kerana mempertahankan keelokan kulitnya sahaja tanpa memikirkan soal isinya. Apakah begitu tindakan kita pada realitinya bila kita membeli buah? Tentu tidak! Malanglah kalau kita menerima pandangan ini. Yakni fikir kulit sahaja, tanpa memikirkan isinya. Ini bererti kita menolak sabda Rasulullah dalam Hadisnya:

1. Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat At Tabrani)

2. Maksudnya: “Sesungguhnya dalam jasad ada seketul daging. Kalau baik daging itu maka baiklah seluruh jasadnya. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Maka ketahuilah, itulah dia hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Juga ia menolak sebahagian daripada ayat-ayat Al Quran.

1. Firman Allah: Maksudnya: “Sesungguhnya hawa nafsu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Yusuf: 53)

2. Firman-Nya lagi: Maksudnya: “Sesungguhnya mendapat kemenanganlah orang-orang yang membersihkannya dan mendapat kecewalah orang yang mengotorinya.” (Asy Syams: 9-10)

Seterusnya orang yang menolak ilmu rohaniah, mereka akan menafikan adanya ilmu laduni, ilham, kasyaf, firasat, kedatangan hatif dan pertolongan ghaib. Sedangkan perkara-perkara yang disebut tadi, selain daripada ada disebutkan dengan ilmiahnya di dalam Al Quran dan Hadis, ia juga telah menjadi pengalaman orang-orang soleh zaman dahulu sepertimana yang disebutkan di dalam kitab-kitab muktabar.

Begitulah wahyu Allah dan sabda Rasul-Nya serta hujah sejarah yang ada disebut di dalam kitab, yang menguatkan lagi hujah saya bahawa soal-soal roh atau hati dan nafsu ini mesti diambil kira. Kesimpulannya, pendapat-pendapat ulama yang menolak ilmu rohaniah ini sudah awal-awal lagi tertolak.

Amalan yang tersangkut di Langit

Cuba renung kembali Hadis yang pernah diucapkan oleh Rasulullah SAW kepada Sayidina Muaz bin Jabal. 

Rasulullah SAW bersabda: "Puji syukur ke hadrat Allah SWT yang menghendaki agar makhluk-Nya menurut kehendak-Nya. 
Wahai Muaz!"
Jawabku: "Ya Saiyidil Mursalin."
Sabda Rasulullah SAW: "Sekarang aku akan menceritakan kepadamu, bahawa apabila dihafalkan (diambil perhatian) olehmu akan berguna tetapi kalau dilupakan (tidak dipedulikan) olehmu maka kamu tidak akan mempunyai hujah di hadapan Allah kelak. Hai Muaz, Allah itu menciptakan tujuh malaikat sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. 

Setiap langit ada seorang malaikat yang menjaga pintu langit dan tiap-tiap pintu langit dijaga oleh malaikat penjaga pintu menurut kadarnya pintu dan keagungannya. Malaikat yang memelihara amalan si hamba iaitu malaikat Hafazah akan naik ke langit membawa amalan itu ke langit pertama. Penjaga akan berkata kepada malaikat Hafazah:

'Saya penjaga tukang umpat. Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya kerana saya diperintahkan untuk tidak menerima amalan tukang umpat.'

Esoknya naik lagi malaikat Hafazah membawa amalan si hamba. Di langit kedua penjaga pintunya berkata: 'Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya sebab dia beramal kerana mengharapkan keduniaan. Allah memerintahkan supaya ditahan amalan ini jangan sampai lepas ke langit yang lain.'Kemudian naik lagi malaikat Hafazah ke langit ketiga membawa amalan yang sungguh indah. Penjaga langit berkata: 'Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya kerana dia seorang yang sombong'." 

Rasulullah SAW meneruskan sabdanya: "Berikutnya malaikat Hafazah membawa lagi amalan si hamba ke langit keempat. Lalu penjaga langit itu berkata: 'Lemparkan balik amalan ini ke muka empunyanya. Dia seorang yang ujub. Allah memerintahkan aku menahan amalan yang ujub.' 

Seterusnya amalan si hamba yang lulus di langit kelima dalam keadaan bercahaya-cahaya dengan jihad, haji, umrah dan lain-lain tetapi di pintu langit kelima penjaganya berkata:
'Ini adalah amalan tukang hasad. Dia sangat benci pada nikmat yang Allah berikan pada hamba-Nya yang lain. Dia tidak redha dengan kehendak Allah. Sebab itu Allah perintahkan amalannya dilemparkan balik ke mukanya. Allah tidak terima amalan pendengki dan hasad.' 

Di langit keenam, penjaga pintu akan berkata: 'Saya penjaga rahmat. Saya diperintahkan untuk melemparkan balik amalan yang indah ini ke muka pemiliknya kerana dia tidak pernah mengasihi orang lain. Kalau orang mendapat musibah dia merasa senang. Sebab itu amalan ini jangan melintasi langit ini.' 

Malaikat Hafazah naik lagi membawa amalan si hamba yang lepas hingga langit ketujuh. Rupa cahayanya bagaikan kilat dan suaranya bergemuruh. Di antara amalan itu ialah sembahyang, puasa, sedekah, jihad, warak dan lain-lain lagi. Tetapi penjaga pintu langit berkata: 'Saya ini penjaga sum'ah (ingin masyhur). Sesungguhnya si pengamal ini ingin masyhur dalam kumpulan-kumpulan dan selalu ingin tinggi di saat berkumpul dengan kawan-kawan yang sebaya dan ingin mendapat pengaruh dari para pemimpin. Allah memerintahkan padaku agar amalan ini jangan melintasiku. Tiap-tiap amalan yang tidak bersih kerana Allah maka itulah riyak. Allah tidak akan menerima dan mengkabulkan orang-orang yang riyak.'Kemudian malaikat Hafazah itu naik lagi dengan membawa amal hamba yakni sembahyang, puasa, zakat, haji, umrah, akhlak yang baik dan pendiam, zikir pada Allah, diiringi malaikat ke langit ketujuh hingga sampai melintasi hijab-hijab dan sampailah ke hadrat Allah SWT. Semua malaikat berdiri di hadapan Allah dan semua menyaksikan amalan itu sebagai amalan soleh yang betul-betul ikhlas untuk Allah. 

Tetapi firman Tuhan: 'Hafazah sekalian, pencatat amal hamba-Ku, Aku adalah pengintip hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hamba-Ku ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas pada-Ku dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui. Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagi-Ku apa saja yang terlindung. Pengetahuan-Ku atas apa yang telah ter-jadi adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas apa yang bakal terjadi. Pengetahuan-Ku atas orang yang terdahulu adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana hamba-Ku ini menipu Aku dengan amalannya? Laknat-Ku tetap padanya.' 

Dan ketujuh-tujuh malaikat beserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun berkata: 'Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu dan laknat kami sekalian bagi mereka.'Dan semua yang di langit turut berkata: 'Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat'." 

Sayidina Muaz kemudian menangis teresak-esak dan berkata:
"Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh selamat dari apa yang diceritakan ini?"

Sabda Rasulullah SAW: "Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan."
Muaz bertanya kembali: "Tuan ini Rasulullah sedangkan saya ini hanya Muaz bin Jabal. Bagaimana saya boleh selamat dan boleh lepas dari bahaya tersebut?" 

Sabda Rasulullah SAW: "Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib, maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain. Jangan riyak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan Akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik. Jangan takabur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan Akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut padamu. Jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan. Jangan merobekkan peribadi orang lain dengan mulutmu, kelak engkau akan dirobek-robek oleh anjing-anjing jahanam. 
Sebagaimana firman Allah yang
 bermaksud: 'Di Neraka itu ada anjing-anjing perobek badan manusia'."
Muaz berkata: "Ya Rasulullah, siapa yang tahan menanggung penderitaan semacam itu?" 


Jawab Rasulullah SAW: "Muaz, yang kami ceritakan itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan Allah SWT. Cukuplah untuk menghindar semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci apa yang berlaku kepada orang lain apa-apa yang dibenci oleh dirimu sendiri. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar."


Orang yang banyak amal ibadah, di langit yang pertama sudah tercampak amalannya. Kalaupun boleh naik, di langit yang kedua pula tersekat. Begitulah seterusnya di pintu-pintu langit yang lain hingga sampai ke pintu langit yang ketujuh, tersangkut lagi. Itu bagi orang yang beramal, masih tertolak amalannya. Bagaimana agaknya kalau orang yang tidak beramal langsung? 

Mengapa amalan lahir itu tersangkut? Tersangkutnya amalan itu kerana ia ada hubungan dengan penyakit batin atau roh (hati) kita yang masih kotor. Orang yang mengumpat umpamanya,kerana hatinya sakit. Walaupun mengumpat itu nampaknya amalan lahir, mulutnya yang bercakap tetapi ia datang dari hati yang kotor. Sebenarnya hati itulah yang mengumpat. 

Hasad dengki, riyak, kibir, sombong dan sebagainya, itu semua amalan hati. Rupa-rupanya yang menghijab amalan lahir ini adalah mazmumah hati. Amalan hati (roh) ini hendaklah dijaga kerana mazmumah hati inilah yang membatalkan pahala amalan-amalan lahir.

Sabtu, 24 September 2011

HATI SEORANG PEMANDU TEKSI…


Aku melihat dirinya sangat sederhana. Seorang pemandu teksi yang acap kali singgah untuk solat Subuh di masjid berhampiran dengan rumah ku. Kekadang aku berpapasan dengannya lewat solat Asar – jika kebetulan pulang awal dari kerja. Wajahnya jernih walaupun jelas telah berusia. Umurnya, sekitar 65 tahun, mungkin.
“Kenapa masih bekerja Pak cik?”
“Kenapa? Pak Cik dah nampak tua?” tanyanya kembali.
Aku tersenyum. Senang dengan kemesraannya.
“Anak-anak masih kecil?” tanyaku lagi, mencungkil sebab sebenar dia masih bekerja walaupun selayaknya pada usia begitu dia berehat.
“Ah, Pak Cik dah bercucu. Alhamdulillah anak-anak semuanya dah bekerja. Ada juga yang berniaga,” kilas Pak cik itu bersahaja.
“Kenapa Pak cik masih bekerja?” tanyaku lagi sambil memegang bahunya mesra.
“Bukankah bekerja itu satu ibadah? Ibadah mana ada pencen,”jawabnya pendek.
Aku terdiam. Inilah inti pati kuliah ‘Penghayatan Kerja Sebagai Satu Ibadah’ yang selalu aku sampaikan dalam program-program latihan dan ceramah. Terasa malu, aku yang selalu menyampaikan ilmu tetapi Pak Cik ini yang menghayati dan mengamalkannya. Ya, kalau kita bekerja kerana ganjaran dan imbuhan, kita akan berhenti sebaik sahaja kita mendapatnya. Tetapi kalau kita bekerja kerana Allah, atas dasar ibadah, kita akan terus bekerja walaupun telah mendapat imbuhan. Selagi ada tenaga. Walaupun aku kira Pak cik ini telah mendapat bantuan daripada anak-anaknya tetapi dia tetap bekerja kerana dia bekerja bukan kerana wang. Dia bekerja kerana Allah.
“Pak Cik gembira dengan kerja ni?”
“Gembira. Pak Cik tak ada kepandaian lain. Inilah sahaja kepandaian Pak Cik. Bawa teksi. Dengan cara inilah sahaja Pak cik memberi khidmat kepada manusia lain,” akuinya terus-terang. Hebat, inilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah s.a.w. yang selalu disampaikan oleh para ustaz,  sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain.
“Awal Pak Cik dah keluar? Lepas Subuh terus bekerja?”
“Pagi-pagi ni murah rezeki. Pak Cik suka mula awal tetapi habis awal. Malam boleh tumpukan kerja lain.”
“Malam pun Pak Cik kerja juga?”
“Bukan kerja… Pak cik ikut kuliah-kuliah agama, belajar tajwid semula dan kadangkala ikut dalam majlis zikir. Itulah kerja Pak Cik yang dah berumur ni.”
Subhanallah, sekali lagi Pak Cik ini mengamalkan apa yang disebut dalam Al Quran ‘fa iza faraghta fan sab’ – maka apabila engkau telah selesai (dari satu urusan) tetaplah bekerja keras (untuk urusan lain), maksudnya selesai satu ibadah, kita sambung terus dengan ibadah yang lain pula. Tidak ada istilah rehat yang hakiki di dunia. Kita beribadah ‘around the clock’ – sepanjang waktu. Rehat hanya di syurga.
“Pak Cik dulu mengaji agama di mana?” aku terus mencungkil.
“Pak cik tak pernah mengaji agama secara rasmi. Dulu sekolah kebangsaan sahaja. Apa yang Pak cik dapat hasil mendengar sahaja. Mengaji dengar-dengar, kata orang. Kadangkala di masjid, di surau, dalam radio atau melalui perbualan-perbualan biasa.”
“Apa yang Pak Cik cari  semasa mengaji secara dengar-dengar tu?”
“Pak Cik pegang satu sahaja, bila dapat kita terus amal. Baru ilmu tu berkat.”
Aku senyum. Memang luar biasa Pak Cik yang kelihatan biasa-biasa ini. Aku mendapat berita Pak Cik ini pernah memulangkan wang berjumlah RM 5 ribu yang tertinggal oleh penumpang dalam teksinya. Pernah juga dia bergelut dengan lelaki yang cuba merompak teksinya. Keberanian, kejujuran dan istiqamahnya menjaga solat jemaah sangat aku kagumi.
“Sekarang ni mudah dapat pelanggan?”
“Ada kala mudah, ada kalanya payah. Tak menentu. Sekarang ni susah nak jangka.”
“Kalau pelanggan tidak da bagaimana?”
“Tu, CD kuliah-kuliah agama. Pak Cik habiskan masa dengan dengar kuliah agama. Kalau letih mendengar Pak Cik cubalah zikir sedikit-sedikit. Rezeki tetap ada. Tidak dalam bentuk duit, kita dapat dalam bentuk ilmu.”
“Pak Cik sihat? Tak da sakit-sakit?”
“Sakit tu mesti ada. Badan dah tua. Lenguh-lenguh, sakit urat. Tetapi yang berat-berat tu tak adalah. Alhamdulillah.”
“Pak Cik makan makanan tambahan? Food supplement?” jolok aku.
“Tak da. Pak Cik cuma jaga makan dan joging. Tubuh kita ni bukan kita punya… kena jaga baik-baik.”
“Eh, Pak Cik, sepatutnya yang kita punyalah kita kena jaga baik-baik.”
“Tak tahulah Pak Cik. Tapi Pak Cik anggap tubuh kita ini amanah Allah. Bila amanah, kita perlulah jaga baik-baik.”
Terkedu aku dengan jawapan itu. Dalam hati aku mengagumi orang seperti Pak Cik ini. Orang tua yang ‘simple’, tenang dan punya prinsip yang tepat dan jelas dalam hidup. Dia bukan sahaja memandu teksi tetapi dia benar-benar memandu kehidupannya. Individu yang dianggap marhaen ini rupanya punya ‘hati emas’. Isi cakap dan sikapnya semuanya Al Quran dan Al Hadis, walaupun dia tidak petah menuturkan ayat Al Quran dan lafaz hadis. Sesungguhnya, dia jauh lebih baik daripada para ustaz mahupun orang yang digelar alim, yang mulutnya berbuih dengan ayat Quran dan Al hadis tetapi praktik, hati budi serta gaya hidupnya berbeza dengan ayat Quran dan Al hadis yang menjadi perhiasan lidahnya!.
Kisah Pak Cik pemandu teksi ini mengingatkan aku kepada budak gembala kambing yang diuji oleh Amirul Mukminin Sayidina Umar Al Khattab di tengah padang pasir. Apabila Sayidina Umar mengatakan bahawa tuan punya kambing tidak akan tahu jika budak gembala itu menjual seekor kambing secara senyap-senyap, budak itu lantas berkata, “kalau begitu di mana Allah?”
Begitu juga dengan kisah seorang gadis yang tidak mahu mencampurkan air ke dalam susu yang dijualnya walaupun disuruh oleh ibunya berbuat demikian.
“Kita tidak boleh mencampurkan susu ini dengan air ibu. Amirul Mukminin Sayidina Umar telah melarang perbuatan ini.”
“Ah, kita di dalam rumah kita. Bukankah ini waktu malam? Umar tidak akan tahu,” balas ibunya.
“Tapi Tuhan Umar tahu! Allah tahu ibu.”
Kata-kata budak gembala kambing, “kalau begitu di mana Allah?”  dan gadis penjual susu, “tetapi Tuhan Umar tahu,” sesungguhnya bukan Al Quran dan bukan hadis tetapi rohnya, isinya dan mesejnya sejajar dengan Al Quran dan hadis. Itulah natijah pemikiran dan jiwa yang telah dibentuk oleh iman, lafaz kebenaran boleh jadi diluahkan dalam bahasa pertuturan yang biasa-biasa sahaja tetapi jika dicari dalil dan hujahnya dalam Hadis dan Al Quran, pasti ditemui.
Kembali kepada cerita Pak Cik pemandu teksi yang menjadi teman bual aku di serambi masjid selepas sama-sama mengerjakan solat Asar tadi.
“Pak Cik, apa yang paling susah sewaktu bekerja sebagai pemandu teksi ni?”
“Nak balas kejahatan dengan satu kebaikan. Itu yang paling susah. Pelanggan maki kita, kita balas dengan senyum. Orang herdik kita, kita minta maaf. Orang cuba tipu kita, kita mengelak dengan baik.”
“Mengapa begitu Pak Cik?”
Dia terdiam. Setelah merenung agak panjang beliau berkata,  “ itulah ujian yang menentukan kita ikhlas atau tidak… Kalau kita buat kerana Allah, Insya-Allah, kita boleh balas kejahatan dengan kebaikan. Atau sekurang-kurangnya tidak membalas. Kita diam sahaja..”
Sekali lagi Pak Cik pemandu teksi ini telah menuturkan hikmah yang pernah disampaikan oleh Sayidina Ali. “Tanda ikhlas itu…, kata Sayidina Ali, “ialah apabila pujian tidak menyebabkan kau menambah amal. Dan kejian manusia tidak menyebabkan kau mengurangkannya. Di hadapan dan di belakang manusia, ibadah mu tetap sama.”
Dan sesungguhnya itulah juga inti pati ayat Al Quran, surah Fussilat: 34 yang bermaksud, “ tolaklah kejahatan yang ditujukan kepada mu dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berbuat demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
Setelah bersalaman, Pak Cik pemandu teksi itu menuju teksinya.
“Ada janji dengan pelanggan. Assalamualaikum,” katanya, terus memandu teksinya dengan ceria. Aku? Aku terus duduk di tangga masjid sambil menghitung diri. Bolehkah aku meneladaninya? Bolehkah aku membalas kejahatan dengan satu kebaikan? Atau aku akan terus sibuk mencari dalil dan fakta untuk bahan tulisan atau ceramah sedangkan ada insan lain yang jauh lebih ikhlas telah mengamalkannya dalam kehidupan? Ya, alangkah dungunya kita kalau hanya sibuk menghafal nama makanan sedangkan orang lain telah memakannya? Begitulah perumpamaannya…
Sumber: http://genta-rasa.com/2011/09/24/hati-emas/#more-1585 

Sabtu, 27 Ogos 2011

RAHSIA YANG MANUSIA TIDAK TAHU


Banyak perkara yang manusia ketahui tapi tidak tahu rahsianya di sebaliknya. Antara perkara-perkara yang manusia tahu tetapi mereka tidak tahu rahsianya ialah…
1. Di antara cara mendidik manusia menjadi baik ialah dengan usaha menyakitkan nafsunya.
2. Jika seorang muslim mati bersama sakit zahirnya, maka itu adalah penghapusan dosanya atau dia mendapat darjat di dalam Syurga. Sebaliknya kalau dia mati bersama penyakit batinnya, dia akan ke Neraka.
3. Manusia yang berpenyakit lahir (fizikalnya), sakitnya boleh merosakkan anggotanya sahaja tetapi manusia yang berpenyakit batin boleh merosakkan semua yang ada di dunia. Banyak perkara yang akan dirosakkannya.
4. Sesuatu perkara atau benda yang kita suka, sangat sukar untuk kita tadbir dan mengurusnya. Biasanya selalu sahaja kita melakukan kesalahan di dalam mengurusnya.
5. Banyak orang boleh memperkatakan penyakit batin tetapi gagal mengesannya. Lantaran itulah ada orang waktu menceritakan penyakit sombong, pada masa yang sama dia sedang memakai sifat itu.
6. Mendidik manusia secara tidak formal dan dari sikap diri kita lebih berkesan daripada sekadar memberi ilmu dan teorinya.
7. Ramai manusia dirosakkan oleh makhluk yang paling bodoh, yang tiada akal dan tidak bersekolah iaitu duit dan harta. Bahkan orang yang paling pandai seperti profesor pun dirosakkannya.
8. Bangsa yang mempunyai sifat taqwa dan ilmu akan menguasai manusia lain. Begitu pun banyak bangsa tidak boleh menempuh jalan ini. Maka mereka menguasai bangsa lain dengan kekuatan lahirnya tetapi kerosakannya terlalu banyak.
9. Orang yang memiliki dunia selalunya jiwanya tidak tenang. Orang yang memiliki Allah, jiwanya tenang. Justeru itu orang yang memiliki dunia ada yang membunuh diri sendiri. Ini tidak berlaku kepada orang yang memiliki Tuhan.
10. Orang yang membunuh dirinya sendiri lebih besar dosanya daripada orang yang membunuh orang lain.
11. Kehidupan manusia di dunia ini sebenarnya mudah diselesaikan jika tahu rahsianya. Iaitu dengan iman dan taqwa. Nanti akan berlakulah, pemimpin menaungi dan menegakkan keadilan, orang kaya akan pemurah, orang miskin sabar, orang berilmu memberi ilmu, ulama-ulama memberi nasihat dan mendidik dan pemuda-pemudi memberi tenaga. Semua manusia bermaruah dan bersifat malu. Setiap orang akan mengutamakan orang lain. Anak yang kecil ditunjukkan kasih sayang, anak yang masih bersekolah jangan tunjuk sayang atau benci manakala terhadap anak yang sudah dewasa, tunjukkan kemesraan dan selalu dijadikan kawan berbincang.
12. Seseorang manusia itu akan dikasihi atau diberi simpati kalau dia kenal dirinya dan pandai meletakkan diri pada tempatnya.
13. Telah menjadi tabiat semula jadi manusia setiap orang sukakan keamanan, kasih sayang, simpati, dibantu, dihormati,dan tidak diganggu. Namun adakalanya manusia itu lupa, bahkan lumrah berlaku perkara yang dia tidak suka itu disebabkan oleh dirinya sama ada secara langsung mahupun tidak. Sebagai contoh, apabila seseorang itu zalim, orang lain akan berdendam dan membuat kacau hingga hilang keamanan. Bila tiada keamanan, penzalim juga turut susah dan terancam. Bila orang kaya bakhil, banyak orang dengki dan sakit hati. Risikonya dia juga ikut sama menanggung. Bila seseorang itu sombong, orang benci. Jika berlaku sesuatu keadaan yang menyusahkannya, orang tidak akan ambil peduli dan orang tidak bersimpati. Jadi, sikap kita itulah adakalanya mengundang bala atau kesusahan. Bolehlah kiaskan dengan sikap-sikap yang lain.
http://www.usahataqwa.com/umum/rahsia.html 

Jumaat, 17 Jun 2011

Hati Cermin

Orang yang baik tentulah disukai oleh makhluk-makhluk yang baik, sekiranya orang yang baik itu menghadapi masalah, tentulah ada makhluk-makhluk yang baik yang ingin menolongnya keluar dari masalahnya itu, dan sekiranya masalahnya itu begitu besar sehingga gagal ditolong oleh makhluk yang baik, Allah yang maha pemurah tentu akan memberikan jalan keluar kepada orang yang baik itu. Siapakah dia orang yang baik itu? Mereka adalah orang-orang yang memiliki hati cermin.

Maksud Al-Quran, Surah At-Talaq, ayat 2&3: “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri sebulat-bulat kepada Allah, maka Allah akan cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan perkara yang dikehendakinya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

Orang yang berhati cermin ialah orang yang baik hati dan memiliki akhlak Rasulullah SAW. Dia mempunyai hubungan yang baik bukan sahaja dengan Allah, tetapi juga dengan manusia. Bahkan dia juga mempunyai hubungan yang baik dengan makhluk-makhluk Allah yang lain termasuklah haiwan, tumbuh-tumbuhan dan benda-benda.

Mempunyai hubungan yang baik dengan Allah bermaksud melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mempunyai hubungan yang baik dengan manusia bermaksud mempunyai sifat-sifat yang mulia contohnya bertolak-ansur, tidak pemarah, pemaaf, suka menolong, berbudi pekerti, berhati mulia, tidak mendengki dan lain-lain. Mempunyai hubungan yang baik dengan haiwan termasuk menyukai haiwan, tidak menyiksa dan membunuh haiwan sesuka hati dan tidak menganiaya haiwan. Mempunyai hubungan yang baik dengan tumbuh-tumbuhan bermaksud menjaga keperluan tumbuh-tumbuhan yang ditanam dan tidak merosakkan tumbuhan sesuka hati. Mempunyai hubungan yang baik dengan benda bermaksud menjaga sesuatu itu dengan baik dan tidak merosakkan sesuatu benda itu.

Gelaran hati cermin bermaksud hati yang bersih dari kejahatan, kekotoran dan dosa. Orang yang berhati cermin akan sentiasa berusaha untuk menggilap hatinya supaya sentiasa bersih dengan mendengar ceramah agama, membaca buku-buku agama, berfikir tentang kebesaran Allah, bertaubat dan menyesali dosa-dosanya yang telah lalu. Orang yang berhati cermin bukan sahaja tidak melakukan sebarang dosa kepada Allah SWT, malah berfikir untuk melakukan dosapun tidak.

Orang yang berhati cermin akan memperbaiki hubungannya sesama manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan dengan menganggap semua adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah. Orang yang berhati cermin mempunyai sifat yang berhati-hati ketika berurusan dengan makhluk Allah kerana dia tahu sekiranya dia melakukan kesalahan sesama makhluk, dia akan dihitung di akhirat nanti. Sekiranya dia berhutang dengan makhluk, dia akan dihitung untuk melunaskan hutangnya. Sekiranya dia menyakiti makhluk Allah, bukankah wajar dia ditanya oleh Allah di akhirat nanti mengapa dia telah menyakiti makhlukNya?

Orang yang berhati cermin ialah orang yang hampir dengan Allah. Contoh manusia berhati cermin ialah Rasulullah SAW, para rasul, nabi-nabi dan juga orang-orang soleh. Tidak hairanlah mereka yang berhati cermin ini sentiasa mendapat pertolongan dari Allah samaada secara langsung atau secara perantaraan makhluk. Pertolongan secara langsung daripada Allah kepada rasul dan nabi dipanggil mukjizat manakala pertolongan secara langsung untuk orang-orang soleh dipanggil karamah.

Walaupun mereka tidak meminta, mereka ini dikurniakan kelebihan dan ilmu daripada Allah untuk melakukan sesuatu yang luar biasa. Ilmu untuk melakukan perkara-perkara luar biasa ini dipanggil ilmu Laduni. Mempunyai hati cermin adalah syarat yang utama untuk dikurniakan ilmu Laduni oleh Allah SWT.

Berbahagialah mereka yang berhati cermin, bukan sahaja dikasihi oleh Allah dan makhluk-makhluk lain yang baik, malah juga sentiasa mendapat pertolongan Allah dan makhluk-makhluk lain yang baik di dunia ini. Mereka juga berpeluang mendapat ilmu Laduni oleh Allah. Itulah kelebihan-kelebihan mereka yang berhati cermin di dunia ini. Kelebihan di akhirat tentulah memasuki syurga Allah tanpa hisab. Mereka tidak dihisab kerana hati mereka dan juga diri mereka sendiri telah bersih dari sebarang dosa.