Memaparkan catatan dengan label pahala. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pahala. Papar semua catatan

Ahad, 5 Julai 2020

Permainan Dunia The Matrix : Akhirat 50.1% Dunia 49.9%

Dunia Ini Satu Permainan

Perhatikan 4 ayat Al-Quran berikut:

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (Al-An'aam 6:32)

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat). (Al-Ankaboot 29:64)

(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan takwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan dan jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu dan Dia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya). (Muhammad 47:36)

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Al-Hadid 57:20)

Allah SWT telah melabelkan dunia ini empat kali di dalam Al Quran sebagai satu permainan. Apa yang kita faham dengan perkataan permainan? Kalau di zaman modern ni, permainan bolehlah kita fahami seperti game yang dimainkan oleh anak-anak kita seperti Sony Playstation dan X-box. Jadi, mengapakah Allah SWT melabelkan dunia ini sebagai satu permainan?

1.1 Dunia Ini Tidak Bernilai Di Sisi Allah SWT

Rasulullah SAW bersabda, “Seandainya dunia punya nilai di sisi Allah walau hanya menyamai nilai sebelah sayap nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir seteguk air pun.” (HR. At-Tirmidzi no. 2320, dishahihkan Asy-Syaikh Al-Albani  dalam Ash-Shahihah no. 686)

Kenapa sebelah sayap nyamuk dijadikan perumpamaan kepada nilai dunia dan seisinya? Ini sebenarnya dikaitkan dengan kisah Namrud Raja Babylon yang hidup pada 2275 SM.

Susulan dari kisah Ibrahim AS tidak hangus dibakar dalam api menyebabkan menentangan Namrud semakin hebat keatas Ibrahim AS. Ketika Ibrahim AS menemuinya, dengan rasa egonya Namrud berkata "Kumpulkan pengikutmu dan aku akan bawa pula pengikutku." Malahan dia berkata, "Hai Ibrahim, jika Tuhanmu mempunyai Malaikat, maka kirimlah kepadaku untuk berperang denganku, jika sanggup ambillah kerajaanku ini." Begitulah sombongnya Namrud Raja Babylon.

Kebinasaan Namrud ini terjadi pada hari Rabu, ia dibinasakan Allah SWT dengan tentera nyamuk.

Namrud mempunyai tentera sebanyak 700,000 (tujuh ratus ribu) penunggang kuda dengan senjata yang lengkap. Namrud berkata kepada Nabi Ibrahim: “Hai Ibrahim, jika Tuhanmu mempunyai malaikat, maka kirimkanlah kepadaku untuk berperang denganku. Jika sanggup ambillah kerajaanku ini.”

Maka Ibrahim AS bermunajat kepada Allah SWT: “Ya Ilahi sesungguhnya Namrud dengan tenteranya menunggu kedatangan tenteramu, maka kirimkanlah kepada meraka tentera daripada selemah-lemah makhlukMu iaitu nyamuk.”

Ketika Namrud dan tenteranya telah berkumpul di padang yang luas, maka Allah s.w.t. memerintahkan nyamuk keluar dari lautan. Lalu keluarlah tentera nyamuk hingga menutupi permukaan bumi dan langit. Kemudian nyamuk bertanya: “Ya Tuhan kami, apakah yang harus kami laksanakan?” Allah berfirman: “Aku telah menjadikan rezeki kamu semua pada hari ini berbentuk daging tentera Namrud.”

Kemudian Allah SWT memberikan kekuatan kepada nyamuk-nyamuk tersebut. Lalu nyamuk-nyamuk tersebut menyerang tentera Namrud, menghisap semua darah mereka, Allah memerintahkan kepada nyamuk agar menunda penyeksaan terhadap Namrud. Agar ia dapat melihat sendiri kehancuran tenteranya. Maka nyamuk-nyamuk itu pun membiarkan Namrud sehingga ia dapat pulang ke istana.

Ketika telah dekat seksaan untuk Namrud, lalu Allah memerintahkan seekor nyamuk untuk menjalankan tugas tersebut. Nyamuk itu berkeliling di sebatang pohon selama tiga hari. Setelah sampai tiga hari, maka ia masuk ke dalam kepala Namrud melalui lubang hidungnya. Kemudian ia memakan otak Namrud selama 40 hari.

Begitu besar sifat pengasih dan penyayang Allah SWT. Allah tidak menyeksa Namrud dengan segera, tetapi masih diberi masa ia bertaubat. Masa tiga hari yang diberikan terhadap nyamuk tersebut tidak digunakan oleh Namrud untuk menerima kebenaran Allah SWT. Maka jadilah Namrud tergolong ke dalam orang-orang yang dimurkai Allah SWT.

Ibrahim AS merasa hairan dan takjub melihat peristiwa tersebut. Kemudian Allah SWT berfirman kepadanya:
“Wahai Ibrahim, demi kemuliaan dan keagungan-Ku, sekiranya engkau tidak meminta kepada-Ku supaya mengutus tentera nyamuk, tentu aku akan mengirimkan yang lebih halus daripada nyamuk, jika 1000 (seribu) di antaranya berkumpul menjadi satu tidak mencapai besarnya nyamuk, tentu akan aku musnahkan juga mereka dengannya.”

Penderitaan Namrud sudah tidak tertanggung sehingga kepalanya menjadi sangat sakit. Akibat serangan nyamuk itu, Namrud sudah tidak mampu memerintah. Akibat tidak tahan dengan penderitaan, beliau mengetuk kepalanya dengan tongkat besinya. Namrud mati akibat kepalanya pecah kerana diketuk dirinya sendiri. Dia mati dalam kekufuran kerana tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT.

Ada riwayat mengatakan, takkala pecahnya kepala Namrud maka keluarlah nyamuk tadi yang telah membesar seumpama seekor burung Ciak (Allahu'alam) dan nyamuk itu telah kehilangan sebelah sayapnya yang terputus semasa usahanya mengejar Namrud. Maka tawaran Allah s.w.t. kepada nyamuk tersebut sebagai ganjaran atas tugasnya membinasakan Namrud adalah; dunia dan segala isinya. Namum dengan ilham daripada Allah ta'ala, nyamuk tersebut hanya memohon untuk mendapatkan kembali sebelah sayapnya yang terputus itu. Maka disini jelaslah nilai Dunia dan segala isinya tidak lebih dari sebelah sayap nyamuk.

Dunia: Segala yang muda akan tua, hidup akan mati, yang ada akan rosak dan binasa.
Akhirat: Ahli syurga itu muda dan hidup selamanya. Istana syurga itu kekal selamanya.
Sudah jelas antara dunia dan akhirat yang mana lebih bernilai disisiNya.

1.2 Dunia Ini Sama Nilainya Dengan Segelas Air

Perhatikan komik sufi berikut:



2. Markah Untuk Menang

Apabila kita bermain game, matlamat kita ialah untuk menang. Untuk menang, mestilah ada cara pengiraan markahnya. Untuk menang permainan dunia ini, insan hanyalah perlu mendapat markah 50.1%. Maksudnya pahala yang dikumpulkan oleh insan mestilah melebihi dosa yang dikumpulkan oleh insan walau hanya sebanyak 0.1% sahaja sudah dikira menang.

Apakah akibatnya sekiranya insan kalah dalam permainan dunia? dosa-dosa insan yang melebihi pahala itu mestilah dibersihkan dengan api neraka dulu sebelum insan dibenarkan untuk masuk ke syurga Allah SWT. Bayangkan kalau insan hanya melebihi sedikit sahaja dosanya dari pahalanya dan dimasukkan ke dalam neraka selama satu detik. Sehari di akhirat ialah seribu tahun di dunia. Oleh itu, satu detik di akhirat ialah bersamaan dengan 1000 tahun / 24 jam / 60 minit / 60 saat = 0.011574 tahun atau 4.224 hari.

Sanggupkah insan dibakar oleh api neraka selama empat hari? Kalau tak sanggup, berusahalah dengan bersungguh-sungguh membuat amal soleh agar pahala insan adalah lebih dari dosanya dan membawanya ke syurga.

3. Carilah Akhirat Tapi Jangan Kau Tinggalkan Dunia

Perhatikan ayat Quran berikut:

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. (Al-Qasas 28:77)

Dalam ayat di atas, walaupun Allah SWT menyuruh kita untuk mencari pahala akhirat, Allah SWT juga menyuruh kita agar tidak melupakan dunia. Jadi bagaimanakah caranya untuk tidak melupakan dunia itu? Dengan ayat berikutnya iaitu berbuat baik kepada hamba-hamba Allah SWT sebagaimana Allah SWT berbuat baik kepada kita.

Untuk mencari akhirat, Allah SWT tidak menyuruh kita untuk beribadat 24 jam kepadanya. Cukup dengan menunaikan kesemua rukun Islam seperti solat, puasa, zakat dan haji. Jadi apakah yang perlu kita lakukan diwaktu yang lain itu? Dengan berbuat baik kepada hamba-hamba Allah SWT iaitu bermuamalat dengan makhlukNya kerana bermuamalat dengan makhlukNya juga dikira sebagai kebaikan disisiNya dan akan diberi pahala olehNya.

Perhatikan hadis berikut:

“Ada tiga orang mendatangi rumah isteri-isteri Nabi SAW bertanya tentang ibadah Nabi SAW. Ketika mereka diberitahukan, seakan-akan mereka merasa remeh. Dan mengatakan, “Dimana kita dari (ibadahnya) Nabi SAW? Beliau telah diampuni oleh Allah dosa yang lalu maupun yang akan datang. Salah satu di antara mereka mengatakan, “Saya akan solat malam selamanya.” Yang lain mengatakan, “Saya akan berpuasa selamanya dan tidak berbuka.” Dan lainnya mengatakan, “Saya akan menjauhi wanita dan tidak menikah selamanya.” Rasulullah SAW datang dan bersabda, “Apakah anda semua yang mengatakan ini dan itu? ‘Demi Allah, sesungguhnya aku adalah yang paling takut kepada Allah SWT dan paling bertakwa kepada-Nya. Akan tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku solat (malam) dan beristirahat dan aku menikahi wanita. Siapa yang tidak menyukai sunnahku (kebiasaanku), maka dia bukan dari (golongan)ku.” (HR. Bukhari, no. 5063 dan Muslim, no. 1401).

Jelas berdasarkan ayat Al-Quran dan hadis di atas, cara untuk mencari akhirat itu ialah dengan menyeimbangkan urusan dunia dan akhirat itu. Matlamat kita ialah akhirat tapi jadikanlah dunia ini sebagai jambatan untuk akhirat. Jadikanlah dunia ini sebagai alat untuk mendapatkan akhirat. Akhirat itu penting, tapi dunia itu juga jangan ditinggalkan kerana sebenarnya Allah SWT menjadikan dunia ini juga untuk kita. Segala yang halal di dunia ini semuanya adalah kenikmatan yang diberi oleh Allah SWT kepada kita.

4. Akhirat 50.1% Dunia 49.9%

Pada pendapat saya, formula yang paling berkesan untuk menyeimbangkan dunia dan akhirat ialah dengan menggunakan formula ini : Akhirat 50.1% Dunia 49.9%. Maksud formula ini ialah dalam usaha kita untuk mencari pahala akhirat, kita mestilah menyeimbangkan kedua-duanya dengan kadar yang seimbang. Jadikanlah dunia ini jambatan dan ladang ke akhirat. Janganlah terlalu taksub sehinggakan kita abaikan dunia kita iaitu orang-orang di sekeliling kita. Berusahalah untuk membawa sekali orang-orang di sekeliling kita iaitu suami/isteri, saudara kandung, anak-anak dan kawan-kawan bersama-sama kita ke syurga Allah SWT.

Imam Ibnu Katsir -semoga Allah merahmati beliau- menyebutkan dalam kitab tafsirnya,

{ وَلا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا } أي: مما أباح الله فيها من المآكل والمشارب والملابس والمساكن والمناكح، فإن لربك عليك حقًّا، ولنفسك عليك حقًّا، ولأهلك عليك حقًّا، ولزورك عليك حقا، فآت كل ذي حق حقه.

Janganlah engkau melupakan nasibmu dari kehidupan dunia yaitu dari yang Allah SWT bolehkan berupa makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan menikah. Rabbmu masih memiliki hak darimu. Dirimu juga memiliki hak. Keluargamu juga memiliki hak. Isterimu pun memiliki hak. Maka tunaikanlah hak-hak setiap yang memiliki hak.” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 6: 37).

Pesan Nabi Muhammad SAW:

"Bekerjalah kamu untuk kepentingan di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup buat selama-lamanya, tetapi beramallah untuk kepentinganmu di akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari."

[HR Al-Asyakin]

Selasa, 23 Jun 2020

Huru Hara Padang Mahsyar

Setelah kiamat berlaku dan semua makhluk dimatikan oleh Allah SWT, malaikat Israfil dihidupkan kembali oleh Allah SWT. Kemudian, malaikat Israfil meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi. Makhluk yang dihidupkan adalah manusia, jin dan binatang.

Sekalian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” (tulang ekor) yang berada di hujung tulang belakang mereka. Setelah Allah SWT menurunkan hujan, hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

Kita akan dihidupkan kembali sepertimana kita dilahirkan seperti sabda Rasulullah SAW: "Kalian akan dikumpulkan pada hari kiamat dalam keadaan telanjang kaki (khufatan), telanjang badan ('uratan), berjalan kaki (musyatan), dan tidak berkhitan (ghurlan)" (HR. Ibn Abi Hatim)

Aisyah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW "Ya Rasulullah, kalau begitu kaum wanita dan kaum lelaki dapat melihat aurat satu dengan yang lainnya?" Rasulullah SAW menjawab: "Hai Aisyah, peristiwa pada hari itu lebih penting untuk diperhatikan oleh setiap orang daripada memerhatikan orang lain." Manusia dan jin pada ketika itu tidak malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

Ini dijelaskan dalam Al-Quran surah Abasa seperti berikut:
Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. (80:37)

Hari itu, matahari akan didekatkan kepada para makhluk hingga berjarak kira-kira satu mil. Jika ditukarkan ke km, satu mil adalah lebih kurang 1.6 km panjangnya. Dengan suhu lebih 150°C menurut perhitungan manusia, matahari memancarkan panas yang sangat hebat. Akibatnya, setiap manusia dibanjiri dengan peluhnya. Menurut Rasulullah SAW, banyak manusia terbenam dengan peluhnya sendiri, sesuai dengan amalnya. Di antara mereka, ada yang terbenam sampai buku lali, sampai lututnya dan ada yang terbenam sampai mulutnya (HR Muslim)


Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia akan sibuk memikirkan nasib masing-masing.

Kemudian semua makhluk akan berkumpul disatu tempat untuk menunggu mahkamah Allah SWT memulakan perbicaraan. Tempoh menunggu ini adalah satu tempoh yang sangat lama, iaitu kira-kira 50,000 tahun dunia. Tempoh menunggu yang sangat lama ini menyebabkan manusia mencari-cari syafaat para rasul agar perbicaraan mahkamah Allah SWT disegerakan. Mereka bertemu dengan Nabi Adam AS, Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS sebelum bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, yang akhirnya Rasulullah SAW menggunakan syafaat baginda agar dipercepatkan mahkamah perbicaraan dan hisab dan permohonan baginda dimakbulkan Allah SWT.

Proses perbicaraan dan hisab mahkamah Allah SWT akan membicarakan manusia dan jin itu satu-persatu. Umat yang akan pertama sekali dibicarakan dan dihisab ialah umat Nabi Muhammad SAW. Pada ketika itu, manusia dan jin tidak akan bercakap. Yang akan bercakap pada ketika itu ialah anggota-anggota badan mereka yang akan menjadi saksi tentang apa yang mereka kerjakan seperti yang diceritakan dalam Al-Quran surah Yasin seperti berikut:

Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (36:65)

Manusia dan jin akan dapat melihat pahala dan dosa yang mereka kerjakan secara berbentuk/berjisim. Pahala dan dosa inilah yang akan ditimbang di mizan oleh Allah SWT. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati.

Mereka yang pahalanya lebih berat dari dosanya akan mendapat keputusan catatan amalnya menggunakan tangan kanannya dan mereka adalah golongan ahli syurga. Mereka yang dosanya lebih berat dari pahalanya akan mendapat keputusan catatan amalnya menggunakan tangan kirinya dan mereka adalah golongan ahli neraka.



Setelah selesai proses perbicaraan dan hisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.


Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15,000 tahun. 5,000 tahun menaik, 5,000 tahun mendatar dan 5,000 tahun menurun. Walaubagaimanapun ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki bergantung kepada amalan masing-masing. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

Setelah mengetahui dahsyatnya huru-hara di padang mahsyar tersebut, lalu bagaimanakah caranya kita boleh meringankan beban kita di mahsyar kelak? Berikut adalah 3 amalan yang  boleh meringankan beban kita di mahsyar kelak:

1. Menjadi salah satu dari 7 golongan yang mendapat naungan Allah SWT di padang mahsyar

Daripada Abu Hurairah RA, Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tujuh golongan Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya; 

Pertama: Imam (pemimpin) yang adil. 

Kedua: Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah. 

Ketiga: Insan yang hatinya terpaut dengan masjid.

Keempat: Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah. 

Kelima: Insan yang diajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata, ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah.’ 

Keenam: Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya. 

Ketujuh: Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya.”

(HR Bukhari dan Muslim)

2. Dengan selalu membaca Al-Quran terutamanya surah Al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-dua surah ini akan menjadi peguambela kita di hari akhirat seperti hadis berikut:

Daripada Abu Umamah al-Bahili, beliau berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: ‘Bacalah al-Quran kerana al-Quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak. Dan bacalah Az Zahrawain iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-dua surah itu akan datang pada hari kiamat, seolah-olah kedua-duanya bagai sekelompok awan atau payung yang menaungi, atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya. Kedua-duanya akan membela pembacanya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam Ahmad)

3. Dengan menginsafi bahawa kita hidup di dunia ini hanyalah sebentar sahaja jika dibandingkan dengan akhirat

Satu hari di akhirat itu bersamaan dengan 1000 tahun di dunia seperti ayat Al-Quran berikut:

....... Sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung. (22:47)


Mari kita kira berapa lamakah kita hidup di dunia ini:
1 hari akhirat = 1000 tahun,

24 jam akhirat = 1000 tahun,
3 jam akhirat = 125 tahun,
1.5 jam akhirat = 62.5 tahun.
Apabila umur manusia itu rata-rata 60-70 tahun, maka hidup manusia ini jika dilihat dari pandangan Allah SWT hanyalah 1.5 jam saja. Ternyata hanya satu setengah jam saja yang akan menentukan kehidupan abadi kita kelak, hendak di Syurga atau Neraka. Oleh yang demikian, bersabarlah dalam kehidupan dunia yang sementara ini dan penuhilah ia dengan ibadat dan amal soleh.


Akhir kata, renungkanlah ayat Al-Quran berikut:
Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi? Mereka menjawab: Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung (umur). Allah berfirman: Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia). (23:112-114)

Rabu, 3 Jun 2020

8 Kelebihan Menghadiri Majlis Ilmu

Ilmu pengetahuan agama adalah sangat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Ayat pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW ialah perintah supaya mencari ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud, “Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang amat pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawa ilmu yang wajib dipelajari ialah ilmu yang mendorong kepada mentauhidkan Allah, mendekatkan diri dan mematuhi syariat. Ilmu-ilmu tersebut terbahagi kepada dua bahagian iaitu ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah. Ilmu fardu ain ialah ilmu yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim untuk mempelajarinya, sesiapa yang tidak mempelajarinya akan menanggung dosa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “menuntut ilmu adalah fardu ain ke atas setiap orang Islam lelaki dan perempuan.” (HR Muslim)

Ilmu fardu ain terbahagi kepada tiga bahagian utama seperti berikut :-

Pertama : ilmu akidah atau ilmu tauhid, iaitu ilmu yang berkaitan dengan kepercayaan kepada Allah, malaikat, kitab, para rasul, hari kiamat dan qada dan qadar, sebagaimana yang terkandung dalam rukun iman yang enam.

Kedua : ilmu syariat atau ilmu fekah iaitu ilmu yang berkaitan dengan ibadah, muamalat, munakahat dan jenayah yang boleh mendatangkan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Ketiga : ilmu akhlak atau ilmu tasawuf, iaitu ilmu yang berkaitan dengan pembersihan hati, pembentukan peribadi atau akhlak yang mulia, yang merangkumi sifat benar, amanah, ikhlas, bersopan-santun, berdisiplin, menjaga masa dan sebagainya.

Ilmu fardu kifayah pula ialah ilmu yang wajib dikuasai oleh sebahagian umat Islam yang memenuhi syarat untuk menegakkan urusan umat Islam di dalam kehidupan dunia ini. Ini merangkumi ilmu agama seperti ilmu tafsir al-Quran hadis, fekah dan sebagainya, atau ilmu duniawi seperti ilmu perubatan, pertanian, politik, teknologi, ekonomi, sains dan sebagainya.

Hadirkan dirimu dalam majlis ilmu, kerana mempelajari ilmu merupakan perkara yang dituntut sepanjang hayat, tidak ada istilah terlambat, selagi hayat dikandung badan. Oleh itu, setiap orang Islam wajib berusaha mempelajari ilmu, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, sekurang-kurangnya sekadar mengesahkan akidah dan ibadatnya serta mengetahui yang mana halal dan yang mana haram, bagi memastikan segala urusan hidup yang dijalankan adalah menepati hukum syarak dan diredhai Allah SWT.

Hadirkan dirimu dalam majlis ilmu sama ada di masjid, surau atau sebagainya kerana orang yang menghadiri majlis ilmu ini akan memperoleh banyak kelebihan yang disediakan oleh Allah, antaranya :-

Pertama : dipermudahkan jalan ke syurga. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkannya jalan ke syurga.” (HR Muslim)

Kedua : dimuliakan oleh para malaikat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Dan sesungguhnya malaikat merendahkan sayapnya bagi penuntut ilmu kerana redha dengan apa yang dilakukannya.” (HR Tirmizi)

Ketiga : lebih baik daripada melakukan solat sunat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, perginya kamu mempelajari satu bab daripada ilmu itu lebih baik daripada kamu sembahyang sunat seratus rakaat.” (HR Ibnu Majah)

Keempat : penerima wasiat Rasulullah SAW. Sabda Baginda yang bermaksud, “Akan datang kepada kamu beberapa kaum yang menuntut ilmu, oleh itu apabila kamu melihat mereka maka katakanlah kepada mereka : selamat datang kepada penerima wasiat Rasulullah SAW dan ajarkanlah kami.”

Kelima : semua makhluk memohon keampunan baginya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Orang yang mempunyai ilmu itu tiap-tiap sesuatu meminta keampunan untuknya sehingga ikan dalam laut.” (HR Abu Ya’la bersanad sahih)

Keenam : Mendapat doa para malaikat dan binatang. Rasulullah SAW  bersabda, “Sesungguhnya Allah, malaikat-Nya, penduduk bumi dan langit, serta semut yang berada di lubangnya dan ikan paus, mereka semua mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” (HR. Tirmizi)

Ketujuh : Mendapat kebaikan lebih baik dari dunia dan seisinya. Rasulullah SAW bersabda “Satu bab daripada ilmu yang dipelajari seseorang, adalah lebih baik baginya daripada dunia dan isinya.”  (Hadis riwayat Imam Ibnu Hibban dan Ibnu Abdul Birri)

Kelapan : Dekelilingi para malaikat dan mendapat rahmat dari Allah SWT. Dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id radhiyallahu ‘anhuma, mereka berdua berkata, “Rasulullah SAW bersabda, ‘Tidaklah suatu kaum duduk berzikir (mengingati) Allah, melainkan mereka dikelilingi oleh para malaikat, diliputi oleh rahmat, diturunkan sakinah (ketenangan), dan mereka disebut oleh Allah di hadapan malaikat yang ada di sisi-Nya.’” (HR. Muslim, no. 2700) 

Di zaman moden ini, majlis ilmu sangat mudah untuk dicari. Kita hanya perlu mencari ceramah ustaz-ustaz di youtube untuk berada di majlis ilmu dan mendapatkan kelebihan-kelebihan di atas. Walaubagaimanapun, menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid adalah lebih afdal kerana disitu dapat pahala solat berjemaah dan juga keberkatan menuntut ilmu secara berjemaah.

Selasa, 5 Februari 2013

Perkara yang menghapuskan kebaikan dan perkara yang menghapuskan kejahatan

Berikut adalah salah satu dari Sunnatullah yang perlu kita fahami dan hayati agar kita selamat di dunia dan akhirat.


Kebaikan balasannya kebaikan dan kejahatan balasannya kejahatan.
Walaubagaimanapun penyakit hati boleh menghapuskan kebaikan manakala keampunan dan kemaafan boleh menghapuskan kejahatan.

Ulasan: Sudah menjadi Sunnatullah bahawa perbuatan baik itu balasannya baik juga iaitu pahala dan syurga manakala perbuatan jahat itu balasannya jahat juga iaitu dosa dan neraka. Walaubagaimanapun ada perkara yang boleh mengurangkan/menghapuskan pahala kebaikan kita dan pada masa yang sama ada perkara yang boleh mengurangkan/menghapuskan dosa kita. 

Perkara yang boleh mengurangkan pahala kebaikan kita ialah penyakit hati. Contoh yang mudah ialah Iblis. Pada satu ketika dahulu, Iblis yang dikenali sebagai Azazil sangat taat dan banyak beribadat kepada Allah sehingga dia dilantik sebagai ketua para malaikat. Tapi sayang sekali kerana sifat sombong yang ada pada Iblis, dia tidak mahu sujud (sebagai tanda hormat) kepada Adam AS kerana bagi Iblis, dia lebih mulia dari Adam AS kerana dia diciptakan dari api sedangkan Adam AS diciptakan dari tanah. Hanya kerana sifat sombong yang ada pada Iblis, dia telah mendapat murka Allah SWT dan segala kebaikan yang telah dibuatnya telah terhapus. Ini diterangkan di dalam Surah Al-Baqarah seperti berikut:

Maksud Al-Quran "Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir." (Al-Baqarah 2:34)

Contoh yang lain: pahala amalan yang diberikan oleh Allah SWT adalah bergantung kepada keikhlasan hati kita. Kedua-dua contoh penyakit hati ini iaitu sombong dan tidak ikhlas boleh mengurangkan pahala kita. Malah kesemua sifat mazmumah iaitu sifat buruk yang berkaitan dengan hati seperti hasad dengki, pemarah, kedekut, buruk sangka, menghina, mengutuk, mengumpat dsb boleh menghilangkan pahala kebaikan kita. 

Perkara yang boleh menghapuskan dosa kita pula ialah keampunan dari Allah SWT dan kemaafan dari manusia yang kita telah buat salah. Cara untuk mendapat keampunan dari Allah SWT ialah dengan:
1. Perbanyakkah istighfar. Rasulullah SAW sendiri beristighfar sekurang-kurangnya 70 kali sehari walaupun baginda seorang yang maksum iaitu tidak melakukan dosa.
2. Menjauhkan diri dari melakukan dosa besar.
Maksud Al-Quran: "Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (Syurga)." (An-Nissa 4:31)
3. Perbanyakkan kebaikan. Berdasarkan hadis Nabi SAW, ada seorang pelacur yang diampunkan dosanya kerana memberi minum seekor anjing yang dahaga. Kita perlu perbanyakkan kebaikan kita kerana kita tidak tahu amalan kita yang mana yang mendapat keredhaan dan keampunan dari Allah SWT.
Dalam hadis, Nabi SAW bersabda:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
Cara untuk mendapat kemaafan dari manusia pula ialah: 
1. Jangan cabuli hak orang lain dan tunaikanlah hak orang yang berhak terhadap kita
2. Maafkanlah kesalahan orang lain kepada kita semoga orang itu juga memaafkan kesalahan kita

Kadangkala memang sukar untuk memaafkan kesalahan orang terhadap kita. Dalam Islam sendiri, memang terdapat hukum Qisas yang membolehkan sesiapa yang dianiaya membalas pelakunya dengan perkara yang sama. Walaubagaimapaun memaafkan kesalahan orang itulah adalah perkara yang lebih baik dan pemberian maaf itu dijamin pahala yang banyak oleh Allah SWT seperti ayat berikut:

Maksud Al-Quran "Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim." (Ash-Shura 42: 40)


Selasa, 5 Jun 2012

Mari bersedekah

Bersedekah itu pahalanya diganda 10
Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun). (Al-An'am 6:160)  


Jika ikhlas diganda 100

Jika untuk kepentingan Islam diganda 700
Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah seperti sebuah biji yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai itu berbuah seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Allah mempunyai karunia yang luas, lagi maha mengetahui. (Al-Baqarah 2:261)

Jika disukai Allah diganda 100,000


Sesungguhnya Allah S.W.T. merekodkan (segala) pahala kebaikan dan dosa kejahatan, sehingga Baginda Mulia (Nabi Muhammad s.a.w.) menerangkan, siapa (orang Islam) yang berazam melakukan (mengerjakan) kerja yang baik tetapi tidak ia lakukan, Allah S.W.T. memberi baginya 1 pahala kebajikan yang penuh, tapi jika ia berazam dan melakukannya, Allah memberi ia 10 pahala kebajikan yang penuh sehingga 700 kali ganda, dan sehingga lebih banyak lagi, dan jika seseorang orang Islam berazam hendak melakukan sesuatu kerja jahat (yang berdosa) tetapi tidak ia lakukannya, Allah mengurniakannya 1 pahala kebajikan yang penuh, manakala jika ia berazam dan melakukannya, Allah menulis dosa satu kejahatan yang penuh, dan tidak binasa seseorang itu disisi Allah S.W.T. melainkan orang yang telah ditakdir binasa (Bukhari, Muslim – Jamek Saghir 1/270)

Bersedekah itu pahalanya diganda 10

Jika memberi hutang diganda 18
 Hadis Nabi SAW menyatakan: “Pada malam aku diisra’kan (Mikraj) aku melihat tulisan di atas pintu syurga, ‘Pahala sedekah ialah 10 kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda‘. Aku bertanya Jibril kenapa memberi hutang lebih banyak pahalanya daripada sedekah? Jawabnya, kerana orang yang meminta sedekah dalam keadaan meminta sedangkan dia mempunyai harta. Sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana sesuatu keperluan” (Ibn Majah dan Baihaqi).

Menghalalkan hutang itu gandaannya besar
Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak). (Al Baqarah 2:280)

Jika diberi tanpa dipinta (contohnya kepada anak-anak yatim) gandaannya sangatlah besar