Tuesday, 5 February 2013

Perkara yang menghapuskan kebaikan dan perkara yang menghapuskan kejahatan

Berikut adalah salah satu dari Sunnatullah yang perlu kita fahami dan hayati agar kita selamat di dunia dan akhirat.


Kebaikan balasannya kebaikan dan kejahatan balasannya kejahatan.
Walaubagaimanapun penyakit hati boleh menghapuskan kebaikan manakala keampunan dan kemaafan boleh menghapuskan kejahatan.

Ulasan: Sudah menjadi Sunnatullah bahawa perbuatan baik itu balasannya baik juga iaitu pahala dan syurga manakala perbuatan jahat itu balasannya jahat juga iaitu dosa dan neraka. Walaubagaimanapun ada perkara yang boleh mengurangkan/menghapuskan pahala kebaikan kita dan pada masa yang sama ada perkara yang boleh mengurangkan/menghapuskan dosa kita. 

Perkara yang boleh mengurangkan pahala kebaikan kita ialah penyakit hati. Contoh yang mudah ialah Iblis. Pada satu ketika dahulu, Iblis yang dikenali sebagai Azazil sangat taat dan banyak beribadat kepada Allah sehingga dia dilantik sebagai ketua para malaikat. Tapi sayang sekali kerana sifat sombong yang ada pada Iblis, dia tidak mahu sujud (sebagai tanda hormat) kepada Adam AS kerana bagi Iblis, dia lebih mulia dari Adam AS kerana dia diciptakan dari api sedangkan Adam AS diciptakan dari tanah. Hanya kerana sifat sombong yang ada pada Iblis, dia telah mendapat murka Allah SWT dan segala kebaikan yang telah dibuatnya telah terhapus. Ini diterangkan di dalam Surah Al-Baqarah seperti berikut:

Maksud Al-Quran "Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir." (Al-Baqarah 2:34)

Contoh yang lain: pahala amalan yang diberikan oleh Allah SWT adalah bergantung kepada keikhlasan hati kita. Kedua-dua contoh penyakit hati ini iaitu sombong dan tidak ikhlas boleh mengurangkan pahala kita. Malah kesemua sifat mazmumah iaitu sifat buruk yang berkaitan dengan hati seperti hasad dengki, pemarah, kedekut, buruk sangka, menghina, mengutuk, mengumpat dsb boleh menghilangkan pahala kebaikan kita. 

Perkara yang boleh menghapuskan dosa kita pula ialah keampunan dari Allah SWT dan kemaafan dari manusia yang kita telah buat salah. Cara untuk mendapat keampunan dari Allah SWT ialah dengan:
1. Perbanyakkah istighfar. Rasulullah SAW sendiri beristighfar sekurang-kurangnya 70 kali sehari walaupun baginda seorang yang maksum iaitu tidak melakukan dosa.
2. Menjauhkan diri dari melakukan dosa besar.
Maksud Al-Quran: "Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (Syurga)." (An-Nissa 4:31)
3. Perbanyakkan kebaikan. Berdasarkan hadis Nabi SAW, ada seorang pelacur yang diampunkan dosanya kerana memberi minum seekor anjing yang dahaga. Kita perlu perbanyakkan kebaikan kita kerana kita tidak tahu amalan kita yang mana yang mendapat keredhaan dan keampunan dari Allah SWT.
Dalam hadis, Nabi SAW bersabda:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
Cara untuk mendapat kemaafan dari manusia pula ialah: 
1. Jangan cabuli hak orang lain dan tunaikanlah hak orang yang berhak terhadap kita
2. Maafkanlah kesalahan orang lain kepada kita semoga orang itu juga memaafkan kesalahan kita

Kadangkala memang sukar untuk memaafkan kesalahan orang terhadap kita. Dalam Islam sendiri, memang terdapat hukum Qisas yang membolehkan sesiapa yang dianiaya membalas pelakunya dengan perkara yang sama. Walaubagaimapaun memaafkan kesalahan orang itulah adalah perkara yang lebih baik dan pemberian maaf itu dijamin pahala yang banyak oleh Allah SWT seperti ayat berikut:

Maksud Al-Quran "Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim." (Ash-Shura 42: 40)


No comments:

Post a Comment