Memaparkan catatan dengan label Religion - Ibadat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Religion - Ibadat. Papar semua catatan

Khamis, 11 Jun 2020

Adab Berdoa Kepada Allah SWT

Dalam Al Quran, Allah SWT berjanji untuk mengabulkan doa hamba-hambanya seperti ayat-ayat berikut:


Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (2:186)

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina. (40:60)

Jadi mengapakah ada di antara kita yang berdoa tetapi masih belum dimakbulkan doanya oleh Allah SWT?

Sebenarnya banyak perkara yang menjadi asbab kepada terhalangnya doa dimakbulkan. Kebanyakannya berpunca daripada diri sendiri sama ada sedar atau tidak. Salah satunya ialah tidak mengambil berat soal halal dan haram terutamanya dalam urusan makanan.

Pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW bercerita tentang seorang pemuda yang bermusafir jauh di padang pasir hingga menyebabkan rambutnya menjadi kusut-masai dan dipenuhi dengan debu kerana perjalanannya yang jauh itu.

Lalu Rasulullah SAW bersabda:
ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟
Seorang lelaki yang telah lama berjalan dan jauhnya perjalanan yang ditempuh, sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Dia menadahkan tangannya ke langit lalu berdoa: "Wahai Tuhan ku! Wahai Tuhanku!" Padahal, makanannya dari sumber yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diberi makan dengan makanan yang haram. Maka bagaimana mungkin Allah SWT akan memperkenankan doanya?" (Riwayat Muslim)

Antara sebab lain ialah dosa yang ada pada diri seseorang itu juga boleh menjadi penghalang kepada makbulnya doa. Oleh itu, perbanyakkanlah solat taubat dan istighfar agar dosa seseorang diampunkan lalu menghilangkan penghalang untuk dimakbulkan doanya.

Sebenarnya apabila seseorang hamba itu berdoa, Allah SWT pasti akan mengurniakan salah satu dari tiga perkara kepada hambanya tersebut:
1. Dimakbulkan doanya pada masa itu atau pada masa terdekat
2. Ditangguhkan makbulnya doa itu pada masa akan datang
3. Diganti doanya itu dengan sesuatu yang sama nilai atau sesuatu yang lebih baik

Untuk perkara no. 3 di atas, contoh yang mudah ialah adakalanya kita berdoa apa yang kita inginkan, tapi Allah SWT memberikan kepada kita apa yang kita perlukan. Apabila ini berlaku, berbaik sangkalah dengan Allah SWT bahawa Allah SWT telah memberikan yang terbaik untuk kita seperti ayat berikut:

...... dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (2:216)

Apabila kita membaca kisah-kisah nabi, mereka sendiri ada yang ditangguhkan doanya sehingga bertahun-tahun lamanya. Contohnya seperti berikut:

1. Nabi Muhammad SAW yang berdoa agar kiblat dipindahkan dari masjidil Aqsa ke Mekah. Doa Nabi Muhammad SAW ini dimakbulkan Allah SWT setelah 2 tahun.
2. Nabi Ayub AS yang mendapat sakit yang teruk. Nabi Ayub AS hanya berdoa setelah 18 tahun lalu dimakbulkan oleh Allah SWT dan disembuhkan penyakitnya.
3. Nabi Ibrahim AS dan Nabi Zakaria AS berterusan berdoa selama lebih 80 tahun untuk mendapat anak sebelum dimakbulkan Allah SWT.

Apabila kita berdoa, jagalah adab-adab dalam berdoa kerana memakbulkan doa itu adalah hak mutlak Allah SWT pada suatu waktu yang ditentukanNya. Antara adab-adab dalam berdoa adalah seperti berikut:

1. Berdoalah sebagai seorang hamba yang merendah diri, yang mengharapkan kurnia dari Rajanya, bukan sebagai seorang pekerja yang mengharapkan upah dari majikannya.

2. Pujilah Allah SWT sebelum berdoa. Surah Al Fatihah itu adalah surah yang mengandungi doa dan surah ini dimulai dengan puji-pujian kepada Allah SWT.

3. Berdoalah dengan suara yang lembut, penuh keyakinan terhadap Allah SWT, menghadap kiblat, berwuduk, berdoa pada waktu mustajab dengan merendah diri dan mengharapkan hanya kepada Allah SWT.

4. Tutuplah doa tersebut dengan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW

JANGANLAH KERANA KELAMBATAN MASA PEMBERIAN TUHAN KEPADA KAMU,
PADAHAL KAMU TELAH BERSUNGGUH-SUNGGUH BERDOA,
MEMBUAT KAMU BERPUTUS ASA, SEBAB ALLAH MENJAMIN UNTUK MENERIMA SEMUA DOA, MENURUT APA YANG DIPILIH-NYA UNTUK KAMU,
TIDAK MENURUT KEHENDAK KAMU, DAN PADA WAKTU YANG DITENTUKANNYA,
TIDAK PADA WAKTU YANG KAMU TENTUKAN.

Rabu, 3 Jun 2020

8 Kelebihan Menghadiri Majlis Ilmu

Ilmu pengetahuan agama adalah sangat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Ayat pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW ialah perintah supaya mencari ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud, “Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang amat pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawa ilmu yang wajib dipelajari ialah ilmu yang mendorong kepada mentauhidkan Allah, mendekatkan diri dan mematuhi syariat. Ilmu-ilmu tersebut terbahagi kepada dua bahagian iaitu ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah. Ilmu fardu ain ialah ilmu yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim untuk mempelajarinya, sesiapa yang tidak mempelajarinya akan menanggung dosa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “menuntut ilmu adalah fardu ain ke atas setiap orang Islam lelaki dan perempuan.” (HR Muslim)

Ilmu fardu ain terbahagi kepada tiga bahagian utama seperti berikut :-

Pertama : ilmu akidah atau ilmu tauhid, iaitu ilmu yang berkaitan dengan kepercayaan kepada Allah, malaikat, kitab, para rasul, hari kiamat dan qada dan qadar, sebagaimana yang terkandung dalam rukun iman yang enam.

Kedua : ilmu syariat atau ilmu fekah iaitu ilmu yang berkaitan dengan ibadah, muamalat, munakahat dan jenayah yang boleh mendatangkan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Ketiga : ilmu akhlak atau ilmu tasawuf, iaitu ilmu yang berkaitan dengan pembersihan hati, pembentukan peribadi atau akhlak yang mulia, yang merangkumi sifat benar, amanah, ikhlas, bersopan-santun, berdisiplin, menjaga masa dan sebagainya.

Ilmu fardu kifayah pula ialah ilmu yang wajib dikuasai oleh sebahagian umat Islam yang memenuhi syarat untuk menegakkan urusan umat Islam di dalam kehidupan dunia ini. Ini merangkumi ilmu agama seperti ilmu tafsir al-Quran hadis, fekah dan sebagainya, atau ilmu duniawi seperti ilmu perubatan, pertanian, politik, teknologi, ekonomi, sains dan sebagainya.

Hadirkan dirimu dalam majlis ilmu, kerana mempelajari ilmu merupakan perkara yang dituntut sepanjang hayat, tidak ada istilah terlambat, selagi hayat dikandung badan. Oleh itu, setiap orang Islam wajib berusaha mempelajari ilmu, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, sekurang-kurangnya sekadar mengesahkan akidah dan ibadatnya serta mengetahui yang mana halal dan yang mana haram, bagi memastikan segala urusan hidup yang dijalankan adalah menepati hukum syarak dan diredhai Allah SWT.

Hadirkan dirimu dalam majlis ilmu sama ada di masjid, surau atau sebagainya kerana orang yang menghadiri majlis ilmu ini akan memperoleh banyak kelebihan yang disediakan oleh Allah, antaranya :-

Pertama : dipermudahkan jalan ke syurga. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkannya jalan ke syurga.” (HR Muslim)

Kedua : dimuliakan oleh para malaikat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Dan sesungguhnya malaikat merendahkan sayapnya bagi penuntut ilmu kerana redha dengan apa yang dilakukannya.” (HR Tirmizi)

Ketiga : lebih baik daripada melakukan solat sunat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, perginya kamu mempelajari satu bab daripada ilmu itu lebih baik daripada kamu sembahyang sunat seratus rakaat.” (HR Ibnu Majah)

Keempat : penerima wasiat Rasulullah SAW. Sabda Baginda yang bermaksud, “Akan datang kepada kamu beberapa kaum yang menuntut ilmu, oleh itu apabila kamu melihat mereka maka katakanlah kepada mereka : selamat datang kepada penerima wasiat Rasulullah SAW dan ajarkanlah kami.”

Kelima : semua makhluk memohon keampunan baginya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Orang yang mempunyai ilmu itu tiap-tiap sesuatu meminta keampunan untuknya sehingga ikan dalam laut.” (HR Abu Ya’la bersanad sahih)

Keenam : Mendapat doa para malaikat dan binatang. Rasulullah SAW  bersabda, “Sesungguhnya Allah, malaikat-Nya, penduduk bumi dan langit, serta semut yang berada di lubangnya dan ikan paus, mereka semua mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” (HR. Tirmizi)

Ketujuh : Mendapat kebaikan lebih baik dari dunia dan seisinya. Rasulullah SAW bersabda “Satu bab daripada ilmu yang dipelajari seseorang, adalah lebih baik baginya daripada dunia dan isinya.”  (Hadis riwayat Imam Ibnu Hibban dan Ibnu Abdul Birri)

Kelapan : Dekelilingi para malaikat dan mendapat rahmat dari Allah SWT. Dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id radhiyallahu ‘anhuma, mereka berdua berkata, “Rasulullah SAW bersabda, ‘Tidaklah suatu kaum duduk berzikir (mengingati) Allah, melainkan mereka dikelilingi oleh para malaikat, diliputi oleh rahmat, diturunkan sakinah (ketenangan), dan mereka disebut oleh Allah di hadapan malaikat yang ada di sisi-Nya.’” (HR. Muslim, no. 2700) 

Di zaman moden ini, majlis ilmu sangat mudah untuk dicari. Kita hanya perlu mencari ceramah ustaz-ustaz di youtube untuk berada di majlis ilmu dan mendapatkan kelebihan-kelebihan di atas. Walaubagaimanapun, menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid adalah lebih afdal kerana disitu dapat pahala solat berjemaah dan juga keberkatan menuntut ilmu secara berjemaah.

Jumaat, 29 Mei 2020

Zikir Menyembuhkan Penyakit dari Al Quran

Syurga adalah tempat mereka yang dekat dengan Allah SWT. Antara sifat ahli syurga ialah sabar apabila mendapat ujian dan antara ujian daripada Allah SWT kepada manusia di dunia ini ialah dengan ditimpakan penyakit. Ahli syurga adalah mereka yang bersabar apabila mendapat ujian seperti ujian mendapat penyakit.

Al-Quran menceritakan kisah Nabi Ayub a.s. yang digambarkan manusia yang paling sabar, bahkan boleh dikatakan bahawa baginda berada di puncak kesabaran. Sering orang mengagumi kesabaran Nabi Ayub. Misalnya, dikatakan: seperti sabarnya Nabi Ayub. Jadi, Nabi Ayub menjadi simbol kesabaran dan cermin kesabaran atau teladan kesabaran pada setiap bahasa, pada setiap agama, dan pada setiap budaya. Allah SWT telah memujinya dalam kitab-Nya yang berbunyi:
"Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya)." (Al-Quran Surah. Sod: 44)

Didalam Al-Quran terdapat beberapa ayat yang boleh dijadikan zikir dan doa untuk disembuhkan penyakit oleh Allah SWT. Jangan jemu untuk terus berdoa kepada Allah SWT kerana Allah SWT amat menyukai mereka yang terus-menerus berdoa dan merayu kepadaNya. Nabi Ayub sendiri telah diuji dengan musibah penyakit selama 18 tahun sebelum beliau berdoa kepada Allah SWT dan doanya dimakbulkan Allah SWT dan beliau disembuhkan dari penyakitnya.

Apabila berzikir dan berdoa dengan ayat Quran ini, niatkanlah agar kesembuhan yang diminta tersebut bertujuan agar kita mendapat kesihatan yang baik untuk beribadah kepada Allah SWT. Insya Allah niat untuk sembuh dengan tujuan agar bertambah ibadah  kita akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Zikir dari Al-Quran untuk mendapat kesembuhan dari penyakit adalah ayat-ayat berikut:

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ۬ وَرَحۡمَةٌ۬ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ‌ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارً۬ا

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. (Al-Isra 17:82)

وَأَيُّوبَ إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُ ۥۤ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّٲحِمِينَ (٨٣) فَٱسۡتَجَبۡنَا لَهُ ۥ فَكَشَفۡنَا مَا بِهِۦ مِن ضُرٍّ۬‌ۖ وَءَاتَيۡنَـٰهُ أَهۡلَهُ ۥ وَمِثۡلَهُم مَّعَهُمۡ رَحۡمَةً۬ مِّنۡ عِندِنَا وَذِڪۡرَىٰ لِلۡعَـٰبِدِينَ (٨٤
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. (83) Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: Keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik). (84) (Al Anbiya 21:83-84)
Berikut adalah doa Nabi Ayub a.s:

Ahad, 17 Mei 2020

8 Amalan Pada Waktu Pagi dan Waktu Petang

1. Berselawat pada waktu pagi selepas Subuh 10 kali dan selepas Asar 10 kali. Jumhur ulama menyarankan selawat seperti berikut: Allahumma Solli Ala Saiyidina Muhammad Waala Ali Saiyidina Muhammad.

Sabda Nabi SAW: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat - HR Thabrani

2. Solat berjemaah Subuh dan Asar dan membaca zikir untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT 3x

Waktu Subuh dan waktu Asar adalah waktu pertukaran shift malaikat. Sewaktu pertukaran shift ini, Allah SWT akan bertanya kepada malaikat apakah yang sedang dibuat oleh hambaku? Malaikat akan menjawab sewaktu kami turun dia sedang solat Subuh dan sewaktu kami naik dia sedang solat Asar. Oleh itu ya Allah ampunkanlah dosanya di hari kiamat. Selepas solat bacalah zikir "Radhitu Billahi Rabba, Wa Bil islami Dina, Wabi muhammadiin Nabiya Wa Rasula" 3x untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Zikir ini boleh ditambah dengan "Wa Bil Qurani Imama, Wa Bil Kaabati Qiblata, Wabil Mukminina Ikhwana" yang bermaksud : Aku Redha Allah Subhanahu wata’ala sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai nabi dan rasulku, Quran sebagai imam (petunjuk), kaabah sebagai kiblat, mukmin sebagai saudara.

Kemudian diikuti dengan zikir berikut 3x : Subhanallahi Wabihamdihi 'Adadakhalqihi Waridhonafsihi Wazinata 'arshihi Wamida dakalimatih 3x.

Ertinya: Maha suci Allah dan segala puji bagiNya sebanyak bilangan makhlukNya, dan sebesar redha diriNya, dan seberat 'ArasyNya, dan sebanyak hitungan kalimatNya. 

Diceritakan dari sahabat Tsauban Radhiyallahu`anhu Nabi SAW berkata : Barang siapa yang di pagi dan petang mengucapkan kalimat “Radhitu Billahi Rabba, Wa Bil islami Dina, Wabi muhammadiin Nabiya Wa Rasula” 3x. Maka wajib bagi Allah Subhanahu wata’ala untuk meredhainya”. (HR.At-Tirmidzi, Abu daud dan An-Nasa’i)


Daripada Juwairiyah binti al-Harith r.ha., isteri Nabi SAW bahawa pada suatu pagi setelah selesai menunaikan solat Subuh, Nabi SAW keluar dari sisinya, sementara dia masih berada di tempat solatnya (membaca zikir). Kemudian, Nabi SAW pulang pada waktu Dhuha, sementara dia masih duduk di tempatnya. Nabi lalu bertanya:
Maksudnya:

"Apakah engkau tetap seperti itu sejak aku meninggalkanmu?" Dia menjawab: "Ya." Maka Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya sejak berpisah denganmu tadi, aku telah membaca sebanyak empat kalimat berikut sebanyak tiga kali yang jika ditimbang nilainya, tentu sama dengan banyaknya zikir yang engkau baca daripada tadi, iaitu:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ

(Hadis Riwayat Muslim) Riyadhus Solihin, Imam Nawawi

3. Baca Saiyyidul Istighfar setiap pagi selepas Subuh dan setiap petang selepas Asar.


Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang mengucapkan Sayyidul Istighfar di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. - Hadis riwayat Bukhari

4. Baca Allahumma ajirni minan naar, sebanyak 7 kali selepas Subuh dan 7 kali selepas Maghrib

Sabda Nabi SAW : Apabila kamu selesai dari solat subuh, bacalah ini sebelum kamu bercakap dengan orang lain, iaitu: Allahumma ajirni minan naar, sebanyak 7 kali, maka jika pada hari tersebut kamu meninggal dunia, akan ditetapkan oleh Allah bahawa kamu akan dijauhi dari api neraka. Apabila kamu selesai dari solat Maghrib, bacalah ini sebelum kamu bercakap dengan orang lain, iaitu: Allahumma ajirni minan naar, sebanyak 7 kali, maka jika pada waktu malam tersebut kamu meninggal dunia, akan ditetapkan oleh Allah 'azza wa jalla bahawa kamu akan dijauhi dari api neraka." (Riwayat Ahmad : 17362, Abu Daud : 5079)


5. Baca ‘Laa ilaaha illallah wahdahu laa syarikalah, lahul mulku, walahul hamdu, yuhyiy wa yumiytu wahuwa ‘ala kulli syay-in qadiir,’ sebanyak 10x selepas solat Maghrib dan Subuh dalam keadaan masih duduk tahiyat akhir dan tidak berkata-kata, sehingga selesai bacaan

Sabda Nabi SAW : Barangsiapa setelah solat Maghrib dan Subuh membaca ‘Laa ilaaha illallah wahdahu laa syarikalah, lahul mulku, walahul hamdu, yuhyiy wa yumiytu wahuwa ‘ala kulli syay-in qadiir,’ sebanyak 10x Allah SWT akan tulis setiap satu kali 10 kebaikan, dihapus 10 keburukan (dosa), diangkat 10 darjat, Allah SWT lindungi dari setiap keburukan, dan Allah SWT lindungi dari godaan syaitan yang terkutuk. (HR. Ahmad IV/227, at-Tirmidzi no.3474).

Hadis daripada Abu Zar berkata, “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda, ‘Barangsiapa yang membaca selepas solat Subuh, dalam keadaan kakinya masih seperti tasyahhud akhir, sebelum berkata-kata sebanyak sepuluh kali, ditulis baginya sepuluh kebaikan, dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan (dosa), diangkatkan baginya sepuluh darjat (kedudukan), dan dia pada hari itu terjaga daripada segala perkara yang dibenci, terbentang daripada syaitan, serta tidak ada suatu dosa yang dapat membinasakannya pada hari itu kecuali syirik (menyekutukan) Allah’. ” (Riwayat at-Tarmizi dengan sanad Hasan, Imam ath-Thobrani menyebutnya di dalam al-Aushot dan al-Kabir. Lihat juga Shahih at-Targhib wa at-Tarhib:  1/306)

6. Melakukan 2 rakaat solat sunat Isyraq setelah Subuh dan berzikir kepada Allah SWT. Tempoh masa Solat Sunat Isyraq adalah sangat singkat iaitu 15 minit sahaja (12 minit – 27 minit setelah Syuruk).

Sabda Nabi SAW: Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah  sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna, sempurna, sempurna. (Hadis riwayat al-Tirmidzi dan al-Tabrani RA : 586)


7. Sedekah Subuh. Caranya sediakan satu tabung. Kemudian pilihlah WAKTU yang paling AFDHAL iaitu SELEPAS SUBUH DAN SEBELUM SYURUK. Masukkanlah tak kira berapa sen/rm ke dalam tabung sedekah Subuh itu. Semasa hendak memasukkan wang itu berniatlah apa sahaja niat yang baik-baik untuk anda dan keluarga. Masukkan ke dalam tabung itu sehingga genap sebulan. Setelah sebulan agihkanlah kepada mana-mana orang/badan yang memerlukan dan teruskan amalan itu seperti biasa. Contohnya wang dari tabung tersebut boleh disalurkan ke tabung masjid, rumah anak yatim atau maahad tahfiz. Waktu Subuh dan Asar adalah waktu pertukaran shift malaikat dan malaikat akan mendoakan orang yang bersedekah Subuh ini. Biasakan sedekah subuh walaupun cuma seringgit atau dua ringgit, tetapi lakukanlah dengan istiqamah kerana disitu dapat doa malaikat dan doa malaikat mustajab di sisi Allah SWT.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada satu subuh-pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa: “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”, sedangkan yang satu lagi berdo’a “Ya Allah, berilah kerosakan bagi orang yang menahan (hartanya)” (Hadis Riwayat Bukhary 5/270)

8. Membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar sebanyak 100 kali selepas Subuh dan Asar

Dari Abdullah bin Amr bin Ash, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa membaca ‘Subhanallah’ 100 kali sebelum terbit dan terbenamnya matahari, maka itu lebih utama dari (pahala sedekah) 100 unta. Barangsiapa membaca ‘Alhamdulillah’ 100 kali sebelum terbit dan terbenamnya matahari, maka itu lebih utama dari (pahala sedekah) 100 kuda yang dipersiapkan untuk jihad fisabilillah. Dan barangsiapa membaca ‘Allahu Akbar’ 100 kali sebelum terbit dan terbenamnya matahari, maka itu lebih utama dari (pahala) memerdekakan 100 hamba”. (Nasa’i dalam Kitab Sunan Kubra, dan di-hasan-kan oleh Albani)

Sabtu, 16 Mei 2020

8 Amalan Untuk Membina Rumah di Syurga

Tahukah anda kita boleh membina rumah di dalam syurga sejak di dunia ini lagi? Cuba anda bayangkan rumah di dunia ini. Semakin cantik rumah di dunia ini, semakin mahallah harganya. Dari rumah kos rendah yang berharga puluh ribu kepada rumah apartment yang berharga seratus ribu kepada rumah kondo yang berharga beratus-ratus ribu kepada rumah teres yang berharga lebih lima ratus ribu kepada rumah banglo yang berharga jutaan. Semakin mahal harga rumah di dunia ini, semakin cantiklah rumah tersebut. Bayangkan rumah di syurga yang tentunya jauh lebih bagus dan cantik dari rumah di dunia ini, dan kita boleh bina rumah di syurga tersebut di dunia ini lagi dengan melakukan 8 amalan berikut:

1. Dengan membangunkan masjid. Maksud membangunkan masjid di sini ialah dengan menggunakan wang kita untuk membina sebahagian dari kelengkapan masjid. Sekiranya anda mampu menggunakan wang anda untuk membina sebuah masjid, itulah yang paling utama. Sekiranya anda tidak mampu, cukuplah dengan menggunakan wang anda untuk kelengkapan masjid dan itu sudah cukup untuk melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang membangun masjid kerana Allah walaupun hanya sebesar sangkar burung atau lebih kecil dari itu, Allah akan bangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." - Hadis Riwayat Ibnu Majah

2. Dengan solat Dhuha dan Qabliyah Zohor empat rakaat. Sebenarnya solat-solat sunat mempunyai fadhilat yang  sangat besar. Oleh itu lazimkanlah bersolat sunat, seperti solat sunat Dhuha empat rakaat diikuti dengan sonat sunat Qabliyah Zohor (solat sunat sebelum Zohor) empat rakaat juga, akan melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang solat Dhuha empat rakaat dan Qabliyah Zohor empat rakaat, akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." - Hadis Riwayat at-Thabrani

3. Dengan solat sunat Rawatib 12 rakaat. Solat sunat Rawatib ialah solat sunat Qabliyah (sebelum ) dan Ba'diyah (sesudah) solat Fardhu. Ada solat sunat Muakkad (dituntut) dan ada solat Ghairu Muakkad (tidak dituntut). Walaubagaimanapun kedua-dua solat sunat Muakkad dan Ghairu Muakkad boleh sahaja dilaksanakan. Berikut adalah senarai solat sunat Rawatib: 2 rakaat sebelum Subuh (Muakkad), 4 rakaat sebelum zohor (Muakkad), 2/4 rakaat selepas zohor (2 Muakkad, 2 Ghairu Muakkad), 4 rakaat sebelum asar (Ghairu Muakkad), 2 rakaat sebelum Maghrib (Ghairu Muakkad), 2 rakaat selepas Maghrib (Muakkad), 2 rakaat sebelum Isyak (Ghairu Muakkad), 2/4 rakaat selepas Isyak (2 Muakkad, 2 Ghairu Muakkad). Laksanakanlah solat sunat Rawatib Muakkad 12 rakaat dalam sehari akan melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang melakukan solat sunat (sunat rawatib) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam, akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga, empat rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas Isyak dan dua rakaat sebelum Subuh.” (Riwayat al-Tirmidzi, al-Nasa’I, Ibnu Majah dan Imam Ahmad)

Solat sunat Ghairu Muakkad juga mempunyai fadhilatnya yang tersendiri. Contohnya solat sunat Ghairu Muakkad 2 rakaat tambahan sesudah melaksanakan solat sunat Muakkad 2 rakaat selepas Zuhur.


Ummu Habibah iaitu isteri Nabi SAW berkata, “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menjaga empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, haram atasnya neraka.” (Riwayat Abu Dawud, al-Nasai, dan Imam Ahmad)

4.  Dengan membaca surah Al-Ikhlas 10 kali. Surah Al-Ikhlas (Qulhuwallahu Ahad) adalah surah yang pendek untuk dibaca tapi fadhilat membacanya sangatlah besar. Sekali membaca surah Al-Ikhlas pahalanya adalah seperti membaca satu pertiga Al-Quran. Sepuluh kali membaca surah Al-Ikhlas akan melayakkan anda mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang membaca "Qulhuwallahu Ahad" sepuluh kali, Allah SWT akan bangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." - Hadis Riwayat Ahmad.

5. Dengan membaca doa masuk pasar. Umum mengetahui bahawa pasar adalah tempat ramai manusia dan tempat kebanyakan manusia adalah lalai dari mengingati Allah SWT. Oleh yang demikian, sesiapa yang mengingati Allah SWT dengan membaca doa masuk pasar ini akan mendapat ganjaran yang sangat banyak:


Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang masuk pasar lalu membaca doa masuk pasar maka Allah SWT akan menuliskan untuknya sejuta kebaikan, menghapus darinya sejuta keburukan, mengangkat untuknya sejuta darjat dan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." Hadis Riwayat At Tirmidzi, Ahmad, Ibnu Majah dan Al-Hakim.

6. Dengan beristirjak (menyebut "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun") ketika anak meninggal. Musibah kehilangan anak adalah antara ujian yang sangat berat dari Allah SWT. Oleh yang demikian, mereka yang bersabar ketika menerima ujian tersebut lalu mengucapkan istirjak iaitu kalimah "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" akan mendapat ganjaran yang besar.

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila anak seorang hamba meninggal dunia, Allah berfirman kepada malaikatNya, "Kalian telah mencabut nyawa anak hambaku?" Mereka berkata, "Benar." Allah berfirman, "Kalian telah mencabut nyawa buah hatinya?" Mereka menjawab, "Benar." Allah berfirman, "Apa yang diucapkan oleh hambaku?" Mereka berkata, "Ia memujimu dan mengucapkan Istirjak (Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun)." Allah berfirman, " Bangunkan untuk hambaku di syurga, dan namai ia rumah pujian," - Hadis Riwayat al-Tirmidzi.

7. Dengan berakhlak mulia. Akhlak yang mulia adalah sesuatu yang sangat dituntut dalam Islam. Seseorang yang mempunyai akhlak yang mulia akan mendapat ganjaran yang besar dan melayakkan dia mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Aku menjamin dengan rumah di pinggir syurga bagi orang yang meninggalkan pertengkaran walaupun ia dipihak yang benar. Aku menjamin dengan rumah di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta walaupun untuk ketika bergurau. Aku menjamin dengan rumah di syurga yang paling tinggi bagi orang yang baik akhlaknya." Hadis Riwayat Abu Dawud.

8. Dengan Iman, Islam, Hijrah dan Jihad. Nikmat terbesar yang diberi oleh Allah SWT kepada kita ialah nikmat Iman dan Islam. Mereka yang beriman dan Islam, kemudian juga berhijrah dan berjihad akan melayakkan dia mendapat sebuah rumah di syurga.

Rasulullah SAW bersabda: "Aku menjamin orang yang beriman kepadaku, masuk Islam dan berhijrah dengan sebuah rumah di pinggir syurga, di tengah syurga dan syurga yang paling tinggi. Aku menjamin orang yang beriman kepadaku, masuk Islam dan berjihad dengan sebuah rumah di pinggir syurga, di tengah syurga dan syurga yang paling tinggi. Barangsiapa yang melakukan itu, ia tidak membiarkan satupun kebaikan, dan lari dari semua keburukan, ia meninggal, di mana saja Dia kehendaki untuk meninggal." - Hadis Riwayat al-Nasai, Ibnu Hibban dan Al-Hakim.

Sabtu, 1 Oktober 2011

Amalan Zahir vs Amalan Batin

Assalamualaikum semua,


Pada tulisan kali ni, aku nak huraikan tentang amalan ataupun ibadat kita kepada Allah SWT. Cara untuk kita mendekatkan diri kita kepada Allah SWT itu ada berbagai, antaranya dengan kita melakukan ibadat yang banyak kepada Allah SWT. Tapi pernahkah kita berhenti sejenak dan berfikir apakah maksud ibadat kepada Allah SWT itu dan bagaimanakah tingkatan ibadat itu di sisi Allah SWT?


Cuba kita lihat 5 ibadat yang paling utama dalam Islam iaitu rukun Islam itu sendiri:
1. Mengucap 2 kalimah syahadah
2. Solat 5 waktu
3. Puasa bulan Ramadhan
4. Membayar zakat
5. Menunaikan Haji jika mampu


Cuba kita perhatikan. Kesemua ibadat tersebut berbentuk fizikal. Maksudnya kita kena gunakan kekuatan fizikal kita untuk melaksanakan ibadah tersebut. Mengucap 2 kalimah syahadah walau nampak ringan masih memerlukan aktiviti fizikal iaitu bercakap. Telah jelas bahawa solat, puasa, zakat dan haji juga memerlukan aktiviti fizikal untuk melaksanakannya. Walaupun zakat nampak seperti bukan fizikal, bekerja untuk mendapatkan wang sehingga layak mengeluarkan zakat juga adalah aktiviti fizikal.


Ini bermakna secara tidak langsung Islam menyuruh kita menjaga kesihatan fizikal kita agar kuat dan sihat. Bagaimana kita hendak beribadat dengan berkesan sekiranya tubuh badan kita lemah? Susah untuk solat kalau berdiripun tidak mampu. Islam itu sendiri diturunkan untuk menjaga 5 perkara iaitu 1) AGAMA 2) AKAL 3) HARTA 4) KETURUNAN 5) NYAWA. Menjaga nyawa itu termasuklah menjaga kesihatan. Sebab itu perbuatan yang berkaitan 5 perkara tersebut adalah perbuatan dosa besar. Contohnya murtad kerana merosakkan agama, minum arak dan menagih dadah merosakkan akal, mencuri dan merompak merosakkan harta, berzina merosakkan keturunan dan membunuh merosakkan nyawa.


Sebab itu dalam Islam, tubuh badan kita ini dianggap amanah oleh Allah SWT dan adalah WAJIB untuk kita menjaga tubuh badan kita ini dengan baik. Segala perkara yang boleh memudaratkan badan kita adalah haram dilakukan oleh kita. Berhati-hati dengan apa yang kita makan, jangan sampai makanan itu memudaratkan. Sekiranya kita sakit, WAJIB untuk kita berubat. Berubat itu adalah hak kita manakala kesembuhan itu pula adalah hak Allah semata-mata.


Ingatlah  Sabda Rasullullah S.A.W yang bermaksud : "Rebutlah peluang 5 perkara sebelum datang 5 perkara yang lain, iaitu masa muda sebelum datangnya hari tua, masa sihat sebelum engkau dilanda sakit, masa kaya sebelum engkau jatuh miskin, masa lapang sebelum datangnya waktu sibuk dan masa hidup sebelum datang saat kematian". Sementara kita masih muda dan sihat ini, buatlah amal ibadat sebanyak-banyaknya sebelum kita tua, sakit atau tidak berdaya lagi.


Walaupun asas ibadat itu berbentuk fizikal atau zahir, masih ada ibadat lain yang berbentuk tersembunyi atau batin. Sebenarnya ibadat batin ini ada tersembunyi di dalam ibadat zahir itu. Kita hanya perlu meluangkan sedikit masa sahaja untuk mengetahui rahsia di sebalik ibadat zahir itu. Saya akan huraikan satu persatu.


Mengucapkan 2 kalimah syahadah adalah ibadat zahir. Ibadat batinnya selain kita meyakini apa yang kita ucapkan, kita hendaklah berusaha mengenali sifat-sifat Allah SWT dan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Kita boleh mengenali sifat Allah SWT dengan membaca Al-Quran dan memahami maksudnya dan juga mempelajari dari orang yang lebih alim dari kita. Mengenali sifat-sifat Allah SWT tidak dilarang, yang dilarang dalam Islam ialah memikirkan zat Allah SWT kerana ianya tidak dapat dicapai oleh akal kita. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda: "berfikir sesaat itu lebih baik dari solat sunat 1000 rakaat" Berfikir yang macam mana? Berfikir tentang kejadian alam ini: matahari, bulan, bintang, siang dan malam. Berfikir tentang hari kiamat: alam kubur, padang mahsyar, mizan, titian sirat, syurga dan neraka. Berfikir tentang sifat-sifat Allah SWT: 99 nama Asma Ul Husna, 20 sifat wajib bagi Allah, sifat penyayang, sifat pengampun dsb.


Solat 5 waktu adalah ibadat zahir. Ibadat batinnya hendaklah kita mengingati Allah sekurang-kurangnya 5 kali sehari. Kita boleh tambah waktu kita mengingatiNya dengan solat sunat. Malah kita boleh tambah lagi dengan berzikir kepadaNya. Kita tambah lagi dengan sentiasa mengingatiNya diwaktu senang atau diwaktu susah.


Puasa bulan Ramadhan ialah ibadat zahir dengan menahan diri dari lapar dan dahaga. Ibadat batinnya hendaklah kita menahan dari apa yang kita hendak semata-mata keranaNya. Bolehkah kita menahan marah kita apabila ada orang menyakitkan hati kita malah kita berdoa agar orang itu diampunkan olehNya? Bolehkah kita menahan diri kita dari mendengki orang lain yang mendapat nikmat dariNya? Bolehkah kita menahan diri kita dari perasaan sombong apabila ada orang memuji kita? Bolehkah seorang ayah itu bersabar dan bersusah payah untuk mencari rezeki yang halal untuk diberikan nafkah kepada keluarganya? Bolehkah seorang ayah itu bersabar dengan kerenah anak-anaknya yang bermacam ragam?


Membayar zakat ialah ibadat zahir iaitu mengeluarkan lebihan harta kita apabila cukup syaratnya. Ibadat batinnya ialah meletakkan sesuatu pada haknya walaupun kita suka terhadap sesuatu itu. Bolehkah seorang suami berlaku adil terhadap 4 isterinya walaupun dia amat menyukai isteri bongsunya? Bolehkah seorang bos berlaku adil terhadap semua anak buahnya walaupun dia amat menyukai seorang anak buahnya? Bolehkah seorang ayah berlaku adil terhadap kesemua anak-anaknya walaupun dia paling menyukai anak no.3 nya? Dalam Islam adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Kalau anak lelaki diberikan songkok, anak perempuan diberikan tudung.


Menunaikan Haji ialah ibadat zahir. Ibadat batinnya sanggupkah kita berkorban harta, masa dan tenaga kita semata-mata kerana Allah SWT? Nabi Ibrahim sanggup mengorbankan nyawa anaknya Ismail sekalipun semata-mata kerana mengikut perintah Allah SWT. Saiyidina Abu Bakar As Siddiq sanggup mengorbankan keseluruhan hartanya untuk kepentingan Islam. Sedekahlah harta anda untuk anak-anak yatim atau untuk membina masjid. Luangkanlah masa anda untuk mencari ilmu dan untuk amar maaruf dan nahi mungkar. Sumbangkanlah sedikit tenaga anda untuk kepentingan Islam.


Ibadat zahir dan ibadat batin itu kedua-duanya disukai oleh Allah SWT. Ibadat batin itulah yang lebih tinggi nilainya disisiNya. Ibadat zahir itu boleh dinampak olah manusia sedangkan ibadat batin itu ada di dalam hati. Orang yang solat tetapi tidak ikhlas tidak akan diterima solatnya. Tetapi orang yang ikhlas ingin bersolat tetapi terhalang kerana sebab tertentu (terlupa, tersilap atau tertidur) tetap akan diberikan pahala solatnya oleh Allah SWT (wajib dia mengqada' apabila teringat dan terjaga). Disamping kita melakukan ibadat zahir, sama-samalah kita juga membersihkan hati kita dengan sifat-sifat Mahmudah (kasih sayang, baik hati, adil, tiada dengki, tiada sombong dsb) kerana Dia amat mengetahui rahsia di dalam hati kita. 


Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa-rupa kamu,
Tetapi Dia memandang kepada hati-hati kamu.

Khamis, 8 September 2011

19 Cara Mendekatkan Diri Kepada Allah SWT

Berikut adalah 19 cara kita boleh mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.



Dari Syuraih --iaitu Ibnu Haris-- dia berkata: Aku mendengar seorang lelaki dari sahabat Rasulullah SAW berkata: Rasulullah SAW bersabda:
"Allah SWT berfirman: Wahai anak Adam, bangunlah kepada-Ku nescaya aku akan berjalan kepadamu, dan berjalanlah kepada-Ku nescaya Aku datang kepadamu dengan berlari". Hadis diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanadnya yang sahih. (Dan al Haisami berkata: Diriwayatkan oleh Ahmad dan para perawinya adalah sahih, kecuali Syuraih bin Haris, ia adalah tsiqat) 
1. Tawwabun (Orang-Orang yang Bertaubat)


"Adapun orang-orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang saleh, semoga dia termasuk orang-orang yang beruntung" (Al Qasas 28:67)


Berikut adalah hadis-hadis Rasulullah SAW tentang kelebihan taubat kepada Allah SWT.

"Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah SWT, karena sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah SWT dalam satu hari sebanyak seratus kali". (Hadits diriwayatkan oleh Muslim dari Al Aghar al Muzni.)
Dari Abi Hurairah r.a. dari Nabi Saw bersabda:

"Demi Dzat Yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, jika kalian tidak berbuat dosa niscaya Allah SWT akan membinasakan kalian dan mendatangkan suatu makhluk lain yang berbuat dosa, sehingga mereka kemudian meminta ampun kepada Allah SWT dan Allah SWT mengampuni mereka". (Karena di antara nama Allah SWT adalah "Al Ghaffaar" --Maha Pemberi ampunan. Maka siapa yang akan memberikan ampunan jika seluruh hamba-Nya adalah orang-orang yang tidak pernah melakukan dosa?!! Maka orang yang telah melakukan dosa hendaknya tidak menjadi putus asa, selama dosa yang ia lakukan itu adalah bukan dosa besar. Karena ampunan Allah SWT lebih besar dari dosanya itu. Dan Allah SWT berfirman: "Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (QS. Az-Zumar: 53).). Hadits diriwayatkan oleh Muslim dan lainnya.
Dari Abi Hurairah r.a. bahwa Rasulullah Saw bersabda:

"Allah SWT berfirman: " Aku sesuai dengan sangkaan hamba-Ku kepada-Ku, dan Aku akan bersamanya ketika ia berzikir kepada-Ku, dan Allah SWT lebih senang dengan taubat seorang manusia dari pada seorang yang menemukan kembali perbekalannya di padang yang tandus. Barangsiapa yang mendekat kepada-Ku satu hasta maka Aku akan mendekat kepadanya satu lengan, dan barang siapa mendekat kepada-Ku satu lengan maka Aku akan mendekat kepadanya dua lengan, dan jika ia menghadap kepada-Ku dengan berjalan maka Aku akan menemuinya dengan berlari". Hadits diriwayatkan oleh Muslim, dan lafazhnya darinya, juga Bukhari dengan lafazh yang sama.
Dari Abi Hurairah r.a. ia berkata: bahwa seorang laki-laki mencium seorang wanita, dalam riwayat lain disebutkan: seorang laki-laki datang kepada Rasulullah Saw dan berkata: Wahai Rasulullah Saw, aku mengobati seorang wanita di ujung kota, dan aku menyentuh bagian dari tubuh yang seharusnya tidak perlu aku sentuh [dalam pengobatan] (Perkataannya: "menyentuh bagian dari tubuh yang seharusnya tidak perlu aku sentuh (dalam pengobatan)" maksudnya adalah melakukan perbuatan selain bersetubuh.), saya mengakui perbuatan saya, maka berikanlah hukuman kepada saya sesuai kehendak Rasulullah Saw". Umar berkata: Allah SWT akan menutupi perbuatanmu jika kamu menutupinya. Ia berkata: Dan Nabi Saw tidak mengatakan apa-apa kepadanya. Kemudian orang itu bangkit dan berjalan. Dan kemudian Rasulullah Saw mengutus seseorang untuk memanggilnya kembali dan membacakan ayat ini:

"Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat" (QS. Hud: 114.).
Seorang laki-laki dari yang hadir berkata: Wahai Nabi Allah, apakah itu hanya khusus baginya? Rasulullah Saw bersabda: "Namun bagi seluruh manusia". Hadits diriwayatkan oleh Muslim dan lainnya.

Barangsiapa ingin mengejar syurga dan ingin menjauhkan diri dari neraka, sekaranglah saatnya. Saat taubat masih diterima, saat dosa masih diampuni, sebelum ajal menjelma, sebelum amal terputus, sebelum Allah menghitung dan menghisab perbuatan manusia di tempat yang tidak diterima lagi harta dan tidak berguna lagi alasan dan yang tersembunyi menjadi nampak.


2. Mutawakkilun (Orang-Orang yang Bertawakkal)



....dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (At-Talaq 65:2-3)



Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta bertawakallah kepadaNya dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu kerjakan. (Hud 11:123) 

Diceritakan Umar "saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Allah memberikan rezeki kepada burung, pagi kosong perutnya dan petang penuh" (H.R. Tirmidzi)

Dalam pandangan syariat, salah satu ciri sikap tawakal ialah adanya usaha (ikhtiar) terlebih dahulu, kemudian menyerahkan segala usaha hanya kepada Allah, baik gagal ataupun berhasil. Menurut seorang mufassir, Ali al Qari, tawakal adalah mengetahui dan meyakini bahawa tidak ada yang mampu berbuat dalam alam ini kecuali atas kehendak Allah. Makhluk, rezeki, nikmat dan musibah, manfaat dan mudharat, kekayaan dan kemiskinan, sihat dan sakit, hidup dan mati, dan sebagainya berasal dari Allah.

Seseorang yang merasa telah bertawakal tanpa berusaha, tidaklah dinamakan tawakal tetapi bodoh. Nabi Musa AS, sewaktu menghadapi tentera Firaun dan akan mengharungi Laut Merah, diperintahkan Allah untuk berikhtiar, iaitu memukul Laut dengan tongkatnya sehingga Laut Merah terbelah, barulah umatnya (Bani Israel) berjaya menyeberang Laut Merah dengan selamat. Sabda Nabi SAW "Ikatlah untamu dahulu, selepas itu bertawakallah kepada Allah" (H.R. Ibnu Hibban).



Yusof Al Qardhawi dalam Ath Thariq Ilallah; At Tawakal mengungkap keistimewaan hamba Allah yang bertawakal kepadaNya seperti berikut:
i. Timbul ketenteraman jiwa dan ketenangan hati.
ii. Meningkatkan kekuatan jiwa dan kekuatan rohani. Hal-hal material seperti kuasa, harta dan jasmani menjadi kecil dihadapannya dan tidak bererti sama sekali.
iii. Meningkatkan kewibawaan. Orang yang bertawakal akan memiliki kewibawaan sekalipun dia tidak memiliki kekuasaan, merasa kaya sekalipun tanpa harta dan merasa gagah berani sekalipun tanpa tentera.
iv. Keredhaan. Tawakal mengakibatkan seorang hamba menjadi redha dan lapang dada menerima apa yang diputuskan Allah SWT.
v. Optimis. Tawakal menimbulkan perasaan percaya diri yang tinggi dalam mencapai apa yang menjadi cita-cita dan keinginannya.

3. Mujahidun (Orang-Orang yang Berjihad)



Dan perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), tidak ada permusuhan lagi bagi orang-orang yang zalim. (Al-Baqarah 2:193)


Yang dimaksud jihad dalam teks umum ialah berjuang demi tegaknya agama Allah dimuka bumi. al-jihad pula bermaksud 'mengeluarkan segenap daya dan upaya untuk mencapai jalan kebenaran'. Dari segi bahasa, jihad bermakna 'kesulitan', 'kesukaran' dan 'kepayahan'. Secara terminologi, jihad bermakna 'mengerahkan segenap kemampuan di jalan Allah untuk meninggikan kalimat-Nya, membela agama-Nya, memerangi musuh-musuh-Nya, dan mencegah kezaliman, kejahatan dan pelanggaran.' 


Rasulullah SAW telah mengalami banyak kesukaran sewaktu berdakwah untuk menegakkan agama Islam di bumi Mekah dan Madinah. Kita selaku umat Nabi Muhammad SAW perlulah meneruskan usaha dakwah baginda untuk menegakkan agama Islam di seluruh dunia. Inilah yang dikatakan jihad, apabila kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan agama Islam. Kita mesti sanggup mengorbankan barang berharga yang kita ada iaitu masa, tenaga dan wang untuk berjihad kepada Allah SWT. Para sahabat Rasulullah SAW sanggup mengorbankan nyawa sekalipun untuk mempertahankan agama Islam.



Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (At-Taubah 9:111) 

4. Khasyi'un (Orang-Orang yang Khusyuk dalam Solat)


Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka  khusyuk. (Al-Isra' 17:109)



Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. (TaHa 20:14)  

Solat yang dilakukan lima kali sehari semalam itu akan menghapuskan dosa sebagaimana air yang dipakai mandi dapat menghapuskan daki yang ada di badan (H.R. Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa'i dan Abu Hurairah)

Sesuatu yang pertama kali dihisab pada hamba ialah solatnya. Jika tidak (sempurna), Allah yang Maha mulia dan Maha Besar berfirman, "Lihatlah adakah hambaKu membuat solat sunat?" Jika dia ada bersolat sunat, Allah berfirman "Sempurnakanlah fardhu itu dengannya." (H.R. Ibnu Majah)

Solat adalah perintah dari Allah SWT sewaktu peristiwa Israk Mikraj. Ia diwajibkan untuk muslim yang berakal dan baligh. Di dalam solat terdapat banyak kebaikan seperti zikir, doa, selawat dan meditasi. Solat juga adalah tiang agama. Barangsiapa menegakkan solat, dia telah menegakkan agama dan barangsiapa yang meninggalkannya bererti dia meruntuhkan agama. Solat juga adalah amalan yang pertama sekali akan dihisab oleh Allah SWT.


Dengan mengingati Allah SWT melalui solat, hati seseorang itu akan menjadi tenang. Solat yang khusyuk akan menimbulkan perasaan bahaw dirinya adalah sentiasa diawasi oleh Allah SWT. Perasaan diawasi inilah yang akan membimbing seorang manusia itu kejalan yang benar dan lurus. Seseorang tidak mungkin mencuri sekiranya di kiri, kanan, depan dan belakangnya selalu diawasi orang sekitar. Apalagi sekiranya ada di dalam hatinya yang sedang mengawasinya adaalah Zat yang Maha Segalanya, Maha Melihat dan Maha Mendengar.


Firman Allah: ...Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar... (Al Ankabut 29:45) Sekiranya solat seseorang itu masih belum dapat mencegah dirinya dari perbuatan keji dan mungkar, nyatalah dia masih belum khusyuk dalam solatnya.


Cara untuk mencapai khusyuk dalam solat adalah seperti berikut:
i. Menyingkirkan segala sesuatu yang mengganggu tumpuan dalam solat
ii. Berlaku Ihsan, iaiatu seakan-akan kita melihat Allah, sekurang-kurangnya Allah akan melihat kita.
iii. Mengetahui makna bacaan solat
iv. Sebahagian ulama menganjurkan untuk melihat tempat sujud
v. Tuma'ninah, iaitu tenang dan tidak terburu-buru.



5. Munfiqun (Orang-Orang yang Gemar Bersedekah)


Orang-orang yang menafkahkan hartanya pada malam dan siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Al Baqarah 2:274)



Dan sekali-kali bukanlah harta dan bukan (pula) anak-anak kamu yang mendekatkan kamu kepada Kami, melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Mereka itulah yang memperoleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi (syurga). (Saba' 34:37)  



(Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebajikan. (Ali Imran 3:134)


Sedekah bererti memberikan sebahagian harta kepada orang lain atau institusi yang berhak untuk kepentingan sosial atau agama dengan mengharapkan keredhaan Allah SWT. Ada sedekah wajib dipanggil zakat sebanyak 2.5% setahun apabila cukup syaratnya. Pahala sedekah itu bergantung bukan sahaja kepada nilai sedekah tetapi bergantung juga kepada keikhlasan dan tujuan seseorang itu bersedekah.


Segala harta yang kita ada, semuanya adalah milik Allah SWT. Kita hanyalah pemegang amanah terhadap harta tersebut dan kita akan ditanya oleh Allah SWT bagaimana dan untuk apa kita gunakan harta tersebut. Ada manusia di dunia ini bertuhankan harta dengan melakukan rasuah, korupsi, eksploitasi sumber alam, menipu, mencuri dsb. Mereka ini termasuk dalam golongan yang rugi kerana mereka telah melakukan dosa besar.


Akhir kata, Ingatlah kata-kata Saiyidina Abu Bakar AS "Agama buat kehidupan di akhirat, harta buat kehidupan di dunia. Di dunia orang yang tidak berharta berasa susah hati, tetapi di akhirat orang yang tidak beragama merasa lebih sengsara"


Dan juga ayat Quran berikut: Apa yang (ada) di sisimu akan lenyap (hilang-musnah-hancur), sedangkan apa yang ada di sisi Allah itulah yang kekal. Dan sesungguhnya kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (An-Nahl 16:96)


6. Zakirunallah (Para Ahli Zikir)


Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak (berzikir) supaya kamu beruntung (Al Jum'ah 62:10)



...dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.  (Al Ahzab 33:35) 




Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya) dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai. (Al Araf 7:205) 



Zikir bermaksud mengingati Allah. Zikir tidak hanya dilakukan didalam solat atau ketika berada di dalam majlis ilmu, bahkan zikir itu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja baik secara terang-terangan (melalui lidah) atau secara tersembunyi (melalui hati). Menurut Ibnu Qayyum, indahnya zikir kerana ianya tidak dibatasi waktu sama ada ketika berdiri, duduk dan berbaring.


Berikut adalah fadhilat berzikir:
1. Menjadikan jiwa merasa tenang
2. Menjadikan hati bersih
3. Mendapatkan keampunan dan pahala disisinya.
4. Menghindari kesesatan
5. Termasuk dalam golongan yang beruntung

7. Sabirun (Orang-Orang yang Bersabar)

Kecuali orang-orang yang sabar (terhadap bencana) dan mengerjakan amal-amal saleh; mereka itu beroleh keampunan dan pahala yang besar (Hud 11:11)



Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? (Al-Imran 3:142)  



Sabar itu adalah sebahagian dari iman (H.R. Abu Na'im)


“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al Mulk  67:2)"Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya." (Al-Kahfi 18:7)


Dalam dua ayat di atas, jelas Allah telah menyebut tujuan kita dihidupkan di dunia ini adalah untuk diuji. Seperti ujian di dunia, tentu ada markahnya. Allah SWT yang akan menilai dan menghisab lalu memberikan markah (pahala) kepada kita di hari akhirat. Beruntunglah orang yang lulus ujian Allah didunia ini kerana ganjarannya adalah syurga yang penuh dengan segala kenikmatan.


Hidup ini adalah satu ujian. Ujian ada yang positif berbentuk nikmat dan ada juga yang negatif berbentuk musibah. Allah SWT telah memberikan segala alat untuk manusia mengharungi ujian di dunia ini iaitu dengan akal, kitab (Quran, Injil dsb) dan pembimbing (rasul, ulama, ustaz dsb). Ujian itulah yang mengukuhkan iman, menambahkan pahala dan meninggikan darjat. Allah SWT sangat mengasihi mereka yang bersyukur apabila mendapat nikmat dan mereka yang bersabar apabila ditimpa musibah.


Jumhur ulama mambahagikan sabar dalam beberapa kategori seperti berikut:
i. Sabar dalam meninggalkan maksiat
ii. Sabar dalam menjalankan perintah agama
iii. Sabar apabila ditimpa bencana


Untuk menjadi hamba yang sabar, ada dua jalan yang perlu ditempuh iaitu dengan mencari ilmu dan berdoa.


8. Amal Anbiya' wal Mursalun (Amalan para Nabi dan Rasul)



Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Al Ahzab 33:21)


Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku, oleh itu beribadatlah kamu kepadaKu. (Al-Anbiya' 21:25)  


Nabi dan Rasul adalah manusia pilihan Allah SWT yang telah diberikan tugas untuk menyampaikan risalah dakwah Islamiah kepada kaumnya. Dalam dakwahnya, nabi dan rasul lebih banyak menjelaskan tentang peraturan berkenaan akidah dan akhlak. Allah SWT berfirman: Dan Engkau (Wahai Muhammad) sesungguhnya mempunyai akhlak yang tinggi’ (Al-Qalam 68:4). Nabi dan Rasul mempunyai tugas untuk membetulkan kembali akidah manusia yang telah menyeleweng dari menyembah Tuhan yang satu.


Nabi dan Rasul mempunyai sifat-sifat mulia seperti berikut:
1. Terhindar dari perbuatan dosa (maksum)
2. Layak menjadi contoh teladan kepada umatnya kerana mempunyai sifat yang mulia seperti berbudi pekerti, kekukuhan akidah, baik hati, sabar dsb.
3. Mendapat rahmat kesejahteraan dari Allah.
4. Mereka diutus untuk amar makruf dan nahi mungkar maksudnya untuk memberi khabar gembira untuk amalan baik dan peringatan untuk amalan yang buruk.
5. Memiliki 4 sifat wajib iaitu: i. siddiq / jujur ii. amanah / dapat dipercayai iii. tabligh /menyampaikan iv. fatanah / bijaksana 


Sama-sama kita beramal dengan amalan para nabi dan rasul dengan mengikut sunnah Rasulullah SAW dan cuba mengikuti sifat-sifat Nabi dan Rasul di atas.


9. Mukhlisun (Orang-Orang yang Ikhlas Beramal)


Bahkan barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang dia (ikhlas) berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhuwatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati (Al-Baqarah 2:112)


Ikhlas itu adalah urusan hati. Hanya Allah SWT yang tahu sama ada seorang hambaNya itu ikhlas apabila berbuat kebaikan bahkan malaikatpun tidak tahu. Hati selalu berkata benar, seperti cermin. Setiap orang yang berdiri di depan cermin tidak mungkin dibohongi cermin bahawa dia cantik sedangkan kenyataannya tidak begitu. Cermin (hati) akan mengungkapkan apa adanya.


Sebanyak manapun amal yang dilakukan oleh seseorang, tidak bererti sekiranya tidak dilakukan dengan ikhlas. Sabda Rasulullah SAW "Allah tidak menerima amal, kecuali amal yang ikhlas kerana mencari keredhaan Allah" (H.R. Ibnu Majah). Junaid Al Baghdadi menyebut ikhlas adalah semata-mata kerana Allah dalam setiap tindakan. Sementara sebahagian fuqaha berpendapat bahawa orang yang ikhlas adalah orang yang menyembunyikan perbuatan baiknya sebagaimana dia menyembunyikan keburukannya, tidak dihebah atau dipamerkan.


Mencapai ikhlas harus diawali dengan niat. Seorang yang ikhlas bukan beramal untuk mendapatkan pujian atau keuntungan dunia, bahkan hanya beramal untuk mendapatkan keredhaan Allah samata-mata. Sifat yang bertentangan denga ikhlas ialah riya'. Riya' ialah jalan mendapat manfaat duniawi dengan melakukan amal akhirat. Contohnya banyak bersedekah agar disebut dermawan atau banyak membincangkan masalah agama agar disebut ahlinya. Berhati-hatilah dengan Riya' kerana Riya' disebut sebagai syirik kecil. 


Salah satu sahabat bertanya, "Apakah jalan keselamatan itu?" Nabi menjawab, "Jangan sekali-kali engkau menipu Allah" Sahabat bertanya, "Bagaimana kita bisa menipu Allah?" Nabi berkata, "Engkau melakukan amalan sesuai yang diperintah  Allah dan RasulNya, tapi engkau tidak berniat kerana Allah, maka hendaklah kamu takut perbuatan riya' sebab riya' itu termasuk syirik kecil. Dan orang yang berlaku riya' di kemudian hari akan dipanggil dengan empat macam panggilan, iaitu 'Hai orang riya', 'Hai orang khianat', 'Hai orang yang berdosa', 'Hai orang yang merugi, tersesatlah perbuatanmu, hilanglah amalmu, kamu sekali-kali tidak mendapatkan pahala disisiKu, sekarang pergilah kamu dan ambillah pahalamu kepada orang yang kamu maksudkan, hai penipu'," (Mutafaq 'Alaih)


10. Amal Waliyullah (Amalan Para Kekasih Allah)


Ingatlah, sesungguhnya terhadap wali-wali Allah itu tidak ada kebimbangan dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yunus 10:62)


Waliyullah adalah orang-orang yang dikasihi Allah. Kata wali mengandungi banyak maksud, antaranya 'teman', 'kekasih' atau 'pengikut'. Sebahagian ulama' berpendapat bahawa apabila Allah berkenan menjadikan seseorang sebagai wali-Nya, dibukalah pintu hijab sehingga dia selalu berzikir kepada Allah dan merasakan kenikmatan dalam beribadat kepadaNya. Telah terbuka tirai hijab menuju makrifat sehingga benar-benar mengetahui Allah dengan segenap kemuliaan dan keagunganNya.


Di antara tanda-tanda para wali Allah adalah adanya anugerah berupa kemampuan melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat orang awam, merasakan sesuatu yang tidak dirasakan orang kebanyakan, dan memahami banyak hal yang tidak dapat dijelaskan akal yang disebut dengan karamah. Namun, tidak setiap wali itu harus memiliki karamah.


Sebahagian pendapat berkata bahawa darjat wali dapat dicapai dengan mujahadah disertai bimbingan guru yang Rabbani. Menurut Sayid Ahmad Al Badawy r.a., syarat yang harus dilakukan oleh seorang hamba yang ingin mencapai darjat wali adalah seperti berikut:


i. Benar-benar mengenal Allah (tauhidnya teguh dan mantap kepada Allah)
ii. Benar-benar menjaga perintah Allah
iii. Berpegang teguh pada sunnah Nabi
iv. Sentiasa menyucikan diri (menjaga wudhuk)
v. Redha terhadap Qada' yang menimpanya, baik dalam kelapangan (senang) mahupun kesusahan (duka)
vi. Meyakini apa yang telah dijanjikan Allah
vii. Memutuskan keinginan (harapan) selain Allah
viii. Sabar pada saat mendapat ujian dalam hidupnya serta gangguan orang lain
ix. Mentaati perintah Allah
x. Kasih sayang terhadap semua makhluk ciptaan Allah
xi. Tawaduk atau rendah diri
xii. Tidak angkuh dan sombong
xiii. Mengenali syaitan dan tipu dayanya
xiv. Menyedari syaitan itu adalah musuh yang nyata dan harus diwaspadai

Akhir kata, berikut adalah 3 sifat waliyullah:


i. Para wali Allah selalu merasa gembira dalam hidupnya, tidak risau dan tidak bersedih dengan ujian yang menimpanya kerana mereka sangat hampir dengan Allah SWT. Hanya Allahlah tempat mereka mengadu dan mereka sudah tiada keinginan apa-apa terhadap makhluk. 
ii. Mereka sentiasa beriman dan bertakwa. Keimanan mereka kepada Allah sudah mencapai tahap Ainul Yakin / Ihsan yang maksudnya seolah-olah mereka telah melihat Allah atau Allah selalu melihat mereka. Bahkan keimanan mereka boleh mencapai tahap Haqqul Yakin iaitu mengenali Allah dengan sebenar-benarnya. Mereka juga amat takut dengan azab Allah dan amat cinta dengan rahmat Allah.
iii. Mereka dicintai Allah. Siapa sahaja yang memusuhinya, maka dia ternyata telah memusuhi Allah.


Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar telah berfirman, "Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku telah mengumumkan perang kepadanya. Hamba-Ku tidak mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling aku sukai daripada sesuatu yang aku fardhukan atasnya. Hamba-Ku sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya, Aku menjadi telinga untuk menjadi pendengarannya, mata untuk menjadi penglihatannya, tangan untuk menjadi pemegangnya, dan kaki untuk berjalannya. Jika dia memohon kepadaKu, nescaya aku akan memberinya. Jika dia memohon perlindungan dariKu, nescaya Aku akan melindunginya. Dan Aku tidak bimbang terhadap sesuatu yang Aku lakukan seperti kebimbanganKu terhadap jiwa hambaKu yang beriman yang mana ia tidak senang mati sedang Aku tidak senang berbuat buruk terhadapnya". (H.R. Bukhari)

11. Ashabul Maimanah (Golongan Kanan)


Tahukah kamu apakah jalan yang mendaki lagi sukar itu? Iaitu memerdekakan hamba abdi; Atau memberi makan pada hari kelaparan (kepada) anak yatim dari kaum kerabat; Atau kepada orang miskin yang sangat fakir. Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang. Mereka adalah golongan kanan. (Al-Balad 90:12-18) 



Di dalam ayat ini, Allah telah menerangkan bahawa jalan untuk mencapai taraf Ashabul Maimanah (golongan kanan) adalah jalan mendaki lagi sukar. Maksud jalan mendaki ialah jalan kebaikan yang dapat dicapai dengan kesungguhan dalam mentaati Rab-Nya. Antara perbuatan terpuji yang dilakukan oleh Ashabul Maimanah adalah seperti berikut:


i. Memerdekakan hamba abdi. Zaman sekarang, pembebasan hamba ini boleh diertikan menyelamatkan seseorang dari seorang yang kuat terhadap yang lemah. Pada zaman sahabat, pembebasan hamba dipelopori oleh Abu Bakar As Siddiq yang membebaskan Bilal bin Rabah dari majikannya yang kejam iaitu Umayyah bin Khalaf Jamhi al Quraisy. Selain itu, beliau juga membebaskan hamba lain iaitu Zinnirah, Labibah, Amir bin Fuhairiah, serta An-Nahdiyyah.
ii. Memberi makan kepada anak yatim. Bagi mereka yang kaya, hal ini adalah sebuah peluang dari Allah SWT untuk mencapai tahap Ashabul Maimanah. Walaubagaimanapun ini sukar untuk dilakukan kerana orang kaya itu sibuk menguruskan hartanya: contohnya kereta, rumah dan perniagaannya daripada memikirkan nasib anak-anak yatim.
iii. Menolong si miskin yang fakir. Memberi sedekah kepada mereka yang kelaparan atau memberikan biasiswa / elaun kepada anak-anak miskin untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat yang tinggi.
iv. Saling berpesan terhadap kesabaran dan kasih sayang. Maksudnya mereka menasihati mereka yang ditimpa ujian agar bersabar dengan rasa kasih sayang sesama makhluk.


12. Hafizun (Orang-Orang yang Amanah)

Amanah secara bahasa bermakna al wafa' (memenuhi) dan wadi'ah (diserahkan). Secara definisi bererti memenuhi apa yang diserahkan yang berupa segala kewajipan yang sudah diberikan seseorang, baik yang berhubungan dengan Allah (hablumminallah) atau terhadap manusia (habluminannas). Tidak sempurna iman seseorang yang tidak menyampaikan amanah adan tidak sempurna agama seseorang yang tidak menunaikan janji (H.R. Ahmad).



Contoh amanah dengan Allah (habluminallah) ialah memenuhi, menjaga dan melaksanakan hukum-hukumNya, baik mengikut suruhanNya mahupun meninggalkan laranganNya. Contoh amanah dengan manusia ialah memenuhi kewajipan terhadap kepimpinannya, menepati janji, jujur, tidak menyelewang dsb.


Beberapa sikat amanah yang utama adalah seperti berikut:
i. Memelihara solat. Solat adalah amanah kepada setiap muslima yang berakal dan baligh.
ii. Memelihara hukum-hukum Allah.
iii. Memelihara kemaluan.
iv. Memelihara sumpah. 
v. Menjaga harta anak yatim.
vi. Menjaga hak suami/isteri
vii. Melunaskan hutang


Memelihara amanah/janji adalah urusan paling berat dalam agama seperti hadis dan ayat Quran berikut:


Pernah diceritakan oleh Ali r.a. ketika duduk bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang warga A'liyah bertanya kepada Nabi, "Ya Rasulullah, beritahukanlah kepadaku tentang kewajipan yang paling berat dan paling mudah dalam agama ini." Rasulullah menjawab, "Yang paling mudah adalah ikrar bahawa Tuhan hanya Allah dan Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya, sedangkan yang paling berat adalah menjadi orang yang amanah. Sesungguhnya, tiada beragama orang yang tidak amanah, juga tidak dianggap melakukan solat dan zakat. (H.R. Bazar)


Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (Al-Ahzab 33:72)


13. Syakirun (Orang-Orang yang Bersyukur)



Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras. (Ibrahim 14:7)  



Dari Amar bin Syu'aib dari ayahnya, Nabi bersabda, "Ada dua sifat yang apabila keduanya berada dalam diri seseorang, Allah mencatatnya sebagai orang yang bersyukur dan sabar. Pertama, hendaklah dia melihat kepada orang yang berada di atasnya dalam urusan agama sehingga dia mengikutinya. Dan yang kedua, hendaknya dia melihat orang yang berada di bawahnya dalam masalah dunia, lalu dia bersyukur (dengan memuji) kepada Allah."



Nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T. kepada manusia adalah tidak terhitung banyaknya. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang. Ini jelas dinyatakan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud : Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (An-Nahl ayat 16:18).“ Cuba kita fikirkan, dari kita kecil hingga besar berapa pinggan nasikah yang sudah kita makan? Kiralah 2 kali sehari x 365 hari x umur kita mula makan nasi. Berapa banyak pakaian yang sudah kita pakai? Berapa gelas air yang sudah kita minum? Itu belum dikira nikmat yang ada pada diri kita seperti mata, mulut, tangan, kaki dsb. Itu belum dikira nikmat kejadian alam ini seperti bumi, matahari, bulan, bintang, udara dsb. Bagaimana dengan nikmat keluarga, kawan, rumah, kenderaan dsb? Benarlah kata Allah SWT dalam surah Ar-Rahman: "Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"

Hakikat syukur itu sebenarnya dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya baik dalam keadaan senang, mahupun dalam keadaan susah. Ini termasuklah redha dengan segala ketetapan / takdir dan nikmatNya kepada kita tidak kira banyak atau sedikit. Itulah cara kita untuk berterima kasih kepada Allah SWT di atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kita. Ucapan Alhamdulillah pula adalah zikir kepada Allah SWT untuk menunjukkan rasa syukur kita kepadaNya.


14. Muttaqun (Orang-Orang yang Bertakwa)

Sabda Rasulullah SAW pada Haji Wada' "Wahai manusia, sesungguhnya Tuhanmu satu dan bapamu satu, setiap kamu berasal dari Adam, sedang Adam dari tanah. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu, tidak ada kelebihan orang Arab dan bukan Arab, kecuali takwa. (Mutafaq 'Alaih)



Dalam bahasa Arab, takwa berasal dari kata ittaqa yang bererti 'takut'. Ianya juga bermaksud 'waspada' atau 'menjaga diri'. Kalangan ulama' berpendapat bahawa takwa adalah gabungan antara rasa takut dan harapan. Apabila seseorang itu melaksanakan segala perintahNya, pada hakikatnya dia sedang mengharapkan kebaikan dalam kehidupannya di akhirat. Pada masa yang sama, dia juga menghadapi rasa takut untuk terjerumus ke dalam neraka. Kedua-dua perasaan mengharap dan takut inilah yang menimbulkan rasa takwa.


Menurut Imam Ibnu Rajab dalam Jama'ul ulum wal Hikam, takwa adalah keupayaan seseorang dalam melindungi diri dari hal yang ditakutinya dengan membuat benteng yang dapat menjaganya. Sementara menurut Imam Thalaq bin Hubaib, takwa adalah mentaati perintah Allah berdasarkan hidayah dariNya dengan mengharapkan pahala dariNya dan tidak bermaksiat padaNya dan takut azabnya.


Berikut adalah kelebihan orang yang bertakwa:
1. Dicintai Allah
Barangsiapa yang menepati janji (yang dibuat)nya dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertakwa. (Ali Imran 3:76)
2. Mendapatkan kemenangan.
Mereka yang bertakwa dan berjuang dijalannya, walau mati sekalipun tetap dikira menang kerana telah mati syahid.
3. Mendapat pahalaNya.
Setiap amal kebaikan orang yang bertakwa akan dibalas dengan pahala disisiNya sebanyak 10x / 100x bahkan sebanyak kemurahanNya.
4. Diberikan jalan keluar yang tidak terduga, mudah urusannya, ringan beban yang dipikulnya, dan dipenuhi keperluannya.
5. Mendapatkan rahmatNya
6. Allah mengampuni dosanya
7. Mendapat balasan syurga
Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa. (Maryam 19:63)


15. Ulama (Ahli ilmu Agama)


Rasulullah SAW menyampaikan bahawa jika Allah mencabut ilmu, Allah akan mewafatkan para ulama sehingga jika Allah tidak meninggalkan seorang ulamapun lalu orang-orang mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh. Kemudian mereka ditanya, merekapun berfatwa tanpa dasar ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan (H.R. Bukhari Muslim)

Ulama adalah orang-orang yang ahli dalam pengetahuan agama Islam. Mereka adalah pewaris para nabi. Dalam bahasa Arab, ulama merupakan bentuk jamak dari kata alim, iaitu orang yang memiliki ilmu yang luas serta mendalam. 



Para ulama memiliki kedudukan yang amat mulia di sisi Allah. Dalam satu riwayat, rapatnya seseorang dengan para ahli ilmu agama yang lurus dapat menyebabkan dia selamat dari siksa neraka. Sehinggakan ikan-ikan di laut, binatang-binatang buas di hutan dan binatang yang berbisa (seperti ular dan sebagainya) juga sentiasa memohon keampunan daripada Allah SAW untuk mereka. Ini semuanya ialah kerana ilmu merupakan nur bagi hati dan cahaya bagi mata. Melalui ilmu seseorang hamba boleh sampai ke tahap sebagai seorang yang terbaik di kalangan umat dan boleh mencapai kedudukan yang tinggi di dunia dan akhirat.

16. Al-Abrar (Pelaku Kebajikan)




Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat: (Al-Mutaffifin 83:22)


Al Abrar asal katanya dari Al birru yang bererti 'ketaatan', amal saleh. Al Abrar ialah peribadi muslim yang gemar berbuat kebaikan tidak saja dalam urusan pengabdian kepada Allah, tetapi juga berbuat sesuatu yang bermanfaat terhadap semua manusia.


Dalam Surah Al Bagarah ayat 177, Allah SWT menceritakan ciri-ciri Al Abrar seperti berikut:
1. Beriman kepada Allah dan rukun iman
2. Memberikan harta yang dicintainya kepada sanak kerabat, anak yatim, orang miskin, para musafir, para peminta-peminta, dan memerdekakan hamba sahaya.
3. Mereka yang mendirikan solat
4. Mereka yang menunaikan zakat
5. Mereka yang menepati janji

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang beruntung. (Al-Imran 3:104) 

 17. Shadiqun (Orang-Orang yang Jujur)


Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar (dalam segala perkara). (Al-Ahzab 33:70)

Jujur / Siddiq adalah salah satu sifat wajib bagi Rasul. Sebenarnya sunnah Rasulullah SAW itu tidak tertakluk kepada perkara yang bersifat fizikal sahaja seperti kahwin lebih dari satu, pakai serban, berjanggut dsb. Malah ianya juga mencakupi perkara yang bersifat rohani seperti sifat jujur, pemaaf, pemurah, baik hati, suka berdakwah / memberi nasihat dsb. Kebanyakan manusia suka menipu dalam perkara yang melibatkan wang dan perniagaan. Sebab itulah Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa “Peniaga yang jujur dan beramanah akan ditempatkan bersama-sama para nabi, orang-orang soleh dan para syuhada” ( Hadith Hasan – Tirmizi)

Lawan bagi sifat jujur ialah sifat dusta. Dusta sebenarnya ialah satu sifat yang dibenci oleh semua orang. Tiada siapapun di dunia ini suka dirinya ditipu oleh orang lain. Walaubagaimanapun sayangnya sifat dusta sudah menjadi satu trend di akhir zaman ini sehinggakan orang yang jujur dimusuhi, dianggap kolot dan tidak mengikut peredaran zaman manakala seorang pendusta kerap dijadikan kawan karib. Hampir di setiap liku kehidupan, penyakit yang bernama dusta ini telah berakar umbi dan sebahagian masyarakat menganggapnya sebagai budaya. 

Sesungguhnya jujur itu akan menunjukkan jalan kebaikan dan kebaikan akan menunjukkan jalan ke syurga. Dan berhati-hatilah kamu dengan berbohong kerana berbohong itu menunjukkan jalan kepada perbuatan jahat dan sesungguhnya perbuatan jahat itu menunjukkan jalan ke neraka.

18. Mukminun (Orang-Orang yang Beriman)

Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman (Al Mukminun 23:1)


Iman asalnya dari kata amana, satu akar kata dengan aman dan amanah. Iman terdiri dari rukun berikut: percaya kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasul, hari kebangkitan, dan qadha & qadarNya (H.R. Bukhari). Iman amat berkait rapat dengan Islam iaitu: bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bukan Ramadhan, dan melaksanakan ibadah haji. Iman itu perlu dikatakan melalui lisan, diyakini dengan hati dan diamalkan dengan perbuatan.

Iman seseorang itu dapat bertambah dan berkurang. Agar iman kita bertambah perlulah kita mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan ibadah-ibadah fardhu dan sunat dan perlulah bermujahadah melawan nafsu yang mengajak kepada kemalasan dan dosa. Proses mendekatkan diri kepada Allah itu perlulah dilakukan secara istiqamah iaitu dengan secara terus-menerus. Menurut Ibnu Taimiyah, satu istiqamah adalah lebih baik dari seratus karamah.

Iman itu adalah sesuatu yang sangat berharga dan boleh membawa seseorang itu ke syurga dengan izin dari Allah walaupun imannya hanyalah sebesar biji sawi.  Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. dari Nabi SAW sabdanya: "Setelah penduduk syurga masuk ke dalam syurga dan penduduk neraka masuk ke dalam neraka, maka Allah berfirman: Keluarkanlah dari neraka orang-orang yang ada iman di dalam dadanya (walau hanya) sebesar biji sawi!" 


19. Ulil Albab (Ahli Fikir)

Allah menganugerahkan al hikmah kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, dia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah). (Al Baqarah 2:269)

Ulil Albab adalah hamba yang menggunakan daya akalnya dengan optimum mulai dari berfikir (takfir), mengingat (tadzkir), menghafal (tahfidz), berimaginasi (tahyil) dan memahami (tahfim) kehidupan melalui ayat-ayat Allah baik yang tersurat (Al-Quran) ataupun yang tersirat (penciptaan alam) dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Sesungguhnya, dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Mahasuci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka." (Ali-Imran 3:190-191)

Akal haruslah digunakan untuk merenungkan tanda-tanda kebesaran Allah. Akal juga haruslah digunakan untuk membezakan perkara yang baik dan perkara yang buruk. Manusia yang tidak menggunakan akalnya untuk tujuan kebaikan ini akan menjadi rosak dan mengakibatkan turunnya taraf manusia itu sehingga menjadi lebih rendah dan lebih hina dari binatang.

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka jahanam) kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A'raaf 7:179)

Berikut adalah 5 sifat Ulul Albab:
1. Ulul Albab melihat gerak alam sebagai kehendak Allah. Siang dan malam, terbit dan terbenam matahari, hembusan angin, cuaca yang panas dan dingin; semuanya adalah kehendak Allah. Dengan pemahamam seperti itu, mereka selalu mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan baring.
2. Gemar bermunajat pada tengah malam. 
3. Bertakwa kepada Allah, iaitu dengan bersunguh-sungguh dalam ketaatan dengan menjalankan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
4. Pandai mengambil iktibar. Mereka mengambil pengajaran dari kisah-kisah umat terdahulu. Mereka bimbang akan mengalami nasib seperti umat terdahulu yang ditimpa azab akibat keingkarannya.
5. Ulil Albab diberi pengetahuan hikmah dari Allah kerana mereka mengambil pelajaran dari ayat-ayat-Nya.


Sumber: Buku 'Para kekasih Allah' karya Abdillah F. Hasan