Saturday, 1 October 2011

Amalan Zahir vs Amalan Batin

Assalamualaikum semua,


Pada tulisan kali ni, aku nak huraikan tentang amalan ataupun ibadat kita kepada Allah SWT. Cara untuk kita mendekatkan diri kita kepada Allah SWT itu ada berbagai, antaranya dengan kita melakukan ibadat yang banyak kepada Allah SWT. Tapi pernahkah kita berhenti sejenak dan berfikir apakah maksud ibadat kepada Allah SWT itu dan bagaimanakah tingkatan ibadat itu di sisi Allah SWT?


Cuba kita lihat 5 ibadat yang paling utama dalam Islam iaitu rukun Islam itu sendiri:
1. Mengucap 2 kalimah syahadah
2. Solat 5 waktu
3. Puasa bulan Ramadhan
4. Membayar zakat
5. Menunaikan Haji jika mampu


Cuba kita perhatikan. Kesemua ibadat tersebut berbentuk fizikal. Maksudnya kita kena gunakan kekuatan fizikal kita untuk melaksanakan ibadah tersebut. Mengucap 2 kalimah syahadah walau nampak ringan masih memerlukan aktiviti fizikal iaitu bercakap. Telah jelas bahawa solat, puasa, zakat dan haji juga memerlukan aktiviti fizikal untuk melaksanakannya. Walaupun zakat nampak seperti bukan fizikal, bekerja untuk mendapatkan wang sehingga layak mengeluarkan zakat juga adalah aktiviti fizikal.


Ini bermakna secara tidak langsung Islam menyuruh kita menjaga kesihatan fizikal kita agar kuat dan sihat. Bagaimana kita hendak beribadat dengan berkesan sekiranya tubuh badan kita lemah? Susah untuk solat kalau berdiripun tidak mampu. Islam itu sendiri diturunkan untuk menjaga 5 perkara iaitu 1) AGAMA 2) AKAL 3) HARTA 4) KETURUNAN 5) NYAWA. Menjaga nyawa itu termasuklah menjaga kesihatan. Sebab itu perbuatan yang berkaitan 5 perkara tersebut adalah perbuatan doa besar. Contohnya murtad kerana merosakkan agama, minum arak dan menagih dadah merosakkan akal, mencuri dan merompak merosakkan harta, berzina merosakkan keturunan dan membunuh merosakkan nyawa.


Sebab itu dalam Islam, tubuh badan kita ini dianggap amanah oleh Allah SWT dan adalah WAJIB untuk kita menjaga tubuh badan kita ini dengan baik. Segala perkara yang boleh memudaratkan badan kita adalah haram dilakukan oleh kita. Berhati-hati dengan apa yang kita makan, jangan sampai makanan itu memudaratkan. Sekiranya kita sakit, WAJIB untuk kita berubat. Berubat itu adalah hak kita manakala kesembuhan itu pula adalah hak Allah semata-mata.


Ingatlah  Sabda Rasullullah S.A.W yang bermaksud : "Rebutlah peluang 5 perkara sebelum datang 5 perkara yang lain, iaitu masa muda sebelum datangnya hari tua, masa sihat sebelum engkau dilanda sakit, masa kaya sebelum engkau jatuh miskin, masa lapang sebelum datangnya waktu sibuk dan masa hidup sebelum datang saat kematian". Sementara kita masih muda dan sihat ini, buatlah amal ibadat sebanyak-banyaknya sebelum kita tua, sakit atau tidak berdaya lagi.


Walaupun asas ibadat itu berbentuk fizikal atau zahir, masih ada ibadat lain yang berbentuk tersembunyi atau batin. Sebenarnya ibadat batin ini ada tersembunyi di dalam ibadat zahir itu. Kita hanya perlu meluangkan sedikit masa sahaja untuk mengetahui rahsia di sebalik ibadat zahir itu. Saya akan huraikan satu persatu.


Mengucapkan 2 kalimah syahadah adalah ibadat zahir. Ibadat batinnya selain kita meyakini apa yang kita ucapkan, kita hendaklah berusaha mengenali sifat-sifat Allah SWT dan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Kita boleh mengenali sifat Allah SWT dengan membaca Al-Quran dan memahami maksudnya dan juga mempelajari dari orang yang lebih alim dari kita. Mengenali sifat-sifat Allah SWT tidak dilarang, yang dilarang dalam Islam ialah memikirkan zat Allah SWT kerana ianya tidak dapat dicapai oleh akal kita. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda: "berfikir sesaat itu lebih baik dari solat sunat 1000 rakaat" Berfikir yang macam mana? Berfikir tentang kejadian alam ini: matahari, bulan, bintang, siang dan malam. Berfikir tentang hari kiamat: alam kubur, padang mahsyar, mizan, titian sirat, syurga dan neraka. Befikir tentang sifat-sifat Allah SWT: 99 nama Asma Ul Husna, 20 sifat wajib bagi Allah, sifat penyayang, sifat pengampun dsb.


Solat 5 waktu adalah ibadat zahir. Ibadat batinnya hendaklah kita mengingati Allah sekurang-kurangnya 5 kali sehari. Kita boleh tambah waktu kita mengingatiNya dengan solat sunat. Malah kita boleh tambah lagi dengan berzikir kepadaNya. Kita tambah lagi dengan sentiasa mengingatiNya diwaktu senang atau diwaktu susah.


Puasa bulan Ramadhan ialah ibadat zahir dengan menahan diri dari lapar dan dahaga. Ibadat batinnya hendaklah kita menahan dari apa yang kita hendak semata-mata keranaNya. Bolehkah kita menahan marah kita apabila ada orang menyakitkan hati kita malah kita berdoa agar orang itu diampunkan olehNya? Bolehkah kita menahan diri kita dari mendengki orang lain yang mendapat nikmat dariNya? Bolehkah kita menahan diri kita dari perasaan sombong apabila ada orang memuji kita? Bolehkah seorang ayah itu bersabar dan bersusah payah untuk mencari rezeki yang halal untuk diberikan nafkah kepada keluarganya? Bolehkah seorang ayah itu bersabar dengan kerenah anak-anaknya yang bermacam ragam?


Membayar zakat ialah ibadat zahir iaitu mengeluarkan lebihan harta kita apabila cukup syaratnya. Ibadat batinnya ialah meletakkan sesuatu pada haknya walaupun kita suka terhadap sesuatu itu. Bolehkah seorang suami berlaku adil terhadap 4 isterinya walaupun dia amat menyukai isteri bongsunya? Bolehkah seorang bos berlaku adil terhadap semua anak buahnya walaupun dia amat menyukai seorang anak buahnya? Bolehkah seorang ayah berlaku adil terhadap kesemua anak-anaknya walaupun dia paling menyukai anak no.3 nya? Dalam Islam adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Kalau anak lelaki diberikan songkok, anak perempuan diberikan tudung.


Menunaikan Haji ialah ibadat zahir. Ibadat batinnya sanggupkah kita berkorban harta, masa dan tenaga kita semata-mata kerana Allah SWT? Nabi Ibrahim sanggup mengorbankan nyawa anaknya Ismail sekalipun semata-mata kerana mengikut perintah Allah SWT. Saiyidina Abu Bakar As Siddiq sanggup mengorbankan keseluruhan hartanya untuk kepentingan Islam. Sedekahlah harta anda untuk anak-anak yatim atau untuk membina masjid. Luangkanlah masa anda untuk mencari ilmu dan untuk amar maaruf dan nahi mungkar. Sumbangkanlah sedikit tenaga anda untuk kepentingan Islam.


Ibadat zahir dan ibadat batin itu kedua-duanya disukai oleh Allah SWT. Ibadat batin itulah yang lebih tinggi nilainya disisiNya. Ibadat zahir itu boleh dinampak olah manusia sedangkan ibadat batin itu ada di dalam hati. Orang yang solat tetapi tidak ikhlas tidak akan diterima solatnya. Tetapi orang yang ikhlas ingin bersolat tetapi terhalang kerana sebab tertentu (terlupa, tersilap atau tertidur) tetap akan diberikan pahala solatnya oleh Allah SWT (wajib dia mengqada' apabila teringat dan terjaga). Disamping kita melakukan ibadat zahir, sama-samalah kita juga membersihkan hati kita dengan sifat-sifat Mahmudah (kasih sayang, baik hati, adil, tiada dengki, tiada sombong dsb) kerana Dia amat mengetahui rahsia di dalam hati kita. 


Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa-rupa kamu,
Tetapi Dia memandang kepada hati-hati kamu.

No comments:

Post a Comment