Memaparkan catatan dengan label jasad. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jasad. Papar semua catatan

Sabtu, 13 Julai 2019

Antara Roh dan Jasad Part 2

Mari kita mengenali kedua-dua sifat roh dan jasad ini. Kemudian, kita renungkanlah antara roh dan jasad ini sebenarnya yang manakah lebih berharga dan patut kita tumpukan usaha kita?

Roh dan Jasad Bersifat Hidup

Kedua-dua roh dan jasad bersifat hidup tapi terdapat perbezaan di antara sifat hidup tersebut. Roh sebenarnya telah hidup sejak di alam roh dan akan terus hidup di alam akhirat. Dengan kata lain, sifat hidup roh adalah selama-lamanya. Di alam akhirat nanti, roh hanya akan mempunyai dua pilihan: syurga atau neraka bergantung kepada amalan roh tersebut di dunia ini.

Jasad pula hidup kerana ada roh. Sifat hidup jasad adalah sementara bergantung kepada umur masing2. Kebanyakan umat Nabi Muhammad SAW akan hidup sehingga berumur 60-70 tahun. Kematian bagi jasad sebenarnya adalah proses perpisahan antara roh dan jasad.

Bandingkan roh hidup selama-lamanya manakala jasad pula hidup sementara sahaja. Yang mana satukah antara roh dan jasad yang lebih berharga?

Roh dan Jasad Bersifat Berkehendak

Kedua-dua roh dan jasad mempunyai keinginan masing2. Fitrah keinginan roh adalah mengabdikan diri kepada Allah SWT. Manakala keinginan jasad ialah lebih kepada kehendak tubuh badan sendiri yang disertai dengan keinginan nafsu syahwat. Tidak salah untuk memenuhi keinginan nafsu syahwat seperti makan, tidur, berehat dsb asalkan ianya tidak menyalahi hukum syarak. Masalah berlaku apabila manusia ingin memenuhi keinginan nafsu syahwat tidak kira dengan apa cara sekalipun. Ketika inilah manusia akan melakukan dosa seperti mencuri, berzina, makan rasuah dsb.

Roh adalah raja kepada jasad. Rohlah yang akan membuat keputusan terhadap segala keputusan jasad. Segala keputusan roh akan mendapat pahala dan dosa dan roh akan dipertanggungjawabkan di atas segala keputusan tersebut. Sekiranya roh membuat sesuatu keputusan mengikut kehendak jasad tanpa menghiraukan halal dan haramnya, roh akan dipertanggungjawabkan terhadap keputusan tersebut di akhirat nanti.

Bandingkan antara kehendak roh dan jasad. Yang mana satukah yang anda akan ikut kehendaknya? 

Roh dan Jasad Melalui Alam yang Berbeza

Bermulanya kehidupan roh itu ialah di alam roh. Kemudian roh akan dimasukkan kedalam jasad di alam rahim. Kemudian mereka berada di alam dunia. Akhirnya roh akan berpisah dengan jasad lalu berada di alam barzakh. Jasad pula akan hancur setelah berpisah dengan roh. Kemudian roh akan hidup semula dengan jasad yang baru di alam akhirat.

Ketahuilah selagi roh berada di dalam jasad, selagi itulah pintu taubat masih terbuka. Cara roh dicabut oleh malaikat maut ialah melalui ubun2. Oleh itu roh akan bergerak dari kaki ke badan ke kerongkong dan ubun2. Selagi roh belum sampai di kerongkong, selagi itulah pintu taubat masih terbuka. Janganlah tunggu disaat-saat akhir untuk bertaubat kerana kita takut taubat kita pada ketika itu sudah tidak diterima oleh Allah SWT.

Ramai daripada kita menyangka kita akan hidup bahagia sekiranya kita mengikuti segala kehendak jasad. Cuba kita renungkan. Sewaktu kita di alam roh, kita tidak punya apa-apa. Tapi kita mengenali Allah SWT. Kita tetap bahagia. Sewaktu kita di alam rahim, kita tidak punya apa-apa. Tapi kita masih dapat rezeki melalui perantaraan ibu kita. Kita masih bahagia. Semasa kita di alam kanak-kanak, kita tidak punya apa-apa. Tapi kita masih dapat rezeki melalui perantaraan ibu-bapa kita. Kita masih bahagia.

Sebenarnya kebahagian yang hakiki bukanlah dengan mengikuti kehendak jasad tapi dengan mengikuti fitrah dan kehendak roh itu iaitu dengan mengingati dan mengenali Allah SWT. Kehidupan kita di alam roh, alam rahim dan alam kanak-kanak membuktikan sekiranya kita tidak punya apa-apa, kita masih boleh hidup bahagia dengan mengikuti fitrah roh itu sendiri dan mengingati dan mengenali Allah SWT.

Rabu, 22 Julai 2015

Antara Roh dan Jasad

Allah menciptakan sesuatu itu berpasang-pasangan dan ini merupakan salah satu Sunnatullah dari Allah SWT. Dari benda yang sangat besar seperti planet yang mempunyai pasangannya iaitu matahari kepada benda yang sangat kecil seperti proton yang mempunyai pasangannya iaitu elektron. Contoh lain ialah malam dan siang dan hidup dan mati. Begitu juga dengan jasad yang mempunyai pasangannya iaitu roh. Jasad bersifat nyata manakala roh bersifat ghaib.

Oleh kerana roh ini bersifat ghaib, maka cara untuk mengenali benda ghaib ini perlulah melalui ilmu yang diajarkan oleh Allah SWT melalui Al Quran dan daripada hadis Rasulullah SAW. Allah SWT telah berfirman dalam surah Al-Israa', ayat 85 yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja". Ayat ini jelas menunjukkan bahawa roh itu adalah perkara ghaib yang menjadi rahsia Allah SWT. Walaubagaimanapun, kita masih boleh mencari ilmu tentang roh itu, walaupun hanya sedikit.

Sebenarnya sebelum kita hidup di dunia ini, kita telah hidup di alam roh. Dan roh kita mengenali Allah SWT. Ini dibuktikan melalui ayat Quran dalam surah Al–A’raf ayat 173:
“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)” 

Roh kitalah yang telah menjadi saksi bahawa tuhan kita ialah Allah SWT. Oleh sebab itulah orang kafir di akhirat nanti tiada alasan mengapa mereka tidak beriman kepada Allah SWT kerana mereka juga telah menjadi saksi bahawa tuhan mereka ialah Allah SWT sewaktu di alam roh. 

Kita menganggap jasad kita ini hidup, tapi hakikatnya jasad kita ini adalah berasal dari tanah iaitu benda yang mati. Dan jasad kita ini akan mati dan musnah satu hari nanti. Roh kitalah sebenarnya yang hidup dan roh kita akan terus hidup walau jasad kita telah mati untuk bertemu dengan Allah SWT.

Kebanyakan dosa manusia di dunia ini adalah disebabkan mengikut kehendak jasad. Contohnya minum arak, berzina, mencuri, merompak, makan rasuah dsb semuanya adalah kerana keinginan nafsu syahwat untuk kepuasan jasad. Sedangkan kita akan mendapat pahala yang banyak sekiranya kita mengikut kehendak roh yang kenal Allah SWT dan akan kembali bertemu Allah SWT seperti solat, zikir, membaca Quran dsb. 

Oleh yang demikian, berusahalah untuk mengenali roh kita kerana dalam diri kita sendiri ada tanda-tanda tentang kekuasaan Allah SWT seperti dalam surah Fussilat ayat 53: "Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?"

Pada suatu hari nanti roh kita pasti akan berpisah dengan jasad kita. Pada ketika itu, kita sudah tiada keinginan lagi kepada makanan yang lazat, tilam yang empuk dan tidur yang nyenyak. Pada ketika itu, roh kita tidak mengharapkan duit yang banyak, rumah yang besar dan kereta yang besar kerana semua itu sudah tidak berguna lagi kepada roh. Yang roh kita harapkan pada ketika itu ialah pahala yang banyak, dosa yang sedikit dan keredhaan dari Allah SWT.

SIAPAKAH AKU YANG SEBENARNYA, ROH ATAU JASAD?
ROH MEMANDANG KEPADA AKHIRAT,
JASAD MEMANDANG KEPADA DUNIA,
BAGI JASAD DUNIA INI SUNGGUH INDAH DAN MENARIK,
BAGI ROH DUNIA INI HANYALAH SATU KESENANGAN PALSU.