Sabtu, 13 Julai 2019

Antara Roh dan Jasad Part 2

Mari kita mengenali kedua-dua sifat roh dan jasad ini. Kemudian, kita renungkanlah antara roh dan jasad ini sebenarnya yang manakah lebih berharga dan patut kita tumpukan usaha kita?

Roh dan Jasad Bersifat Hidup

Kedua-dua roh dan jasad bersifat hidup tapi terdapat perbezaan di antara sifat hidup tersebut. Roh sebenarnya telah hidup sejak di alam roh dan akan terus hidup di alam akhirat. Dengan kata lain, sifat hidup roh adalah selama-lamanya. Di alam akhirat nanti, roh hanya akan mempunyai dua pilihan: syurga atau neraka bergantung kepada amalan roh tersebut di dunia ini.

Jasad pula hidup kerana ada roh. Sifat hidup jasad adalah sementara bergantung kepada umur masing2. Kebanyakan umat Nabi Muhammad SAW akan hidup sehingga berumur 60-70 tahun. Kematian bagi jasad sebenarnya adalah proses perpisahan antara roh dan jasad.

Bandingkan roh hidup selama-lamanya manakala jasad pula hidup sementara sahaja. Yang mana satukah antara roh dan jasad yang lebih berharga?

Roh dan Jasad Bersifat Berkehendak

Kedua-dua roh dan jasad mempunyai keinginan masing2. Fitrah keinginan roh adalah mengabdikan diri kepada Allah SWT. Manakala keinginan jasad ialah lebih kepada kehendak tubuh badan sendiri yang disertai dengan keinginan nafsu syahwat. Tidak salah untuk memenuhi keinginan nafsu syahwat seperti makan, tidur, berehat dsb asalkan ianya tidak menyalahi hukum syarak. Masalah berlaku apabila manusia ingin memenuhi keinginan nafsu syahwat tidak kira dengan apa cara sekalipun. Ketika inilah manusia akan melakukan dosa seperti mencuri, berzina, makan rasuah dsb.

Roh adalah raja kepada jasad. Rohlah yang akan membuat keputusan terhadap segala keputusan jasad. Segala keputusan roh akan mendapat pahala dan dosa dan roh akan dipertanggungjawabkan di atas segala keputusan tersebut. Sekiranya roh membuat sesuatu keputusan mengikut kehendak jasad tanpa menghiraukan halal dan haramnya, roh akan dipertanggungjawabkan terhadap keputusan tersebut di akhirat nanti.

Bandingkan antara kehendak roh dan jasad. Yang mana satukah yang anda akan ikut kehendaknya? 

Roh dan Jasad Melalui Alam yang Berbeza

Bermulanya kehidupan roh itu ialah di alam roh. Kemudian roh akan dimasukkan kedalam jasad di alam rahim. Kemudian mereka berada di alam dunia. Akhirnya roh akan berpisah dengan jasad lalu berada di alam barzakh. Jasad pula akan hancur setelah berpisah dengan roh. Kemudian roh akan hidup semula dengan jasad yang baru di alam akhirat.

Ketahuilah selagi roh berada di dalam jasad, selagi itulah pintu taubat masih terbuka. Cara roh dicabut oleh malaikat maut ialah melalui ubun2. Oleh itu roh akan bergerak dari kaki ke badan ke kerongkong dan ubun2. Selagi roh belum sampai di kerongkong, selagi itulah pintu taubat masih terbuka. Janganlah tunggu disaat-saat akhir untuk bertaubat kerana kita takut taubat kita pada ketika itu sudah tidak diterima oleh Allah SWT.

Ramai daripada kita menyangka kita akan hidup bahagia sekiranya kita mengikuti segala kehendak jasad. Cuba kita renungkan. Sewaktu kita di alam roh, kita tidak punya apa-apa. Tapi kita mengenali Allah SWT. Kita tetap bahagia. Sewaktu kita di alam rahim, kita tidak punya apa-apa. Tapi kita masih dapat rezeki melalui perantaraan ibu kita. Kita masih bahagia. Semasa kita di alam kanak-kanak, kita tidak punya apa-apa. Tapi kita masih dapat rezeki melalui perantaraan ibu-bapa kita. Kita masih bahagia.

Sebenarnya kebahagian yang hakiki bukanlah dengan mengikuti kehendak jasad tapi dengan mengikuti fitrah dan kehendak roh itu iaitu dengan mengingati dan mengenali Allah SWT. Kehidupan kita di alam roh, alam rahim dan alam kanak-kanak membuktikan sekiranya kita tidak punya apa-apa, kita masih boleh hidup bahagia dengan mengikuti fitrah roh itu sendiri dan mengingati dan mengenali Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan