Jumaat, 17 Jun 2011

Hati Cermin

Orang yang baik tentulah disukai oleh makhluk-makhluk yang baik, sekiranya orang yang baik itu menghadapi masalah, tentulah ada makhluk-makhluk yang baik yang ingin menolongnya keluar dari masalahnya itu, dan sekiranya masalahnya itu begitu besar sehingga gagal ditolong oleh makhluk yang baik, Allah yang maha pemurah tentu akan memberikan jalan keluar kepada orang yang baik itu. Siapakah dia orang yang baik itu? Mereka adalah orang-orang yang memiliki hati cermin.

Maksud Al-Quran, Surah At-Talaq, ayat 2&3: “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri sebulat-bulat kepada Allah, maka Allah akan cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan perkara yang dikehendakinya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

Orang yang berhati cermin ialah orang yang baik hati dan memiliki akhlak Rasulullah SAW. Dia mempunyai hubungan yang baik bukan sahaja dengan Allah, tetapi juga dengan manusia. Bahkan dia juga mempunyai hubungan yang baik dengan makhluk-makhluk Allah yang lain termasuklah haiwan, tumbuh-tumbuhan dan benda-benda.

Mempunyai hubungan yang baik dengan Allah bermaksud melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mempunyai hubungan yang baik dengan manusia bermaksud mempunyai sifat-sifat yang mulia contohnya bertolak-ansur, tidak pemarah, pemaaf, suka menolong, berbudi pekerti, berhati mulia, tidak mendengki dan lain-lain. Mempunyai hubungan yang baik dengan haiwan termasuk menyukai haiwan, tidak menyiksa dan membunuh haiwan sesuka hati dan tidak menganiaya haiwan. Mempunyai hubungan yang baik dengan tumbuh-tumbuhan bermaksud menjaga keperluan tumbuh-tumbuhan yang ditanam dan tidak merosakkan tumbuhan sesuka hati. Mempunyai hubungan yang baik dengan benda bermaksud menjaga sesuatu itu dengan baik dan tidak merosakkan sesuatu benda itu.

Gelaran hati cermin bermaksud hati yang bersih dari kejahatan, kekotoran dan dosa. Orang yang berhati cermin akan sentiasa berusaha untuk menggilap hatinya supaya sentiasa bersih dengan mendengar ceramah agama, membaca buku-buku agama, berfikir tentang kebesaran Allah, bertaubat dan menyesali dosa-dosanya yang telah lalu. Orang yang berhati cermin bukan sahaja tidak melakukan sebarang dosa kepada Allah SWT, malah berfikir untuk melakukan dosapun tidak.

Orang yang berhati cermin akan memperbaiki hubungannya sesama manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan dengan menganggap semua adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah. Orang yang berhati cermin mempunyai sifat yang berhati-hati ketika berurusan dengan makhluk Allah kerana dia tahu sekiranya dia melakukan kesalahan sesama makhluk, dia akan dihitung di akhirat nanti. Sekiranya dia berhutang dengan makhluk, dia akan dihitung untuk melunaskan hutangnya. Sekiranya dia menyakiti makhluk Allah, bukankah wajar dia ditanya oleh Allah di akhirat nanti mengapa dia telah menyakiti makhlukNya?

Orang yang berhati cermin ialah orang yang hampir dengan Allah. Contoh manusia berhati cermin ialah Rasulullah SAW, para rasul, nabi-nabi dan juga orang-orang soleh. Tidak hairanlah mereka yang berhati cermin ini sentiasa mendapat pertolongan dari Allah samaada secara langsung atau secara perantaraan makhluk. Pertolongan secara langsung daripada Allah kepada rasul dan nabi dipanggil mukjizat manakala pertolongan secara langsung untuk orang-orang soleh dipanggil karamah.

Walaupun mereka tidak meminta, mereka ini dikurniakan kelebihan dan ilmu daripada Allah untuk melakukan sesuatu yang luar biasa. Ilmu untuk melakukan perkara-perkara luar biasa ini dipanggil ilmu Laduni. Mempunyai hati cermin adalah syarat yang utama untuk dikurniakan ilmu Laduni oleh Allah SWT.

Berbahagialah mereka yang berhati cermin, bukan sahaja dikasihi oleh Allah dan makhluk-makhluk lain yang baik, malah juga sentiasa mendapat pertolongan Allah dan makhluk-makhluk lain yang baik di dunia ini. Mereka juga berpeluang mendapat ilmu Laduni oleh Allah. Itulah kelebihan-kelebihan mereka yang berhati cermin di dunia ini. Kelebihan di akhirat tentulah memasuki syurga Allah tanpa hisab. Mereka tidak dihisab kerana hati mereka dan juga diri mereka sendiri telah bersih dari sebarang dosa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan