Jumaat, 17 Jun 2011

Maksud takwa

Maksud Firman Allah : "Alif, Lam, Mim. Al-Qur’an adalah sebuah kitab yang tidak diragui, sebagai hidayah kepada orang yang bertaqwa." (surah Al-Baqarah : ayat 1-2)
Dalam ayat ini Allah dengan terang menjelaskan bahawa Al Quran yang diturunkan ini adalah merupakan panduan kepada hamba2nya yang bertakwa kepadaNya. Siapakah orang yang bertakwa itu? Menurut Ibn Abbas orang yang bertakwa itu ialah seorang muslim yang meninggalkan syirik kepada Allah dan melakukan amal ketaatan kepada Allah semata. Maknanya melakukan semua yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang dilarang Allah.

Selain itu pernah suatu hari seorang sahabat ditanya tentang maksud takwa itu maka dijawabnya, "takwa itu adalah umpama kamu sedang melalui satu jalan yang penuh duri, maka kamu akan berhati2 dalam melaluinya agar tidak tertusuk duri dan tercedera".
Begitulah kita dalam melalui hidup kita sehari2, perlu sentiasa berhati2 agar tidak melakukan sesuatu yang mengundang kemurkaan Allah terhadap amal perbuatan kita.
Maksud Firman Allah : "(Orang yang bertakwa itu) Mereka yang beriman kepada perkara yang ghaib, mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian rezeki yang kami kurniakan kepada mereka. Mereka beriman kepada Al-Qur’an yang diturunkan kepada engkau (Muhammad) dan kitab-kitab yang terdahulu sebelum engkau serta yakin akan hari akhirat. Mereka itulah yang mendapat hidayah Allah dan beroleh kejayaan." (Surah Al-Baqarah, Ayat 3-5)

Di sini juga Allah ada menerangkan lagi tentang kriteria yang ada pada mereka yang bertakwa ini iaitu mereka ini beriman kepada perkara ghaib dan sebagaimana yang kita maklum, apa yang dinamakan beriman itu adalah kita percaya dalam hati, membenarkan dengan lisan (lidah) kita dan mengamalkan dengan anggota badan kita. Itulah namanya beriman. Dan antara kriteria orang yang beriman jugak adalah timbulnya dalam hati mereka perasaan takutkan Allah.

Selain itu, mereka yang bertakwa adalah mereka yang mendirikan solat. Solat ini merupakan tiang agama dan merupakan salah satu dari rukun Islam yang lima dan mereka yang bertakwa sahaja yang dapat melaksanakan solat mereka dengan sempurna kerana dari solat inilah dapat mencegah seseorang itu dari perbuatan keji dan mungkar. Menurut Ibn Abbas, mendirikan solat adalah "menyempurnakan ruku’ dan sujud serta bacaan yang khusyuk", sementara menurut Ibn Qatadah pula, mendirikan solat itu ialah "menjaga waktunya, wudhuknya, rukuk dan sujudnya" dan maksud asal solat itu dalam bahasa arabnya ialah doa. Jadi sewaktu kita solat adalah seolah-olah kita sedang berdoa kepada Allah. Dalam surah Fatihah sendiri terdapat ayat2 yang merupakan doa kita kepada Allah SWT.

Orang yang bertakwa jugak ialah mereka yang membelanjakan rezeki yang mereka peroleh pada jalan Allah SWT dan mereka yang paling layak menerima pemberian dari wang yang kita ada itu adalah ahli keluarga dan kerabat kita yang dalam keadaan memerlukan bantuan. Seterusnya anak2 yatim, fakir miskin dan sebagainya. Mereka tidak merasa rugi dari apa yang mereka keluarkan kerana mereka yakin apa yang mereka belanjakan itu akan dibalas oleh Allah samada di dunia ataupun di akhirat.
Moga Allah akan sentiasa membantu kita dan menggolongkan kita antara hamba yang bertakwa kepadanya. InsyaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan