Isnin, 27 Jun 2011

Putra Bani Tamim Perintis Jalan Imam Mahadi

              Islam akan kembali Gemilang di Akhir Zaman Hari ini, bukan sahaja umat Islam bahkan orang bukan Islam pun sedang berbincang dan berbual-bual tentang keinginan mereka kepada satu keadaan dan satu suasana yang lain dari apa yang ada sekarang ini. Semuanya sudah rasa jemu dengan sistem yang wujud. Ada rasa takut dan bimbang, mengharapkan kedatangan seorang pemimpin untuk menyelesaikan masalah kronik dunia ini. Begitu sekali berlaku sehingga orang bukan Islam pun sudah jemu dengan sistem yang ada dan inginkan sistem baru. Rupanya memang perasaan-perasaan ini sengaja Tuhan berikan, sesuai dengan akhir zaman kerana ada janji Tuhan bahawa Islam akan bangun kali kedua bertaraf dunia.
            Sebenarnya, perasaan itu adalah rahmat dari Tuhan untuk memudahkan orang Tuhan berjuang. Untuk menyedarkan manusia menuju ke arah perjuangan yang membawa kasih sayang dan keamanan. Kalau Tuhan tidak melakukan perubahan-perubahan perasaan itu maka sangat sulitlah bagi kita untuk berjuang hari ini. Terjadinya perubahan-perubahan perasaan dalam diri-diri manusia di dunia ini adalah satu ulangan sejarah yang memang pernah berlaku di zaman-zaman di mana ada pemimpin yang ditunjuk oleh Allah. Setiap kali apabila rasul-rasul hendak datang maka manusia mengalami perubahan-perubahan perasaan itu. Lebih-lebih lagi di zaman Rasulullah.
             Sebelum kedatangan Rasulullah, hati-hati manusia seperti sudah meminta kedatangan rasul. Begitulah watak manusia menunggu di waktu zaman kedatangan pemimpin yang ditunjuk Allah. Rupanya watak itu berulang di dunia ini sekarang. Sebab itu orang yang tidak masuk Islam pun apabila mereka mendengar kebenaran merasa senang hati. Apabila mereka lihat satu kelompok yang berkasih sayang, mudah saja mengikuti. Mereka tidak prejudis kepada siapa yang membawa dan memperjuangkannya. Sekalipun bukan dari bangsa dan agamanya.

            Satu kebangkitan menurut lidah Rasulullah yang bertaraf dunia akan berlaku. Ertinya dunia kita pun ada harapan untuk bertemu dengan dunia yang penuh dengan keadilan dan keamananan. Walaupun di dunia yang bangsa-bangsanya sudah memerlukan satu keadilan dan kasih sayang namun ia tetap memerlukan satu sistem alternatif. Maka pada kali ini adalah giliran Islam.
            Sila perhatikan 3 hadis berikut:

Sabda Nabi SAW,
1) "Akan keluar dari sulbi ini seorang pemuda yang memenuhi bumi ini dengan keadilan. Maka apabila kamu menyakini demikian itu hendaklah bersama Pemuda Bani Tamim itu. Sesungguhnya dia datang dari sebelah Timur dan dialah pemegang panji-panji Al Mahdi." 

(Hadis riwayat At Tabrani) 

Ammar bin Yasir RA berkata,
2) “Pembawa Panji-panji Al-Mahdi adalah Syuaib bin Saleh.”

3) Dan telah mengeluarkan Abu Daud dan Tabrani dari Abdullah bin Mas'ud dari pada Nabi SAW sabdanya “Kalau tidak tinggal dari dunia kecuali sehari, nescaya Allah panjangkan hari itu sampai diutuskan kepadanya seorang lelaki dari keluargaku, yang namanya seperti namaku, dan nama bapanya seperti nama bapaku dan dia memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman”.( Kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti)


            Sebenarnya hadis ke-3 dia atas merujuk kepada dua orang lelaki yang akan menjadi mujaddid bersama di akhir zaman ini iaitu Imam Mahadi dan Pemuda / Putera Bani Tamim (PBT) seperti berikut:


1. Seorang lelaki yang namanya seperti namaku = Imam Mahadi. Namanya Muhammad bin ********. Beliau adalah dari keturunan Saiyidina Hassan AS.
2. Seorang lelaki yang nama bapanya seperti nama bapaku = Pemuda Bani Tamim (PBT). Namanya ********** bin Abdullah. Beliau adalah dari keturunan Saiyidina Hussein AS.


             Menurut hadis yang ke-2, Pemuda Bani Tamim itu juga dikenali sebagai Syuaib bin Saleh. Perkataan bin ini jelas disebut oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya dan bukannya perkataan lain seperti Ibnu. Katakunci untuk menentukan siapakah Pemuda Bani Tamim itu ialah melalui perkataan bin itu yang bermakna 'anak kepada'. Orang Arab sendiri suka menggunakan perkataan 'anak kepada' ini dan mereka tidak menggunakan bin tetapi menggunakan Ibnu contohnya Ibnu Sina. Orang Indonesia pula langsung tidak menggunakan bin. Contohnya Susilo Bambang Yudhoyono. Yang menariknya orang Melayu Malaysialah yang menggunakan perkataan bin sebagai tanda pengenalan diri. 


           Untuk mengetahui siapakah PBT itu, kita fokus kepada perkataan bin. Namanya bin Abdullah. Tetapi dalam hadis di atas, Rasulullah SAW tidak mengatakan bahawa PBT itu sama namanya dengan nama bapaku. Apa yang beliau katakan ialah seperti namanya dengan nama bapaku. Nama bapa Rasulullah SAW ialah Abdullah, gabungan 2 perkataan iaitu Abdul dan Allah. Oleh kerana Allah mempunyai 99 nama Asma Ul Husna, boleh jadi nama Allah perlu diganti dengan salah satu dari 99 nama tersebut. 


           Nama lain bagi Pemuda Bani Tamim ialah Syuaib bin Saleh. Sekali lagi kita fokus kepada perkataan bin itu. Ini bermakna Pemuda Bani Tamim itu juga adalah anak kepada Saleh. Oleh kerana ayah Pemuda Bani Tamim bernama Abdul ******. Maka saya berpendapat Saleh ini adalah nama datuknya, atau mungkin juga beliau adalah keturunan Nabi Saleh.


           Dalam hadis pertama, jelas disebutkan bahawa PBT itu ialah seorang pemuda. Saya berpendapat umur PBT itu ialah antara 30-40 tahun sewaktu beliau muncul kerana pada waktu inilah seseorang itu masih digelar pemuda tetapi pada masa yang sama mempunyai kematangan yang tinggi untuk dihormati oleh orang lain sebagai pemimpin.            
        
            PBT adalah seorang yang sangat dimuliakan oleh Allah kerana besar sekali jasanya menyediakan sebuah tapak daulah Islamiah bukan untuk dirinya sendiri tetapi untuk Imam Mahadi kerana dia sendiri langsung tiada keinginan untuk menjadi seorang khalifah / pemimpin / raja. 

            Kebangkitan yang bertaraf dunia itu akan dipimpin oleh Imam Mahadi dan dibantu oleh pemimpin kanannya iaitu Pemuda Bani Tamim dan ianya akan bermula dari Timur sebagaimana yang disebutkan dalam hadis rasulullah SAW :
Dan telah mengeluarkan Ibni Abi Syaibah dan Nu'aim bin Hammad dalam Al Fitan dan Ibnu Majah dan Abu Nu'aim dari Ibnu Mas'ud, katanya : “Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang sekelompok anak-anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terlihat akan mereka, maka kedua mata Rasulullah berlinang air mata dan wajah beliau berubah. Akupun bertanya : “Mengapakah kami melihat pada wajahmu, sesuatu yang kami tidak sukai?”. Beliau menjawab : “Kami Ahlul bait telah Allah pilih untuk kami akhirat lebih dari dunia, kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran sepeninggalanku kelak, sampai datangnya suatu kaum dari sebelah timur yang membawa bersama mereka panji-panji berwarna hitam. Mereka meminta kebaikan , tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan memperoleh kemenangan. Lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu, tetapi mereka tidak menerimanya hingga mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana bumi dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa diantara kamu yang sempat menemuinya, maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji. Sesungguhnya dialah Al Mahdi.”
            Tetapi bagi umat Islam, tidak dapat menjadi tapak kebangkitan itu walaupun berkeinginan ke arah itu. Walaupun inginkan perubahan tetapi mereka masih bingung dan tercari-cari. Tidak tahu bagaimana hendak melakukannya. Kalau dilakukan juga, kita sudah melihat hasilnya. Ada yang menjadi militan, ada yang beku dan jumud, ada yang pergi ke pondok atau pesantren dan sebagainya. Kerajaan sudah mula bimbang kerana orang ramai hendak menghantar anak mereka ke institusi agama.
            Tetapi bagi satu kelompok yang sudah dipilih Tuhan, samada pemimpinnya ataupun pengikut-pengikutnya, mereka tidak susah lagi mencari-cari. Seolah-olah di hadapannya sudah nampak rekabentuknya (design) dan nampak gambarannya. Seolah-olah rangka rumah sudah nampak cuma hendak dibangunkan saja menjadi rumah. Apabila terjadi hal begitu kepada kelompok tersebut maka itulah kelompok pilihan Tuhan. Sebab itu, bagi orang lain yang sedang tercari-cari itu, tidak usahlah hendak melakukannya sendiri kalau tidak dianugerahkan Tuhan. Lebih baik dicari saja kelompok yang telah Rasulullah gambarkan yaitu yang menzahirkan kebenaran dalam seluruh aspek kehidupannya: dalam diri, keluarga, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, dakwah, perhubungan, sains dan teknologi dan sebagainya. Selain itu perjuangan mereka tidak dapat dimudaratkan atau dihancurkan oleh musuh-musuh kebenaran sekalipun musuh-musuh itu sangat berusaha menghancurkannya. Rasulullah SAW bersabda :
Senantiasa ada suatu thoifah (jamaah) yang sanggup menzahirkan kebenaran dan tidak akan dapat memudaratkan mereka orang-orang yang menentang mereka hinggalah datang perintah Allah (hari kiamat).
            Sebenarnya, orang yang Tuhan janjikan bahawa di tangannyalah kebangkitan itu berlaku, perjuangannya menjadi sangat indah dan jelas walaupun berhadapan dengan ujian. Kaedahnya (Method) jelas. Mari kita gambarkan dengan lebih luas lagi tentang corak (patern) kebangkitan Islam di akhir zaman itu.
            Tuhan telah menyimpan 3 orang pemimpin, iaitu pemimpin besarnya: (Pemuda) Putra Bani Tamim, Imam Mahdi dan Nabi Isa. Dua orang disimpan oleh Tuhan iaitu Nabi Isa yang dinaikkan ke langit dan Imam Mahdi yang dighaibkan. Kita pun tidak tahu di mana mereka. Hanya Putra Bani Tamim tidak dighaibkan Yang disimpan itu cuma seolah-olah dighaibkan sebab payah hendak dikenali orang. Ini adalah hikmah dari Tuhan supaya musuh jangan cepat mengesan. Padahal mereka sedang bergelanggang dan berjuang. Kalau dapat dipastikan oleh musuh, mereka tetap diselamatkan kerana janji Tuhan tetapi anak buah tidak akan tahan kerana akan dibelasah teruk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan