Khamis, 23 Jun 2011

MLM ikut syariah bukan taja downline

Oleh Najahudin Lateh

SATU isu yang sering diperkatakan dan dibincangkan melalui neraca muamalat Islam ialah berkaitan perniagaan jualan langsung (MLM). Reka bentuk MLM yang pada asalnya selari dengan syariah sering kali dilencongkan hingga menjadikannya haram.

Ironinya, peserta MLM sama ada syarikat atau ejen pengedar yang membentuk dan memandu sistem pengedaran menjadi tidak menepati hukum Islam. Hal ini boleh dikesan melalui pelan pemasaran, produk, harga, komisyen dan pelbagai elemen lain yang tidak memenuhi kontrak muamalat.
Hakikat yang perlu diakui, MLM ialah instrumen pemasaran terbaik untuk mengedar sesuatu produk atau perkhidmatan kerana pengedar yang dilantik oleh syarikat akan membentuk rangkaian pengedar lain di bawahnya.

Seterusnya mereka akan mendapat bonus, komisen atau insentif hasil daripada jualan peribadi dan rangkaian masing-masing. Daripada aspek kontrak muamalat, MLM biasanya membabitkan kontrak al-Bai (jual-beli) dan al-Ju’alah (upah).

Oleh itu, sistem pemasaran ini sewajarnya menepati semua syarat kontrak seperti produk jualan hendaklah halal, wujud ketika akad dan boleh diserah kepada pembeli. Selain itu, bonus atau komisyen hendaklah diketahui nisbahnya, dimiliki oleh syarikat dan bukan diambil daripada yuran keahlian rantaian yang ditaja pengedar.

Justeru, MLM yang patuh syariah bukannya menjalankan transaksi secara skim piramid yang menghendaki peserta baru membayar yuran dan kemudian bayaran itu diagihkan kepada pemilik skim dan upline.

Objektif utama MLM mengikut syariah adalah menjual produk dan bukannya menaja downline. Keuntungannya daripada keuntungan jualan produk bukan kutipan yuran keahlian.
Ada kala wujud dalam sistem MLM, produk hanyalah replika duplikasi laman web yang boleh menempatkan downline yang ditaja secara automatik. Sasaran sistem itu adalah menaja dan menempatkan rangkaian, bukannya untuk jualan produk.

Walaupun kebanyakan sistem sebegini mempunyai produk dalam laman tetapi ia hanya helah dan tempelan untuk mengesahkan transaksi. Ini boleh dikesan melalui jenama produk yang tidak dikenali, tetapi harganya sangat melampau berbanding produk hampir sama di pasaran.

Pemasaran secara MLM juga jauh daripada syariah apabila wujud elemen pengharaman dalam muamalat Islam seperti riba, judi, gharar (ketidakpastian) dan penipuan serta pemalsuan.
Unsur penipuan boleh dilihat melalui promosi serta gambaran melampau terhadap sesuatu produk sedangkan hakikat kualitinya tidak begitu dan harganya juga jauh lebih tinggi dengan produk setaranya di pasaran.

Kadang-kadang tipu membabitkan pengedar yang ditonjolkan dengan gambar berkereta mewah seolah-oleh syarikat yang menghadiahkan sedangkan syarikat hanya membayar deposit dan bulanannya dibayar pengedar itu sendiri.

Begitu juga gharar boleh berlaku apabila ‘upline’ memperoleh keuntungan daripada jualan ‘downline’ dengan hanya duduk goyang-kaki. Segala usaha jualan dilakukan oleh ‘downline’ tetapi ‘upline’ memperoleh habuan kerana terbabit sebagai penaja.

Justeru, semua perkara itu hendaklah dielakkan bagi menjamin rezeki yang diperoleh halal dan berkat. Sikap berhati-hati dan memilih menurut piawai syarat perlu diutamakan daripada impian dan nafsu kekayaan melimpah ruah.

Penulis ialah Pensyarah di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MLMikutsyariahbukantajadownline/Article (2011/06/13)

Sumber: http://ahmadzaki.wordpress.com/2011/06/13/mlm-ikut-syariah-bukan-taja-downline/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan