Jumaat, 17 Jun 2011

Nafsu dan Akal

Dalam Kitab Durratun Naasihiin karangan Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, diriwayatkan tentang kisah disyari’atkan puasa.

Di dalam kitab tersebut dinyatakan bahawa setelah Allah menciptakan akal dan nafsu, lalu Allah memerintahkan mereka mengadap-Nya. Kemudian ditanya satu persatu.

Akal pun datang menghadap dan ketika disuruh berbalik, berbaliklah ia. Lalu Allah pun bertanya kepadanya, “Man ana wa man anta? (bermaksud: siapa Saya dan siapa kamu?)”.

Maka dengan rasa penuh tawadhuk, akal menjawab, “Anta Rabbi wa ana ‘abduka adh dhoif (bermaksud: Engkau Tuhanku dan aku hamba-Mu yang lemah)”.

Karena itu Allah memberikan kemuliaan kepada akal.

Sedangkan nafsu, ketika diperintahkan untuk mengadap, ia diam sahaja tidak menjawab. Dan ketika ditanya dengan pertanyaan yang sama, dengan sombongnya nafsu menjawab, “Ana wa ana, Anta wa Anta” (bermaksud: aku adalah aku, Engkau adalah Engkau).

Karena jawapan itulah maka Allah menghukumnya dengan memasukkan nafsu ke dalam neraka Jahiim selama seratus tahun. Setelah dikeluarkan dari neraka Jahiim dan ditanya semula, diapun menjawap dengan jawapan yang sama.

Akhirnya Allah menempatkannya di dalam neraka Juu’ (neraka yang penuh dengan rasa lapar yang amat sangat) selama seratus tahun pula. Ia dibiarkan tanpa makan dan minum.

Dan ternyata puasa itulah yang membuatnya sedar dan tak berdaya. Nafsu menyerah dan mengakui
bahawa Allah adalah Tuhan yang menciptakannya.

Demikianlah, kisah yang terdapat dalam kitab Durratun Naasihiin yang menjelaskan bahwa puasa adalah senjata yang paling ampuh untuk menundukkan hawa nafsu…

Fitrah kejadian manusia sering lalai dan leka kerana manusia sering tewas kepada nafsu. Oleh itu kita perlu melawan dan mengawal nafsu agar dapat membimbing diri kearah kebaikan dan menjauhi dari keburukan. Kita tidak boleh membunuh nafsu kerana ia merupakan kurniaan daripada Allah SWT.
Untuk mengawal dan mengendalikan nafsu , kita perlu merujuk kepada kaedah dan cara-cara yang telah diberikan dan ditunjuk oleh Pencipta nafsu iaitu Allah SWT.

Oleh yang demikian, ketahuilah bahawa manusia perlu merujuk kepada Deen Islam yang diturunkan dan diredhai oleh Allah kerana di dalamnya ada dinyatakan kaedah-kaedah untuk mengawal nafsu.

Terdapat beberapa tingkatan nafsu. Antaranya ialah nafsu ammarah. Nafsu ammarah adalah cenderung kepada kejahatan.
“… Sesungguhnya nafsu (ammarah) cenderung kepada kejahatan …” (Yusuf, 12: 53)

Ada orang yang bertuhankan nafsu, suatu perbuatan syirik yang kebanyakan manusia tidak menyedarinya.
“Terangkanlah kepadaKu tentang orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya, maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya. Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar dan memahami, mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat jalannya dari binatang ternak itu.” (Al-Furqan, 25: 43-44)

Nafsu yang kedua ialah nafsu radhiah – redha dengan ketentuan Allah. Mereka yang memiliki nafsu ini memiliki sifat qanaah iaitu berasa cukup dengan apa yang ada.
“Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya.” (al-Fajr, 89: 28 )
Ini merupakan suatu cara yang baik untuk mengawal nafsu iaitu dengan tidak terlalu tertarik kepada duniawi.

Seterusnya ialah nafsu muthmainnah – jiwa yang tenang. Mereka yang memiliki nafsu pada tingkatan ini telah meletakkan diri mereka pada tahap pengawalan nafsu yang terbaik.
Sepertimana firman Allah dalam surah al-Fajr, mereka yang memiliki nafsu muthmainnah akan mendidik diri mereka untuk bersikap redha dan mereka akan berada dalam golongan yang Allah iktiraf sebagai hambaNya dan akan diberi ganjaran syurga.
“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.” (a-Fajr, 89: 27-30 )

Untuk memiliki ketenangan, kita perlu mendapatkan ubat penenang. Antara ubat penenang yang kita perlu ketahui dan menggunakannya ialah dengan zikruAllah.
“…Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang” (ar-Rad, 13: 28 )

Al-Quran merupakan sumber rujukan utama yang perlu digunakan untuk menjadikan jiwa manusia tenang. Selain itu, alam ciptaan Allah yang dijadikan dengan segala keindahan dan keajaiban juga merupakan sumber untuk mengingati Allah. Adakah kita menggunakan sumber tersebut dengan betul?
Namun zikruAllah dalam ruang lingkup yang lebih luas ialah memenuhi segala tuntutan yang Allah tetapkan; melaksanakan semua suruhan dan meninggalkan dan mencegah semua laranganNya.

Nafsu lawwamah merupakan tingkatan manusia yang berada di pertengahan. Dalam keadaan manusia menyedari akan sesuatu yang buruk tetapi kadang-kadang tewas kepada kengingin diri dan nafsu.
Ia merupakan pertembungan antara ilmu dan akal dengan nafsu. Bagi memastikan kebenaran ilmu dipertahankan maka amat penting untuk kita sentiasa berdamping dan mengikuti nasihat alim ulama.
Dalam pertembungan nafsu lawwamah yang kadang-kadang tertewas dengan nafsu dan terjebak dengan maksiat dan dosa, taubat merupakan cara penyucian jiwa yang terbaik.

Sabda Rasulullah SAW:
“Kullu bani Adama khatto’uuna, wa khairul khatto’iina at-tawaabun”.
Yang bermaksud:
“Setiap anak adam tidak sepi daripada melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang (segera) bertaubat.” (HR at-Tarmidhi)

Saidina Ali pernah berkata:
“Allah tidak menciptakan manusia untuk di azab tetapi manusia memilih untuk di azab.”
Allah telah menunjukkan dua jalan kepada manusia iaitu jalan kebaikan dan jalan kejahatan seperti dalam surah as-Syams, 91 ayat 8. Mereka yang memilih jalan kejahatan dengan mengotori jiwa mereka telah dijanjikan akan dibalas azab dan seksa Allah.

Namun Allah memberi kesempatan kepada kita untuk bertaubat, kerana Dia yang menciptakan mamusia amat mengetahui bahawa fitrah kejadian manusia sering lupa dan melakukan kesalahan. Oleh itu, mereka yang tidak bertaubat dengan kesalahan dan dosa yang telah dilakukan bererti seolah-olah mereka memilih untuk di azab.

Kesimpulannya, nafsu tidak dapat dibuang atau dibunuh tetapi manusia perlu mengendali dan membimbing nafsu dengan kaedah yang betul. Islam yang diturunkan oleh Allah menunjukkan jalan kearah mendidik nafsu, bukannya membunuh nafsu.

Kaedah yang utama untuk mendidik nafsu ialah dengan menggunakan akal. Tetapi adakalanya nafsu itu terlalu kuat hingga tidak dapat dididik akal. Akal perlu dibantu dengan ilmu, iman, takwa dan amal iaitu dengan cara membaca Al-Quran, mendengar ceramah-ceramah agama, berzikir, solat sunat, berpuasa dan amalan-amalan ibadat yang lain untuk melemahkan dan seterusnya mendidik nafsu kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan