Jumaat, 17 Jun 2011

Pewaris Syurga Firdaus

Maksud Surah Al-Mu’minun, ayat 1-11:
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
1. Sesungguhnya beruntunglah orang orang yang beriman
2. (Iaitu) mereka yang khusuk dalam solatnya
3. Dan yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna
4. Dan yang mengerjakan perbuatan suci ( membayar zakat )
5. Dan yang menjaga kehormatannya ( maruah )
6. Melainkan kepada isterinya atau kepada Hambanya. Maka sesungguhnya mereka itu tidak tercela.
7. Tetapi mereka yang mecari selain daripada itu, maka merekalah orang orang yang melanggar batas.
8. Dan mereka yang memelihara kepercayaan dan memenuhi janjinya
9. Dan yang menjaga solatnya
10. Mereka itulah orang orang yang akan mewarisi
11. Mereka akan mewarisi syurga Firdaus dan kekal di dalamnya.

Untuk panduan dan iktibar kepada kita bersama, marilah sama-sama kita merenung dan memerhatikan beberapa potong ayat di atas. Pada permulaan surah ini, Allah S.W.T menyebut tentang ciri-ciri orang mu’min yang berjaya dalam kehidupannya di dunia dan juga di akhirat. Allah S.W.T telah menyebut sebanyak 6 ciri-ciri orang mu’min yang berjaya di dalam ayat ini. Ayat ini merupakan kaedah atau formula kepada kita untuk berjaya di dunia sekaligus dapat mewarisi syurga yang dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada kita iaitu Syurga Firdaus.

6 ciri-ciri yang tersebut adalah seperti berikut:-
1. Mereka yang khusyuk di dalam solat. Hal ini adalah kerana solat merupakan perkara yang pertama sekali akan disoal oleh Allah S.W.T di hari qiamat kelak. Jadi, orang yang menjaga solatnya dengan baik, khusyuk dan tawadhu’, maka mereka merupakan orang yang berjaya. Hasil dari solat yang khusyuk dan sempurna inilah dapat mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Ankabut, ayat 46 yang bermaksud: (Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang itu dari melakukan perbuatan keji dan mungkar.)
2. Orang yang menjaga dirinya daripada terlibat dengan perkara-perkara yang melalaikan dan tidak berfaedah. Hal ini adalah kerana benda-benda yang melalaikan boleh menjauhkan seseorang daripada mengingati Allah S.W.T, maka senanglah syaitan dan hawa-nafsu menguasai serta membawa dirinya ke arah kemaksiatan dan derhaka kepada Allah S.W.T. Oleh itu mereka yang dapat menjaga diri mereka daripada terlibat dengan perkara-perkara yang melalaikan, mereka adalah orang-orang mukmin yang berjaya.
3. Orang yang mengeluarkan zakat. Zakat asalnya ialah satu perkataan daripada bahasa arab. Ertinya ialah pembersihan. Makna zakat di sini ialah mengeluarkan sebahagian harta dengan kadar yang ditentukan oleh syara’. Zakat ini dikeluarkan kepada mereka yang disebut sebagai ‘asnaf lapan’ di dalam surah At-Taubah. Mereka ialah golongan fakir, miskin, muallaf dan selainnya. Tujuan Allah S.W.T mewajibkan zakat kepada kita adalah untuk menolong mereka yang berhajat serta membersihkan jiwa kita. Jadi apabila seseorang itu mengeluarkan zakat, maka dia telah membersihkan jiwanya. Orang yang bersih jiwanya daripada kekotoran dunia adalah orang yang berjaya.
4. Orang yang menjaga kemaluannya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T melainkan kepada isteri dan hamba perempuannya. Oleh kerana perkara ini merupakan satu perkara yang payah untuk dielakkan, Rasulullah S.A.W menjamin kepada mereka yang dapat menjaga kemaluannya dari melakukan perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T dengan mendapat lindungan ‘ArasyNya di Padang Mahsyar kelak. Jadi, mereka yang berjaya menahan nafsunya dari membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T adalah dari golongan orang mu’min yang berjaya.
5. Orang yang menjaga amanah dan janji yang diberikan kepada mereka. Mereka menjaga amanah dan janji dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran. Ini adalah kerana mereka yang mengkhianati serta tidak memelihara amanah dan janjinya dengan baik, mereka disifatkan oleh Rasulullah sebagai orang munafik sebagaimana sabdanya: yang bermaksud: (Tanda-tanda orang munafik ada tiga: (1) Apabila dia bercakap, dia bercakap bohong, (2) Apabila dia berjanji, dia tidak menepatinya, (3) Apabila dia diberikan amanah, dia mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya). Oleh itu, mereka yang mempunyai sifat ini, mereka merupakan orang yang berjaya.
6. Orang yang menjaga dan menunaikan solatnya dengan baik. Di sini Allah S.W.T menyebut sekali lagi berkenaan dengan solat. Maksudnya di sini ialah menjaga dan menyempurnakan segala hak-hak yang berkaitan dengan solat. Hak-hak yang berkaitan dengan solat contohnya adalah seperti menunaikannya dengan berjemaah, solat di awal waktu, menyempurnakan ruku’, sujud dan segala rukun-rukunnya. Betapa ramai mereka yang mendirikan solat, tetapi pada hakikatnya mereka tidak bersolat.

Mereka yang tidak mendirikan solatnya dengan sempurna disifatkan oleh Allah S.W.T sebagai ‘celaka’. Sebagaimana firmanNya di dalam surah Al-Ma’un: yang bermaksud: (Maka celakalah mereka yang bersolat # iaitu mereka yang lalai daripada menunaikan solatnya). Oleh itu, mereka yang menjaga solat dengan segala hak-haknya adalah mereka yang berjaya. Mereka berhak mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T di akhirat kelak. Inilah semua ciri-ciri dan sifat orang-orang yang berjaya yang di sebut oleh Allah S.W.T di dalam surah ini. Pada akhir ayat ini Allah S.W.T berjanji akan mewarisi mereka dengan SyurgaNya iaitu Syurga Firdaus. Oleh itu bertuah dan beruntunglah mereka yang mempunyai sifat-sifat ini.

Akhirnya marilah sama-sama kita menghisab dan menghitung diri kita, adakah kita mempunyai sifat-sifat yang di sebutkan oleh Allah S.W.T itu. Jika sifat-sifat ini tidak ada di dalam diri kita, sama-samalah kita berusaha untuk mendapatkannya. Wallahu Subhanahu Wa Taala A’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan