Khamis, 16 Julai 2015

Formula Pembahagian Waktu Malam Imam Syafie

Imam Syafie adalah mujaddid yang lahir pada kurun ke-2 hijrah. Beliau adalah ulama yang berilmu tinggi dan merupakan salah seorang daripada empat ulama pencetus mazhab fikah yang menjadi pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah iaitu mazhab Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali. Mazhab Syafie merupakan mazhab yang menjadi pegangan di kawasan Selatan Mesir, Barat Arab Saudi, Syria, Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Filipina dan Pantai Koromandel di Malabar, Hadramaut (Yaman) serta Bahrain.

Imam Syafie adalah seorang yang sangat tekun dalam menuntut ilmu dan beribadah. Beliau membahagikan waktu malam beliau kepada tiga aktiviti iaitu satu pertiga malam untuk berehat, satu pertiga malam untuk ilmu dan satu pertiga malam lagi untuk beribadat. Ini lah formula beliau yang menjadikan beliau salah seorang ulama yang hebat dan sangat tinggi ilmunya.

Jadi bagaimakah caranya untuk kita mengamalkan formula pembahagian waktu malam Imam Syafie ini? Sebenarnya terdapat dua kaedah yang boleh kita cuba untuk mengamalkan formula ini seperti berikut:

Kaedah pertama: 
Waktu malam boleh ditakrifkan dari selepas solat Isyak hingga ke Subuh, iaitu dari pukul 9 malam hingga pukul 6 pagi selama 9 jam. Sekiranya kita membahagikan 9 jam ini sama rata kepada 3 aktiviti, setiap satu aktiviti ini akan diperuntukkan selama 3 jam. Untuk kaedah pertama ini, kita perlulah tidur dari pukul 9 hingga 12 malam. Kemudian dari pukul 12 malam hingga ke 3 pagi, kita boleh gunakan untuk mengulangkaji ilmu. Kemudian, dari pukul 3 hingga 6 pagi kita boleh gunakan untuk solat malam seperti Tahajud, Taubat, Tasbih dan sebagainya. Persoalannya cukupkah tidur kita selama 3 jam sahaja jika kita menggunakan kaedah ini? Menurut kajian oleh Dr Hamza Al Hamzawi, tidur dari jam 9 ke 12 malam adalah waktu tidur yang paling bermanfaat kerana tidur pada waktu ini, badan kita akan memperolehi 80% tidur dalam keadaan nyenyak. Oleh yang demikian, 1 jam tidur pada waktu ini bersamaan dengan 3 jam tidur pada waktu lain. 

Kaedah kedua:
Kaedah kedua adalah lebih bersesuaian dengan gaya hidup akhir zaman yang kebiasaannya waktu siang seseorang itu dipenuhi dengan bekerja yang menyebabkan kita memerlukan waktu rehat yang lebih pada waktu malam. Kaedah kedua memperuntukkan masa yang lebih lama untuk tidur. Caranya ialah dengan tidur dari pukul 10 malam hingga 4 pagi selama 6 jam. Kemudian dari pukul 4 hingga 5 pagi diperuntukkan untuk mengulangkaji ilmu. Kemudian dari pukul 5 hingga 6 pagi diperuntukkan untuk beribadat. Menurut kajian yang sama oleh Dr Hamza Al Hamzawi, waktu tidur dari 12 malam hingga 2 pagi juga agak bermanfaat kerana tidur pada waktu ini, badan kita akan memperolehi 20% tidur dalam keadaan nyenyak. Oleh yang demikian, 1 jam tidur pada waktu ini bersamaan dengan 1 jam tidur.

Formula pembahagian malam Imam Syafie ini bukan sahaja akan membolehkan seseorang itu menambahkan ilmu secara berterusan pada setiap malam, malah ia juga bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW tentang kelebihan beribadat pada waktu malam seperti berikut:

1. Allah akan mengabulkan permintaan hambanya:

Sabda Rasulullah:

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:

“Pada setiap malam di sepertiga terakhir pada bahagian malam, Allah turun ke langit dunia dan berseru: ”Siapa yang memangggilKu, maka Aku akan menyambutnya. Siapa yang memohon kepadaKu, Akupun mengabulkannya. Dan siapa yang memohon ampun, maka Aku mengampuninya.

(Bukhari, Muslim, Tarmizi.)

2. Menambah dekatnya diri antara hamba dengan Allah.

Sabda Rasulullah:

“Sesungguhnya sedekat-dekatnya seorang hamba pada TuhanNya adalah di waktu tengah malam. Oleh sebab itu, jika kamu dapat menjadikan dirimu termasuk orang-orang yang berzikir kepadaNya, maka kerjakanlah. (Abu Daud dan Tarmizi.)

3. Menjadi penghindar segala penyakit yang berasal dari tubuh.

Sabda Rasulullah:

“Hendaklah kamu semua rajin bangun malam bertahajjud. Sebab hal itu telah menjadi kebiasaan para solihin sebelummu. Dan yang menyebabkan kamu dekat dengan Allah. Di samping itu dosa-dosa kamu dihapuskanNya, dan menjadi penghindar segala penyakit yang berasal dari tubuh. (Tarmizi)

4.Tahajjud mempunyai kebaikan yang tinggi.

Sabda Rasulullah:

Dari Abu Hurairah ia berkata: Sesungguhnya Rasulullah bersabda: ”Sebaik-baik solat setelah solat fardu ialah solat tahajjud.” (Muslim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan