Sabtu, 24 September 2011

Tawakal seekor semut


Nabi Sulaiman pernah bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebanyak sebiji butir gandum. Lalu Nabi Sulaiman memasukkan semut tersebut dalam satu botol dengan diletakkannya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup.
Cukup tempoh setahun, mulut botol itupun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar butir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut. Nabi Sulaimana bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebiji buah gandum?
Sang semut menjelaskan bahawa jika di luar botol rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu. Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan sifat prihatin manusia. Mana tahu, kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan terjadi kepadaku?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan