Jumaat, 17 Julai 2020

Komik Tuah Digital Jilid 1-4 Boleh Dibeli di Google Play

Salam. Dengan Rahmat dari Allah SWT, Alhamdulillah pada hari ini saya telah berjaya menerbitkan komik Tuah digital Jilid 1-4 di Google Play untuk pembelian di seluruh dunia. Komik Tuah digital boleh dibeli di Google Play dengan harga yang amat murah, iaitu USD 1 atau RM 4.52 sahaja untuk setiap jilid. 

Buat masa ini, anda boleh membeli komik Tuah digital di link berikut:

Tuah Jilid 1: https://play.google.com/store/books/details?id=5THwDwAAQBAJ

Tuah Jilid 2 : https://play.google.com/store/books/details?id=DzLwDwAAQBAJ

Tuah Jilid 3 : https://play.google.com/store/books/details?id=nzLwDwAAQBAJ

Tuah Jilid 4 : https://play.google.com/store/books/details?id=-TLwDwAAQBAJ

Dalam masa 24 jam dari sekarang, anda hanya perlu ke Google Play dan cari (search) buku Tuah Jilid 1, Jilid 2, Jilid 3 dan Jilid 4. Komik ini berkonsep seperti manga Jepun iaitu hanya muka depan dan belakang sahaja yang berwarna. Komik di dalamnya adalah hitam putih dan dialog komik ini adalah dalam bahasa melayu. Bilangan mukasurat (ms) ialah sebanyak 100 ms setiap jilid. 

Beginilah rupa komik Tuah Jilid 1-4 terbitan syarikat saya iaitu Sirrus Enterprise:



Sebenarnya tujuan saya menerbitkan komik Tuah adalah kerana saya ingin menyampaikan mesej yang tersirat tentang jin dan ilmu ghaib seperti berikut:

Bukan Semua Jin Itu Jahat


Saya ingin membetulkan persepsi orang melayu bahawa "sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia". Persepsi ini tidak benar sama sekali. Jin juga adalah makhluk Allah SWT yang diberi perintah untuk beribadat kepadaNya seperti manusia. Oleh itu, ada jin yang mengikut perintahNya dan termasuk dalam golongan beriman. Ada juga jin yang menolak perintahNya dan termasuk dalam golongan kafir. Bangsa Jin ini telah diceritakan di dalam Al-Quran oleh Allah SWT dalam surah 72, Al-Jinn.


Walaubagaimanapun para ulama sebenarnya tidak menggalakkan manusia bersahabat dengan jin walaupun jin itu jin Islam. Ini adalah kerana perkara berikut:
1. Jin itu mungkin menyamar beragama Islam untuk dekat dengan kita sedangkan sebenarnya dia kafir.
2. Persahabatan manusia dan jin ditakuti akan menimbulkan perasaan sombong kepada kedua-duanya. Manusia akan jadi sombong kerana dia boleh minta pertolongan kawannya jin untuk melakukan sesuatu yang luar biasa. Jin pula akan jadi sombong kerana ada manusia yang bergantung kepada kekuatannya.

Bukan Semua Benda Luar Biasa Itu Sihir

Dalam komik Tuah, Khai mempelajari hikmat kebal. Adakah ini dikategorikan sebagai sihir? Sebenarnya ilmu kebal yang Khai pelajari ialah ilmu putih/ilmu haq iaitu ilmu ilham para wali dan kekasih Allah SWT. Dalam komik Tuah, Khai tidak pernah meminta tolong Raden merasuk badannya agar kebal. Khai hanya menggunakan keris Taming Sari sebagai medium untuk menyerap tenaga dalam putih/haq. Dengan memanipulasi tenaga dalam warna putih/haq inilah Khai mengaktifkan hikmat-hikmatnya seperti hikmat menjelma, hikmat kebal dan hikmat bergerak sejenak.

Seperti yang saya ceritakan di artikel ini: 
https://lautan-biru.blogspot.com/2020/07/mengenal-alam-jin-sihir-dan-cara.html 
Sihir itu berlaku apabila manusia dan jin memeterai perjanjian bertulis untuk mendapat faedah dari satu dengan yang lainnya. Perjanjian ini memerlukan manusia itu melakukan perkara-perkara yang haram dan mungkar disisi Allah SWT. Dalam komik Tuah, jin keris Taming Sari@Raden telah memilih Khai sebagai pewaris baru Keris Taming Sari lalu mewariskan ilmu silat Hang Tuah kepada Khai setelah ia melihat beberapa tanda yang ada pada diri Khai.

Setelah saya mengkaji sejarah tanah melayu termasuk sirah hidup dan kehidupan harian 3 tokoh tanah melayu berikut: Mat Kilau, Tokku Paloh dan Tok Kenali, saya yakin bahawa ilmu kebal yang diamalkan oleh mereka adalah ilmu putih/ilmu haq, iaitu ilmu ilham para wali dan kekasih Allah SWT yang bertaraf kasyaf dan bukannya ilmu hitam/ilmu sihir/ilmu bathil. Jadi kalau anda nak kenal sama ada ilmu ghaib itu ilmu haq atau ilmu bathil, kenallah dengan ILMU. Kalau anda kurang pasti, tanyalah mereka yang lebih alim.

Ilmu Akan Membawa Kejayaan Di Dunia dan Di Akhirat

Perhatikan kata-kata Imam Syafie RA seperti berikut:


telah mengabarkan kepada kami Abu Abdir Rahman bin abil Hasan as-Shuufiy aku mendengar Abu Muhammad bin Abi Haamid berkata, aku mendengar Abu Nu’aim al-Jurjaani al-Faqiih berkata, aku mendengar ar-Rabii’ bin Sulaiman berkata, aku mendengar Imam asy-Syafi’i berkata : “Barangsiapa yang menginginkan dunia maka hendaklah dengan ilmu, barangsiapa yang menginginkan akhirat, maka hendaklah dengan ilmu”.

Untuk mendapatkan dunia dan akhirat, ilmu itulah alat yang paling utama. Dalam komik Tuah, Khai mengamalkan ilmu kuno zaman Hang Tuah. Saibog pula mengamalkan ilmu sains zaman moden. Kedua-duanya menghasilkan keputusan yang sama: kebal. Sebenarnya ilmu itu luas. Ilmu sains itu hebat. Ilmu perang pahlawan melayu zaman dahulu juga hebat. Di akhir zaman ini, ilmu perang pahlawan melayu zaman dahulu semakin sukar untuk diperolehi. Saya berdoa kepada Allah SWT agar ilmu perang pahlawan melayu zaman dahulu ini akan muncul semula di akhir zaman ini.

Komik Tuah Ialah Kisah Al-Haq Melawan Al-Bathil

Sejarah itu sentiasa berulang. Sejak dahulu hingga sekarang yang hak dan yang bathil akan sentiasa berlawan hinggalah hari kiamat. Rasul dan Nabi datang dan pergi. Nabi Musa AS telah dicari oleh Firaun untuk dibunuh, tapi beliau tetap selamat. Di akhir zaman ini, Al Mahdi AS pula dicari yahudi untuk dibunuh, tapi beliau tetap selamat.

Dajjal telah mengambil masa selama empat ribu tahun untuk melaksanakan perancangannya. Yang batil merancang dan yang hak (benar) merancang. Akhirnya yang hak itulah yang akan mencapai kemenangan kerana Allah SWT itu sentiasa bersama-sama yang hak.

Dan Allah akan mengukuhkan yang benar dengan ketetapan-Nya, walaupun orang-orang yang berbuat dosa tidak menyukai(nya). (Yunus 10:82)

Agar Allah menetapkan yang hak (Islam) dan membatalkan yang bathil (syirik) walaupun orang-orang yang berdosa (musyrik) itu tidak menyukainya. (Al-Anfal 8:8)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan