Rabu, 1 Julai 2020

Tajalli 7 Alam

Apakah Tajalli itu?

Tajalli: Manifestasi : Penampakan atau perwujudan dari sesuatu yang tidak kelihatan.
Contohnya penampakan diri kita di dalam sebuah cermin di hadapan kita.

Bagaimanakah caranya mendapatkan Tajalli?


Cara mendapatkan Tajalli ialah dengan memperbanyakkan amalan sunat sehingga Allah SWT kasih kepadanya lalu Allah SWT mentajallikan sifat-sifatnya (mendengar, melihat, memegang dan berjalan) kepada hamba yang dikasihiNya.


Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar telah berfirman, "Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku telah mengumumkan perang kepadanya. Hamba-Ku tidak mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling aku sukai daripada sesuatu yang aku fardhukan atasnya. Hamba-Ku sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya, Aku menjadi telinga untuk menjadi pendengarannya, mata untuk menjadi penglihatannya, tangan untuk menjadi pemegangnya, dan kaki untuk berjalannya. Jika dia memohon kepadaKu, nescaya aku akan memberinya. Jika dia memohon perlindungan dariKu, nescaya Aku akan melindunginya. Dan Aku tidak bimbang terhadap sesuatu yang Aku lakukan seperti kebimbanganKu terhadap jiwa hambaKu yang beriman yang mana ia tidak senang mati sedang Aku tidak senang berbuat buruk terhadapnya". (H.R. Bukhari) 

Apakah amalan sunat untuk mendapatkan tajalli?

Amalan sunat untuk mendapatkan tajalli ialah dengan berzikir kalimat Baqiyatul Solihat (Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillah Wallahuakbar Walahawlawala Quwwata illa Billahil Aliyyil Azim) secara istiqamah sebanyak mungkin.

Apakah tingkatan tajalli itu?

Tingkatan tajalli itu ada 7 seperti berikut:

1. Tajalli Alam Mulki

Setelah insan istiqamah berulang menyebut kalimat Baqiyatul Solihat dan sekiranya diperkenankan oleh Allah SWT, insan itu akan memasuki tingkat tajalli yang terendah iaitu tajalli alam mulki. Pada tingkatan ini, insan akan mula merasa kehadiran Allah SWT dalam dirinya. Sifat Allah SWT yang ditajallikan ialah mendengar dan melihat. Insan akan merasakan seolah-olah Allah SWT sentiasa mendengar zikirnya dan Allah SWT sentiasa melihat apa yang dia kerjakan.

2. Tajalli Alam Bunian

Setelah insan istiqamah berulang menyebut kalimat Baqiyatul Solihat dan sekiranya diperkenankan oleh Allah SWT, insan itu akan memasuki tingkat tajalli yang seterusnya iaitu tajalli alam bunian. Sifat Allah SWT yang ditajallikan ialah memegang dan berjalan. Insan akan merasakan seolah-olah Allah SWT memegang (mendesak) dan menjalankan (menggerakkan) dirinya untuk melakukan amal soleh. 

3. Tajalli Alam Barzakh

Setelah insan istiqamah berulang menyebut kalimat Baqiyatul Solihat dan sekiranya diperkenankan oleh Allah SWT, insan itu akan memasuki tingkat tajalli yang seterusnya iaitu tajalli alam barzakh. Kalimah pertama yang akan ditajallikan oleh Allah SWT kepada insan ialah kalimah Subhanallah. Kesan tajallinya kalimah ini ialah insan akan merasa dirinya suci. Suci di sini bermakna Allah SWT telah berkenan untuk menjaga insan dari melakukan dosa. Insan akan merasakan dirinya sentiasa dikawal dan dipandu oleh Allah SWT daripada melakukan dosa.

4. Tajalli Alam Malakut

Setelah insan istiqamah berulang menyebut kalimat Baqiyatul Solihat dan sekiranya diperkenankan oleh Allah SWT, insan itu akan memasuki tingkat tajalli yang seterusnya iaitu tajalli alam Malakut.  Pada tingkatan ini, insan dapat merasakan seolah-olah ada alam lain di sekelilingnya.  Kalimah kedua yang akan ditajallikan oleh Allah SWT kepada insan ialah kalimah Alhamdulillah. Kesan tajallinya kalimah ini ialah insan akan merasa dirinya sungguh bertuah kerana telah dikurniakan nikmat yang begitu banyak oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, diperingkat ini insan akan sentiasa bersyukur kepadaNya terhadap kesemua takdir yang menimpa dirinya sama ada baik atau buruk.

5. Tajalli Alam Jabarut

Setelah insan istiqamah berulang menyebut kalimat Baqiyatul Solihat dan sekiranya diperkenankan oleh Allah SWT, insan itu akan memasuki tingkat tajalli yang seterusnya iaitu tajalli alam Jabarut. Pada peringkat ini, rasa "zouk" mula memasuki diri insan. Rasa "zouk" itu adalah rasa bahawa Allah SWT adalah begitu dekat dengan dirinya. Adakalanya insan akan menganggap dirinya tuhan lalu mengungkapkan perkataan "Ana Al-Haq". Rasa "zouk" ini sebenarnya adalah ujian untuk para wali Allah. Asalkan insan tidak meninggalkan solat, Insya Allah insan akan berjaya melepasi ujian tersebut. 

Kalimah ketiga yang akan ditajallikan oleh Allah SWT kepada insan ialah kalimah Lailahaillah. Kesan tajallinya kalimah ini ialah insan akan merasa dirinya sungguh dekat dengan Allah SWT. Insan telah mendapat taraf Ihsan iaitu insan seolah-olah telah melihat Allah SWT dan Allah SWT sentiasa melihat dirinya.

6. Tajalli Alam Lahut

Setelah insan istiqamah berulang menyebut kalimat Baqiyatul Solihat dan sekiranya diperkenankan oleh Allah SWT, insan itu akan memasuki tingkat tajalli yang seterusnya iaitu tajalli alam Lahut. Pada peringkat ini, rasa "zouk" yang masuk dalam dirinya menjadi semakin kuat. Selain dari tidak meninggalkan solat, insan perlulah ingat bahawa mana mungkin dia adalah tuhan sedangkan dia tidak berkuasa untuk mencipta walau seekor lalat sekalipun.

Kalimah keempat yang akan ditajallikan oleh Allah SWT kepada insan ialah kalimah Allahuakbar. Kesan tajallinya kalimah ini ialah insan akan merasa dirinya besar dan hebat. Ujian Allah SWT untuk insan pada tahap ini ialah ujian agar insan tidak sombong. Untuk melepasi ujian ini, insan mestilah sentiasa melihat kelemahan dalam dirinya lalu berulang-ulang beristighfar agar Allah SWT mengampunkan dosanya yang terhasil dari kelemahan tersebut.

4. Tajalli Sidratul Muntaha

Setelah insan istiqamah berulang menyebut kalimat Baqiyatul Solihat dan sekiranya diperkenankan oleh Allah SWT, insan itu akan memasuki tingkat tajalli yang seterusnya iaitu tajalli Sidratul Muntaha. Ini adalah tajalli peringkat tertinggi yang boleh dicapai oleh insan. Pada tingkat ini, rasa "zouk" itu adalah paling kuat dan ramai yang tersesat langkah dengan mengaku diriNya tuhan lalu tidak solat kepada Allah SWT. Ingat, solat adalah tiang agama. Ikutlah naluri roh itu sendiri untuk solat dan Insya Allah insan akan selamat.

Kalimah kelima dan terakhir yang akan ditajallikan oleh Allah SWT kepada insan ialah kalimah La Hawlawala Quwwata Illa Billahil Aliyyil Azim. Kesan tajallinya kalimah ini ialah insan akan merasa Allah SWT itulah yang maha berkuasa dan makhluk langsung tidak mempunyai kuasa. Insan akan merasa dirinya sentiasa berada di dalam perlindungan dan peliharaan Allah SWT dan insan akan rasa tidak takut terhadap ancaman orang yang jahat terhadap dirinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan