ASHABUL MUQARRABIN : Mereka adalah golongan umat Islam yang
hati dan perasaan hanya kepada Allah. Setiap amalannya penuh khusyuk dan
ikhlas kepada Allah.
Selain dari itu, mereka yang termasuk dalam golongan ‘bi
ghairi hisab’ ini adalah para syuhada (orang yang mati syahid). Mereka adalah
golongan orang ‘Muqarrabin’ yang ertinya orang yang sangat dekat dengan Allah
swt. disebabkan pengorbanan mereka dalam menegakkan agama Allah swt. Bahkan
nyawapun sanggup mereka korbankan semata-mata untuk mempertahankan agama Allah
swt. Oleh sebab itu tidak hairan mengapa mereka mendapat kedudukan yang begitu
tinggi di sisi Allah swt.
Abul Aliah mengatakan, “Tidak akan dipisahkan nyawa seorang
muqarrabin sebelum dihadirkan kepadanya satu dahan dari kenikmatan Syurga,
lalu ruhnya itu disimpan di sana.” Di dalam sebuah hadits sahih dikemukakan
bahawa Rasulullah saw. bersabda, “Ruh-ruh para Syuhada (orang-orang yang mati
sedang berjihad menegakkan agama Allah) itu dalam perut-perut burung hijau
yang berterbangan di taman-taman Syurga kemana saja mereka kehendaki, kemudian
bermalam pada pelita-pelita yang bergantungan pada Arasy.”
Maksudnya: “Adapun jika dia (orang yang mati) termasuk
orang-orang Muqarrabin (didekatkan kepada Allah), maka dia memperoleh
ketenteraman dan rezeki serta Syurga kenikmatan. (Al-Waqiah 56:88-89)
Amalan Golongan Muqarrabin
Dalam amalan mereka memulakan sesuatu dengan Niat, kemudian
disusuli dengan doa dan nazar, merupakan amalan yang biasa dilakukan oleh
golongan ini.
Dalam persahabatan, golongan ini merupakan seorang sahabat yang dapat memberi tanggungjawab terhadap sahabatnya dengan memberi sesuatu
kepunyaannya dibahagi dua kepada sahabat-sahabatnya. Apa sahaja yang dia
dapat, maka separuh untuknya dan separuh lagi untuk sahabatnya. Dengan
kata-kata yang lain setiap nikmat yang dia perolehi dia akan memberi
sahabatnya separuh daripadanya iaitu sama banyak atau dibahagi dua.
Empat Dasar untuk Mencapai Martabat Muqarrabin
Dengan nama ALLAH yang amat pengasih lagi amat penyayang.
Rahmat Allah ke atas penghulu kita Muhammad SAW dan ke atas keluarganya setiap
detik dan setiap nafas malah sebanyak bilangan yang diketahui oleh Allah.
Perkara yang lengkap dan boleh menyampaikan seseorang itu
kepada tujuannya dalam mengikuti jalan Allah ialah dengan berpandukan
dasar-dasar yang berikut:
1. Dasar pertama: (Muhasabah)
Orang berakal yang hendak menyelamatkan dirinya daripada
semua kebinasaan, serta ingin pula ianya dimasukkan oleh Allah ke dalam
golongan orang-orang yang muqarrabin dalam semua perjalan dan tindak-tanduknya,
apabila ia berazam hendak melakukan sesuatu perkara, sama ada dengan cara
perkataan ataupun perbuatan, ia terlebih dahulu hendaklah menyedari bahawa ia
akan disoal oleh Allah, tentang perkara itu. Oleh itu, ia hendaklah menyediakan
jawapan bagi soalan-soalan Allah itu sebelum ia memulakannya. Sekiranya ia rasa
bahawa ia boleh memberi jawapan yang betul dan lurus serta diredhai oleh Allah,
maka bolehlah ia memulakan perkara itu. Dengan cara demikian, ia akan
memperolehi kepujian di dunia dan di akhirat. Sebaliknya kalau ia rasa bahawa
jawapannya tidak memuaskan dan tidak akan diredhai oleh Allah Taala, maka ia
hendaklah menjauhi diri dari perkara itu kerana perkara itu akan membawa akibat
buruk kepadanya kalau dilakukannya.
Dasar ini adalah menjadi asas bagi semua perbuatan dan
perkataan. Sesiapa yang berpegang teguh dengan dasar ini, maka semua akhlaknya
berdasarkan kelurusan, baik pada zahir mahupun batin, dan tidak ada sebarang
cacat cedera. Inilah maksud sabda Nabi SallaLLAHU alaihi wassalam yang ertinya:
"Hisabkanlah diri kamu sebelum kamu dihisabkan (di
akhirat), dan timbangkanlah dia sebelum kami menimbangkannnya (di
akhirat)."
2. Dasar kedua: (Mengharap Redha Allah semata-mata)
Seseorang Muslim tidak patut melakukan sesuatu perbuatan
atau melafazkan sesuatu perkataan melainkan kerana mencari keredhaan Allah SWT.
Kalaulah seseorang itu bertujuan benar untuk mencari keredhaan Allah Taala dan
di samping itu hatinya bersih dari segala tujuan yang lain, serta berpegang
teguh dengan dasar ini, ia tetap tidak akan berkata atau melakukan sesuatu
perbuatan melainkan setelah ia yakin dan berhemat-hemat. Semua amalannya akan
tetap ikhlas.
Inilah maksud firman Allah Azzawajalla kepada RasulNya yang
amat besar dan kekasihNya yang amat mulia iaitu Nabi Muhammad SAW dalam surah
Al-Kahf ayat 28:
Ertinya: "Dan bersabarlah kamu hai Muhammad
bersama-sama dengan orang-orang yang menyerukan Tuhan mereka di waktu pagi dan
petang dengan mengharapkan keredhaan Allah."
Dan firman Allah Azzawajalla dalam surah Al-Lail ayat 9:
Ertiya: "Pada hal tidak ada padanya budi seorang yang
patut dibalas melainkan kerana hendak mencari keredhaan Tuhan yang maha Tinggi
dan Tuhannya akan meredhainya."
3. Dasar ketiga: (Mengeratkan SilaturRahim)
Seseorang Muslim, hendaklah mempunyai penuh perasaan belas
kasihan kepada semua saudara Muslim tanpa beza-membeza di antara kaya dan
miskin, berpangkat atau tidak berpangkat. Ia hendaklah menyempurnakan segala
hak mereka sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Islam seperti memulia,
menghormati dan menolong mereka. Kalaulah ia berpegang teguh kepada dasar ini
dengan tulus ikhlas nescaya Allah akan melimpahkan cahaya dan rahmatNya ke atas
seluruh jasadnya, dan dianugerahkan pula rasa kemanisan rahmat itu. Orang
seperti ini akan mendapat habuan yang banyak dari pesaka kenabian yang
terkandung di dalam firman Allah Azzawajalla, Surah Al-Ambiyaa', ayat 107.
Ertinya: "Tidak kami utuskan engkau hai Muhammad
melainkan kerana rahmat kepada sekalian alam."
Dan inilah maksud sabda Rasulullah SAW.
Ertinya: "Allah Azzawajalla ada tiga kehormatan. Siapa
yang memeliharanya, Allah akan meringankan ke atasnya urusan agama dan
dunianya. Sebaliknya siapa yang tidak memeliharanya, Allah tidak akan
memelihara apa pun untuknya, iaitu kehormatan Islam, kehormatanku dan
kehormatan rahimku" (iaitu persaudaraan Islam).
Dan seperti tujuan ini juga sabda Nabi SAW kepada Saiyidina
Abu Bakar RA:
Ertinya: "Jangan menghinakan sesiapa pun dari kaum
Muslimin, kerana orang Muslim yang kecil dan hina pada pandangan kamu itu
adalah besar dan mulia di sisi Allah."
4. Dasar keempat: (Menyempurnakan Akhlak)
Kemuliaan akhlak yang menjadi tujuan utama diutuskan Rasulullah
SAW untuk menyempurnakannya, sebagaimana sabdanya:
Ertinya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk
menyempurnakan kemuliaan budi pekerti."
Dasar ini merupakan pati dan intisari agama Islam.
Maksudnya, seseorang hamba Allah hendaklah bersifat lemah lembut terhadap
keluarga, hamba sahaya dan seluruh kaum Muslimin.
Sabda Rasulullah SAW,
Ertinya: "Ahli syurga ialah tiap-tiap orang yang
bersifat lemah lembut dan mudah kira bicara, sedangkan ahli neraka pula ialah
tiap-tiap orang yang kasar dan keras." Lalu sahabat-sahabat bertanya,
apakah yang dimaksudkan dengan keras itu Hai Rasulullah? Baginda menjawab,
ialah orang yang bersikap kasar terhadap keluarga, sahabat handai dan terhadap
kaum suku sendiri.
Dan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 83,
Ertinya: "... Dan katakanlah kepada manusia dengan
perkataan yang baik ... " iaitu tidak mengatakan sesuatu yang keji.
Disamping itu Allah berfirman lagi dalam surah Al-Isra' ayat 53,
Ertinya: "... Dan katakanlah kepada hambaKu, hendaklah
mereka mengatakan perkataan yang lebih baik.
Ini bererti bahawa bukan sahaja dikehendaki mengatakan perkataan
yang baik malah yang lebih baik daripada itu.
Pendeknya apa saja perkataan dan perbuatan baik yang kamu
suka dikata atau dibuat orang kepada kamu, maka kata dan buatlah kepada
makhluk-makhluk Allah Taala. Sebaliknya
apa yang kamu benci dari orang lain terhadap diri kamu, baik perkataan ataupun
perbuatan yang keji, maka hendaklah kamu jauhinya kerana Allah akan berbuat
kepada hambaNya mengikut sifat dan perangai hamba itu terhadap makhlukNya.
Balasan Allah terhadap sesuatu sifat hamba adalah dengan bentuk yang sesuai dan
sewajar dengannya.
Orang yang jadi 'Syurga' kepada makhluk Allah iaitu sebagai
tempat untuk mendapat rahmat, tempat berteduh dan berehat, maka demikianlah
juga balasan Allah kepadanya. Begitu juga halnya dengan orang yang memuliakan
seseorang hamba kerana meraikan tuannya adalah pada hakikatnya ia memuliakan
tuan itu sendiri. Maksud yang seperti inilah tersebut dalam hadis Qudsi iaitu
Allah akan berfirman kepada hambanya di Akhirat kelak:
Erti: "Aku telah lapar tetapi engkau tidak menjamuku.
Aku meminta minuman tetapi engkau tidak memberikannya kepada ku. Aku telah
sakit, tetapi engkau tidak menziarahi ku. Maka hamba akan bertanya,
bagaimanakah engkau lapar sedangkan engkau Tuhan sekalian alam? Lalu Allah
mentafsirkan firmanNya itu: Tidakkah hambaKu si Anu telah sakit, kalaulah
engkau menziarahinya nescaya engkau dapat Aku disisinya. Tidakkah hambaKu si Anu telah lapar, kalau engkau menjamunya
nescaya engkau dapatiKu disisinya. Tidakkah hambaKu si Anu telah meminta
minuman dari engkau. Kalau engkau beri minuman kepadanya, nescaya engkau dapati
perkara itu disisiKu."
Demikianlah
diterangkan oleh Allah SWT akan maksud perkataan "AKU" dalam
firmanNya: "HambaKu si Anu telah lapar, hambaKu si Anu telah sakit,
hambaKu si Anu telah meminta minuman."
Pendeknya berbuat sesuatu kebaikan kepada seseorang hamba
kerana menghormati tuannya, adalah dianggap berbuat baik kepada tuannya
sendiri. Orang yang berpegang teguh dengan makam ini, segala perbuatan dan kira
bicaranya hanya dengan Allah SWT yakni tanpa mengambil perhatian dan mengingati
sesuatu yang lain daripadaNya.
Ketinggian akhlak terhadap Allah dan terhadap hambaNya
adalah terhimpun dalam sabda junjungan kita, Muhammad SAW yang berbunyi,
Ertinya: "Muliakan Allah dengan menjauhkan diri dari
mengerjakan perkara-perkara yag ditegah, iaitu hendaknya janganlah kamu dilihat
oleh Allah SWT berada di tempat yang dilarangNya dan janganlah pula hilang
daripada tempat yang disuruhNya."
Perkara yang boleh menimbulkan perasaan malu seseorang hamba
kepada Allah SWT ialah memikirkan dengan penuh perasaan yang Allah memerhati
dan menyaksikan tiap-tiap suatu, sebagaiman firman Allah SWT surah Al-Baqarah
ayat 235,
Ertinya: "Ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang
berada di dalam hati kamu. Maka takutlah kepadaNya."
Apabila seseorang hamba memenuhi hatinya dengan renungan
terhadap Allah dan selalu diamalkannya hingga menjadi kebiasaan kepadanya, maka
timbullah perasaan malu kepada Allah. Dia tidak akan melafazkan sesuatu
perkataan atau melakukan sesuatu perbuatan yang tidak diredhai oleh Allah dan
yang tidak layak dengan kebesaranNya, selama harinya teringat kepada firman
Allah dalam surah Al-Hadid ayat 4,
Ertinya: "Dia bersama kamu di mana-mana kamu
berada."
Allah tetap berada disampingnya dan memandang kepadanya.
Seseorang hamba yang hendak melakukan zina atau curi umpamanya, kalau
diketahuinya ada orang yang melihatnya, sudah tentu ia tidak sanggup hendak melakukannya
malah mencercakan dirinya serta memandang buruk kepada pekerjaan itu.
Kalaulah begitu keadaannya terhadap sesama makhluk yang
tidak memiliki kuasa kebencanaan dan kemanfaatan, hanya yang mendorongkan dia
berhenti dari melakukan sesuatu yang buruk dan keji itu semata-mata kerana
takut jatuh maruah dan darjat di mata manusia sahaja, maka tidak boleh
diragukan lagi kalau hatinya ingat kepada Allah ketika memulakan perbuatan yang
tidak diredhai oleh Allah itu, tentu akan tercegah dari melakukannya. Inilah
maksud sabda Nabi Muhammad SAW tentang ihsan.
Ertinya: "Beribadatlah engkau kepada Allah seolah-olah
engkau melihatNya, jikalau engkau tidak dapat melihatNya (sudah tentu tidak
dapat melihat) maka ia tetap melihat engkau."
Orang yang berada dalam keadaan ini, tentu akan menunaikan
ibadat dengan sebaik-baiknya mengikut sedalam mana ilmunya terhadap penglihatan
Allah kepadanya.
Rahsia surah Al-Waqiah
Kita telah melihat terjemahan ayat-ayat dalam surah
al-waqiah. Tahukah anda apa yang ingin disampaikan oleh Allah swt dalam surah
ini?
Point utama surah ini ialah umat Nabi Muhammad saw (umat
Islam) akan dipecahkan kepada 3 kelompok ketika dibangkitkan di hari kiamat
kelak. 3 kelompok tersebut ialah:
1. Golongan muqarrabin
2. Golongan kanan (ashabul yamin)
3. Golongan kiri (ashabus syimal)
Surah ini secara tak langsung juga membahagikan umat islam
kepada 3 kelompok utama lagi iaitu:
1. Golongan Awwalin [generasi salafus soleh]
2. Golongan Pertengahan [generasi selepas salafus soleh
hingga sebelum kemunculan imam mahdi]
3. Golongan Akhirin [generasi hidup di zaman imam mahdi]
mari kita lihat siapakah yang dimaksudkan golongan-golongan
tersebut
1. Muqarrabin
Muqarrabin bermaksud orang-orang yang hampir dengan Allah.
Dengan erti kata lain wali Allah. Golongan ini paling tinggi disisi Allah
tarafnya dan diberikan nikmat yang hebat [tersebut dalam surah al-waqiah]
kerana hebatnya cinta dan takut mereka kepada Allah di simbolkan amal ibadat
mereka yang banyak. mereka ini amat menjaga syariat lahir [amal ibadat] dan
syariat batin [hati]. Roh mereka itu bersih hingga diberikan kelebihan oleh
Allah ketika masih hidup lagi.
Disebutkan golongan muqarrabin ramai di kalangan golongan
awwalin dan sedikit di kalangan golongan akhirin. [golongan pertengahan tidak
disebutkan kerana mereka bersifat pertengahan dalam semua segi]
Golongan awwalin terdiri daripada sahabat, tabiin dan tabi'
tabiin kerana yang Islam di zaman salafus soleh terdiri dari kalangan mereka.
Sahabat dididik Rasulullah saw. Tabiin dididik oleh sahabat. Tabi' tabiin
dididik oleh tabiin. Jika dibandingkan bilangan sahabat, tabiin dan tabi'
tabiin dengan orang Islam awam umumnya ketika itu nisbah bilangan mereka kecil.
sebab itulah disebut majoriti golongan awwalin bertaraf muqarrabin.
Golongan akhirin ialah golongan yang hidup di zaman Imam
Mahdi. Muqarrabin di zaman ini adalah para wali Allah yang hidup ketika itu dan
tentera-tentera Imam Mahdi iaitu ikhwan dan asoib. Ikhwan dan asoib dididik
oleh Imam Mahdi melalui pembantunya Pemuda Bani Tamim dan para wazirnya. Ikhwan
setaraf sahabat manakala asoib setaraf dengan tabiin ataupun tabi' tabiin.
Golongan ikhwan dan asoib amat dirindui Rasulullah saw dan para sahabat ra.
Ikhwan berjumlah ratusan manakala asoib jumlahnya seperti bilangan sahabat ra.
Jika dibandingkan jumlah umat islam 1 billon dengan Ikhwan dan asoib yang
berjumlah 124 000 ditambah jumlah para wali yang hanya ribuan sahaja itu maka
benarlah firman Allah bahawa sedikit sahaja dari golongan akhirin termasuk
dikalangan golongan muqarrabin.
2. Ashabul yamin
Ashabul yamin ialah orang Islam yang taat perintah Allah.
mereka ini berusaha menghindar dosa namun jika melakukan maksiat cepat-cepat
mereka bertaubat. Jika di zaman salafus soleh. Golongan ini adalah orang islam
awam. begitu juga di zaman Imam Mahdi. Golongan pertengahan, orang Islam
awamnya terbahagi kepada dua iaitu golongan yang taat dan golongan yang
derhaka. Nikmat bagi golongan ashabul yamin ini disebutkan jelas dalam surah Al
Waqiah. Majoriti umat Islam dari golongan awwalin dan akhirin adalah termasuk
dalam kelompok ashabul yamin
3. Ashabus syimal
Ashabus syimal adalah golongan yang derhaka kepada Allah.
mereka sering melakukan dosa bahkan berbangga dengannya. Mereka mati sebelum
sempat bertaubat kepada Allah dan akhirat kelak neraka tempat tinggal sementara
mereka kerana mereka masih Islam. mereka akan diazab sesuai dengan banyaknya
dosa mereka hingga tiba hari syafaat diberikan oleh baginda Rasulullah saw.
Azab yang ditimpakan disebut jelas dalam surah ini. Minoriti golongan awwalin
dan akhirin adalah dalam kelompok ini.
Kesimpulan
Banyakkan usaha supaya kita termasuk di kalangan muqarrabin
atau setidak-tidaknya golongan ashabul yamin. Kita hidup di akhir zaman dan
pelbagai petanda jelas menunjukkan Imam Mahdi akan muncul di zaman kita. Maka
berusahalah untuk merebut jawatan Ikhwan dan Asoib kerana peluang masih terbuka
supaya kita mendapat nikmat yang besar di dunia dan akhirat kelak.
TabaarokaAllah. bagus tulisan saudara.
BalasPadam