Isnin, 6 Julai 2020

TAPEDIRI : Tajalli Kalimah La Hau La Waha Quwwata Illa Billahil Aliyyil Azim

Perhatikan hadis berikut:

Dari Abu Hurairah Radiyallahu anhu ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda: “Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah, namun pada masing-masing (dari keduanya) ada kebaikan. Bersemangatlah terhadap hal-hal yang berguna bagimu, mohonlah pertolongan kepada Allah, dan jangan menjadi lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu, jangan berkata seandainya aku berbuat begini, maka akan begini dan begitu, tetapi katakanlah Allah telah menakdirkan, dan kehendak oleh Allah pasti dilakukan. Sebab kata ‘seandainya’ itu dapat membuka perbuatan setan.” (HR. Muslim)

Kenapakah Allah SWT menyukai mukmin yang kuat berbanding dengan mukmin yang lemah? Ini adalah kerana asas ibadat itu sendiri adalah perbuatan fizikal. Macamana hendak solat kalau berdiripun tidak mampu. Walaubagaimanapun, kelemahan itu juga sebenarnya adalah satu kekuatan seperti yang saya ceritakan dalam tajuk Sunnatullah di sini:

Perhatikan tuntutan jihad. Jihad itu ialah apabila kita menggunakan segenap kekuatan yang kita ada untuk memartabatkan Islam di muka bumi ini. Tuntutan jihad hanya diwajibkan untuk golongan lelaki sahaja, jelas kerana kekuatan lelaki itu adalah lebih satu darjat berbanding dengan kekuatan perempuan.

Dalam dunia ini ada ilmu hitam dan ilmu putih. Ilmu hitam ialah ilmu sihir menggunakan khadam jin untuk tujuan yang jahat manakala ilmu putih pula ialah ilmu para wali iaitu ilmu kekasih-kekasih Allah SWT. Sekiranya anda ingin belajar ilmu silat, belajarlah ilmu putih dan periksalah dulu ilmunya dengan bertanyakan mereka yang lebih mengetahui.

TAPEDIRI 65 atau BaThamin 114 adalah salah satu contoh warisan silat melayu yang menggunakan ilmu putih. TAPEDIRI membawa maksud TAqwa, PErtahanan DIri dan Rawatan Islam. Ketiga-tiga elemen ini digabungkan lalu membentuk perkataan TAPEDIRI. Kaedah TAPEDIRI TIDAK menggunakan sebarang mentera, pertapaan, seru, kemeyan, jin, khadam atau sebarang bentuk amalan yang membawa kepada kufur dan syirik. Kaedah ini hanya menggunakan zikir-zikir, selawat dan ayat-ayat lazim dan ruqyah yang boleh dijumpai didalam Al-Quran dan Sunnah.

TAPEDIRI adalah satu kaedah rawatan islam. Ianya bertujuan untuk merawat dan mengembalikan jati diri islam seorang muslim itu agar kembali ke jalan yang diredhai Allah. Sebagai contoh, jika seorang muslim itu tidak melaksanakan solat 5 waktu dengan sengaja, maka boleh dikatakan jati diri islam seorang muslim itu telah goyah. Maka, disinilah TAPEDIRI diri itu berfungsi, TAPEDIRI seperti sebuah formula yang akan menguatkan kembali jati diri islam itu dan akan membuatkan hati seorang muslim itu bergetar apabila merasakan tanggungjawabnya terhadap Allah S.W.T. Oleh yang demikian, Alhamdulillah, majoriti muslim yang mengambil kaedah TAPEDIRI ini telah berubah kearah kebaikan, melaksanakan solat 5 waktu tanpa dipaksa dan meninggalkan perkara-perkara mungkar dengan kerelaan hati. Disini, kalau dilihat, kaedah TAPEDIRI telah berjaya merawat hati muslim ini agar mengerjakan apa yang disuruh oleh Allah S.W.T dan meninggalkan laranganNya.


Selain rawatan islam, kaedah TAPEDIRI ini juga berfungsi sebagai ikhtiar untuk mempertahankan diri dari khianat musuh (dengan izin Allah S.W.T). Kaedah ini TIDAK membuatkan seseorang itu kebal; tetapi seolah-olah mewujudkan satu lapisan aura yang menjadi benteng menghalang perbuatan khianat itu ( In Shaa ALLAH ). Tiada jin atau khadam digunakan, yang digunakan hanyalah ayat 11 dari surah Al-Maidah yang diamalkan bacaannya oleh muslim yang mengambil kaedah TAPEDIRI. Individu yang mengambil kaedah TAPEDIRI ini juga boleh merawat gangguan dengan cara rawatan islam.


Wahai orang-orang yang beriman, kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu ketika kaum (kafir yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya (untuk menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada (menyerang) kamu. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan kepada Allah jualah (sesudah bertakwa itu) hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri. (Al-Maidah 5:11)

TAPEDIRI adalah Tajalli kalimah La Hau La Waha Quwwata Illa Billahil Aliyyil Azim kepada hambaNya kerana tiada upaya untuk seseorang itu menyakiti hambaNya kecuali mendapat keizinan dari Allah SWT.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan