Sabtu, 11 Julai 2020

Tadabbur Surah Al-Baqarah

Kelebihan Surah Al-Baqarah

Perhatikan hadis berikut:

Dalam satu hadis daripada Abu Umamah al-Bahili, beliau berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: ‘Bacalah al-Quran kerana al-Quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak. Dan bacalah Az Zahrawain iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-dua surah itu akan datang pada hari kiamat, seolah-olah kedua-duanya bagai sekelompok awan atau payung yang menaungi, atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya. Kedua-duanya akan membela pembacanya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam Ahmad)

Kelebihan utama surah Al-Baqarah ialah menjadi peguambela kepada pembacanya di hari akhirat kelak. Selain dari itu, surah ini juga akan melindungi pembacanya dari panas terik matahari di padang mahsyar dengan memayungi pembacanya sebagai sekelompok awan atau sekelompok burung.

Ini adalah kelebihan utama surah Al-Baqarah di akhirat. Kelebihan di dunia pula adalah seperti berikut:
1. Mendapat perlindungan dari makhluk yang jahat
2. Mendapat keberkatan dan bertambah rezeki
3. Syaitan lari dari rumah yang dibaca surah Al-Baqarah
4. Orang yang selalu membaca surah Al-Baqarah akan dicintai malaikat


Kisah Sahabat Nabi: Usaid bin Hudhair Yang Dicintai Malaikat

Usaid bin Hudhair sangat mencintai Al-Quran. Suatu malam, Usaid duduk di beranda belakang rumahnya. Anaknya, Yahya, tidur di dekatnya. Kuda yang selalu siap untuk berperang fi sabilillah, diikat tidak jauh dari tempat duduknya.

Suasana malam tenang dan hening. Permukaan langit jernih tanpa mendung. Usaid tergerak untuk membaca ayat AI-Qur'an yang suci.

“Alif lam miim, Inilah Kitab (Al-Quran) yang tidak ada keraguan padanya; menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, yang menegakkan solat, dan yang menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al-Quran) yang diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum kamu, serta mereka yang yakin akan adanya (kehidupan) akhirat." (QS. Al-Baqarah: 1-4).

Mendengar bacaan tersebut, tiba-tiba kuda yang sedang ditambat lari berputar-putar. Hampir saja tali pengikatnya putus. Ketika Usaid diam kuda itu diam dan tenang. Usaid melanjutkan lagi bacaannya...

“Mereka itulah yang mendapat petunjuk dari Rabb-nya, dan merekalah orang yang beruntung.” (QS. Al-Baqarah: 5).

Kembali kuda Usaid berputar-putar lebih hebat dari semula. Ketika ia memandang ke langit, ia mendapati pemandangan awan yang mengagumkan. Ia belum pernah melihat pemandangan serupa itu sebelumnya.

Awan itu indah berkilau, bergantung seperti lampu memenuhi ufuk, bergerak naik dengan sinarnya yang terang. Kemudian perlahan-lahan menghilang dari pandangan.

Esok harinya, Usaid pergi menemui Rasulullah SAW menceritakan peristiwa yang dialaminya. Rasulullah berkata, “Itu adalah malaikat yang ingin mendengarkan engkau membaca Al-Quran. Seandainya engkau teruskan, pastilah akan banyak orang yang boleh melihatnya. Pemandangan itu tidak akan tertutup dari mereka.” (HR. Bukhari-Muslim).

Usaid bin Hudhair hidup sebagai seorang ahli ibadah. Harta benda dan jiwa raga yang dimilikinya diserahkan sepenuhnya untuk perjuangan Islam. Bagi Usaid tidak ada puncak keindahan dan kemenangan dalam perjalanan hidupnya selain bila cahaya Islam terus bersinar.

Pandangan hidup yang seperti itu mengantarnya memperoleh julukan sebagai, “Sebaik-baik lelaki, Usaid bin Hudhair!” kata Rasulullah SAW.

Berdasarkan kisah di atas, jelas menunjukkan malaikat sangat menyukai manusia yang membaca surah Al-Baqarah hinggakan malaikat akan turun ke dunia untuk mendengar manusia mambaca surah tersebut.

9 Bahagian Surah Al-Baqarah

Surah Al-Baqarah sebenarnya boleh dibahagikan kepada 9 bahagian seperti berikut:

Bahagian 1 : Allah SWT menceritakan tentang 3 golongan manusia : manusia yang beriman, manusia yang tidak beriman dan manusia yang munafik.

Bahagian 2 : Kisah Nabi Adam AS yang diciptakan sebagai khalifah di muka bumi ini.

Bahagian 3 : Kisah Bani Israel / Yahudi yang diberikan banyak kelebihan oleh Allah SWT tetapi mereka kufur kerana satu sifat mereka iaitu sombong. Mereka tak boleh terima bahawa rasul yang terakhir itu adalah dari kalangan bangsa arab.

Bahagian 4 : Kisah Nabi Ibrahim AS yang diuji dengan pelbagai ujian tapi beliau lulus semua ujian tersebut. 

Bahagian 5 : Kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS membina kaabah di Mekah. Kisah doa Nabi Ibrahim agar dikurniakan keturunan yang soleh dan kelahiran Nabi Muhammad SAW dari keturunannya adalah kerana makbulnya doa Nabi Ibrahim AS tersebut.

Bahagian 6 : Penubuhan negara Islam : Mekah dan Madinah.

Bahagian 7 : Peraturan dan undang-undang sebuah negara Islam.

Bahagian 8 : Bimbingan tentang wang dan sifat tamak manusia.

Bahagian 9 : 3 ayat terakhir surah Al-Baqarah juga dikenali sebagai doa paling agung dalam Al-Quran. Ayat-ayat ini mengandungi doa agar tidak diberi beban yang tidak tertanggung oleh kita. 3 ayat terakhir surah Al-Baqarah patut dibaca setiap kali selepas solat atau sekurang-kurangnya 2 kali sehari iaitu selepas solat Subuh dan selepas solat Maghrib.

Dengan kelebihan-kelebihan di atas, marilah kita perbanyakkan membaca Al-Quran terutamanya Surah Al-Baqarah dan Al-Imran yang dikenali sebagai Az Zahrawain kerana terlalu banyak fadhilat yang boleh didapati oleh pembaca kedua-dua surah tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan