Jumaat, 26 Jun 2020

7 Rahsia Huruf Ha

1. Huruf Ha merujuk kepada Allah SWT

Lafaz Allah adalah lafaz yang sangat istimewa. Lafaz ini adalah satu-satunya lafaz yang apabila dibuang hurufnya satu-persatu, maka sampai satu huruf yang terakhir tetap akan mempunyai makna. Perhatikan kalimah ٱللَّهِ. Ketika alif dibuang, maka akan menjadi lillahi (kerana Allah). Ketika alif dan lam pertama dibuang, maka akan menjadi lahu (miliknya). Ketika alif, lam pertama, lam kedua dibuang tersisa hu (dia/nya/kata ganti ketiga).

Oleh yang demikian, zikir kepada Allah SWT yang paling ringkas adalah dengan menyebut hu, hu, hu... Zikir yang lebih bagus ialah dengan zikir nafas iaitu semasa menarik nafas, sebut Allah di dalam hati dan semasa menghembus nafas, sebut hu di dalam hati.

2. Huruf ha (ringkas)  melambangkan cermin / simetri dan kebenaran

Dalam huruf arab, hanya ada enam huruf sahaja yang mempunyai sifat simetri iaitu alif, ba, ta, tsa, nun dan ha. Huruf simetri ini melambangkan cermin. Cermin itu sendiri melambangkan kebenaran kerana cermin itu tidak pernah menipu, ianya akan sentiasa memantulkan objek yang benar dihadapannya.

3. Huruf Ha melambangkan alam

Huruf ha adalah huruf ke 5 dari 28 dalam susunan A-Ba-Ja-Dun / ABJAD arab dan mempunyai nilai abjad 5. Angka 5 merujuk kepada 5 unsur alam iaitu api, tanah, logam, air dan kayu.

4. Huruf Ha merujuk kepada 5 alam nyata dan ghaib

Sebenarnya alam ini ada berlapis-lapis. Selain alam nyata ini, masih ada lagi alam ghaib yang tidak dapat ditangkap oleh pancaindera kita. 5 alam utama dunia ini ialah alam mulki (alam manusia), alam bunian (alam jin), alam malakut (alam malaikat), alam jabarut (alam roh) dan alam lahut (alam ketuhanan).

5. Huruf Ha merujuk kepada nikmat Allah SWT kepada manusia

Allah SWT dengan limpah dan kurniaNya telah memberikan 5 deria kepada manusia iaitu mata, telinga, hidung, lidah dan kulit. Dengan 5 deria inilah manusia mengecapi segala kenikmatan yang diberikan oleh Allah SWT di dunia ini.

6. Huruf Ha melambangkan kehidupan

Bentuk huruf ha (ringkas) itu bulat di bawah dan meruncing di atas adalah seperti air yang menitik. Dengan rahmat dari Allah SWT, Dia menurunkan hujan yang memberikan kehidupan kepada tumbuh-tumbuhan dan manusia seluruhnya.

7.  Huruf Ha melambangkan syahadah

Perhatikan bentuk huruf Ha (kompleks). Ianya bermula dari luar, kemudian masuk ke dalam, kemudian keluar balik sebagai ekor. Ini melambangkan kalimah syahadah "Asyhadu  Ala Ilaha Illallah Wa Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah". Yang bererti aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah. 

Untuk kesempurnaan kalimah syahadah, ianya perlulah diucapkan keluar di mulut, kemudian ianya perlulah dipercayai di dalam hati, akhir sekali ianya perlulah dibuktikan dengan perbuatan (ibadat). 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan