Khamis, 18 Jun 2020

Mata Lebah dan Mata Lalat

Lebah dan lalat adalah dua haiwan istimewa yang mempunyai banyak manfaat kepada manusia. Kedua-dua haiwan ini ada disebutkan di dalam Quran seperti ayat berikut:

Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (16:68-69)

Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya) dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya). (22:73)

Manfaat lebah kepada manusia ialah pendebungaan bunga jantan dan betina kepada pokok-pokok lalu menghasilkan buah yang dimakan oleh manusia. Manfaat lain kepada manusia ialah penghasilan madu lebah yang menjadi makanan berkhasiat, ubat dan juga sumber pendapatan kepada manusia.

Manfaat lalat pula ialah penteluran lalat pada bangkai dan sampah-sarap menjadikan proses penguraian bangkai dan sampah-sarap tersebut menjadi lebih cepat lalu menukarkan bangkai dan sampah-sarap tersebut kepada komponen-komponen yang tidak lagi menghasilkan bau busuk dan kotor.

Ada seorang alim bertanya pada pemuda:
Apa yang lebah akan cari bila dicampak ke dalam sampah?
Pemuda jawab :
Dia akan mencari madu.
Orang alim itu memberitahu :
Tidak, sebaliknya dia akan cari bunga terlebih dahulu, kemudian baru datangnya madu.
Kemudian dia tanya lagi :
Apa yang terjadi apabila lalat dicampakkan ke dalam taman yang dipenuhi dengan bunga?
Pemuda menjawab :
Pasti lalat akan mencari sampah.
Kemudian orang alim itu berpesan :
Jadilah kamu seperti mata lebah walaupun ditunjuk akan keburukan seseorang kepada kamu, tetap kamu mencari kebaikannya.
Sebaliknya janganlah kamu jadi mata lalat walaupun ditunjuk seribu kebaikan seseorang kepada kamu, kamu masih lagi mahu mencari keburukan orang lain. 

Mata lebah selalu mencari bunga-bunga yang cantik dan menghasilkan madu yang manis lagi berkhasiat, manakala mata lalat selalu mencari tahi dan bau busuk. 

Apabila kita melihat kepada orang lain, biarlah kita menjadi seperti mata lebah yang selalu melihat kepada kebaikan orang lain dan tidak kepada keburukannya.  

Apabila kita melihat kepada diri kita sendiri, biarlah kita menjadi seperti mata lalat yang sedar bahawa kita memiliki kelemahan dan kekurangan. Dengan kesedaran tersebut, kita berusaha untuk membaiki kelemahan dan kekurangan kita dan memohon istighfar kepada Allah SWT atas dosa-dosa kita disebabkan kelemahan dan kekurangan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan