Selasa, 7 Julai 2020

Rahsia Mandi Limau Nipis

Khasiat Limau Nipis dalam Perubatan

Limau nipis atau nama botaninya citrus aurantifolia. Pohon limau nipis boleh mencapai ketinggian hingga 4 meter, lebih pendek dari limau purut. Buahnya berbentuk bulat sebesar bola ping pong dengan kulit luar berwarna hijau, setelah tua menjadi kuning. Seperti buahnya yang kecil, bunganya pun berukuran kecil-kecil berwarna putih. Rasa masam pada limau nipis dan semua jenis limau lainnya, berperanan pembuang toksin terbesar dibandingkan buah-buah lain. Rasa masam dan unsur pectin yang terkandung di dalamnya membantu menghilangkan racun-racun dalam tubuh.
Gabungan bahan-bahan seperti bunga-bungaan yang terpilih dan beberapa biji limau nipis yang disatukan ke dalam air mutlak mengikut tatacara petua-petua orang tua-tua dahulu yang arif yang didoakan dengan doa yang khusus maka tersedialah suatu bahan yang menjadi salah satu ikhtiar bagi mengubati penyakit yang disebabkan oleh gangguan jin dan sihir.

Untuk merawat seseorang yang terkena gangguan jin dan sihir perlu 2 kaedah yang dijalankan serentak didalam satu tindakan. Kaedah yang pertama ialah PENGOSONGAN dan kaedah yang kedua ialah PEMULIHAN. Menurut kajian, ada dua perkara yang perlu diselesaikan ke atas seseorang yang diganggu jin iaitu yang pertama menyelesaikan jin yang mengganggu (PENGOSONGAN) dan merawat tubuh yang diganggu (PEMULIHAN). Maka dengan itulah penggunaan limau nipis dan juga bunga-bungaan yang disatukan dalam air sebagai salah satu cara ikhtiar.

Mengapa guna limau nipis

Jin adalah makhluk ciptaan Allah yang berkongsi hidup dengan manusia dibumi ini. Mereka berjisim halus tidak seperti manusia yang berjisim kasar, oleh kerana itu golongan mereka ini tidak dapat dilihat bagaimanakah hal keadaan jisimnya dengan penglihatan mata kasar manusia. Pun begitu, mereka juga mempunyai akal dan perasaan, justeru mereka juga tergolong dalam golongan yang diperintahkan Allah agar mentaati titah perintah Allah SWT selain manusia.

Oleh kerana mereka juga berjisim maka tubuh mereka juga akan bertindakbalas dengan jisim-jisim yang lain. Sebab itulah tubuh mereka akan mudharat apabila terkena air limau sebagaimana mudharatnya tubuh kasar kita ini apabila direndam dengan air limau dalam kuantiti yang banyak. Bukankah sesuatu akan mengalami hakisan apabila direndam dalam cecair yang mempunyai kepekatan asid yang tinggi? Begitulah yang akan terjadi pada tubuh jin yang akan terhakis atau hancur apabila dikenakan dengan air perahan limau walaupun dalam kadar kuantiti yang sedikit kerana tubuh mereka berjisim halus. Maka, air perahan limau adalah alat ampuh yang dapat memudharatkan tubuh jin sehingga mereka terpaksa merasai pengalaman sakit yang tidak terhingga.

Maka khasiat mandi limau berkesan untuk memudharatkan tubuh jin yang bersarang dalam tubuh penghidap gangguan jin sehingga tubuhnya kosong dari diinap jin.

Cara Ringkas Mandi Limau Nipis

1. Beli 21 limau nipis.

2. Letakkan 21 limau nipis di depan anda dan bacakan ayat-ayat Ruqyah seperti berikut:

i. Al Fatihah
ii. Al Baqarah Ayat 1-5
iii. Ayat Qursi
iv. Al Maidah Ayat 11
v. Ayat Seribu Dinar (At-Talaq Ayat 2-3)
vi. Al Jin Ayat 1-9
vii. Al Ikhlas
viii. Al Falaq
ix. An Nas

3. Isikan air di dalam baldi. Potong 3 biji limau nipis kepada dua bahagian setiap kali hendak mandi dan masuk dan perahkan limau nipis yang sudah dipotong ke dalam baldi.

4. Mandi dulu dengan air biasa, kemudian baru mandi dengan air limau ini. Mula mandi dari kepala. Lebihkan siram di belakang tengkuk dan bahu.

5. Sekiranya anda ada gangguan, anda akan rasa seperti angin keluar dari belakang tengkuk anda. Badan dan kepala akan menjadi ringan.

6. Sekiranya anda sendawa atau muntah selepas mandi, nasihat saya sila dapatkan rawatan Islam berhampiran.

7. Waktu mandi ialah di antara asar dan maghrib.

8. Selesai mandi dengan air limau, jangan di lap dan biarkan air itu kering sendiri.

9. Amalkan secara berturut-turut selama 7 hari. 

Faedah Mandi Limau kepada tubuh badan fizikal

Selain untuk meruqyah gangguan jin, mandi limau juga mempunyai faedah kepada tubuh badan fizikal seperti berikut:

1. Buang angin dalam badan
2. Hilangkan bisa-bisa dalam badan
3. Hilangkan lenguh-lenguh badan
4. Hilangkan sakit kepala
5. Menyerikan wajah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan