Khamis, 2 Julai 2020

Tadabbur Surah Al-Fatihah

Surah Al-Fatihah diturunkan di Mekah dan Madinah. Riwayat mengatakan bahawa ia diturunkan sebanyak dua kali. Ia adalah surah yang teragung di dalam Al Qur’an. Keseluruhan isi kandungan Al-Qur’an secara ringkas berada di dalam Surah Al-Fatihah ini. Kerana itulah ia dinamakan Ummul Qur’an. 

Ayat pertama surah Al-Fatihah ialah ‘Basmallah’ (Bismillahirrahmanirrahim). Ayat pertama ini merujuk kepada Asma Allah SWT yang maha agung (al-ismul a’zham) iaitu Allah. Mendahulukan sesuatu itu dengan membaca Basmallah setiap kali memulakan atau melakukan sesuatu urusan, pekerjaan atau perbuatan sebenarnya memberi kebaikan dan memiliki fadhilat yang sangat besar kerana ia mengutamakan Asma dan Kebesaran Allah SWT.
Rahsia 19 Huruf
Basmallah mempunyai 19 huruf. No. 19 ini merujuk kepada keesaan Allah SWT kerana nilai  (gematrical value) huruf WAHID (satu/esa/tunggal) dalam bahasa arab ialah wau (6) + alif (1) + ha (8) + dal (4) = 19. 
19 huruf ini juga menunjukkan bilangan malaikat yang menjaga neraka (Saqar) seperti firman Allah SWT: “Dan apa jalan engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu?; Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus); Ia terus membakar kulit manusia!; Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat).” (Surah al-Muddatthir, ayat 27-30).
Daripada riwayat Ibn Mas’ud r.a.: “Sesiapa yang ingin melepaskan dirinya oleh Allah daripada malaikat Zabaniah yang menjaga neraka yang 19 orang semuanya, maka hendaklah dia membaca Bismillah, Allah akan menjadikan bagi setiap huruf itu sebagai pendinding bagi malaikat itu.”
Empat ayat pertama Surah Al-Fatihah ini adalah puji-pujian kepada Allah ‎SWT. Ayat kelima adalah ayat mengakui kehambaan dan memohon pertolongan hanya kepada Allah SWT. Ayat keendam dan ketujuh adalah doa memohon petunjuk ke arah jalan yang lurus. Surah Al-Fatihah itu sebenarnya mengandungi doa agar kita dibimbing Allah SWT. 
Oleh yang demikian, surah ini menunjukkan adab berdoa kepada Allah SWT perlulah dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah SWT. Adalah tidak salah menghadiahkan surah Al Fatihah kepada muslimin dan muslimat yang masih hidup atau yang telah mati kerana kita sebenarnya sedang mendoakan mereka agar dibimbing oleh Allah SWT. Orang yang mati juga perlu mendapat bimbingan Allah SWT untuk menjawab soalan Mungkar dan Nakir.
Ayat kedua dalam surah Al Fatihah mempunyai perkataan hamdu yang mempunyai erti pujian dan syukur. Pujian itu ditujukan kepada nikmat yang orang lain dapat manakala syukur itu pula ditujukan kepada nikmat yang kita dapat. Oleh itu, ucapkanlah juga Alhamdulillah apabila kita melihat orang lain mendapat nikmat dari Allah SWT. Kesan mengucapkan Alhamdulillah secara berulang mempunyai fadhilat memelihara pengucapnya dari penyakit hasad dan dengki. Perkataan hamdu disebut sebanyak 68 kali dalam Al-Quran.

Menurut Buya Hamka dalam Tafsir Al-Azhar, fadhilat menyebut ayat keenam surah Al-Fatihah itu  ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦) ada empat seperti berikut:
1. Al-Irsyad : mendapat kecerdikan/kecerdasan untuk memilih perkara yang haq dan bukannya yang bathil.
2. At-Taufiq : diberi yang bersesuaian dengan apa yang direncanakan oleh Allah SWT
3. Al-Ilham : diberi petunjuk agar dapat mengatasi sesuatu perkara yang sulit/sukar.
4. Ad-dilalah : diberi petunjuk dan tanda-tanda tempat yang berbahaya
Surah ini dinamakan al-Fatihah kerana ia adalah pembukaan kitab secara tertulis. Dengan al-Fatihah itu juga dibukakan bacaan di dalam solat. Ajaibnya surah Al-Fatihah ialah ianya tidak jemu dibaca walaupun kita membacanya 17 kali sehari di dalam solat.
Ia juga disebut Ummul Kitab, as-Sab’ul Mathani (tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang) dan al-Qur-anul Azhim. Tujuh ayat dalam surah ini juga merujuk kepada 7 langit yang diciptakan oleh Allah SWT.
Ia juga disebut dipanggil dengan sebutan al-Hamdu kerana Nabi SAW ada meriwayatkan firman Allah ‎SWT dalam hadith Qudsi: “Aku membahagi solat antara diri-Ku dan hamba-Ku menjadi dua bahagian. Jika seorang hamba mengucapkan: ‘Alhamdulillahi rabbil alamin, maka Allah ‎SWT berfirman; Aku telah dipuji oleh hamba-Ku.”
Surah ini juga dipanggil ash-Solah, kerana al-Fatihah itu sebagai syarat sahnya solat.
Ia juga disebut dengan nama asy-Syifa’ kerana ada diriwayatkan satu hadith: “Fatihatul kitab itu merupakan syifa’ (penyembuh) dari setiap racun.”
Ia juga disebut ar-Ruqyah kerana ada satu hadith yang meriwayatkan sahabat telah menjampi (ruqyah) seseorang yang terkena sengatan, maka Nabi SAW bersabda: “Dari mana engkau mengetahui bahawa al-Fatihah itu adalah ruqyah?”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan