Tuesday, 9 August 2011

Kisah Nabi Idris v.s. Iblis

Sahabat yang dirahmati Allah,

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

LATARBELAKANG

Disini adalah sedikit cerita mengenai latarbelakang Nabi Idris a.s. Nabi Idris adalah keturunan keenam dari Nabi Adam putera dari Yarid bin Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam A.S. dan adalah keturunan pertama yang dikurniai kenabian menjadi Nabi setelah Adam dan Syith.Nabi Idris as menurut sesetengah riwayat, baginda bermukim di Mesir di mana beliau berdakwah untuk agama Allah mengajarkan tauhid dan beribadat menyembah Allah serta memberi beberapa pedoman hidup bagi pengikut-pengikutnya agar menyelamatkan diri dari seksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia.

Menurut buku berjudul The Prophet of God Enoch: Nabiyullah Idris, Idris adalah sebutan atau nama Arab bagi Enoch, nenek moyang Nabi Nuh. Nama Nabi Idris as. yang sebenarnya adalah ‘Akhnukh’. Sebab beliau dinamakan Idris, kerana beliau banyak membaca, mempelajari (tadarrus) kitab Allah SWT. Beliau dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai manusia pilihan Allah sehingga Dia mengangkatnya ke langit. Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya meriwayatkan bahwa Nabi Idris wafat saat beliau sedang berada di langit keempat ditemani oleh malaikat Izrail. Beliau hidup sampai usia 82 tahun.

Nabi Idris as diutus oleh Allah Swt. untuk mengingatkan umat keturunan Kabil yang telah bersikap derhaka. Di kalangan bangsa Ibrani, beliau dikenal dengan nama Khunuh. Nabi Idris as belajar agama sejak kecil dari Nabi Syith as, putra Nabi Adam as. Nabi Idris as berdakwah kepada kaumnya dengan gigih, sehingga mendapat sebutan Asad al-usud, yang berarti "singanya singa". Ketika Nabi Muhammad Saw. melakukan Isra' Mikraj, beliau berjumpa dengan Nabi Idris as di langit keenam. Ketika itu Nabi Idris as memberi salam kepada Nabi Muhammad Saw. Kisah Nabi Idris tidak banyak diceritakan dalam Al-Quran. Namanya hanya disebut dalam surah Maryam ayat 56-57 dan surah al-Anbiya' ayat 85-86.


SAHIFAH
Nabi Idris as dikurnia oleh Allah Swt beberapa kepandaian. Beliau menguasai ilmu hisab, ilmu kaji bintang, menunggang kuda, dan menjahit pakaian. Selain itu, Nabi Idris as juga sangat tekun. Beliau belajar membaca dan menulis tanpa mengenal waktu dan tempat. Sejak kecil, Nabi Idris as telah pandai membaca Sahifah (lembaran tertulis) yang diajarkan oleh Nabi Syits as. Nabi Idris as menerima wahyu dari Allah Swt melalui malaikat Jibril sebanyak 30 Sahifah (Maryam 19:56-57). Isinya adalah ajaran agama yang harus disampaikan Idris kepada umatnya.

Iblis akan datang menggoda dan menghasut anak Adam dalam semua peringkat. Tetapi Iblis amat sukar untuk menggoda para rasul dan para nabi yang bersifat maksum dan sentiasa didalam pemeliharaan Allah swt seperti Nabi Idris as.

Walau Iblis berusaha untuk menggoda Nabi Idris a.s, ternyata usaha-usahanya gagal kerana kedatangan Iblis sudah diketahui oleh Nabi Idris a.s. terlebih dahulu.

KISAH NABI IDRIS VS IBLIS

Pada suatu hari Nabi Idris a.s. didatangi seorang lelaki yang membawa sebiji telur. Ketika itu Nabi Idris a.s. sedang menjahit bajunya. Tanpa ucapan salam, lelaki itu terus menegur Nabi Idris, “Wahai Idris, bolehkah Tuhan kamu memasukkan dunia ke dalam telur yang sedang aku pegang ini?”

Dengan izin Allah SWT, Nabi Idris as tahu dengan siapa dia sedang berhadapan. Lalu berkata Nabi Idris as, “Datanglah dekat denganku dan tanyalah apa yang engkau hendak tanya.” Lelaki itu pun mendekati Nabi Idris as yang masih sedang menjahit.

“Bolehkah Tuhanmu memasukkan dunia ke dalam telur ini?” Lelaki asing itu mengulangi pertanyaannya.

“Tuhanku boleh memasukkan dunia ke mana sahaja, jangankan ke dalam telur yang engkau pegang itu, bahkan Dia boleh masukkan dunia ke dalam lubang jarum yang aku pegang ini.” kata Nabi Idris a.s.

Kemudian dengan pantas sekali baginda bingkas mencucuk mata lelaki itu dengan jarum yang ada di tangannya. Terperanjat lelaki asing itu dan dia tidak sempat berbuat apa-apa. Kelam-kabut dia melarikan diri meninggalkan Nabi Idris a.s. yang telah membutakan matanya.

Lelaki yang menganggu Nabi Idris a.s adalah Iblis laknatullah.

Pengajarannya :
1. Iblis akan datang untuk menggoda anak Adam, samaada terdiri daripada para Nabi atau manusia biasa dengan berbagai helah dan tipu daya. Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dengan tipu muslihat Iblis.

2. Tips yang diajarkan oleh ulama untuk menghindari hasutan Iblis ini iaitu apabila ada keraguan atau was-was dalam hati cepat-cepat tinggalkan was-was tersebut dan terus ambil tindakan yang pasti. Contoh jika kita terlupa bilangan rakaat dalam solat samaada rakaat ke3 atau ke 4, ambil sebagai rakaat ke3 dan tambah satu lagi rakaat dan diakhiri dengan sujud sahwi.

3. Apabila berhajat untuk bersedekah atau ingin membuat sesuatu amal soleh, terus dilaksanakan. Jangan di tangguh-tangguh lagi kerana yang cuba melengah-lengahkannya adalah dari bisikan Iblis.

4. Senjata yang dapat menghancurkan Iblis :

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :”Wahai Iblis, apakah senjata yang dapat menghancurkan engkau?”

Berkata Iblis, “Ya Nabi Allah. Orang-orang yang banyak berzikir dan banyak bersedekah dengan bersembunyi (ikhlas hati) serta berbanyak-banyak taubat dan banyak membaca al-Qur’an Kalam Allah, dan banyak sembahyang di tengah malam. Itu semua akan menghancurkan aku”.


No comments:

Post a Comment